Saturday, August 11, 2012

Sastera Kebangsaan dalam Pembinaan Peradaban Malaysia:
Sastera sebagai Kuasa Kelima
Mohamad Saleeh Rahamad

Pendahuluan
Fungsi sastera dalam pembinaan sesuatu peradaban sukar dibuktikan secara konkrit jika mahu dijadikan hujah untuk mengangkat darjatnya dalam agenda pembinaan negara bangsa. Berbanding dengan bidang ekonomi, kejuruteraan, seni bina, perubatan, sains dan teknologi yang lebih konkrit dan pragmatik hasilnya, sastera hanya bersifat konseptual, subjektif, taksa, dan beroperasi secara alamiah ketika menyerap dalam pemikiran manusia yang menghadamnya. Itu pun belum pasti berkesan kerana tingkat pemahaman dan tahap penerimaan manusia terhadap sesuatu karya sastera tidak pernah tuntas. Setiap manusia mempunyai neraca tersendiri semasa mengunyah karya sastera, malahan memiliki dinding yang bertindak sebagai penampan atau penyaring kemasukan bahan yang dibaca. Namun begitu, dalam sejarah peradaban manusia, secara tidak langsung atau secara halus dan alamiah, sastera atau persuratan berupaya membentuk budaya masyarakat tertentu apabila mereka menganut nilai sepunya yang disalurkan dalam karya tersebut. Dengan hal yang demikian, sastera tetap mempunyai potensi untuk menjadi alat pembinaan sesebuah peradaban.
         Dalam konteks Malaysia, sastera juga sewajarnya diberi peluang untuk berfungsi seiring dengan bidang-bidang lain dalam pembinaan peradabannya. Keupayaan sastera jika dioptimumkan dan direncanakan operasinya secara strategik, mampu menjadi tenaga penggerak yang ideologikal. Keberdayaan kesusasteraan sebagai tenaga hegemoni berkait erat dengan sifatnya yang diskursif. Bahasa sebagai alat penjanaan idea dalam karya sastera tidak bersifat neutral, sebaliknya mempunyai upaya dan ideologi tertentu. Atau dalam kata lain, karya sastera ialah wacana, discourse, yang bukan dalam pengertian tradisional.
         Dalam pengertian tradisional, discourse yang mula digunakan dalam abad ke-16 membawa makna sebarang bentuk ucapan, percakapan atau perbualan, dan kemudian menanjak kepada makna yang lebih tinggi, sebagai ucapan rasmi, narasi atau sebarang bentuk idea yang berprotokol seperti surat perjanjian, disertasi atau khutbah. Dalam bidang linguistik discourse digunakan sebagai istilah teknikal untuk makna setiap unit ucapan yang lebih panjang daripada satu ayat (Ashcroft, Griffiths, dan Tiffin, 2000: 70). Bagaimanapun, daripada nuansa Foucauldian (Michel Foucault), discourse mendapat pengertian yang lebih filosofikal kerana terhubung dengan ideologi. Bagi Foucault, sebuah wacana tidak terhasil tanpa ideologi, tidak neutral, biarpun dalam penulisan sejarah yang kononnya berpusat pada fakta yang sahih tentang peristiwa. Menurut Foucault (Ashcroft, Griffiths, dan Tiffin, 2000: 70-71):
…a discourse is strongly bounded area of social knowledge, a system of statements within which the world can be known. The key feature of this is that the world is not simply `there’ to be talk about, rather, it is through discourse itself that the world is brought into being. It is also in such a discourse that speakers and hearers, writers and readers come to an understanding about themselves, their relationship to each other and their place in the world (the construction of subjectivity).

         Dengan kedudukannya yang sebegitu, sesebuah karya sastera yang juga merupakan discourse atau wacana, biar apa pun bentuknya, sama ada fiksyen mahupun sastera sejarah, sastera ketatanegaraan, sastera kitab, sastera profetik, tidak hanya menyatakan kisah manusia secara neutral. Karya tersebut membawa ideologi, memiliki kuasa yang menentukan apa-apa yang boleh dimasukkan untuk tatapan khalayaknya. Dengan demikian, setiap perkara dalam karya itu disisipi unsur kuasa untuk menundukkan masyarakat agar mereka mematuhinya secara rela. Di sinilah berperanannya ideologi dalam konteks kuasa memerintah secara hegemoni, atau ruled by consent.    
         .....selebihnya tersimpan