Tuesday, April 28, 2009

kenyataan media PENA dalam Malaysiakini

PENA: Penentangan PPSMI tidak bermotif politik
Apr 28, 09 11:55am
Penentangan terhadap dasar pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak bermotifkan politik kerana sudah lebih enam tahun golongan ahli bahasa, penulis dan cendekiawan, menyuarakan pandangan mereka secara sabar dan sopan, kata Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Datuk Baharuddin Zainal."Isu PPSMI telah berkembang ke tahap kedua apabila berlakunya penyertaan ahli politik dalam tunjuk perasaan yang digerakkan oleh golongan ahli bahasa, penulis dan cendekiawan," katanya dalam satu kenyataan hari iniLanjutannya, tegas Baharuddin, ada pemimpin politik kerajaan menjadikan penyertaan ahli politik sebagai alasan untuk menyelar penentangan tersebut.Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang dianggotai oleh pejuang pendidikan, tokoh bahasa, sasterawan serta ahli-ahli parti politik, menjadi penggerak utama kempen supaya dimansuhkan PPSMI.Malah, isu PPSMI turut dibawa ke pentas kempen beberapa pilihanraya kecil sebelum ini - bermula dengan Kuala Terengganu - hingga ke pilihanraya Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau, dan bakal diketengahkan sekali lagi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti 31 Mei depan."PENA yang sejak Jun 2002, secara terbuka, melalui kenyataan akhbarnya, menentang PPSMI, tetap dengan pendirian asalnya bahawa PPSMI perlu dimansuhkan segera sebelum isu ini mendatangkan implikasi pendidikan, sosial dan politik yang lebih buruk."Sudah demikian banyak memorandum, hasil penyelidikan ilmiah, forum dan persidangan diadakan."Dan dengan demikian, sudah cukup banyak maklumat, dapatan ilmiah, dan pendapat disampaikan oleh kelompok budayawan dan ilmuwan kepada Kementerian Pelajaran," tegasnya. Baharuddin berkata, sikap kementerian pelajaran yang menangguh-nangguhkan keputusan selama ini, sangatlah mengecewakan."Sedangkan PPSMI telah menjadi isu kebangsaan yang berat sehingga menimbulkan pemikiran bahawa kementerian pelajaran tidak cekap dan pantas menangani masalah, dan tidak sensitif terhadap suara-suara jujur dan rasional rakyat," katanya.Beliau berkata, sempena pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran, "PENA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dengan iringan doa restu agar beliau dirahmati Allah dengan sikap perjuangan kebangsaan yang tinggi, menghormati warisan dan agama sebagai akar dan asas kemodenan bangsa, dan menempuh kejayaan yang cemerlang".PENA sekali lagi, katanya, menyeru Muhyiddin memansuhkan PPSMI dan memulihkan kembali peranan dan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di sekolah rendah dan sekolah menengah kebangsaan. "Keputusan PENA ini bukan sahaja berasaskan premis bahawa PPSMI memberi natijah buruk kepada perkembangan kognitif dan keadilan pendidikan majoriti anak-anak dari keluarga biasa di luar bandar dan di pinggir bandar, tetapi yang lebih berbahaya PPSMI sedang meminggirkan Bahasa Kebangsaan negara sebagai bahasa ilmu moden," katanya.

Gilaplah geliga fikir Melayu dulu

Mari kita baca petikan novel Pulanglah Perantau karya Aziz Jahpin, pemenang sagu hati Peraduan Novel 10 Tahun Merdeka, terbitan 1971:


Dialog Irwan kepada Lawrence:
Kerana kau pandang aku sebagai orang Melayulah, maka kau tak hormat kami. Jauh dalam hati, kau menganggap kami orang Melayu sebagai a backward race. Demikian bukan, tertulis dalam suratkhabar-suratkahbar tempatan, dalam Ensiklopedia seperti Pax Brittanica dan dilaung-laungkan oleh ahli-ahli politik?"

[Nah sekarang bukannya orang lain saja menganggap Melayu sebagai bangsa mundur, malahan orang Melayu yang sudah tercelup dalam darah Barat pun sudah menyifatkan Melayu dan seluruh kemelayuannya sebagai mundur sehingga malu mereka nak mengaku Melayu lagi]

"Tengok Lawrence, sikap tolak ansur orang Melayu. Sampaikan bahasa rasmi pun bukan dia mau panggil bahasa Melayu, tetapi bahasa kebangsaan. Di mana di dunia, satu bangsa anak negeri yang mau begitu timbang rasa? Mungkin satu masa, tiada lagi bahasa Melayu di dunia ini, tetapi bahasa Malaysia. Hari ini juga sudah berbeza di antara bahasa Melayu dengan bahasa kebangsaan. Tengoklah murid-murid yang mengambil peperiksaan."

[Sudah lama dibimbangi oleh pengarang kita tentang hal ini. Dan sekarang terjadilah atas angkara orang Melayu sendiri yang diberi kuasa menentukan corak kehidupan bangsa kita, Melayu. Malu aku mengaku mereka itu saudara aku dan malu aku menerima mereka sebagai Melayu]

Intisari:

1. Sesekali membaca semula karya orang terdahulu akan lebih terasa kebijaksanaan Melayu.
2. Pengarang ialah pemikir bangsa. Maka berfikirlah sebelum menulis dan jangan menulis sebelum berfikir.
3. Pengarang sekarang tidak setanding dengan pengarang terdahulu dari segi isi cerita. Pengalaman mereka asli dan paparannya hidup.
4. Ini cabaran kepada pengarang sekarang, supaya jangan terlalu berbangga dengan karya sendiri tanpa mempedulikan karya orang terdahulu. Betapa sukarnya mencari novel yang kuat sekarang ini. Tak terjangkau kita akan Sandera (Arena Wati), Lingkaran (Arena Wati), Pulanglah Perantau (Aziz Jahpin), Srengenge (Shahnon Ahmad).

Wednesday, April 22, 2009

pesta buku kuala lumpur, teater DBP,dan Madu Tulen

Saya mengeraskan hati membelah ibu kota untuk melihat-lihat pesta buku di PWTC semalam, 22 April. Benda pertama yang saya beli ialah madu lebah dari Iran yang dijual di sebuah kedai tetap di sekitar keramaian pesta buku tersebut. Penjualnya ialah seorang remaja Iran yang kelihatan seperti remaja di mana-mana juga: berseluar jeans bermuda, berkemeja T dan berjaket agak rugged. Harga yang dipamerkan ialah RM15 sebotol dan segera dijelaskan oleh penjual itu bahawa harganya boleh dikurangkan kepada RM25 jika dibeli dua botol. Menyedari keraguan bersarang di benak saya tentang ketulenan madu itu, sebagaimana seringnya saya meragui ketulenan madu yang terjual di merata-rata tempat, sering pula saya terpedaya oleh penjual di Kuala lumpur atau di Pahang, dia menenangkan saya: "Ini madu original dari datuk saya punya farm." Bahasa Melayunya bercampur tapi tidak pula saya terasa terhina, malah saya menghormati usahanya. Saya yakin dia boleh berbahasa Melayu dengan baik (walaupun bercampur Inggeris) kerana pertanyaan seterusnya saya ajukan dalam bahasa Melayu dan dijawabnya dengan lancar. Jika pemuda Iran ini boleh berusaha bercakap Melayu dengan campuran Inggeris dia tidaklah sehina menteri Kabinet yang sering mencampuradukkan bahasa dalam satu ayat sahaja seperti yang terpapar di kaca televisyen. Mungkin kerana menghormati usahanya untuk menggunakan bahasa Melayu selain memang saya sedang mencari madu tulen, maka saya membeli dua botol madu tersebut. Sekurang-kurangnya ini bukti kecil bahawa usaha dagang boleh berjaya dengan bahasa Melayu!

2. Saya bertemu dengan Amiruddin Ali Hanafiah, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), tidak jauh dari gerai madu dan segera meminta bantuannya untuk menukar wang sebagai harga belian madu. Kemudian kami menyusuri gerai buku yang pelbagai judul dan bidang. Singgah di gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia saya membeli beberapa buku karya Edward Said, Malek Ben Nabi, Clifford Geertz, dan buku sastera tradisional Brunei di gerai DBP Brunei. Di gerai MAPIM saya membeli dua lagi buku yang menarik juga dan terpaksa melepaskan sebuah buku yang terlalu mahal sedangkan isinya cuma kumpulan kertas kerja yang sebahagiannya telah saya miliki daripada seminar mahupun majalah Dewan Sastera. Saya mengurungkan hsrat untuk membeli buku memoir Obama. Mungkin saya akan membelinya juga atau meminjamnya saja daripada Amiruddin. Amiruddin membelinya dengan alasan kukuh: "Aku nak belajar macam mana nak jadi macam dia." Memang ada kewarasannya alasan itu kerana teman saya ini sangat rajin mencari peluang untuk menjadi pemimpin. Dan di koceknya terlalu banyak rahsia orang lain yang boleh dimanipulasikan sebagai bahan kempennya.

3. Saya beredar ke bilik sembahyang pada pukul 6:30 selepas bertemu dengan Sdr Yusman di gerai Penerbit UTM.Perjalanan pulang ke rumah selepas itu tidak menyakitkan hati kerana jalan agak selesa dilalui.

4. Selepas maghrib saya ke DBP untuk menonton teater kerana satu sebab sahaja: ingin menyaksikan lakonan teman kami, Rahimidin Zahari. Ternyata pementasannya yang berdurasi 10 minit dan yang terakhir daripada lapan kumpulan itu memberikan kepuasan kepada saya berbanding pementasan daripada yang lain. Apatah lagi Rahimidin berperan sebagai dalang, dunia ajaib yang telah lama ditekuninya. Dan dia pula hanya berkain sarung batik, bersemutar, dan berbaju perak(e pepet) atau singlet. Bukan senang hendak melihat Rahimidin berbaju perak!apatah lagi pelakon seorang lagi merupakan pasangannya yang tepat dan menguja teman-teman lain.

Dan kami sambung ulasan teater Rahimidin di gerai bucu (dekat DBP), bersama Sutung Umar RS, Khalid Salleh, SM Zakir, Shamsudin Othman, Saifullizan yahaya, Ikram, Sabri Yunus, dan pelajar Singapura di UM yang duduk di meja bersebelahan. Ulasan itu bagaimanapun, tidak tersiar di mana-mana media.

Tuesday, April 7, 2009

belasungkawa:pantun tinggalan mak tua

Lepas satu, satu saya kehilangan manusia yang penting dalam hidup saya. Tidak lama dalam tahun ini, agaknya dalam dua tiga bulan kebelakangan saya kehilangan seorang tua yang sangat saya sayangi selain ibu bapa sendiri. Kami hanya memanggilnya Mak Tua walaupun tiada hubungan persaudaraan antara kami. Mak tua sejak saya kecil sudah wujud dalam keluarga kami. Rumahnya tidak jauh dari rumah kami dan kedekatan itu dieratkan lagi oleh kesukaran hidup. Lantaran kesukaran hidup seringlah antara kami saling meminjam apa-apa saja keperluan. Baik beras, tepung, duit dan sebagainya. Sering juga dia menghantar masakannya yang memang enak ke rumah kami dan sering juga saya ke rumahnya untuk makan apa-apa saja walaupun setelah saya dewasa dan kami sudah keluar dari peranggah kemiskinan. Saya pernah meminjam duitnya untuk membayar yuran peperiksaan STPM kali kedua kerana tidak mempunyai wang dan setelah permintaan kepada bapa tidak mendapat layanan. Dengan wang itu saya mengambil STPM sekali lagi setelah gagal memasuki universiti melalui kelulusan STPM kali pertama yang saya duduki di Sekolah Raja Chulan, Ipoh.

Mak Tua dan anak saudaranya yang tinggal bersama langsung tidak bertangguh apabila saya secara bergurau meminta pinjaman wang yang bukanlah banyak sangat. Kalau tidak silap ingatan hanya RM60. Kelulusan STPM kali kedua yang lebih baik telah membawa saya memasuki Universiti Malaya. Sampai sekarang jasa Mak Tua saya ingati.

Menjelang saat-saat akhir hayatnya Mak Tua berdepan dengan krisis keluarga dan menyebabkan dia tersingkir dari rumahnya sendiri yang telah berpindah hak. Saya tidak dapat mentafsir perkara sebenar di sebalik krisis itu tetapi yang saya tahu Mak Tua tetap akan saya kunjungi apabila saya balik kampung. Dia berpindah-pindah rumah, dari rumah anak-anaknya di Tanjung Rambutan. Jika lama saya tidak balik menjenguknya dia akan menyebut-nyebut nama saya, dan ini menyebabkan saya rasa bersalah.

Semakin terpinggir dia sewaktu maut sudah bertandang ke laman hayatnya. Dia yang sudah tenat selepas keluar dari hospital dibawa oleh anaknya ke Lawin, Gerik. Saya mendapat kesempatan yang sangat berharga apabila diizinkan Allah untuk menziarahinya. Ketika itu dia sudah seperti pelepah kelapa kering, terlantar di tilam dengan tulang selangka menonjol dipaut belulang yang juga terlalu nipis. Saya bersama keluarga dan kakak (dua orang) mengulitinya dan menyiramkan bacaan Yasin serta kuntuman doa. Saya tidak mudah meninggalkan rumah itu kerana terasa seperti bila-bila masa dia akan meninggalkan dunia fana ini. Tetapi akhirnya terpaksa juga kami berangkat pulang kerana ajal maut belum dapat kami jangka dengan setepat-tepatnya.

Keesokannya saya menerima khabar bahawa Mak Tua sudah tiada. Tidak sempat saya kembali menziarahinya tetapi puaslah hati kerana sempat memberitahunya tentang kedatangan saya sehari sebelum dia pergi. Semoga dia tenang menerima kedatangan saya dan ketibaan waktu keberangkatannya. Hilanglah antara manusia yang sangat menyayangi ibu saya. Watak Mak Tua muncul dalam cerpen elegi tentang ibu saya yang bertajuk "Mata Air Kasih" dalam antologi cerpen terbitan pelajar Jabatan Pengajian Media. Antara dialog Mak Tua dalam cerpen itu ialah pesanannya kepada kami adik-beradik supaya menjaga ibu kami dengan baik kerana "Emak kamu tak ada sedara mara."

Ibu saya sudah lebih awal dijemput Ilahi dan masih terasa hangat kasih sayangnya pada saya. Masih terasa lembut buah betisnya saya picit tatkala dia kepenatan menjelang malam setelah bekerja pada siang harinya. Ibu saya yang keseorangan dalam jalur keluarganya, kerana tidak diketahui keluarga asalnya yang berketurunan Cina, meninggal setelah 11 tahun terlantar akibat angin ahmar. Mak Tua jugalah yang banyak mengambil berat tentang ibu saya ketika sakitnya. Saya sempat menjaga ibu tetapi tidak lama kerana sukar rupa-rupanya menjaga hati semua orang. Mujurlah adik-beradik saya sanggup memikul tanggungjawab menjaga ibu. Kalau tidak, agaknya Mak Tua yang sudah renta itulah akan menyanggupinya.

Selain bakti dan kasihnya yang masih berbekas di hati, Mak Tua telah meninggalkan beberapa rangkap pantun kepada saya semasa sihatnya dulu. Dengan hafalan di lidah dia menuturkan pantun tersebut yang saya perturunkan di bawah ini. Mungkin ada manfaatnya untuk kita semua dalam mencari kecerdikan bahasa orang lama yang tidak lagi dihargai oleh manusia mabuk zaman kini.

Entah kenapa, tiba-tiba pula saya teringat pada pantun ini dan sekali gus pada penuturnya, Mak Tua.


Anak Cina apa kerjanya,
Hari-hari ke Tanjung Jati;
Walau kaya apa gunanya,
Kalau tak pandai mengambil hati.

Tinggi bukit gunung mak buah,
Keduduk tidak berbunga lagi;
sudah dapat gading bertuah,
tanduk tidak berguna lagi.


Dah bermula bersut hitam,
Yang dan Hapsah ikut bersama;
Kalau terkena penyakit pitam,
Tidur malam tentu tak lena.

Nak dulang dulanglah puan,
Ingat-ingat si batang padi;
Nak pulang pulanglah tuan,
Ingat-ingat jalan ke mari.

Teluk Katung airnya biru,
Tempat Cina mencuci muka;
Duduk sekampung lagi merindu,
Inikan pula jauh di mata.


Kelip-kelip disangka api,
Kalau api mana puntungnya;
Hilang ghaib kusangka mati,
kalau mati mana kuburnya.

Lagi ditutuh lagi di tebang,
ambil sekerat penyidai kain;
tempat jatuh lagi dikenang,
inikan pula tempat bermain.

Orang berkebun saya berkebun,
Kebun saya tidak berbunga;
Orang berpantun saya berpantun,
Pantun saya tidak berguna.

Lain hulu lain parang,
Air turun dari bukit;
Lain dulu lain sekarang,
Banyak bezanya bukan sedikit.

Dah petang hari ini,
Dah kembang bunga petola;
Dah datang surat abangku ini,
Dah datang darah ke muka.

Anak pacat dalam buluh,
Nak dilemang tak berapi;
Apa cacat dalam tubuh,
Besar panjang tak berbini.

Anak itik terkedek-kedek,
Anak ayam di bawah tangga;
Anak orang jangan diusik,
Kalau diusik bawa belanja.

Kucing kurus mandi di papan,
Mandi di papan kayu jati;
Kurus kering bukan tak makan,
Kurus bercinta dalam hati.

Kalau tuan pandai melapun,
Lapunkan kami si batang padi;
Sungguh tuan pandai berpantun,
Bagai pucuk kayu mati.

Cik Doyok makan sirih,
Sirih kemenyan dalam padi;
Buruk baik saya tak pilih,
Asal berkenan dalam hati.

Friday, April 3, 2009

cerita amirul fakir dan mesyuarat Lepas

Hari ini rasanya hari baru bagi Malaysia kerana menerima ketua eksekutif yang baru dan agak kontroversial. Antara tindakan beliau yang pertama ialah membebaskan 13 tahanan ISA dan mahu mengkaji ISA. Satu lagi tindakan segera yang patut dibuat ialah menghapuskaan PPSMI. Rasanya tindakan ini akan mengembalikan kepercayaan sebahagian besar rakyat terhadap kerajaan pimpinan beliau. Saya tidak berniat membahaskan isu peribadi beliau yang menjadi bualan politik kerana saya berada di luar lingkungan itu. Perhatian saya ialah soal nasib bangsa yang seterusnya. Saya yakin beliau masih menyimpan sejarah kemegahan bapanya Tun Razak dalam memartabatkan bahasa Melayu apatah lagi kini keadaan semakin mendesak beliau ke meja keputusan rasmi. Di tangan beliaulah kuasa untuk memansuhkan PPSMI, bukannya Hishamudin atau Mahathir lagi. Jika beliau gagal memastikan persoalan ini diselesaikan menurut hasrat rakyat marhaen Melayu, beliau akan menyambung kegagalan pemimpin yang sedia ada dan yag terdahulu.

Datuk Najib, buktikan bahawa sdr juga bersemangat jelas seperti Tun Razak yang sentiasa dikenang orang sehingga kini. Namanya harum di hati dan ingatan Melayu.

2. Esok 5 April 2009 akan berlangsung mesyuarat agung Lembaga Pembangunan Sastera Perak (Lepas) di Kuala Kangsar. Saya yang menjadi ahli seumur hidup belum pernah sekali pun menghadirinya kerana kesuntukan masa. Tetapi saya yakin barisan yaang sedia di Perak mampu menggalas tanggungjawab menghidupkan tradisi persuratan di negeri itu. Kalau sempat, esok saya akan menghadirinya.

3. Teman kami, Amirul Fakir yang merupakan pengarang kumpulan cerpen Mea Culpa sedang sakit. Sakitnya sudah lama dideritai dan kami juga sudah lama tidak menziarahinya.Kali terakhir kami mengunjunginya tahun lepas rasanya. Kami bercadang untuk menziarahi beliau di rumahnya di Taman Meru, Ipoh, minggu depan (Sabtu 11 April), agaknya. Zakir dan Shamsudin mungkin akan mengumpulkan beberapa teman yang berminat untuk ikut serta.

Sdr. Amirul mungkin memerlukan sokongan moral dan bantuan material untuk membiayai keperluan kerana beliau tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sudah lama tidak bekerja. Walaupun beliau tidak pernah meminta bantuan, sebagai teman, saya dan kawan lain cuba memahami keadaannya. Oleh itu, sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan, silalah lakukan dengan segera. Sila hubungi saya atau Shamsudin Othman atau SM Zakir untuk mengetahui kaedah penyaluran sumbangan.

Jangan tanya saya apa penyakit beliau kerana saya dan dia pun gagal mengesannya secara klinikal. Penyakit misteri sentiasa menghantui kita. Yang penting, kita bantulah teman sedaya mungkin.

salam pagi sabtu.

Wednesday, April 1, 2009

ppsmi dan tindak balas kita

Mungkinkah tindakan menyaman Kementerian Pelajaran tidak berbaloi kerana sukar untuk dimenangi tetapi lebih baik menghalakan saman kepada Kementerian Pengajian Tinggi, kerana di peringkat itulah akan berlakunya penghapusan bahasa Melayu sebagai pengantar hingga mengatasi had dalam konteks bahasa pengantar utama. Di sekolah jumlahnya masih rendah kerana dihitung secara keseluruhan pelajar yang mengambil subjek sains di seluruh negara. Jika dihitung pelajar yang mengambil mata pelajaran dalam bahasa Melayu melebihi jumlah mata pelajaran sains. Tetapi apabila sudah menjangkau peringkat universiti hampir kesemua mata pelajaran akan tertakluk kepada PPSMI.

Lagipun, kalau sudah berjaya saman itu di peringkat universiti tidak mungkin sekolah akan meneruskan dasar PPSMI. Kita sekat ibunya dulu, maka anaknya tidak akan lahir.

Memang kerja menyaman ini pun bukan senang, tapi itulah saluran yang sah dari segi undang-undang dan kita mesti mematuhi undang-undang untuk menjamin kedamaian dan keselamatan.

Walau apa pun yang berlaku dan akan berlaku semua pihak yang masih mempunyai keupayaan tersendiri hendaklah terus memperjuangkan martabat bahasa Melayu. Jangan berhenti kerana jika dihentikan usaha yang sedang dijalankan itu dibimbangi suatu masa nanti terlalu sukar untuk penyambung warisan mencari titik temu arus perjuangan itu. Manalah tahu kalau-kalau zaman berubah akan menukar suasana dan iklim politik budaya kita dan bahasa Melayu akan kembali diangkat oleh pemimpin yang lebih faham akan strategi perjuangan bangsa. Ketika itu untuk kembali mencari fail gerak kerja pembinaan istilah sains dan matematik akan menjadi terlalu sukar.

Kita masih mencari-cari siapakah pemimpin yang berani dan cerdik itu. Insya-Allah akan kita temukan juga atau akan lahir juga nanti mujadid bangsa itu.

Yang penting, kita mesti bersatu dan saling menghormati perjuangan kawan-kawan daripada fikrah berlainan. Jangan diputuskan persaudaraan kerana lidi yang terangkum pada penyapu akan meperoleh kekuatan berbanding lidi sebatang yang tercerai daripada rumpunnya.

Salam