Monday, March 29, 2010

Johnny Bikin Filem di Media

Minggu ini Jabatan Pengajian Media UM menganjurkan Miggu Media. Banyak acara ilmu dilangsungkan. Tadi baru berlangsung wacana penulisan dengan Sri Diah dan Rozlan Mohd Nor (UTusan).

Esok (Rabu) ada ceramah oleh SM Zakir jam 10.30 pagi. Semua dijemput hadir.

Pada setiap malam da tayangan filem. Malam ini "Bila Cinta Bertasbih" dengarnya. Khamis ada tayangan filem karya Anuar Nor Arai, "Johnny Bikin Filem". Pada petangnya ditayangkan versi sekolah; pada malamnya ditayangkan versi panggung. Tiket cuma RM5.
Terutama ceramah Zakir, saya menjemput semua peminat sastera hadir.

Saturday, March 27, 2010

Pesta Buku

1.Saya telah mengunjungi Pesta Buku sebanyak empat kali, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Malahan saya pernah tidak pergi sekali pun kerana tidak berminat mencari apa-apa. Kali ini saya pergi atas beberapa sebab: membawa keluarga, mencari buku sendiriaan dengan bebas tanpa kekangan waktu orang lain, menemui kawan, menghadiri acara khas anjuran bersama PENA. Semakin kuat keinginan kita untuk menunaikan harapan orang, maka semakin berat rupanya tanggungjawab kita. Sekiranya kira tidak mempedulikan harapan orang, terasa ringan beban di bahu. Maka, terpulanglah pada diri sendiri sama ada hendak mempedulikan hal orang lain dan permintaan orang lain,atau menumpukan kehidupan sendiri yang eksklusif. Saya sukar menjadi manusia jenis kedua, dan sukarlah saya hendak berkata "tidak".

2. Melihat kesesakan dan sambutan hebat pengunjung di Pesta Buku saya mencari sebabnya. Kenapa begitu keadaannya? Pada tahun 80-an ketika saya mengunjungi Pesta Buku di Stadium Negara, keadaannya tidak sehebat sekarang. Apakah ini petanda kesedaran masyarakat terhadap ilmu sudah bertambah? Ada beberapa kesan saya peroleh melalui pemerhatian singkat ini:

i. Rata-rata pengunjungnya ialah orang Melayu termasuk dari sekolah agama. Bangsa lain terlalu sedikit. Kenapa?
ii. Peniaga bangsa lain mengaut keuntungan daripada pembeli Melayu dengan bijaknya. Gerai mereka dikunjungi orang Melayu; gerai Melayu dikunjungi orang Melayu.
iii. Beberapa penerbit Melayu telah menjadi gergasi dagang buku, tahniah (Karangkraf, PTS). Saya sempat bertemu dengan Haji Hushamuddin Yaacob, bekas majikan saya yang memiliki Karangkraf. Beliau masih seperti dulu, cergas dan low profile. Khabarnya Karangkraf sudah memasuki era Islamik selepas mereka mendampingi ESQ.
iv. Ramainya pengunjung pada setiap masa seolah-olah menunjukkan bahawa di Malaysia hanya sekali jualan buku. Benar, kita tidak memiliki tradisi kedai buku yang besar selain beberapa rangkaian kedai buku yang sangat terhad stok bukunya. Bilakah akan wujud satu tempat/kompleks jualan buku yang canggih dan menyediakan semua judul buku daripda setiap penerbit? Bilakah kota Buku akan diwujudkan? Atau itu hanya mimpi politik?

Friday, March 26, 2010

Acara baca Puisi PENA-ITNM di Pesta Buku

Esok, Sabtu, ada acara baca puisi anjuran bersama PENA dan ITNM di gerai ITNM, pukul 1-2 petang.Pembacanya gabungan tua dan muda (kununnya).


Sila datang dan beli buku puisi gabungan penulis dua negara (Malaysia-Singapura).

Thursday, March 25, 2010

Wajah Laut



Wajah Laut

Sewaktu mentari membiaskan jelling paginya
wajah laut ditaburi warna perak kilau-berkilau
gerak angin mendenyutkan nadi ombak
seekor ikan terhenti hayatnya di paruh camar
perahu nelayan beroleng lembut ditimang maut
dipuput bayu dan ombak mendesah.

Pantai bagai pipi gadis
dan laut adalah kolam matanya
yang penuh rahsia.

1988

Wednesday, March 24, 2010

Kelas bahasa 6




Adakah ayat ini betul? Sila perhatikan penggunaan kata sendiri "antara" dan kata arah "di antara". Jika salah, sila betulkan.

1. Di antara negara yang akan saya kunjungi ialah India, Pakistan,dan Vietnam.
2. Antara burung merak dan burung sekendi, saya lebih menyukai burung sekendi.
3. Di antara Dewan Tun Abdul razak dan PWTC terbentang Sungai Kelang yang keruh.

Syarahan Dialog Peradaban

Saya sebarkan maklumat ini untuk kawan-kawan yang berminat:

Syarahan oleh Dr Shaharudin Maaruf tentang peradaban Melayu di Akademi Pengajian Melayu UM pada 31 Mac 2010, pukul 9.30 pagi. Dr Shaharudin ialah mantan pensyarah di Universiti Nasional Singapura tetapi anak Perak. Bukunya yang terkenal ialah Konsep Wira dalam masyarakat Melayu, hasil daripada tesis PhD beliau yang diselia oleh Syed Hussein Alatas.

Sila datang jika mahu. Dr. Mawar, kalau dulu saya gagal membantu untuk mendapatkan makalah beliau, kini rasanya saya cuba menebus kegagalan itu dengan menyebarkan maklumat ini.

Tuesday, March 23, 2010

Bumi tidak rata?


Semalam selepas habis kuliah saya ke Pejabat Dekan untuk urusan remeh. Semasa berjalan di dalam pejabat itu saya terasa pijakan kaki saya tidak seimbang. Kaki kiri terasa lebih panjang daripada kanan. Adakah bumi sudah tidak rata? Adakah kaki saya sudah pendek sebelah? Bimbang tiba-tiba menerpa hati. Inikah kifarah atas kesilapan saya yang belum berampun?

Saya segera mengembalikan kewarasan fikiran untuk mencari punca, lalu saya renungi kasut saya. Oh rupa-rupanya kasut saya sebelah lain. Rupanya hampir sama kerana kedua-duanya sudah usang. Saya tersarung kasut yang berlainan ketika bergegas ke Dewan Kuliah C. Inilah akibat kehilangan sepatu di rumah malam kelmarin. Saya terpaksa memakai sepatu lama. Tetapi mujurlah saya masih lelaki tipikal yang tidak menghiraukan sangat penampilan diri. Saya lelaki (jejawa, kata kawan saya, iaitu jejaka tua) yang ringkas. Kasut usang tidak menjadi masalah... kerana sedar diri bahawa waktu ekonomi merosot begini jangan berangan macam orang kaya. Nampaknya kasut lama terpaksa dihargai semula.Hah...itu kisah tak bermakna untuk menghilangkan penat selepas balik dari Pesta Buku tadi.

Di Pesta Buku tadi saya terjumpa Cikgu Shahrunizam Talib dari Bera, Pahang. Dia datang dengan rombongan sekolahnya, membawa pelajar. Terserempak juga saya dengan Zalila Isa dari YADIM yang datang semata-mata untuk mendapatkan tandangan Faisal Tehrani untuk kawannya yang mengirimkan pesan.

Dan yang tersua saya dengan Raja Nazri Shah yang datang untuk membeli buku, bukan untuk tujuan lawatan rasmi. Terasa bangga dan terharu juga saya kerana baginda daripada kerajaan Perak. Raja yang cendekia sepertinya tentulah patut kita banggai. Baginda membelek buku-buku di gerai Cambridge dan memilih judul yang pelbagai. Benarlah Raja Nazrin pencinta ilmu.Inilah kelebihan orang Perak. Siapa orang Perak?

Kelas bahasa 5


Penggunaan kata pemeri "ialah" dan "adalah" adalah berbeza. "Ialah" adalah untuk kata nama, manakala "adalah" untuk kata sendi dan adjektif. Cuba buat ayat yang menggunakan kedua-dua kata pemeri tersebut.

Sunday, March 21, 2010

Kelas Bahasa 4

Penggunaan "di mana", "yang mana" dan "ianya" perlu dielakkan kerana salah dari segi tatabahasa. "Yang mana" dan "di mana" adalah untuk kata tanya sahaja. "Ianya" tidak boleh wujud kerana kedua-duanya kata ganti nama yang setara. Cuba juga elakkan penggunaan "ia" bagi objek bukan manusia.

Cuba betulkan ayat di bawah ini:

1. Pesta Buku Kuala Lumpur telah menarik sejuta pengunjung di mana sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu.

2. Pengunjung Pesta Buku pada tahun ini lebih besar daripada tahun lalu yang mana ianya menunjukkan perubahan sikap dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Thursday, March 18, 2010

Kembara di Tanah Gersang



Pelabuhan Sunda Kelapa di Jakarta, tidak jauh dari Hotel Batavia dan kompleks bangunan VOC zaman Belanda. Kami (saya dan Zakir) meronda di kawasan pelabuhan itu dengan menaiki basikal yang digatih oleh pencari rezeki hanya dengan bayaran 2500 Rp. hampir sejam juga kami dibawa berbasikal. Sudah lama tidak membonceng terasa janggal tapi menyeronokkan.

kelas bahasa 3

Perkataan yang salah:
memperolehi, memperbaiki, mempersetujui, memperakui, memperindahkan, mempertinggikan

yang betul:
memperoleh, membaiki, menyetujui, memperakukan, memperindah, mempertinggi

kata tugas "oleh" tidak boleh menerima imbuhan apitan "memper...i".
Kata adjektif (kata sifat) tidak boleh menerima imbuhan apitan "memper...kan/i".


Latihan:

Buat ayat daripada perkataan yang berikut:
memberi, memberikan, membeli, membelikan, memperisteri, memperisterikan

Ayat anda mesti gramatis dan lojik.

Wednesday, March 17, 2010

Dalam Belaian Gerimis


Bayang dalam gerimis

Aku berlari dalam belaian gerimis
Di pinggir tasik beriak sutera
petang makin condong
kanak-kanak berderetan di gigi air
di riak tasik ada bayang pecah
dan kilas ikan yang lincah.


(Kami [Zakir dan Amirudin Ali] bergelut dengan kedinginan rembesan gerimis dan kabus di West Lake Hangzhou. Macam tiga orang ketua kongsi gelap la pulak. Tapi ketua yang sebenar yang di tengah tu, misai tebal ular sawa. cuma ketua ni selalu kena tinggal kerana dia ceghodek sangat..)

Tuesday, March 16, 2010

Kelas Bahasa 2

Ayat ini diambil daripada sebuah tesis. Kesalahannya banyak. Cuba betulkan ayat ini supaya menjadi ayat yang gramatis.

Apa yang lebih penting dari itu semua ialah usahanya untuk memperbaiki kurikulum atau isi serta sistem pengajarannya.

Monday, March 15, 2010

Kelas Bahasa 1

Dalam kesempatan yang sempit ini saya mahu berkongsi pengetahuan tentang bahasa Melayu. Pengalaman mengajar pelajar tahun 1 di UM menyedarkan saya bahawa pelajaran akan masuk sebentar sahaja di benak mereka lalu kemudian segera keluar sebaik-baik sahaja mereka melepasi pintu dewan kuliah. Kesalahan bahasa pun berulang lagi. Kesan ini saya temukan apabila memeriksa tugasan atau kertas projek mereka pada semester akhir.

1. Kesalahan menggunakan kata hubung "manakala" pada awal ayat.

"Manakala" perlu diletakkan di tengah-tengah ayat untuk menghubungkan klausa, tidak pada awal ayat. Kalau pada awal ayat fungsinya tetap sebagai kata hubung tetapi bagi ayat songsang. Bagaimanapun, sukar untuk membina ayat sedemikian. Lainlah halnya dengan kata hubung "walaupun" yang boleh berada pada awal ayat songsang: Walaupun masalah itu sudah selesai, perbincangan mesti diteruskan bagi mencari jalan untuk memastikan tiada lagi gangguan ditimbulkan oleh mereka.

Ayat salah:Pelbagai desakan dan rungutan telah dikemukakan oleh rakyat tentang isu pendatang haram. Manakala kerajaan tetap tidak memberikan sebarang kata putus terhadap isu pendatang haram itu.




Sesiapa yang hendak mencuba, sila betulkan kesalahan ayat ini:
1. Walaupun pelbagai desakan dan rungutan dari rakyat telah dikemukakan melalui media, tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan oleh kerajaan.

Tuesday, March 9, 2010

seminar di Thailand dan Indonesia

Salam kepada kawan-kawan. Saya menyampaikan berita penting bagi yang merasakannya penting.
1. Pada 6-10 Jun ini persidangan Malaysia-Indonesia di Uni Andalas, Padang. Anjuran bersama Fakulti Sastera UM
2. Pada 3-5 Ogos seminar tahunan HISKI di Surabaya. yuran penyertaan US100 tak termasuk penginapan. sesiapa nak brosur minta nanti saya kirimkan.
3. 10 April persidangan antarabangsa di Hatyai, anjuran bersama PENA dengan Faculty of Liberal Arts (tapi dah tutup pembentangan. Untuk turut serta meraikan Pena bolehlah). belanja sendiri.

Ke Indonesia tu, kalau mahu maklumat lanjut nanti minta. nak beli tiket dah boleh.

Sunday, March 7, 2010

Orang Muda yang hebat

Orang muda sekarang hebat-hebat belaka. Inilah gambaran yang dapat ditafsirkan daripada Dialog Orang Muda di Pena Sabtu lalu. Setiap panel memang terkenal dengan keras kepala dan keras hati. Masing-masing ada idealisme sendiri. Baik Arif yang sentimental, Ali yang tegar, Jimadie yang anarkis dan pengerusinya Lutfi yang filosof in progress-- seronok saya mendengar dialog mereka kerana tampak bahawa mereka banyak membaca dan bahan bacaan mereka tinggi-tinggi. Saya datang untuk mendengar saja asalnya tetapi apabila digugah oleh Lutfi kepada khalayak tiada sambutan maka saya terpaksa melanggar sumpah: bercakap entah apa-apa. Saja-saja untuk membuka ruang agar ditembak oleh para anarkis. Saya bercakap selaku orang tua yang sopan-sopan, bahawa karya kita perlu ikut adab. Kalau kita berkarya untuk melepaskan tekanan dalam diri dan berucap sesuka hati silakan, tiada sesiapa yang melarang. Tetapi apabila kita hendak memasuki rumah orang perlulah kita mengikut syarat tuan rumah. Itu saja. tidak munasabah kita memaksa tuan rumah menerima cara kita dan pemikiran kita. Lainlah halnya kalau kita buat rumah sendiri. Tapi nampaknya tiada reaksi yang kontra. Penulis dan peminat sastera yang hadir nampaknya pendiam dan pemikir dalam relung masing-masing kecuali orang tua-tua yang banyak bercakap: Razali Endun, Haji Shamsudin Othman, Raja Yusof, dan mujrulah ada Fadli al-Kitti (betul ke ejaannya). Ada juga pelajar UPSI yang bercakap dan Lan Naga memberi respon tapi tidak menggoncang. Maka panasnya majlis itu bukan disebabkan isi dialognya tetapi memang cuaca panas. Saya pun bercakap-cakap dengan kawan-kawan selepas majlis tentang kepanasan Rumah Pena dan membangkitkan kemungkinan dipasang kipas siling. Haji Shamsudin segera berjanji mahu menghadiahkan dua unit. Wah sudah bagus. Kalau benar janjinya saya pun akan cuba mencari duit sikit untuk menambah satu unit. Kalau kawan-kawan lain boleh bantu alangkah baiknya. Kelak nanti majlis panas memang kerana dialognya yang panas. Bukan cuacanya.

Thursday, March 4, 2010

Azizi dan Beruknya



Meja saya yang tak pernah bersih. Di dada meja sebuah buku antologi cerpen bertajuk Hadiah selenggaraan A. Bakar Hamid dan Abdullah Hussain terkapar minta dijamah. Saya baru sahaja membaca kembali cerpen "Beruk" karya Azizi Haji Abdullah dalam buku ini dan hari ini saya terbaca (membaca?) blog Azizi yang mempromosikan novel terbaharunya berjudul Beruk, juga berdasarkan cerpen "Beruk" yang terdahulu. Membaca cerpen itu memang suatu pengalaman manusiawi yang mengharukan; saya dihanyutkan arus katarsis dan merasakan sesuatu menyelinap dalam sukma. Membaca cerpen-cerpen orang lama terasa ada sesuatu yang hebat untuk diingati. Kenapa membaca karya mutakhir saya kesesatan dan tidak berjumpa dengan kehebatan yang serupa? Saya yang bodoh barangkali.

Wednesday, March 3, 2010

DIALOG ORANG MUDA

Sesiapa yang mahu menggauli anak muda berjulung keris dalam sastera pergilah ke Rumah PENA pada Sabtu 6 mac ini jam 10 pagi (agaknya). Saya mahu semua pelajar saya pergi. Naik teksi dan cakap saja Rumah PENA (Rumah banglo bertentangan dengan bangunan MAA atau jirat Cina. Tak jauh dari DBP, di belakang restoran Tupai-Tupai. Tak tahu juga? mintalah abang-abang penulis muda PENA ambil. Nazmi dan Lutfi sedia membantu anda (agaknya). Dialog ini penting sebagai petunjuk keterlibatan penulis muda. Kami mahu lihat sokongan padu daripada penulis muda. (Terasa pula dah tua sangat)

SEA Write Award kena ubah cara pencalonan

Sekarang telah dibuka pencalonan untuk penerima Anugerah SEA Write dan pencalon perlu memberikan alasan bertulis untuk mencalonkan seseorang penulis. Saya tidak bersetuju sama sekali dengan kaedah itu. Kenapa pencalon perlu memberikan alasan bertulis yang memerlukan usaha keras itu? Apakah gunanya panel hakim? kalau pencalonan sudah lengkap dengan alasan maka panel hakim hanya menghakimi kertas pencalonan bukannya tokoh. Sepatutnya panel hakim sudah mempunyai pengetahuan mendalam tentang calon. Kalau mereka tidak berpengetahuan dan tidak tahu memberikan hujah, kenapa mereka dilantik sebagai panel? Ini kerja tidak munasabah. Kalau kita mencalonkan seseorang, apa pula yang kita dapat? Panel hakim tentulah mendapat bayaran tetapi kita yang menjadi pencalon dapat apa?

Sekretariat di DBP sepatutnya menyediakan bahan yang lengkap untuk dinilai oleh panel hakim. Jadi, kita tidak perlu membuat pencalonan sebenarnya. Sekretariat sepatutnya sudah ada senarai calon dan mereka mesti terdiri daripada orang yang arif tentang senarai penulis di Malaysia. Sekretariat juga mesti orang yang arif dalam sastera dan menengali sasterawan di Malaysia. Ini juga sepatutnya yang perlu disarankan kepada sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Pegawainya bukan pengumpul bahan tetapi mengenali bahan. Jangan sampai penulis pun tidak kenal akan pegawai itu kerana mereka tidak pernah menggauli acara sastera.

Saya ada pengalaman mencalonkan penulis bagi pihak PENA. Saya terpaksa untuk menghubungi calon dan meminta beliau menyediakan profilnya serta beberapa bahan sokongan lain. Saya juga menyediakan bahan bagi menyokong beliau. Penulis itu pula agak liat bergerak dan kurang usaha untuk menyediakan bahan (mungkin kerana dia pun ada integriti diri dan tidak mahu menonjolkan diri) sehingga saya berkali-kali menghubunginya. Akhirnya saya terfikir, kenapa saya mesti bersusah payah melakukan kerja itu? Ini kerja sekretariat dan panel hakim. Penulis pun tidak perlu mencalonkan dirinya. Penulis cuma perlu membantu sekretariat jika diminta menyediakan bahan. Itu pun rasanya tidak wajar dilakukan. Biarlah panel hakim sendiri berbincang dan membuat penyelidikan serta menyediakan laporan bertulis--bukan pencalon dan bukan calon!

Perkara ini tidak sempat saya kemukakan dengan pihak DBP. Jadi ini tempatnya saya bersuara. Dan kali ini saya tidak mahu mencalonkan sesiapa. Kalau sekadar memberikan nama calon, bolehlah. Tapi tidaklah akan ada bahan sokongan seperti yang pernah saya lakukan sebelum ini.

Saya sukar hendak berdiam diri kalau ada sesuatu yang saya rasa tidak enak bergolak di dalam hati, kalbu, sukma, jiwa, kepala, perasaan. Maaflah sekiranya ada yang terluka.

Tuesday, March 2, 2010

Maut hanya sedetik nafas jaraknya

Dalam perjalanan pulang dari pertemuan dengan kawan-kawan di PENA malam tadi, sekitar pukul 10 dengan menunggang motosikal saya terserempak dengan satu kesan kemalangan yang mengerikan. Seorang lelaki melengkung terbaring di aspal sambil dikawal oleh orang ramai agar tidak dirempuh sekali lagi oleh kenderaan yang bertali arus. Saya rasa dia sudah hilang dari peta hayat kerana kepalanya berlumuran darah (mungkin pecah)dan tidak disentuh atau diberi rawatan kecemasan lagi. Dia mungkin hanya menunggu ambulans sebelum diangkut pula oleh van jenazah ke negeri abadi. Saya tidak sanggup untuk berhenti walaupun ramai orang berdiri di tepian jalan. Dia juga penunggang motosikal seperti saya. Dan saya juga tidak mustahil boleh menerima nasib yang serupa dengannya. Dalam sekelip mata dan sedetik nafas nyawa akan melayang ke arasy da menunggu hari perhitungan diperhentian barzakh. Alangkah rapuhnya tali nyawa ini. Kita seperti sederetan orang yang menunggu distesen keretapi untuk membeli tiket ke alam barzakh. Deretan semakin pendek dan giliran kita akan sampai tidak lama lagi. Sudah cukupkah bekalan? Sudah bersihkah diri?