Thursday, May 28, 2009

Menanti Buraq

Saya teringat cerpen Marsli N.O. "Menanti Buraq". Samalah macam menanti keputusan kerajaan tentang isu PPSMI.

Saya salin gambar ini daripada blog Anwar Ridhwan. Ini hak cipta beliau. Saya tak bawa kamera pula. Ampun maaf, kerana ambil tanpa izin.

Saya hanya memandang dari jauh. Biarlah orang besar-besar bercakap dan kita sokong dari sebelah. Zakir kata, kami datang berpakaian macam despatch. Kalau tau, baik kami pakai blazer baru nampak smart. Tulah..nak marhaen sangat. Tapi "peduli apa aku" saya pinjam kata-kata Amir. Jangan berasa rendah diri hanya kerana kita tak serupa dengan orang lain. Berani berbeza daripada orang ramai ialah sifat seorang pemikir sejati. haha. "Ayam muka pintu mari tabur padi. Kalau tak gitu, nak kata apa lagi." Teringat gemulah Abdullah Tahir yang mengungkapkan pepatah ini semasa mengajar saya dulu dalam tahun 80-an.) Beliau meninggal pada tahun 1997. Semoga guru saya dilindungi Allah di alam barzakh.al-Fatihah.

2. Seperkara lagi, saya seronok bekerja dengan orang muda tapi tidak pula meminggirkan bimbingan orang lama yang bijaksana. Kami beruntung kerana dalam PENA kami diterajui orang yang berpengalaman tetapi sangat memahami orang muda malah memberikan ruang seluas-luasnya kepada orang muda untuk bergerak. Saya fikir eloklah Gapena juga memikirkan hal yang serupa. Tidak mengapa Gapena dipimpin orang lama tetapi berikan ruang kepada orang muda untuk terlibat sama menggerakkan aktiviti dengan menyediakan dana yang munasabah. Duit Gapena perlu dibelanjakan untuk pembangunan sastera dan persuratan dan budaya. Saya syorkan agar Gapena salurkan duit kepada badan kerabat dengan jumlah yang munasabah dan minta mereka anjurkan program peringkat negeri, atas nama GAPENA.


PENA pun rasanya dah hampir kekeringan tabungannya tapi masih berani membelanjakan simpanan untuk pembangunan sastera. Kalaulah PENA ada banyak dana, insya-Allah, dengan izin Allah, dengan bimbingan orang lama dan dengan kerjasama semua pihak terutama anak muda yang berjulung keris (keris apa ya?) maka lebih banyak program dapat dilaksanakan. Kami menanti peluang untuk menganjurkan pesta penyair Nusantara yang kami jadualkan pada 17-19 Julai. Tahun ini giliran PENA atau Malaysia menjadi tuan rumah setelah dicapai persetujuan dalam mesyuarat di Kediri tahun lepas. Saya puas juga mengusulkan cadangan kepada Zakir semasa mesyuarat itu supaya tuan rumahnya tetap Indonesia dan Malaysia (PENA) akan membantu dari segi dana, tetapi nampaknya orang Indonesia teruja hendak datang ke Malaysia dan bertemu dengan orang di sini, maka terpaksalah diakuri permintaan itu. Kalau ada rezeki semua penyair dan penulis bidang apa pun sebenarnya dipelawa datang menghadiri program ini, kalau jadi nanti. Kami tidak dapat berjanji menyediakan tempat secara percuma. Sekarang kita kena berbelanja sendiri. Kenyataan ini hanya kenyataan awal, sedangkan saya tidak tahu apa perkembangannya daripada SM Zakir. Dia yang bersusah payah mencari penaja. Tunggu apa kata Zakir.

3. Pada 5 Jun ini, mlam Jumaat ada baca Puisi PENA di Rumah Pena. Sila datang dengan puisi masing-masing kalau teringin nak baca puisi. Tanpa bayaran. Kita bersantai dan berfikir dengan puisi. Semoga ikatan persaudaraan sasterawan tetap erat dan bertambah erat. Kalau dalam tahun 80-an ada saja majlis baca puisi santai di Bangunan Daya Bumi dan Pasar Seni di bawah tiang lampu. Saya masih mahasiswa dan sering ke sana walaupun tidak membaca puisi. Namun begitu, kesannya pada diri saya sangat kuat. Acara santai sahaja sudah dapat menyuburkan minat saya kepada sastera. Bertemu muka dengan Sani Sudin, Ladin Nuawi, Pyan Habib dll sangat mengujakan. Anuar Nor Arai pernah menulis tentang penyair di bawah tiang lampu ini dalam Dewan Sastera dengan menggelar mereka "penyair kolong". Saya hanya bergiat di dalam kampus, bersama rakan-rakan Asmui Mustapha, Lee Cheong Beng (Mohd Azli Lee), Hamedi Adnan (Prof madya dah sekarang), Zainal Jais, Jackson Sawatan (sekarang dah jadi wakil Bernama di Singapura). Kumpulan kami ialah Grup Pemuisi ISUM (Ikatan sastera Universiti Malaya). Pada masa itu Zaen Kasturi dan Md Said Muharram sudah hebat bersajak dengan gaya mantera dan setangginya dalam Grup Pemuisi Setanggi. Hebat acara puisi pada masa itu. Imlan Adabi juga hebat dengan gaya yang tersendiri. Grup Imlan dan Hanafiah Samad juga berjaya menganjurkan perhimpunan penyair muda dalam tahun 80-an. Mungkin kerana itu agaknya, Imlan menghantar mesej kepada saya semasa perhimpunan penulis muda nasional baru-baru ini mengingatkan saya supaya jangan melupakan beliau dan rakan-rakan yang merintis pertemuan penulsi muda itu. Saya jawab bahawa saya pun tidak dapat hadir ke PPMN. Bagaimanapun, ada benarnya kata Imlan, mereka juga patut terlibat sama. Dan mereka pun sebenarnya dipelawa datang. Tapi tak taulah sama ada mereka datang atau tidak.

Tuesday, May 26, 2009

SUKAN MASUM 2009.

Bersama jurulatih TKDUM, Daing DanielFitri. Jurulatih muda yang gigih dan bersemangat. Bekas pelajar Pusat Sukan UM dan pernah mewakili negara dalam TKD. Penyumbang pingat emas penentuan semasa MASUM di USM pada tahun 2007 hingga UM jadi juara keseluruhan.
Tanpa diduga team TKD menyediakan cenderamata untuk saya pada semasa kami makan ikan ikan bakar di Kuala Perlis selepas kejohanan tamat siangnya. Coklat ferero Rocher rupanya. Untuk anak sayalah.

Berkumpul sementara menunggu bas datang, di Dewan Muadzam Shah selepas kejohanan tamat, 26 mei 2009.



bergambar di depan Dewan Muadzam Shah.




Kena jadi muda sekali ganda bila bercampur dengan bebudak nakal tapi tahu menghormati orang tua ni.Semasa menunggu giliran timbang berat badan.


Tamatlah sukan di UUM. Taekwondo UM hanya menduduki tempat keempat di belakang UiTM, UPM, dan UIA. Tahun 2007 kami juara keseluruhan, tahun 2008 di Sabah kami tempat kedua. Tahun ini jatuh tempat keempat. Malang sedikit tetapi masih ada harapan. Tidaklah berada jauh sangat di bawah. UKM di bawah kami. Kami dapat lima pingat (satu emas daripada Ryan Chong Wy Lunn, pemain negara, peserta ke Sukan SEA, mujur dia ada), dua perak (Muadz dan Choi Teng), dua gangsa (Wan Nor Azam dan Gan Beng Han). Tergelincir harapan yang dletak pada Ravinder bekas pemain SUKMA Pahang, Gan Sher Li, dan Azam juga. Apa pun, saya puas hati kerana mereka telah berusaha walaupun beurusan dengan Pusat Sukan agak meletihkan. Mutu pengadilan juga sangat lemah dan menjadi bualan semua pengurus dan jurulatih.

Monday, May 25, 2009

serah memo kepada muhyidin

Gambar ini dirakam semasa majlis Pelancaran buku Institut Terjemahan Negara pada 19 Mei2009 di Hotel Shangri la, Putrajaya yang turut menyediakan ruang masa untuk para sasterawan bertemu dengan TS Muhyidin Yassin, Menteri Pelajaran. Baha Zain (Dato Baharudin Zainal) sedang menyerahkan memo daripada PENA manakala saya hanya memerhatikannya di sisi Baha Zain.


1. Saya mengambil gambar ini daripada blog Azizi Haji Abdullah. Walaupun tanpa meminta izin daripadanya saya harap beliau tidak membantahnya. Saya (di kiri) dan Dato Baha sempat meloloskan diri mengambil tempat Datuk Firdaus dan Datuk Wan Hashim an Teh untuk menghimpit TS Muhyidin. Dato Baha bersungguh-sungguh mengajak saya menghimpit Muhyidin dan teerpaksalah saya membunuh rasa enggan berbuat demikian. Kalau Dato Baha seorang yang berbuat demikian pun sudah memadai kerana beliau Presiden PENA, sedangkan saya di bawahnya. Tapi begitulah Dato Baha memimpin kami dalam PENA. Beliau mahu menolak kami ke atas,dengan segera, mengambil alih tanggungjawabnya. Saya sering membandingkan beliau dengan pemimpin organisasi lain.

Kandungan memo itu telah disediakan oleh Dato Baha dan beliau kemudian menyerahkannya kepada saya untuk disemak atau ditambah apa-apa yang patut. Saya tidak menambah apa-apa rasanya selain membetulkan sedikit format dan mengemaskan sedikit bahasa. Jadi, biarlah Dato Baha sendiri yang menyiarkannya jika beliau mahu berbuat demikian. memang telah saya sarankan supaya salinan memo itu diedarkan kepada wartawan tetapi beliau mahu bertangguh dulu. "Kita tengok seminggu dulu," katanya. Dan sekarang sudah seminggu. Memonya tentang PPSMI tetapi butirannya apa.
Yang pasti, memo itu ditandatangani oleh Baha Zain. Beliau tidak menggunakan gelaran dan nama penuhnya, dan saya kekalkan begitu untuk menghormati prinsipnya sebagai seniman. Ini juga politik, saya fikir. Saya terhimbau kata-kata usman Awang yang lebih kurang bermaksud, "tidak terlibat dengan mana-mana parti politik juga merupakan tindakan politik".

Seniman memang patut kekal dengan kesenimanannya, dan tidak terjebak dalam permainan kuasa atau relung feudalisme.
Eloklah begitu, kerana bak kata A. Samad Said, "kuasawan ada tarikh luputnya, tetapi sasterawan tidak ada tarikh luput" semasamengadakan sidang akhbar di Rumah Pena baru-baru ini.
Oleh itu, saya senang bersama teman dalam dunia seniman dan sasterawan, bukan kuasawan.

2. Sebenarnya saya dipenjarai kebosanan melampau di bilik asrama pelajar UU, Sintok, Kedah. Maka, saya pun bertandanglah ke blog kawan-kawan.
Bagaimanapun, tinggal di asrama pelajar ini mengingatkan saya pada pengalaman menjadi pelajar di UM. Saya tinggal di Kolej Kedua pada tahun 1985-1986. Ketika itu Dr Irwan Abu Bakar menjadi pengetua Kolej. Beliau belum terserlah sebagai penulis tetapi sudah ternampak riaknya. Dalam satu majlis di dewan makan asrama beliau bercerita tentang pengalamannya menjadi editor majalah kampusnya semasa di luar negara. Beliau memang petah bercakap dan bahasanya juga baik. maka tidak hairanlah beliau boleh menjadi sasterawan walaupun kelulusannya dalam bidang kejuruteraan (bidang sebenarnya saya lupa).
Pada masa itu saya hanya menggunakan mesin taip untuk menulis dan membuat tugasan. Hampir setiap malam mesin taip saya berketik dan di bawah meja bersepah renyukan kertas akibat tersalah taip. Mungkin teman sekamar saya terganggu dengan kerja saya. Saya pernah sebilik dengan Barhan (dari Cendering, Terengganu), Wan Yusof (dari terengganu juga), dan Rafaie (dari Ipoh, sekarang jadi pegawai besar di Ipoh).
Entah di mana kawan-kawan lain.

3. Susah nak tidur sekarang kerana panas. Tapi dulu boleh pula? Kalau boleh mahu juga kembali ke sekolah lama, Sek raja Chulan, Ipoh, Sek Men Aminuddin Baki, Chemor, dan Sek Keb Hulu Kuang. Semua ada kenangan manis walaupun banyak juga sengsaranya.

4. Kalau saya menulis apa-apa saja dalam blog ini yang tidak disukai oleh pembaca yang singgah, anggaplah ini hanya catatan diari saya untuk saya baca sendiri bila-bila nanti.

Saturday, May 23, 2009

banyak lagi yang difikirkan

Saya tidak dapat menghadiri Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-2 anjuran PENA walaupun saya selaku Timbalan Pengerusi perhimpunan itu. Ini satu tragedi rasanya kerana sejak perhimpunan yang pertama tahun 2005 di Tanjung Piai kami dalam Pena sentiasa berusaha merancang untuk menganjurkan perhimpunan kedua. Apabila sudah berjaya saya pula gagal menyertainya. Walaupun kerja menganjurkan perhimpunan kali ini terbeban atas bahu beberapa orang muda dalam PENA, saya tetap berasa bertanggungjawab mengambil perhatian terhadap perjalanan projek itu. Saya pernah memikul tanggungjawab itu dan mujurlah keluarga saya memahaminya. teman-teman lain juga kerap mencuri masa bersama keluarga demi mengangkat dunia sastera Melayu. Begitu juga pejuang sastera generasi terdahulu. Maka itu, keluarga (isteri dan anak-anak mahupun ibu bapa) merupakan wira tak didendang. Mereka wajar dihargai dan seharusnya mereka percaya dan yakin bahawa penglibatan suami mereka dalam PENA ada manfaatnya kepada bangsa dan agama.

Sekali lagi saya terpaksa meninggalkan keluarga walaupun tidak bersama PENA di Melaka. Pada masa yang sama saya terpaksa ke UUM Sintok bersama pasukan Taekwondo UM selaku pengurus pasukan untuk menyertai MASUM (sukan antara universiti). Memang jauh sekali bidang sukan ini dengan tanggungjawab saya dalam persatuan penulis. Tetapi ada kalanya saya terpaksa membuat pilihan tanpa kerelaan penuh dalam hati. Terlibat sejak lama dalam pasukan TKDUM menyebabkan saya sukar untuk menolak tugas ini. Tapi mungkin ini tahun terakhir saya menjadi pengurus TKDUM. Banyak tugas lain yang mesti saya laksanakan.


PENA perlu dihidupkan dengan lebih agresif kerana inilah wadah yang menjadi harapan sebilangan besar penulis. Bekerja bersama tenaga muda di samping mentor yang kaya idea (Datuk Baha Zain) memang mengujakan. Paduan kerjasama antara dua generasi (atau tiga..saya yang di tengah agaknya) membolehkan kami melaksanakan beberapa idea yang abstrak dalam bentuk yang konkrit.
Kekangan PENA ialah kewangan tetapi PENA tidak menyimpan wang di dalam peti simpanan hingga "genggam tidak tiris". Kami menggunakan sumber yang ada dan di samping itu mencari sumber tambahan. SM Zakir yang banyak mengusahakan pencarian sumber kewangan, manakala kami membantu dari belakang. Mujurlah banyak pihak telah menaruh kepercayaan kepada PENA untuk menyalurkan bantuan dan menjalin kerjasama seperti DBKL, DBP, ASWARA, Kerajaan Negeri Sembilan, Melaka, Kementerian yang menjaga soal kebudayaan (namanya sentiasa bertukar).

Kerjasama dengan Prince of Songkhla University di Hatyai dan Universiti Wailalak di Thailand juga semakin erat sehingga memasuki bidang kerjasama akademik. PENA sudah menjadi perantara bagi kedua-dua universiti itu di Malaysia. Kadangkala sukar untuk kami penuhi harapan mereka terutama yang melibatkan perjalanan ke Thailand.
Sekarang saya di UUM dan pada masa yang sama tersebar pula berita tentang wanita berkebaya merah di hentian Gurun. Itu stesen perhentian perjalanan pulang saya pada 28 Mei nanti. Perlukah saya mencari teman untuk memandu pulang nanti? Setakat ini saya tiada kawan yang boleh dijadikan teman pulang. Pelajar akan menaiki bas.
Kepada peserta perhimpunan penulis muda di Melaka, selamat berseminar. Ini sejarah yang patut dikenang. Anda pencatat sejarah perkembangan sastera tanah air dan akan menjadi bahan kajian pada masa depan. Manfaatkan peluang ini untuk mempertingkatkan kepengarangan anda.

Tahniah kepada Saifulizan dan rakan-rakannya yang bekerja keras untuk menjayakan perhimpunan ini. Saudara semua telah membantu PENA dan saudara pelakar sejarah penting dunia kesusasteraan di Malaysia.

Sebagai orang tua (ish..balik-balik ngaku orang tua) saya percaya bahawa PENA akan terus hidup di tangan orang muda. Inilah tradisi PENA: sentiasa percaya pada pelapis untuk memikul tanggungjawab.

Thursday, May 21, 2009

pembunuhan wah yah menemukan rakan saya

Saya penuh yakin bahawa Jafri Tajol Aripin yang kehilangan isteri akibat dibunuh oleh perompak di Ipoh kelmarin ialah sahabat saya semasa di tingkatan enam Sekolah Raja Chulan pada tahun 1982-83. Kalau benarlah ini sahabat saya tentunya saya memperoleh dua kesan, iaitu pertama sedih sekali atas musibah yang menimpa dirinya. Takziah saya kepada beliau sekeluarga. Kedua, gembira kerana saya dapat bertemu kembali dengan beliau walaupun melalui akhbar.
Jafri yang kami panggil Jef memang kacak orangnya. Dia kaki lipat takraw dan saya sering menjadikan dia model apabila belajar menjadi killer takraw. Bersama-sama di Sekolah Raja Chulan, Ipoh, semasa di tingkatan enam ialah Jafri yang kami panggil Jeff Besar kerana ada seorang lagi Jefri yang bertubuh kecil, yang kami kami Jef Kecil. Yang lain ialah Yahya Sulaiman (Yot) dari Kuching Sarawak, yang pandai bermain bola semasa di asrama dan setelah pulang ke Kuching menjadi penyanyi lagu P Ramlee terkenal; Hanafi Abdul Rahim (dari Gopeng) yang menjadi sahabat bertempur saya kerana kami sering berkungfu baik siang mahupun malam di tengah padang, depan asrama; Zulkifli Hussin jaguh pecut yang cepat sangat kahwinnya; A. Aziz Abu yang hensem dan kemudian bekerja di Felda, Jalan Semarak, rasanya; Ismail (Ma'a) dari Parit yang kemudian bekerja dengan pejabat peguam di KL tetapi tidak pernah saya temui; Fauzi budak Gopeng yang bertunang cepat tetapi tak tahu bila berkahwinnya; Ramu (kalau tak silap) budak India bertubuh besar yang pernah berkata "kalau kita jumpa di akhirat nanti, tentu kecoh akhirat,";Shahrul Azila juga budak kasanova (jangan marah bro) dari Gopeng yang dengar cerita sudah jadi tauke kolej di JB, juga kahwin cepat; Mohd Nor rashid budak Pulau Pangkor,imam asrama yang kalau dengar lagu Mama Mia daripada kumpulan Abba akan berlari dari tingkat tiga ke bilik tv kerana minatnya; Yahya Abdul Hamid berwajah Cina yang kemudian jadi guru, dan tubuhnya semakin besar walaupun dulu kurus. Itu yang saya ingat. Ramai lagi rasanya tapi tak duduk asrama.
Kami akan bersarapan di restoran Mahsuri di belakang Politeknik Ungku Omar pada setiap minggu. Nasi lemaknya sedap dan ada pula mesin lagu (apa namanya...radiogram rupannya masih ada mesin itu di sebuah gerai makan di pekan Chemor dekat stesen keretapi yang tidak beroperasi lagi. Saya singgah di gerai itu baru-baru ini bersama teman-teman PENA selepas menziarahi Amirul Fakir di Taman Meru). Dengan mesin lagu itu kami akan mendengar lagu kegemaran setelah memasukkan syiling 20 sen. Lagu "Hari persandinganmu" jadi kegemaran saya masa itu.
Warden asrama kami ialah Cikgu Rosli, guru muda yang hensem dan sangat baik dengan kami. Rumah bujangnya jadi tempat kami berhimpun menonton tv dan video. Dia memanggil saya "Salleh Kungfu" kerana sering saya berlatih menendang dan melipat di depan biliknya, membelasah pucuk bunga raya terutama setelah menonton filem Jackie Chan.
Kami sering bermain takraw di depan asrama. Saya tidak pernah pandai menjadi pemain killer walaupun latihan menggulung tidak henti-henti saya lakukan. Namun begitu, gaya lipatan Jeff Besar sangat mengagumkan saya. Dia boleh bergulung di sisi jaring dan bola rejamannya juga laju sekali.
Saya tidak pasti adakah arwah isterinya pelajar Sek Raja Chulan juga kerana perkahwinannya tidak saya hadiri. Kami terputus hubungan selepas habis STPM. Hanya Hanafi Abdul Rahim pernah datang ke kolej penginapan saya di UM semasa saya belajar. Selepas itu terputus lagi. Dan sekali pernah Aziz datang ke UM. Terputus lagi.
Teman-teman lain hilang tanpa khabar berita. Oh ya, Shahrul Azila pernah menghubungi saya setelah dia melihat gambar saya di akhbar. Terputus lagi kami kerana kesibukan masing-masing.
Rindu juga hendak bertemu semula dengan mereka. Tetapi entah bila ada kesempatan.
Setelah mendapat berita tentang salah seorang daripada mereka, kesedihan pula yang menyelubungi.
Apa pun, saya doakan arwah isteri Jeff ditempatkan bersama orang yang beriman. Kepada Jeff, bersabarlah.Ini ujian daripada Allah.
Kalau ada sesiapa kawan yang membaca blog ini marilah kita berjumpa semula. Tentulah tidak sekecoh yang dibayangkan Ramu "di akhirat" kerana masing-masing sudah berusia dan cara berfikir mungkin berlainan. Alangkah indahnya zaman muda di sekolah....
Ke mana kawan-kawan perempuan, Hamsiah, Roslina, Liza, dll. yang dah jadi emak-emak dan nak dapat menantu agaknya. Cepatnya masa berlalu mengheret pergi kenangan muda kita.
Dan di depan kematian sedang menyerbu ke arah kita. Pertembungan akan berlaku satu persatu.

Tuesday, May 19, 2009

pertemuan dengan muhyidin

Semalam 19 mei 2009 ada peristiwa menarik yang berlaku di Putra Jaya. Institut terjemahan negara (ITNM) di bawah teraju orang muda yang dedikasi, Sdr Khair Ngadiron berjaya mempertemukan sebahagian besar sasterawan besar-besar dalam majlis santai. Peristiwa sebegini tidak pernah berlaku di DBP sekalipun. Hadir sama ialah A Samad Said, Muhammad haji Salleh, Zaharah Nawawi, Anwar Rihdwan, Malim Ghozali PK, Baharudin kahar, Shaari Isa, Siti Zainon Ismail, Datuk Hassan Ahmad, Firdaus Abdullah, dan termasuk penulis generasi kedua dan ketiga yang lainnya. Saya ke sana bersama Bahazain, SM Zakir dan Shamsudin Othman dengan satu kereta.

Saya tidak melihat kejayaan lain tetapi elok juga saya sebutkan di sini.
Pertama, ITNM berjaya menterjemahkan 28 judul buku dalam masa setahun dalam beberapa bahasa. Karya sasterawan malaysia telah diterjemahkan untuk tujuan promosi ke peringkat dunia. DBP tidak mungkin dapat menyamai rekod ini.

Kedua, para sasterawan terasa dihargai apabila mereka diberi gambar yang ditempah khas, manakala pengunjung pula mendapat satu buku bergambar wajah sasterawan sebagai autograf. menarik sekali idea itu.

Bagi saya, pertemuan semula dengan Shaari Isa sangat menguja kerana sudah berpuluh tahun rasanya saya tidak bertemua dengan beliau padahal tesis sarjana saya menggunakan korpus daripada karya beliau. Semalam saya tidak mengenalinya, dan apabila diberitahu olehAnwar Ridhwan bahawa itu Shaari isa barulah saya sedar. Segera saya menemuinya dan memperkenalkan diri kerana saya yakin beliau juga sudah melupai wajah saya. Tidak susah untuk mencungkil ingatannya kerana dia segera mengenali saya.

Selepas Muhyidin berucap melancarkan buku ITNM beliau mengadakan sidang akhbar dan selepas itu dibawa ke tingkat atas untuk bergaul dengan sasterawan dan jemputan khas yang memiliki kad undangan terhad. Kami bertuah juga kerana mendapat undangan khas dan turut bersama majlis di tingkat atas. Ketika itulah para pejuang bahasa menghimpit beliau dan menyuarakan hasrat hati tentang PPSMI. Datuk Hassan Ahmad, pengerusi GMP bertmu hidung menyuarakan pandangannya.

Baha Zain mengajak saya mencelah untuk menyampaikan memo daripada PENA tentang PPSMI, dan kami berjaya juga berbuat demikian. Baha Zain duduk di sebelah Muhyiddin dan menyerahkan memo yang tergesa-gesa saya sempurnakan penjilidan pada pagi itu.

"Sama ke dengan yang dia cakap tadi?" kata Muhyidin lebih kurang, dengan maksud adakah memo kami itu sama kandungannya denga percakapan Datuk Hassan. Tak sempat dijawab dengan sempurna, ada pula suara orang lain menyampuk.

"Ini penyokong kuat," kata Datuk Hassan. Pena memang menyokong kuat GMP kerana lazimnya Rumah Penalah tempat pertemuan dan sidang akhbar GMP tentang PPSMI.

"Saya nak ajak datang rumah," katanya lagi, dengan maksud satu pertemuan tertutup akan diadakan dengan kumpulan GMP.

Tidaklah dapat dipastikan sejauh mana pertemuan dengan Muhyiddin akan membuahkan hasil. yang pasti beberapa orang Sasterawan berjaya bersalam dan bercakap secara terus dengannya tentang PPSMI. Ini termasuklah Anwar Rihdwan, Samad Said, Prof Muhammad Haji Salleh.

Di-celah-celah kesesakan ketika Muhyiddin bangun untuk balik, A Samad Said berbisik dengan saya, "Saya jangka tadi ada pengumuman untuk memansuhkan PPSMI." Saya hanya gelak kecil dan terasa kecewa juga walaupun tidak berharap apa-apa. Tidak nampak kesediaan Muhyiddin hendak menghapuskan PPSMI. Yang kelihatan ialah kesediaannya mendengar pandangan sasterawan dan budayawan dan bahasawan dan nasionalis, tetapi mendengar belum tentu menerima.

Kelihatan juga riak-riak kesediaan kerajaan memujuk para sasterawan dengan projek pertamanya mewujudkan Kota Buku di Kuala Lumpur.
Adakah ini hanya gula-gula supaya sasterawan dan budayawan dan bahasawan menutup mulut untuk meminta PPSMI dimansuhkan?

Kalau benar sekalipun, saya yakin para pejuang tidak akan surut ke belakang daripada perjuangan memansuhkan PPSMI. Baha Zain sendiri menegaskan hal ini semasa kami meredah Putrajaya untuk pulang ke rumah PENA. Orang lain pun begitu juga pastinya, kecuali orang UMNO yang buta hati. Yang celik hati, kita menghormati mereka.

Sunday, May 17, 2009

perhimpunan penulis muda nasional

Para penulis muda dipelawa menyertai Perhimpunan Penulis Muda Nasional Malaysia ke-2 pada 22-24 mei 2009 bertempat di Hotel Puteri Resort, Melaka, dekat Air Keroh.
Khabarnya tempat masih ada yang kosong. Jangan lepaskan peluang ini kerana penganjurannya bukan dibuat dengan mudah. Banyak halangan ditempuhi oleh PENA untuk mencari laluan mengadakan perhimpunan khusus bagi penulis muda yang berusia 40 tahun ke bawah. Tapi kalau ada yang sudah lebih usianya dan sangat berminat ikut serta, cubalah memohon. Saya yakin urus setia sudi menerima saudara. penginapan dan makan minum disediakan dengan bayaran yang sangat minimum, iaitu rm50 bagi peserta yang sudah bekerja dan rm30 bagi pelajar dan ahli PENA.
kali pertama PENA menganjurkan Perhimpunan seumpama ini adalah pada tahun 2005 di Tanjung Piai, Johor. Pada masa itu kami memperoleh laluan selesa kerana ada penaja yang bermurah hati. Tetapi sekarang ekonomi meleset sukar sedikit untuk bergerak. Tetapi saya yakin tiada kekurangan dari segi keselesaan dan kemudahan pada kali ini. Malah rasanya keadaan akan lebih baik kerana tempatnya juga agak mewah berbanding di Johor.

sila hubungi Lutfi Ishak 0132650876; Saifulizan Yahya 0163018645

selamat berdialog
..tetapi saya tidak dapat bersama lagi kali ini, kerana dah tua, melebihi usia penulis muda.

Saturday, May 16, 2009

selamat hari guru

hari pertama saya ke sekolah di sekolah kebangsaan ulu kuang, chemor pada tahun 1971 saya dihantar oleh emak, berjalan kaki dari rumah bersama kawan-kawan lain yangjuga diiringi emak masing-masing. guru pertama yang saya temui ialah Cikgu Tahir atau dipanggil Cikgu Tamby, entah kerana apa. Dia terus mengajar kami pada hari pertama dengan menulis di papan hijau dengan kapur putih dan meminta kami menyebut aksara rumi beramai-ramai: a,b,c,d...

selepas itu saya diajari pelbagai ilmu buat pertama kalinya kerana pada zaman itu belu ada tadika atau yang seumpama dengannya. kami hanya berkenalan dengan huruf rumi di sekolah tetapi huruf jawi sudah dikenali di kampung kerana kami sudah belajar mengaji. guru mengaji saya di kampung ialah Pak cik Badarudin, sudah menjadi arwah pun... dan guru tajwid saya, pak hitam (Haji hamzah Alang Mat Aris namanya) sudah kembali ke rahmatullah juga.

Saya tidak mengingati nama guru yang berderetan mengajar saya sepanjang usia persekolahan saya baik di kampung mahupun di pekan Chemor. tetapi sekadar yang teringat eloklah saya sebut nama mereka.
di sek keb ulu kuang yang kini sudah bertukar namanya kepada sek keb syed idrus, guru yang saya ingati ialah cikgu osman, cikgu talib, guru besarnya cikgu man besah, cikgu zakaria, dan ....tak ingat dah.

di sekolah menengah aminuddin baki, chemor saya bertemu dengan cikgu mar azelan, cikgu hariri, ustaz yahya mat piah, cikgu hamid, cikgu zainudin yang dikenali dengan nama cikgu mat jelebor kerana suka memanggil nama budak-budak lain dengan gelaran itu, cikgu lim, cikgu bob mustapha, aduhhh tak ingat. alangkah zalimnya saya tidak mengingati nama guru sendiri.

di sekolah menengah raja chulan saya bertemu dengan cikgu zaharah, cikgu rosli (warden asrama yang sporting dan supportive), cikgu ismail zain yang kini terkenal sebagai pakar motivasi (dr ismail zain, guru sastera yang unik), dan yang lain saya tulis kemudian apabila ingat.

di universiti malaya saya bertemu dengan prof abu bakar hamid, puan zulkarnaina mohd mess, encik zaharan razak, en. sidin (prof), encik latiff bakar (prof datuk), puan amida abdulhamid (kak anis), prof hashim awang, prof a wahab ali, abdullah tahir (arwah), mohamad abu bakar, prof yaakob haron, raja mukhtarudin yang sangat unik, puan rohani, encik nuwairi, prof ismail hussein, en manaf saad, dr anuar nor arai, siti aisah mat ali, prof rahmah bujang, dan selainnya.

Walaupun tidak sama tingkat ilmu yang disampaikan oleh mereka kepada saya, semuanya tetap menjadi ingatan. tanpa mereka tidaklah saya mengenali sesuatu yang disampaikan oleh mereka.

selamat hari guru..semoga semuanya mendapat rahmat Allah SWT. ramai yang telah pergi agaknya, dan semoga mereka dalam perlindungan dan kasih sayang Allah di alam barzakh.

Thursday, May 14, 2009

pertemuan dengan muhyidin

selasa depan (19 Mei) ada majlis pelancaran buku terbitan ITNM di putra jaya. khabarnya Tan Sri Muhyidin akan menyempurnakan majlis itu dan satu pertemuan dengan sasterawan akan berlangsung. entah bagaimana rupa bentuk pertemuan itu kita tunggulah nanti. adakah dalam bentuk vertikal atau horizontal. namun begitu, inilah masa untuk sastrawan dan budayawan menyampaikan pandangan mereka dengan apa cara sekalipun, asalkan tidak melanggar susila Melayu dan bahasa Melayu. sampaikan selagi ada, memo dan pandangan tentang PPSMI misalnya. insya-Allah kami akan usahakan perkara itu bagi pihak kami. apa lagi yang dapat kita lakukan setakat ini?

Sunday, May 10, 2009

perkampungan penulis gapena

Berkampung sekejap di Muara Sungai Duyung pada hari Sabtu 9 Mei dan bermalam di situ memang mendamaikan. Ada kolam teratai dilegari anak ikan di tengah-tengah kawasan yang berciri desa. Perahu senget tersadai di salah satu kolam mengingatkan aku pada kapal besar tersadai di Acheh selepas Tsunami.
Peserta perkampungan bersemangat tetapi ramai yang menekuni sajak berbanding cerpen. Aku terpaksa merendahkan topik perbincangan supaya mereka tidak kehilangan arah. Puan Mahaya lebih sesuai agaknya membimbing mereka dengan sifat keibuan dan keguruannya sedangkan aku lebih keras rasanya. Sedar bahawa berceramah di dewan seminar buka pilihan terbaik pada sesi petang lalu aku memindahkan mimbar ke tingkat atas, ruang lapang yang menjadi musola tanpa dinding. Berpuput bayu dari muara mengusir kehangatan. Lebih santai dan damai di situ. Kami bersila dan bersimpuh di lantai... termasuk Puan Mahaya dan Cikgu Rohaya. Malu aku dengan kesediaan dan ksetiaan mereka turut sama mengikuti ceramah dan bebelan aku untuk peserta muda.

Dua sesi untuk aku menajamkan pemahaman mereka tentang genre bukanlah tempoh masa yang cukup. Tapi itulah yang diberikan dan aku terpaksa berpuas hati.

Pembimbing lain ialah Borhan Mohd Zain, Mokhtar Yassin, Dr Hasih Ismail dan Datuk Latiff bakar sendiri. Ladin Nuawi lebih cenderung menjadi pengurus acara.

Besar harapan Gapena untuk melahirkan antologi cerpen sama puisi lam dan sajak daripada perkampungan itu. Ini tentu saja memerlukan iltizam yang tinggi daripada penulis muda itu dan tentu saja sokongan pembimbingnya. Aku menyerahkan segalanya kepada Gapena untuk menentukan hala tuju mereka. Jika mereka mahukan yang terbaik, buatlah acara dengan susun atur acara yang terbaik juga.

Perahu nelayan tersusun di pinggir muara menarik perhatianku. Sudah lama aku menyimpan impian untuk mengikut nelayan meredah laut untuk menangkap ikan. Impian itu tetap tinggal impian.

Sunday, May 3, 2009

Petikan kata Arena Wati

Kurnia Tuhan yang paling nikmat ialah merayapi semua persoalan hidup, dan mengumpulkan segala bunga-bunga hiasannya di sepanjang tepi jalan.

Kalau kau tak berjaya berbuat demikian, kau telah menyia-nyiakan kesempatanmu datang ke dunia yang hanya satu kali.

Tetapi semua ini hendaknya dilakukan penuh kejujuran dan kecintaan, kerana bunga-bunga hiasan hidup hanya berguna kalau ditaruh dalam kandil cinta.

Epigraf dalam novel Arena Wati, 1960. Jalan Malam ke Ibu Kota. Brunei: Pustaka Jaya.

Dicatatkan bahawa ungkapan ini ditulis oleh Arena Wati di johor bahru pasa 25 Mei 1960 bersamaan 29 Zulkaidah 1379, petang Rabu.

Tahun 1960 saya belum dilahirkan, tetapi Arena Wati sudah menulis karya yang menguja saya.