Wednesday, December 30, 2009

Malam Genta Puisi PENA-ASWARA

Malam ini 31 Disember 2009 akan berlangsung majlis baca puisi sempena tahun baru di rumah PENA, anjuran bersama PENA-ASWARA. Silalah datang untuk memeriahkan majlis dan mengelakkan diri daripada pergi menyambut tahun baru di tempat yang panas. Kita buat sambutan dengan selawat. Walaupun tahun baru ini tidak termasuk dalam kalendar Islam PENA hanya mengisi ruang bagi menggantikan acara yang tidak secocok dengan budaya. Semoga majlis ini dapat menjadi alternatif kepada sesiapa yang teringin sangat menyambut tahun baru.
Salam Maal Hijrah.

Sunday, December 27, 2009

Mana Melayu Pulau Pinang?

Saya ke Pulau Pinang Sabtu dan Ahad lepas bersama keluarga. Di Penang Street atau Lebuh Acheh atau Jalan Campbell saya tidak nampak orang Melayu berniaga. di pinggir Masjid Kapitan baru terjumpa orang Melayu bersimpuh di pintu masuk Masjid dekat Restoran Nasi Kandar Beratur..sedang meminta simpati orang ramai, dan dua kanak-kanak berkeliaran..juga mengharapkan simpati orang ramai. Selain itu, turut menyentuh hati saya beberapa remaja Muslim meminta simpati daripada orang ramai di sekitar toko Mydin. Apakah nasib Melayu di tangan parti Gerakan? Bagaimaan pula DAP membuat perancangannya sekarang? Semasa Pak Lah jadi PM dulu (kawasan Parlimennya di Pulau Pinang) apa yang telah dibuatnya untuk membela nasib Melayu Pulau Pinang? dan semasa Dr M jadi PM apa yang telah dibuatnya? Sampai bila kita perlu melihat Melayu Pulau Pinang tergeser ke tepi laut dan kemudian lemas terkapai merenangi Selat Melaka mencari tanah besar yang jauh?

Sunday, December 13, 2009

Mesyuarat Agung PENA

Salam penuh takzim,

Saya tersilap tarikh. sebenarnya yang ini:

Semua ahli (anggota) Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dijemput mengghadiri mesyuarat agung pada 20 Disember 2009 pukul 10.30 pagi di Rumah PENA. Bagi yang tidak menerima surat undangan dan belum atau sudah lama tidak membayar yuran pun dijemput datang dan boleh membaharui keanggotaan anda.

Sesiapa yang belum menjadi anggota tetapi berminat menyaksikan pertemuan tahunan itu juga dipersilakan datang.

Tahun ini tiada pemilihan tetapi ada perbincangan. Diharap semua kawan dapat menyebarkan maklumat ini demi memastikan PENA terus bernafas.