Saturday, December 27, 2008

perca-perca kembara medan

bersambung...di pojok berhampiran Hotel Ibunda ada gerai makan tempat berkumpulnya supir. Saya ke situ untuk mencari van dalam rangka lawatan ke Prapat, melihat Danau Toba esoknya. Saya diketemukan oleh penggatih beca bermotor dengan seorang lelaki gempal yang memiliki van. Penggatih beca itu malam tadi membawa saya dengan abang ipar dan kakak berkeliling kota Medan. Rundingan berlangsung hingga mencapai persetujuan untuk menggunakan van mereka. Tetapi setelah berunding dengan keluarga saya, kami mengambil keputusan membatalkan tempahan van tersebut dan segera saya memberitahu pemandu van tadi. Dia menerimanya dengan muka kelat. Semasa kami mahu bergerak ke Masjid Raya saya menemui seorang pemilik van lain di sekitar situ juga untuk membawa isteri, kakak dan anak-anak ke sana. Jaraknya dekat dan kami yang lain hanya berjalan kaki. Di samping itu saya berunding pula dengan pemilik van itu kalau-kalau ada van untuk digunakan ke Prapat esoknya. Dia segera mengaku ada. Tetapi persetujuan belum dicapai, sekadar bertanya untuk berunding semula. Dia dengan senang hati menghantar sebahagian daripada kami ke Masjid dengan percuma. Enggan dia menerima bayaran tambangnya. Setelah van itu bergerak lelaki berbaju merah yang tadi telah kecewa dengan pembatalan tempahan van datang menghampiri saya. Dia memarahi saya kerana menggunakan van lain. Saya gagal memujuknya. Entah atas dasar apa dia berbuat demikian. Hk saya untuk memilih sudah dinafikan, seolah-olah dia pula yang berkuasa menentukan hala tuju kembara kami. Rakannya penggatih beca tadi juga datang menghimpit saya lalu meminta wang. Ketika saya memegang 70,000 rupiah dia segera merampasnya daripada saya. Memang agak gementar saya ketika itu tetapi saya cuba bertenang. Sukar juga menanggung keselamatan keluarga. Jika saya bersendirian saya akan lebih berani. Tidak mengapalah, kata hati saya. Biarlah wang diambil asalkan kami tidak diganggu lagi.
Pada petangnya Ibu Aji memberitahu ada van yang boleh memuatkan 11 orang boleh disewa ke Prapat. Syukur. tetapi terdetik di hati saya, bagaimana pula dengan rundingan dengan pemandu van tadi? Setelah pulang ke hotel saya segera menemuinya (dia memang menungu saya) dan menyatakan bahawa kami tidak jadi menyewa van mereka. Alasan saya tidak mahu berdepan dengan kerenah pemandu lain di situ yang akan mengganggu lagi. Dia begtiu kecewa dan enggan menerima wang 20,000rp untuk tambang pagi tadi ke Masjid Raya. Saya pun segera masuk ke hotel kerana mahu mengemaskan barang. Kami akan berpindah hotel untuk mengurangkan tekanan. Kami akan ke Darma Deli.
Lelaki tadi rupanya tidak berhenti setakat itu; dia mengekori saya ke dalam hotel dan meinta wang 50,000rp. Saya tidak mahu bertengkar lagi lalu mengengeluarkan wang yang diminta. Cukuplah setakat itu. Kami mahu segera berpindah hotel.
Mujur pihak hotel tidak ada halangan untuk kami membatalkan tempahan lagi dua malam. Dan mujur jugaHotel Darma Deli masih ada bilik untuk disewa walaupun harganya lebih mahal. Biarlah begitu asalkan keselamatan terjamin. Terima kasih Ibu Aji yang membantu kami.
Esoknya kami ke Prapat. Bagaimana pula rupanya Danau Toba dan Pulau Samosir? Walaupun telah berkali-kali saya ke Medan, tidak pernah Prapat saya kunjungi. Bersama keluarga ke sana lebih menyeronokkan.

Thursday, December 25, 2008

Medan menyambut ketibaan saya sekeluarga bersama keluarga kakak dengan ramah berisi, santun bersiasah. Mujur ada teman yang sudi menenangkan kerisauan. Ibu Aji, isteri teman saya, Fadlin Jaafar (dosen di USU) telah sedia menunggu di lapangan terbang dengan abang iparnya, Pak Erwin. Jam sudah pukul 10.00 malam. sukar juga untuk memastikan perjalanan teksi yang akan membawa sebahagian daripada rombongan kami seramai 11 orang selamat tiba tanpa sebarang kebimbangan. Dengan adanya Ibu Aji dan Pak Erwin kebimbangan itu tidak bertunas sama sekali. Hotel Ibunda yang juga telah ditempah oleh Ibu Aji sedia membuka pintu kamar suitenya yang bersih. Senang hati berada di situ. Tetapi rasa senang itu tidak bertahan lama. Esoknya ada peristiwa yang meresahkan saya untuk terus menjamin tempat di sekitar hotel itu selamat. Manusianya yang berkeliaran mencari rezeki sentiasa menunggu masa untuk membaham...(akan bersambung)

Friday, December 19, 2008

Memasuki Kota Tua di Jakarta seperti menziarahi zaman kolonial Belanda. Bangunan-bangunan kolonial yang besar agam kini sudah dijadikan muzium, termasuk tempat tahanan bagi pengancam keselamatan kolonial: kolong berlengkung dan bertingkap jeriji besi yang ampuh. di muzium maritim ada sebuah replika lancang kuning, dan lirik lagu serta puisi pada dindingnya. sayangnya saya tidak membawa pena untuk merawat penyakit lupa. jadi sudah pudar dalam ingatan puisi siapakah itu, dan lagu nelayan suku manakah yang terpampang. yang dapat diambil iktibar, muzium itu menghargai khazanah budayanya walaupun di tempat yang berdebu lantaran kekurangan dana. Ideanya sudah bagus, tetapi pelaksanaan dan pengekalan semangat menjaga khazanah budaya mungkin sudah luntur.
Acara Jakarta International Literary Festival 2008 tidak dapat kami ikuti sepenuhnya kerana datang lewat dan dilambatkan lagi kesesakan di Jakarta disebabkan banjir. Tidak berupaya lagi kami membenarkan pemandu kereta sewa menuju ke Hotel Batavia di Kota Tua, lalu kami menginap di hotel yang paling dekat. esoknya, tanggal 13 disember baru kami ke Batavia dan sempat mengikuti sesi pagi. Malangnya itu cuma sesi sumbang saran antara peserta tentang perjalanan festival akan datang. tiada ilmu dapat dikutip. petangnya ada bengkel muzikalisasi puisi, bengkel baca cerpen, dan bengkel puisi di muzium Fatahillah, dekat situ, sekitar Kota Tua, bekas bangunan kolonial Belanda. kami (saya dan zakir) hanya menjenguk melihat keadaan. Agak hangat sambutan khalayaknya, tetapi mungkin seperti di Malaysia juga: khalayaknya dibawa khas daripada kalangan anak sekolah dan calon guru. Jika dibandingkan jumlah penduduk Jakarta dengan jumla khalayak yang hadir, tentulah nisbahnya tidak begitu jauh daripada keadaan di Malaysia. Nasib sastera agak serupa di mana-mana. Demikian juga dikatakan oleh Pak Tenas Effendy semalam di Akademi Pengajian Melayu ketika saya membentangkan penemuan kajian (projek bersama Profesor Dr Mohd. Mokhtar Hassan, Dr Tengku Intan Marlina dan saya) tentang persepsi guru terhadap skop sukatan matapelajaran Sastera STPM. Kata Pak Tenas di Riau ada sebuah universiti yang pada tahun lepas pelajar yang mengambil jurusan sastera cuma 9 orang, dan tahun ini sudah ditutup. Jadi senario di Kota Tua merupakan gambaran universal di negara-negara sedang membangun selagi sastera tidak dipandang penting oleh pemerintah sebagaimana di Barat.
Malamnya ada acara baca puisi dan penutupan festival di PasarSeni Ancol. Tiba-tiba saya dan Zakir diminta oleh Maman S Mahayana dan Ahmadun Yosi Herfanda (penyelenggara festival) supaya membaca puisi sebagai mewakili delegasi Malaysia. Tanpa bersedia, kami hanya menyanggupinya. Maka apabila dijemput ke podium saya pun segera mengheret Zakir yang juga sudah menyiapkan sajak spontannya selepas saya menulis sajak spontan juga dengan pena yang dipinjamkan oleh Maman.
Malam larut, acara baru selesai.
Kami pulang ke hotel untuk menyambung destinasi seterusnya esok, Ahad. Festival sudah berakhir. Penat masih terasa kerana petang tadi kami membonceng basikal yang disediakan perkhidmatan khusus untuk pelancong untuk mengitari kawasan Kota Tua. Kami melihat Pelabuhan Sunda Kelapa, pintu masuk laut yang membariskan perahu besar orang Bugis Makasar.
Tetapi kepenatan tidak bertapak lama di dalam tubuh. Kami akan ke Bandung pada Isnin. Tapi saya harus ke Universitas Indonesia di Depok dahulu. Kenderaannya keretapi. Yang murah tiketnya kelas ekonomi, cuma 1,500rp. Saya akan melakukan perjalanan itu sendirian untuk lebih arif tentang denyut kehidupan di Jakarta.
ada saja orang yang menganggap pejuang bahasa hanya pandai berseminar dan tak berani berjumpa dengan menteri tentang isu PPSMI. sebenarnya pertemuan telah dilakukan dan suara telah disampaikan. soalnya mereka teteap dengan pendirian seolah-olah suara itu hanya suara kecil yang tak harus diberi perhatian. dan berapa kalilah mereka sanggup membuka pintu pertemuan dengan golongan "pengacau dan nasionalis sempit" ini? inilah hakikatnya. untuk melakukan demonstrasi bogel pun bukanlah tindakan yang cerdik. seminar telah diadakan beberapa kali tetapi berapa ramai orang awam yang mahu hadir? Mana ada seminar memperjuangkan bahasa tertutup kepada orang ramai? Kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran orang ramai tetapi berapa ramai yang mahu meluangkan masa mengikuti seminar? inilah masalahnya. semua yang telah dilakukan tidak kelihatan kerana tidak diraikan dalam media massa sebagaimana kisah perkahwinan dan perceraian artis. Penting sangatkah cerita artis? sebenarnya tidak penting tetapi telah diprojeksikan sebagai begitu penting untuk memandu rakyat malaysia ke arah dunia fantasia, dunia fatamorgana, yang sebenarnya dunia petaka untuk bangsa kita. dan pemandunya juga bangsa kita.

Tuesday, December 9, 2008

Hentikan PPSMI

Mari kita selamatkan bahasa Melayu daripada peradaban bangsa. Kekalkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di sekolah dan universiti. PPSMI perlu dihentikan. Jangan banyak berpura-pura lagi dengan kenyataan palsu.

pertemuan di jakarta

Jakarta International Literary Festival (JILFEST) 2008 pada 11-14 dis. berlangsung di Kota Tua, Jakarta. Insya-Allah saya akan menyertai acara itu bersama SM Zakir. Kami akan berlepas pada 12 Disember, bermakna sudah terlepas sehari acara. Acaranya padat dan penuh manfaat. Kami akan cuba mengutip manfaat yang boleh dikongsi bersama nanti.

Pertemuan dengan Penulis Cold Country

Hari ini Baha Zain mengajak kami berkongsi rakan dari Denmark, Vagn Plenge, penulis dan penerbit yang banyak menerbitkan karya penulis dari negara suam (warm countries). Dia menyifatkan negara-negara Asia Tenggara sebagai negara suam kerana dibandingkan dengan negara Eropah yang dingin. Bersama Pena, Baha Zain juga mengajak beberapa teman daripada DBP dan ITNM. Santai di rumah Baha Zain memang mengasyikkan. Berkongsi cerita dengan rakan lamanya juga menguja rasa ingin tahu.
Banyak yang disampaikan dan kami hanya mendengar. Ternyata ada ruang untuk sastera Malaysia merantau ke Eropah melalui terjemahan.
Baha Zain sekali lagi menjadi pembuka laluannya.

Wednesday, December 3, 2008

detik kelam hari suram

Tanpa teman yang faham
pada siapa harus kunyatakan
retak harapan luka perasaan
tercalar bulan yang semakin menjauh

aku terpaksa bersendirian
bersenandika menghulurkan doa
munajat pada yang kuharapkan
belum berpaling
dariku

ini detik kelam hari suram
aku bersendirian menghitung
langkah yang tak berjejak

detik kelam hari suram
aku tak temui teman
yang akan memahami
semuanya topeng-topeng
semuanya patung-patung
semuanya bayang-bayang
semuanya dongeng-dongeng
semuanya

detik kelam hari suram
berpaling dari-Mu
aku tidak.

Tuesday, December 2, 2008

Menziarahi Arenawati

Saya menerima panggilan telefon daripada Ratnawati, anak Pak Arenawati petang tadi ketika menguruskan percetakan kad nama di Plaza Metro Kajang. Katanya Pak Arenawati terkena stroke malam tadi dan agak kritikal di HUKM. Mujur Ratnawati masih sudi menghantar khabar itu walaupun dia mungkin tersilap kerana memanggil sama "Prof". Memang kali pertama saya melawat Pak Arena bersama Prof Muhamad Haji Salleh sekembalinya kami dari bengkel dengan DBP. Tarikhnya tidak saya ingat tetapi ketika itu Pak Arena belum menjalani radioterapi. Esoknya baru dijalankan rawatan radioterapi. Mujur kami datang pada hari itu kerana selepas menjalani rawatan dia tidak menerima tetamu.
Apabila menerima khabar terbaru ini saya pun segera mengajak rakan-rakan untuk menziarahinya. Malamnya saya, SM Zakir, Shamsudin Othman, Nor Azah Abd Aziz dan suami memasuki kamar Pak Arena di Tingkat 7 Wad Baldu, walaupun di pintu tertulis "tidak menerima pelawat" (tentunya dalam bahasa Inggeris). Saya masuk dahulu kerana bimbang ditahan. Sebelum ini rakan-rakan saya gagal menziarahinya kerana diberitahu tidak menerima tetamu. Bersama Prof Muhammad Haji Salleh dulu kami tidak meminta izin sesiapa lalu terus masuk dan Pak Arena ternyata sangat gembira menerima kedatangan kami.
Kali ini ada anak-anaknya sedang menghadapi Pak Arena. Kami diresapi rasa simpati yang hangat melihat seorang penulis yang gigih (yang paling gigih) sedang terbaring. Hanya anaknya memberikan penjelasan walaupun kami yakin Pak Arena sedang cuba untuk berkata sesuatu. Apakah yang saya berikan selain doa. Semoga Pak Arenawati segera sembuh dan dapat menuturkan isi hatinya. Banyak khazanah dalam mindanya belum digali keluar, tetapi dia tidak mengharapkan apa-apa yang telah tergali keluar disimpan oleh mana-mana pihak. Katanya pada saya dan Prof Muhammad tempoh hari dia mahu khazanah mindanya diserahkan kepada Muzium (arkib?) Den Haag (The Hague) di Belanda. Dia ahli kehormat institusi tersebut. Betapa kecewanya dia pada agensi yang menjaga hal persuratan di Malaysia.

Sunday, November 30, 2008

Kami (saya sm zakir) mengunjungi University Prince of Songkhla baru-baru ini demi memenuhi jemputan daripada teman pensyarah yang mewakili Dekan Faculty of Liberal Arts, Prof. Madya Dr Adisa Teo. Tanpa menjangka bahawa pertemuan itu sangat rasmi sifatnya kami agak terkejut apabila dijemput menduduki kerusi bilik mesyuaratnya. Bersama-sama hadir dalam mesyuarat itu beberapa pensyarah termasuk Pembantu Dekan Prof Madya Dr Nisakom Charumanee dan Prof Madya Jureerat Buakaew. Juga teman pensyarah Bahasa Melayu yang gigih mengendalikan kursus Bahasa Melayu di universiti itu (satu-satunya pensyarah BM), Wanidah Tehlong. Dalam pertemuan itu pihak Faculty memberikan harapan yang besar untuk membantu mereka menerbitkan hasil tulisan ilmiah pelajar ijazah tinggi mereka. tetapi kami bertegas bahawa penglibatan kami dalam soal memartabatkan bahasa Melayu. Jika da kaitan dengan bahasa Melayu atau sastera dan budaya, kami sedia memberikan bantuan. Kami juga mempunyai kapasiti yang terhad dan tidak mahu keluar daripada landasan PENA.
Esoknya diadakan persembahan kesenian daripapada pelajar sekolah di Selatan Tahiland. Mereka menyanyikan lagu Melayu iaitu persembahan dikir hulu atau sama dengan dikir barat. Meriah sekali anak-anak Siam turut naik ke pentas mencelah di tengah kumpulan dikir yang dijemput.
Kami terpegun dengan kesungguhan mereka mengajarkan bahasa Melayu di Thailand. Hampir semua universiti di selatan Thailand mengajarkan Bahasa Melayu. Sambutannya juga tinggi dan kerajaan juga menyedikan prasarana walaupun minimum. Mereka sangat mengharapkan bantuan daripada orang Malaysia untuk membantu mengembangkan Bahasa Melayu. Setakat ini hanya PSU di Patani yang diberi tumpuan oleh DBP sedangkan ada universiti lain turut mengharapkan perhatian. Universiti Thaksin juga di bawah Sdr Kamarudin lulusan USM (Wanidah tadi lulusan UPSI) juga mengharapan bantuan dari segi kepakaran.
Yang menyala di hati saya, kenapalah kita di Malaysia memandang bahasa Melayu rendah nilainya sedangkan negara lain sedang mengangkat topi kepada Bahasa Melayu? Adakah kerana kita sudah dimasuki virus takut pada kapitalis yang tidak ada keinginan mempertahankan Bahasa Melayu kerana bahasa ibunda mereka mercu tanda kewujudan bangsa mereka?
Menteri Melayu kita harus segera sedar tentang hal ini sebelum terlambat. ingatlah satu hakikat bahawa kehilangan sokongan orang Melayu terhadap UMNO disebabkan UMNO tidak lagi berupaya mempertahankan Melayu malah turut sama memendapkan Melayu di keladak muara Sungai Kelang dilanda arus kemenangan kapitalis bukan Melayu yang sudah berani menidakkan ketuanan Melayu.
Saya tidak berasa pelik apabila MCA menyokong kenyataan Chua Soi Lek dan malah tidak langsung meminta Chua... meminta maaf kepada orang Melayu atas kenyataannya menafikan ketuanan Melayu. Memang itu sifat dan warisan perjuangan mereka sejak dulu; hanya sekarang lebih berani bersuara apabila orang Melayu (pemimpin pareti Melayu diperkotak-katikkan, dalam kedua-dua barisan parti--barisan nasional mahupun pakatan rakyat).
Tapi saya pelik apabila ada menteri Melayu memohon maaf kepada orang Cina kerana perbuatannya mencium keris Melayu.
Itulah kata P. Ramlee, Hang Tuah itu di mana kekuatannya? Kekuatannya terletak pada huruf ta (T) kerana kalau ta diganti dengan ba (b) maka jadilah Hang Buah. agaknya yang kita ada sekarang cuma Hang Buah.

Wednesday, November 19, 2008

kami bertembung dengan satu tugas yang mencabar semasa berdiskusi dengan dekan faculty of liberal arts, uni hatyai. sm zakir dan saya dipandang sebagai orang penting malaysia yang dapat membantu faculti itu dalam soal mempertingkatkan imej fakulti dan membuka peluang penerbitan kepada pelajar pascasarjana mereka. menjadi syarat di prince of songkhla university (psu) bahawa setiap pelajar pascanya mesti menerbitkan bahan kajian tesis mereka sebelum layak dianugerahi ijazah. siapa yang nak terbit bahan itu? bukan mudah nak dapat ruang dalam jurnal. malaysia mujur tak sampai bengong macam tu buat keputusan. kalau tak bengonglah semua pelajar. manalah ada penerbit bermurah hati nak terbit bahan yang terhasil daripada tesis yang belum lulus, atau pelajar yang belum lulus.
begitu, kami mencapai persefahaman bahawa harus ada kerjasama dalam soal akademik, dengan mengadakan seminar dan melanjutkannya kepada penerbitan. mereka juga difahamkan bahawa bidang kami persatuan penulis nasional malaysia (pena) cuma yang berkaitan dengan sastera, bahasa melayu dan budaya. kalau nak dipanjangkan kepada bidang lain harus ada kaitan dengan tiga ranah itu. dan mereka faham. kami mungkin boleh jadi perantara psu dengan ahli akademik di malaysia. jadi ejen intelektual kiranya. tahun 2009 akan ada seminar international. jadi sesiapa yang nak bentang kertas kerja boleh mula dari sekarang dan kemudian tunggu makluman rasmi daripada pena. kami jadi sekretariat bagi wakil dari malaysia. pena dah bergerak ke rantau asean, dan menjalan ke asia. tapi akar di malaysia tetap dibajai. pena mengharapkan sokongan khalayak sastera dan pencinta bangsa di malaysia.

Monday, November 3, 2008

siku-siku

Salam hormat
Sempadan antara manusia untuk berhubung sudah lama pecah dicairkan oleh internet dan laman blog tapi saya mengambil masa untuk melangkah ke laman ini. Mungkin ada baiknya dan ada buruknya. tengoklah nanti.