Friday, March 27, 2009

umno dan suara rakyat melayu

Perhimpunan agung UMNO sudah memperlihatkan bayangan rupa bentuk pembentuk dan pelaksana dasar pengurusan negara. Mahu atau tidak setakat ini terpaksa kita menerima kehadiran mereka dalam pemerintahan negara. Termasuk dalam acara kerja mereka ialah menangani isu PPSMI.

Sehingga ini kegagalan Rais Yatim dan Abdul Ghani Othman dalam pertandingan mereka seolah-olah petanda kepada penolakan perwakilan UMNO terhadap perjuangan mereka selama ini iaitu memansuhkan PPSMI. Dua pemimpin ini tegas menolak PPSMI dan melambangkan pejuang Melayu. Tetapi apabila tidak terpilih sudah terbayanglah sikapperwakilan UMNO bahawa mereka tidak menyokong pemansuhan PPSMI.

Sekarang kita terimalah hakikat bahawa UMNO gagal memberikan sumbangan kepada perjuangan kebahasaan dalam politik budaya. Parti Melayu menolak bahasa Melayu.

Bagaimanapun, kita perlu mengharapkan pemimpin yang terpilih akan kembali memuhasabah nilai perjuangan Melayu. Datuk Zahid, Datuk Shafie, dan tentunya Datuk Seri Najib sendiri yang pernah dikatakan tidak menyetujui penerusan dasar PPSMI hendaklah tegas membuat perubahan demi kesinambungan pembangunan orang Melayu dan juga etnik lain dengan menjadikan bahasa melayu sebagai alat untuk pembangunan,perpaduan, dan peneguh jati diri bangsa.

Jika mereka pun gagal membantu maka kita berserahlah kepada Allah di samping terus berjuang.

Sunday, March 22, 2009

kunjungan ke kuching

Berkunjung ke Kuching untuk memenuhi jadual bengkel penulisan fiksyen sains dan teknologi menemukan saya dengan beberapa permasalahan. Tapi biarlah saya dahulukan pujian kepada penulis dan peminat sastera Sarawak kerana jumlah peserta di kuching lebih besar daripada negeri-negeri lain yang kami kunjungi. Penuh bilik seminar dengan gabungan penulis lama dan baru serta pelajar sekolah yang dihantar gurunya Jais Sahok. Khabarnya bayaran penyertaan bagi pelajar sekolah itu dibiayai oleh sekolah. tahniah kepada pengetuanya.

Saya tidak dapat bercermah panjang dalam majlis itu kerana waktu telah dibataskan sejam sahaja. terpaksalah saya bercakap laju dan mungkin kurang difahami oleh pelajar yang baru berjinak dengan sastera. walau apa pun, yang pasti saya mendapat manfaat daripada majlis itu kerana berpeluang menyampaikan isi hati tentang perjuangan dalam sastera dan bahasa. dapat juga saya selitkan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dalam isu PPSMI.

Setelah lama tidak bertemu dengan Abang Abdillah SM, kali ini saya dapat bertemu dengan beliau dan isterinya sekali. mereka datang sebagai peserta. Abang Abdillah mempunyai gaya penulisan dan pemikiran yang unik. Tetapi dia kurang ditonjolkan di Sarawak. Mungkin hal ini perlu dilihat semula oleh agensi pembangun sastera Sarawak.


Nisah Haron juga sanggup datang dari Semenanjung semata-mata untuk mendengar ceramah daripada Prof Zaki kerana dia belum mendengar pembentangan itu semasa sesi di Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur Prof tidak hadir atas sebab tertentu.

Pada hari Jumaat saya berpeluang menghadiri seminar Budaya Melayu Sarawak di kompleks Pelancongan Sarawak, di Waterfront. Sahabat saya Awang Azman Awang Pawi menjadi pengerusi penganjuran seminar dan saya terasa wajib menghadirinya sementara ada masa. sempat juga mendengar pembentangan daripada Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, Hazami Jahari dan beberapa pembentang lain. Beruntung juga orang Sarawak kerana ada usaha sebegitu dan peruntukan wang disalurkan oleh kerajaan melalui agensi tertentu.

Awang Zaman dan Hazami bersilih ganti meraikan saya dan teman niaga saya (Rozlan), sampai perut mengalah untuk menerima kunjungan makanan lagi. terima kasih daun keladi.

di Lapangan terbang saya didatangi teman lain, Yusop Lotot. Sanggup dia ke lapangan terbang untuk bertemu dengan saya. Berbual dengan Usop saya bertemu dengan satu permasalahan baru di sarawak. Ini suara kecil yang minta diberi perhatian. Mereka membentuk satu komuniti yang bebas (pengkarya Indie) dan mengaku sebagai golongan subaltern. Mereka mahu melontarkan suara subaltern mereka suatu hari nanti dalam wacana yang rasmi. Ini bagus untuk perkembangan intelektual. silakan. pertembungan antaar tesis dengan antitesis akan melahirkan sintesis yang lebih baik.

Satu permasalahan yang timbul di Sarawak: Siapa Melayu? adakah Melanau juga Melayu? ini memerlukan definisi nampaknya.
Terkenang saya pada kebijaksanaan Dato Onn apabila merangkumkan semua etnik sebagai Melayu, baik mereka Jawan, Bugis, Bawean, Banjar demi menghidupkan UMNO. Jika tidak jumlah ahli UMNO sangat sedikit kerana etnik lain tidak terasa diri mereka Melayu. dengan itu barulah Melayu menjadi komuniti yang besar. Tapi sekarang Melayu sudah kembali kerdil dan UMNO kembali mengecut kerana kerenah pemimpinnya yang tidak faham akan erti Melayu.

Di Indonesia ada masalah juga dalam isu ini. etnik lain sukar mengaku Melayu. Inilah masalah yang dihadapi oleh Pak Tenas Afendi untuk menyatukan Melayu di Riau. Beliau mahu merangkumkan semua orang ke dalam lingkungan Melayu tetapi etnik lain itu terasa mereka tetap jawa, Bugis dll.

Monday, March 16, 2009

Kongres Kebudayaan Melayu II

Semalam dan hari ini ada Kongkres Kebudayaan Melayu ke-2 anjuran GAPENA dengan kerjasama Persatuan Sejarah, Kem. Perpaduan Kebudayaan dan kesenian, DBP. Walaupun sudah terlalu lewat siri kedua ini dilaksanakan,iaitu selepas 50 tahun (1958), sekurang-kurangnya sempat juga GAPENA mengambil alih tugas itu. Dulu Kongres ini dilakukan oleh pihak lain dan GAPENA belum wujud. Mungkin agaknya tiada sesiapa yang berani mengambil tanggungjawab itu kerana tidak mendapat izin daripada penganjur pertama maka tidaklah ada Kongres kebudayaan Melayu selama 50 tahun. Entah apa yang menggerakkan GAPENA menganjurkannya kali ini tidak diketahui. Kongres ini seperti sudah dipatenkan oleh satu-satu pihak. Eloklah GAPENA mengambil paten itu tetapi pastikan pelaksanaannya diteruskan secara berkala dan janganlah tertutup sangat dengan sikap narsisistik.

1. Memang pembentang kertas kerjanya bagus2. Ada juga selitan sekelumit orang baru tapi masih ramai dan majoritinya daripada AJK GAPENA. Malahan ada kawan yang menyifatkannya sebagai Kongres kebudayaan GAPENA.

Betullah ada beberapa nama disebut sebagai wakil institusi tempat kerjanya tapi semua orang tahu mereka ialah AJK GAPENA juga. Kenapa tidak dijemput orang lain yang daripada bidang berbeza. Banyak lagi tokoh lain yang belum popular di pentas GAPENA seperti tokoh undang-undang, ekonomi, pendidikan. Mungkin teguran saya salah. tapi entah kenapa saya terasa nak sampaikan juga demi kebaikan semua.

2. Kelihatan pesertanya masih lagi keluarga lama. Muka-muka lama yang sudah kita kenal akan kesetiaan mereka menghadiri majlis Gapena memenuhi ruang dewan. Ini kongres kebudayaan melayu yang sepatutnya dihadiri oleh sebanyak mungkin badan pembela melayu. Terkilan saya kerana tidak nampak kelibat pemimpin badan-badan pelajar Universiti yang menjadi pelapis kepada perjuangan memartabatkan Melayu. Alangkah manis kalau golongan ini diturutsertakan supaya mereka juga mendapat rangsangan untuk meneruskan perjuangan ini? Golongan inilah harapan kita, bukannya generasi lama yang sudah tidak ada kuasa apa-apa. Betullah bahawa generasi lama perlu hadir kerana itu juga terapi bagi mereka dan juga sebagai peangsang kepada generasi baru. Tapi kalau perangsang saja datang sedangkan yang nak dirangsangkan tiada apa gunanya? Pesara kerajaan yang datang, apalah kesannya kepada perjuangan kita? Untuk mereka bernostalgia? bertemu kawan?

lagipun, kalau majlis itu ada gabungan orang muda dengan orang lama, akan berserilah suasana dan semakin bersemangatlah orang lama akibat terangsang oleh kesegaran pucuk muda. itu kata kawan.

Mana dia Persatuan bahasa Melayu UM, PMUM, PKPIM, PMIUM, atau daripada universiti lain? Jemputlah mereka secara rasmi, bukan mengharapkan mereka datang dengan sendirinya melalui ajakan media yang juga sangat kecil iklannya. Teman saya daripada sebuah akhbar pun hanya tahu akan kongres ini sehari dua sebelum berlangsungnya. Nasib baik dia datang. Saya suka kalau berita kongres ini disiarkan secara hebat kerana ini bukti kita buat kerja. Tidaklah nanti orang kata kita tak buat apa-apa.

Kongres pertama dulu disertai oleh semua golongan dan bukannya milik satu pihak. Melayu dulu dan sekarang sama juga warna kulitnya.

Gapena perlu mengenal pasti generasi baru untuk digabungkan dalam semua programnya. janga didikotomikan antara orang baru dengan orang lama. Jangan hanya buat majlis khusus untuk orang muda tentang teknik penulisan sedangkan mereka juga perlu dibentuk menjadi pemimpin.
Mereka lebih bertenaga walaupun belum cukup pengalaman dan ilmu.


Ini cuma teguran, bukannya memburukkan sesiapa. harap jangan sesiapa daripada Gapena kecil hati. mereka pun kawan kita juga.

Ampun maaf kepada Tan Sri Ismail, guru-guru saya dan kawan-kawan.
Saya bercakap bagi pihak PENA dan badan kerabat GAPENA.

Sunday, March 15, 2009

bengkel cereka sains

kami baru lepas mengadakan siri jelajah malaysia di alor star kelmarin. pesertanya tidak banyak tapi bersungguh-sungguh termasuk pensyarah dalam bidang kejuruteraan dari USM.

pada 21 Mac kami akan ke Kuching pula. bengkel penulisan fiksyen sains ini untuk memberikan pendedahan kepada peserta atau penulis yang berminat menyertai sayembara penulisan novel sains dan teknologi anjuran Penerbit UTM yanga kan ditutup pada Ogos 2009. hadiahnya yng tertinggi RM15,000.

Penulis sarawak dijemput menyertai bengkel yang berlangsung cuma sehari. Sila hubungi Rozlan Md Noor untuk keterangan tentang hal tempat dan sebagainya. No Tel: 0123828353.

Wednesday, March 11, 2009

tahlil untuk arena wati dan cadangan untuk DBP

semalam 11 mac saya ke Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bersama beberapa teman dalam PENA untuk menyertai majlis bacaan yasin dan tahlil untuk Sasterawan Negara Arena Wati. Turut hadir ialah Pengerusi ITNM, Datuk Wan hashim Wan Teh, bos ITNM En Khair Ngadiron, Ketua Pengarah DBP yang baru Datuk Termuzi Abd Aziz, Datuk baharidin Zainal (Baha Zain) dan teman-teman, sm zakir, amirudin ali hanafiah (ketua 1 PPJ pun dia juga), Dr Ahmad razali Yusof.

Saya disuruh (diarah, diminta?) oleh Datuk Baha supaya berucap mewakili PENA. Maka terpaksalah saya menjalankan amanah itu.

Saya membangkitkan beberapa perkara, termasuk menghargai usaha ITNM menganjurkan majlis itu (bersama PENA). Sasterawan besar yang luar biasa genius dan tenaga fizikal, dan akal fikirnya itu wajar sekali diberi penghormatan besar juga. Berada di alam barzakh sementara menanti kedatangan kita semua untuk bersama di padang mahsyar, beliau tidak memerlukan bintang kehormat , dato' tan Sri, atau apa-apa saja. Rasanya doa dan ucapan mulia lebih diharapkannya. Tapi bagi kita yang masih berkelana di alam fana ini, tentulah wajar melakukan beberapa tindakan demi melestarikan martabat mulia bangsa kita. Baik dalam bidang sastera mahupun bahasa, kemuliaan dan kehormatan perlu diberikan kepadanya.

Bagaimana dan apa tindakan yang patut kita lakukan?

1. Wujudkan satu pusat dokumentasi khas bagi setiap Sasterawan Negara, sama ada di DBP mahupun di Perpustakaan Negara. Semua fail, buku, catatan, diari (yang telah menjadi milik awam) hendaklah ditempatkan di situ selain di rak terbuka di semua perpustakaan di seluruh negara mahupun di negara jiran dan negara yang ada kaitan dengan pengajian Melayu. Kerajaan perlu menyediakn peruntukan khas untuk usaha itu. Inilah usaha yang dapat memperkenalkan Sasterawan negara kita. Sekarang amat sukar untuk mencari bahan terbitan mereka yang lama-lama kerana sudah tidak dicetak lagi.

2. Kembalikan tradisi majlis penyampaian Anugerah Sastera Negara di Bangunan Parlimen dan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong tentunya, bukannya di hotel milik kapitalis yang kerjanya hanya mengaut untung. Sasterawan ialah milik rakyat dan berjuang untuk rakyat marhaen, sedangkan kapitalis memiliki strategi mengaut laba sebanyak mungkin, hatta dengan menindas rakyat marhaen. Bukankah ironis apabila majlis itu diadakan di hotel lima bintang yang belanja makan seorang mencecah RM70 atau lebih? Dan jangn hendaknya ada penyanyi yang bebal akal fikir dan akal budi dan buta budaya dan buta sejarah yang dijemput untuk menyerikan majlis. Malah kita tidak memerlukan penyanyi pun jika mereka hanya mendendangkan lagu hedonistik. Kalau ada pun janganlah bayarannya melebihi bayaran untuk pembaca puisi, apatah pembentang kertas kerja yang bersifat akademik. Antara bakti akademik dengan bakti nyanyian hiburan, manakah yang lebih berharga?

3. Anugerahkan gelaran Sasterawan Negara dengan adil. Sudah kerap sangat kita membiarkan ruang kosong beberapa tahun tanpa diisi dengan penganugerahan. Selepas S Othman kelantan sampai kini tiada Sasterawan Negara yang baru. Tidak adakah sasterawan yang layak menerimanya? Kita sudah terlewat untuk mengiktiraf Pak Sako, A. Samad Ismail, A. Samad Ahmad, Shaharom Hussain, tetapi jangan sampai terlewat menyedari keperkasaan intuisi, cendekia, kreativiti, idealisme yang dimiliki oleh Baha Zain, Latif Mohidin, Azizi Haji Abdullah, Zaharah Nawawi, Kemala, Anwar Ridhwan dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa nama, ah klisenya kata-kata itu, tapi perlu juga untuk menjaga hati orang yang tak disebut namanya).
Calon terbaik sekarang ialah Baha Zain. Beliau tekal dalam idealisme dan prinsip perjuangan, penulisan, dan sumbangan idea.

4. Hadiah kepada Sasterawan negara hendaklah diperluas dengan memberikan pencen bulanan sehingga mati, sekurang-kurangnya RM3000 sebulan. Kita tidak mahu tertinggal oleh proaktifnya persatuan artis (SENIMAN) atau badan sukan yang memberikan pencen kepada orang mereka yang terpilih, sedangkan sumbangan sasterawan juga begitu besar kepada masyarakat dan negara bangsa (acuan Malaysia).

Dalam ucapan saya perkara di atas tidak sempat saya sebut kerana masa terbatas dan dikepung oleh suasana. Di depan saya ada KP DBP dan kepada beliau saya meminta agar mengembalikan DBP kepada landasan yang betul dan menjenamakan DBP sebagai sebuah badan yang gah seperti zaman dulu kalau pun tidak lebih baik. Gerakkan semula projek berkala yang tertangguh, terutama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (ini pun tak sempat saya sebut). Buktikan bahawa Datuk yang bukan dalam lingkaran sastera mampu menterjemahkan fungsi DBP yang sebenar. Carilah pandangan daripada orang di luar lingkungan DBP kerana pandangan dari luar lebih terbuka serta tidak mencari laluan kenaikan pangkat. Jangan ikut cara orang politik yang hanya mendengar cakap orang yang digajikan kerana mereka pati akan menyatakan maklumat yang menyenangkan hatio sedangkan keadaan sebenar di peringkat akar umbi jauh berbeza. DBP bukan hanay agensi kerajaan yang berkalung birokrasi tetapi milik rakyat dan bangsa. Tugasnya memelihara keutuhan bahasa dalam Perlembagaan. pastikan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sentiasa di pundak dan batu jemala.

kepada keluarga Arena wati saya mengucapkan rasa bangga kerana telah melorongkan laluan yang luas kepada beliau untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat melalui buah karyanya. Pengorbanan isterinya sangat besar kerana menjadi penjaga kebajikan beliau semasa beliau menulis. Tanpa pengorbanan isteri yang setia dan sangat dikasihi oleh Arena wati itu mungkin sukar bagi Sasterawan Negara tersebut menghasilkan sekian banyak karya yang besar dan hebat. Balu Arena wati juga dulunya seorang cerpenis tetapi bakatnya terpaksa dipendamkan dulu sementara suaminya sedan bergelut menghasilkan karya besar tanpa henti walaupun saat maut sedang bertandang di srambi hayatnya. Sekarang kepada bonda, sambunglah bakat penulisan itu dan hasilkan apa-apa sahaja tulisan yang diingini. Saya menyarankan agar beliau menulis sebuah memoir tentang pengalamannya menjaga kebajikan Arenawati sepanjang hayatnya. dari sudut pandangan isteri sasterawan besar tentu banyak lagi rahsia yang dapat kita peroleh. Ini sebenarnya diea yang disampaikan Dr Rosnah Baharuddin kepada saya semasa kami ke Riau bulan lepas. Jadi, saya cuma memanjangkan idea itu dalam majlis yang syahdu dan berkat.


Salam semua

Tahniah Salbiah Ani kerana masih bertahan memperjuangkan bahasa Melayu. Sudah saya katakan, tidak ramai wanita mampu menjadi pejuang. Anda akan termasuk dalam sejarah perjuangan bahasa di negara ini.

Sunday, March 8, 2009

siapa dalang

barangkali benar kata bahawa perarakan PPSMI tempoh hari ada dalangnya. tapi siapa pula dalangnya? ada banyak kemungkinan:
1. dalang pertama mungkin bersemadi dalam batin setiap orang yang berarak. jadi, mereka melakukannya atas arahan dalam diri.
2. dalang kedua, mungkin tak bernama kerana terlalu ramai untuk dikenal pasti, yang tentunya ibu bapa tak kira bangsa yang tidak setuju dengan pelaksanaan PPSMI. jadi para demonstrator (istilah ni tak tepat langsung kerana ada kata dasarnya demon, maka eloklah kita kata mereka ialah mujahid) itu bertindak mewakili hasrat jutaan ibu bapa yang mahu PPSMI dimansuhkan.
3. dalang ketiga, mungkin ada benarnya andaian bahawa dalangnya ialah orang yang sengaja dihantar mencelah-celah untuk mencetuskan provokasi. ini biasa berlaku dalam mana-mana pergeseran kuasa.

Tetapi yang sibuk sangat mereka mencari dalangnya buat apa: kita juga tertanya-tanya, siapakah dalang yang menggerakkan lidahnya dan lidah para juak di kelompoknya untuk mempertahankan PPSMI? tentu mereka juga didalangi. macam-macamlah teori terhasil. ada yang kata semua tu disebabkan oleh strategi untuk mengekalkan diri dalam barisan calon dalam pemilihan UMNO mac ini. kalau tidak mempertahankan PPSMI maka akan terkeluarlah mereka daripada kumpulan itu, dan para perwakilan pun akan membuat pilihan lain.
ada yang kata dalangnya ialah pada usahawan yang mendapat banyak keuntungan dalam pembekalan komputer dan perisian dalam melaksanakan PPSMI.

para calon UMNO, ingatlah bahawa sudara semua dipertanggungjawabkan untuk membela nasib dan agama. janganlah membuat keputusan berdasarkan pandangan segelintir manusia yang tak tahu akan erti masalah orang melayu dan juga kaum lain di merata-rata tempat.

dapatkah kita bayangkan bagaimana nasib anak orang asli yang terpaksa belajar matematik dan sains dalam bahasa inggeris?

janganlah takut sangat dengan kumpulan mahathir itu. takutlah kepada jutaan manusia yang sedang mendoakan kemusnahan untuk orang yang mempertahankan PPSMI. doa orang yang teraniaya sangat mustajab.

nak berhujah dengan cara akademik pun rasanya tak guna dah kerana selama ini pun pandangan profesor tidak bernilai sama sekali. baik kita cakap cara kampung.

kepada shahrizat, jangan buat kenyataan yang menyokong PPSMI atau menghina pejuang bahasa. berbezalah daripada pesaing . untung sabut terserap air pun timbul. malang batu, tak serap air pun tenggelam.

Utusan Malaysia pun satu hal. kenapalah bersungguh-sungguh sangat bersekongkol dengan kumpulan penyokong PPSMI. tiada pembaca bahasa melayu nanti bermakna utusan Melayu pun akan lenyap di pentas sejarah.

maki hamun daripada teman2 terhadap penyokong PPSMI sudah menjadi mainan bibir. perkataan bahlul, bangang, babi, bodoh dll sentiasa dilemparkan kepada juak-juak tersebut. yang mengata melayu, yang kena kata pun melayu kerana di malaysia semuanya melayu asalkan dipotong anunya.

Thursday, March 5, 2009

1. Saya terasa seperti berada dalam barisan orang yang akan pergi meninggalkan dunia fana ini apabila satu demi satu kenalan dan orang yang pernah saya rapati meninggal dunia. Sememangnya orang lain pun senasib dengan saya kerana maut pasti datang dan hanya menunggu masa sahaja. Tetapi saya sangat terasa kehilangan seorang demi seorang sehingga timbul perasaan demikian. Mahu atau tidak, maut tetap mengintai di bendul pintu. Antara orang yang saya dekati dan kini pergi menjauh (atau mendekat?) ialah Abdullah tahir, Othmann Puteh, Ahmad Mahmud (biografinya sedang dalam proses penulisan, tunggulah siap, ada kisah yang selama ini rahsia), samad ismail, othmaan kelantan, arenawati, sazali yaacob, dan hari ini zubir ali. baru bebrapa minggu aya berbual dengan zubir ali dan itulah kali pertama saya berbual panjang dengan beliau di Rumah Universiti semasa makan tenah hari.dia memesan mi tom yam kalau tidak silap, dan saya makan mi claypot. kemudian duduk dr wan zailan dari akademi pengajian islam.kami berbual tentang nasib bahasa melayu, sedikit falsafah, seni puisi, dan sebagainya. zubir banyak ilmunya. dia juga bercakap tentang amalan nasrul haq yang teelah diharamkan oleh kerajaan apabila kami tersentuh soal pengharaman yoga. dia juga pernah mempelajri nasrulhaq dan katanya tiada yang sesat dalam amalan itu. wan zailan pula membangkitkan isu puisi chairil anwar (Doa) yang pernah menggemparkan ulama fikah dan menjadi lirik lagu zubir ali. zubir ali menyarankan saya membaca buku Falsafah Tuna tapi semasa kunjungan ke Riau saya tidak sempat menemui buku itu. saya akan mencarinyapada kesempatan yang lain. sekurang-kurangnya itu tinggalan ilmu daripada zubir yang akan saya kenang, selain lagu puisinya tentang kekejaman israel di Sabra dan Shatila yang masih relevan sehingga kini. sekarang zubir sudah pergi dan kekejaman Palestin masih berterusan. Namun yang pasti Zubir meninggalkan jejak seni dan suara manusiawi yang masih bara. al-fatihah untuk zubir ali.

2. saya tidak sempat menyertai rombongan GMPke Istana Negara esok kerana berada di Kelantan. kesal juga kerana tidak berdaya memberikan sokongan kepada pejuang kental yang sering dituduh sebagai nasionalis sempit (sebenarnya yang menuduh itu nasional bebal). saya berharap rakan-rakan lain akan bersama turun padang untuk menyokong mereka. malu kita melihat ketegaran semangat orang lama memperjuangkan bahasa Melayu jika kita orang muda tidak seberani mereka. Tak sampai hati saya melihat Datuk Zainal Abidin Wahid bercakap mempertahankan bahasa Melayu dengan tergigil-gigil dalam dua tiga pertemuan memprotes PPSMI. Kagum saya dengan perkembalian Tan Sri Ismail Hussein, Datuk Hassan Ahmad, Datuk A Samad Said, dan ketekalan Datuk Baha Zain,dan lain-lain. Mereka telah memberikan pesan kepada generasi yang muda dan bertenaga bahawa perjuangan ini mesti disambut dan disambung.

Pada saya, biarlah kalau sudah nasib kita kalah jika itu pertaruhan politik para oknum yang keras dan bebal, asalkan sejarah mencatatkan ada lagi pahlawan Melayu yang kuat semangatnya. kalau ada historiografi kolonial dalaman (internal colonialism historiography) tertulis nanti, maka akan ada juga hendaknya historiografi nasional yang mempertahankan semangat bangsa sebagai antitesisnya. cucu saya akan membaca dan menulis sejarah itu kalau tidak ada sejarawan yang berani menulisnya. benar, sejarah selalunya ditulis oleh orang yang menang tapi percayalah bahawa suara orang kecil akan mendapat kuasanya. salam pagi jumaat dari kota bharu. salam kepada pejuang bangsa dan tentunya yang menjunjung agama. semoga Allah memberikan kekuatan dan kemuliaan kepada mereka.

Tuesday, March 3, 2009

kita bertemu di bengkel penulisan fiksyen sains dan teknologi di kota bharu kelantan pada 7 mac, di alor star pada 14 mac dan kuching 21 mac.