Wednesday, October 28, 2009

Teman lama di Sekolah Raja Chulan Ipoh



Catatan ini terhad untuk perhatian kawan lama saja. Pembaca lain jangan ambil hati kerana aku asyik kenang kawan lama.

Dua keping gambar lama semasa aku masih muda belia di Sekolah Raja Chulan cukup menggamit kenangan menjelang hari-hari senja begini. Gambar di atas sekali diambil semasa majlis makan malam di asrama. Masing-masing bergaya sakan dengan kemeja walaupun dalam waktu lain pemakaian kemeja dianggap sebagai petanda budak skema atau "belia". Aku pun pakai kemeja dan kasut yang aku rembat bapak aku punya. Seluar daripada Shahrul. Tali leher tak ingat dari mana aku dapat.
Dalam gambar itu berdirilah hero-hero gemilang dan terbilang, iaitu (dari kiri) Abdul Aziz Abu (dulu pernah kerja di Felda Kuala Lumpur), aku (sekarang kuli gomen), Yahya Sulaiman (penyanyi lagu P. Ramlee, sekarang di Sarawak, rumah orang tuanya di kampung Ajibah Abol, Kuching..ingat lagi aku), Japri Tajul Arifin (yang kisah sedihnya terpapar dalam akhbar beberapa bulan lalu), Hanafi Abdul Rahim (budak dari Kampung Mesah Hilir, Gopeng...buka dada oooo), dan Shahrul Azila Mohd Salleh (sekarang CEO INSTEADT...baru-baru ni dia call aku). Maklumlah semasa itu kami berada di tingkatan enam atas, maka kamilah hero asrama. Tak siapa samseng Kampung Dusun berani mencabar kami. Pernah juga ada pelajar tingkatan lima cuba mencabar tapi tak lama padamlah api itu apabila aku buka mulut bertanya: "Apa hal" ....heheh.
Gambar di bawah juga semasa musim yang sama dengan kami memakai kemeja T Persatuan Tingkatan Enam Atas (SERATAS). Berdiri dari kiri ialah Suhaimi Abdul Karim (budak Tanjung Rambutan, antara yang awal masuk U), Yahya Abdul hamid (Cikgu kat mana entah sekarang), Hanafi Abdul Rahim (sparing partner aku. Pernah tengah malam kami berdua berlatih di padang), Shamsul Anuar (Budak Kg Chepor), Mohd Nor Abdul Rashid (dari Pulau Pangkor, pernah kerja di Putra Jaya Holding. Imam dan peminat lagu Chiquitita oleh Abba). Duduk dari kiri, Zulbahri (budak Gopeng, sprinter), aku (budak Chemor), Jafri (kami panggil Jef Kechik bagi membezakannya dengan Japri Tajul Ariffin yang kami panggil Jef Besar), dan Abdul Aziz Abu.
Susah sangat nak cari di mana mereka semua berada. Hanya Shahrul boleh dikesan dengan mudah dan dia juga menghubungi aku kelmarin setelah melihat gambar kumpulan kugiran kami yang aku siarkan sebelum ini. Anaknya download gambar itu dan ditunjukkan kepada dia lalu dicarinya blog aku. Namun kami belum sempat bertemu kerana dia di Bandar Penawar, Johor. Jep Chulan memberi reaksi dalam blog aku tapi tidak pasti Jef Besar atau Jef Kechik. Harapnya semua kawan akan menghubungi aku dan boleh kita berjumpa semula, menilai perut siapa yang lebih besar sekarang dan siapa dulu akan dapat cucu. Perut aku maintain tapi tak macam dulu. Yahya aku tak jamin kerana masa dia muncul dalam TV menyanyi dulu dia terlalu makmur.
atau tel: 0193514940

Friday, October 23, 2009

MERAIKAN SN ANWAR RIDHWAN





Kawan-kawan yang mahu menyimpan gambar mereka silalah simpan sementara saya letak di sini. duan, bang midin, zakir dan syukri... lebih utama nampaknya. tan sri pun tak nampak sebelah.
batik zakir tu.... dari mana?saya buat kesimpulan, zakir memang pengarang nusantara, macam arena wati, bukan pengarang parokial... jadi dia begitulah. ok tak bang... komen tu.
SN Anwar Ridhwan memiliki bahasa yang jernih dan seperti jernihnya kolam, pandangan kita menyelam ke dasar maknanya. Saya suka sekali dengan bahasanya.
Sudin dan ayahanda dan amir...sori... gambar tak clear.

Thursday, October 8, 2009

kenangan di Dewan Kuliah F

Sebelum kami keluar dari kampus setelah menamatkan pengajian pada tahun 1988 kami berarak ke sekitar kampus untuk bergambar. Gambar kanan sekali baris tengah ialah YB Azan Ismail sekarang jadi Ahli Parlimen PKR di Pahang. Gambar ini di Dewan Kuliah F. DKF dewan terbesar dan tergelap kerana lampu tidak menampung seluruh kawasan. Selalunya yang duduk di baris belakang sekali akan buat kerja lain sewaktu pensyarah berleter di depan. Saya juga pernah mendengar kuliah Prof Ismail Hussein yang tidak saya fahami. Dan saya duduk di baris belakang kerana datang lewat. Rasanya hanay sekali itulah saya mengikuti kuliah beliau. Terlalu konseptual penerangannya tentang budaya Melayu.

Tadi saya terjumpa seorang rakan yang sama tinggal di Kolej Kedua UM. Suhaimi atau Jimmy menegur saya sewaktu saya khusyuk menikmati lontong di gerai. Rupanya sudah berubah kerana rambut afronya diganti dengan rambut pendek. Mujur dia mengenali saya kerana katanya saya tidak banyak berubah. Bentuk tubuh dan wajah masih seiras dulu. Dalam gambar ini dia tiada.

Tuesday, September 29, 2009

Catatan lepas raya


(Ini contoh 1 Malaysia. Ini kumpulan kugiran yang kami tubuhkan di Sekolah Raja Chulan tahun 1984.Tapi sebelum sempat persembahan sebenar diadakan saya sudah menarik diri selepas fikir dua kali. Yang lain teruskan persembahan dengan menyanyikan lagu Bila Larut Malam. Yang kanan sekali ialah Shahrul Azila Mohd Salleh (sekarang tauke Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEADT) di Bandar Penawar, Johor), yang tengah Yahya bin ....(sekarang cikgu kat mana entah), yang meliuk main gitar tu Yot atau Yahya Sulaiman (penyanyi lagu P. Ramlee terkenal di Kuching), hujung sekali Nan Turtle (Adnan, tak tau kerja apa) Dah lama tak jumpa mereka.



1. Maka bertembunglah dua saudara yang datang dari benua yang sama. Yang seorang sudah berhenti daripada menjadi ketua lalu menempelak saudaranya yang tidak juga mahu turun dari takhta. Mungkin disebabkan cemburu atas kelamaan saudaranya menduduki jenjang kuasa, melebihi tempoh masa dia, maka yang satu ini pun menyindir dengan gaya yang sinis dan tidak pula dijawab dengan seirus oleh saudaranya itu. Mungkin juga keengganan saudaranya menjawab sindiran itu bermuasal daripada ketahuannya bahawa tidak ke mana pertengkaran mereka kerana adalah pepatah yang lama dicipta orang seperti ..... Adapun perkataan itu (yang dikosongkan), tidak boleh disebut sewenang-wenangnya kerana pernah menimbulkan isu. Kepada orang ramai sekalian, janganlah risau atau berasa pelik dengan perselisihan dan pertengkaran mereka berdua itu kerana suatu masa nanti akan senyap jugalah mereka dan saling berpelukan kerana asalnya dari benua yang sama.





2. Kalakian maka disebut oranglah bahawa Malaysia telah mengiktiraf Pesta tanglung sebagai acara negara dan penganjurannya akan dibantu dengan dana yang besar, sekitar RM250,000. Kalau demikian halnya untuk mewujudkan 1 Malaysia, bukankah aneh sangat caranya. Itu hanya akan mewujudkan budaya potpuri. Kalau hendak diwujudkan 1 Malaysia bukankah cara yang sesuai ialah mengiktiraf satu budaya yang dikongsi bersama? Dasar Kebudayaan Kebangsaan itu sudah dilupaikah? Atau sengaja dilupai. Sekarang jika silap perhitungan akan adalah protes membawa lembu ke mana-mana. Kerajaan Selangor sekarang sudah menghadapi budaya lembu ini. Dan lembu pun berasa besar hati sekarang kerana diri mereka diangkat sebagai bahan tawar-menawar yang cukup sakti.


Selain Pesta Tanglung, mungkinkah akan diisytiharkan pula Thaipusam sebagai acara negara?


Memanglah wajar sekali semua kaum mengamalkan budaya mereka tanpa gangguan kerana kerajaan Islam tidak pernah menghalang amalan agama lain bergerak degan aturan mereka. Tetapi semasa kita subuk hendak mewujudkan 1 Malaysia, kita telah mengambil gerakan mengundur. Tau sajalah kalau sudah mengundur, mata ke depan, maka akan terjerumuslah kita ke gaung di belakang seperti runtuhnya timbunan sampah menimpa kandang lembu di Sungai Kertas.





3. Satu lagi usaha kerajaan hendak mewujudkan 1 Malaysia ialah mengadakan asrama untuk pelajar pelbagai kaum. Memang baiklah begitu. Tetapi jangan lupa, kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil masih menjadi penghalang untuk matlamat 1 Malaysia. Bandingkan pemahaman dan pengetahuan pelajar daripada sekolah kebangsaan dengan pelajar sekolah vernakular tentang hidup bersatu di Malaysia. Nescaya akan terkembanglah bukti bahawa sekolah vernakular ibarat menajamkan lagi perbezaan kaum di negara ini, apatah lagi jika pelajarnya berhenti setakat darjah enam dan tak sempat memasuki sekolah menengah kebangsaan.
Salam untuk semua.

Saturday, September 19, 2009

beraya di kampung







(Gambar 1: Kunjungan raya di rumah saya selepas sembahyang hari raya. Tradisi ini kami pertahankan dengan susah payah kerana minat generasi muda untuk menyambungnya semakin pudar. Gambar 2: Kami bergambar selepas sembahyang di surau kampung. Gambar 3: Pada malam raya kami mengadakan majlis tahlil keluarga untuk ibu bapa)







Saya sampai di kampung hampir pukul 2 pagi setelah setelah berengsot di lebuh raya selama lima jam. Bertolak pada pukul 9 malam, kami sudah menjangka jalanakan sesak, jadi saya tenteram saja memandu walaupun pinggang sakit juga.
Malam raya kami adik-beradik megadakan takbir dan tahlil di rumah untuk ibu ayah yang telah pergi. Hampir 40 orang kami berkumpul dan beraya di rumah pusaka. Itu pun keluarga abang saya tidak balik. Kalau balik tidak tahulah keadaannya. Tapi inilah keseronokan yang jarang saya nikmati. Walaupun ibu bapa telah tiada dan rumah pusaka tinggalkosong masih lagi kami dapat berkumpul pada raya kali ini.

Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya

Selamat menyambut Aidilfitri semoga berbahagialah semuanya dalam kedamaian dan keimanan. Maaf zahir batin sesungguh-sungguhnya. Semoga kita dilindungi Allah SWT.

Kalau ada hutang, lebih mudah kalau halalka saja. Tak gitu?

Sempena hari raya ini marilah kita membantu saudara kita di Ipoh yang sedang diuji Allah. Tak perlulah saya menyatakan namanya di sini kerana dibimbangi beliau tidak menyenanginya. Beliau seorang yang merendah diri. tetapi sebagai sahabat inilah masanya kita meringankan bebannya. Lutfi ishak mencadangkan kita mengutip wang untuk disalurkan kepadanya. Beliau mencadangkan akaun bank saya digunakan. Bolehlah kalau gitu. sesiapa yang hendak memasukkan wang untuk tujuan itu sila hubungi saya dahulu dan selepas memasukkan wang. takut terpakai pula duit orang.

Sunday, September 13, 2009

najib dan samy

Ketika Dato Seri Najib dan Dato Seri Samy berucap dalam persidangan agung MIC baru-baru, tampaklah persamaan mereka walaupun perbezaan tidak dapat dielakkan. Perbezaannya, selain fesyen rambut dan tahap kemerahan kulit yang ketara, terlihat juga pada nada suaranya. Suara Najib begitu nyaring sehingga menggemakan dewan persidangan. Tidak pernah dia selantang itu. Sama ada dia sengaja hendak marah terhadap mentua, maka menantu dipukul, tidaklah dapat saya pastikan. Tetapi Samy pun tidak kurang hebatnya kerana berupaya menjadikan kemarahan Najib seperti tidak tertuju kepada dirinya. Dia seraya memuji Najib dengan mengatakan PM inilah yang beriya-iya sangat membantu kaum India di negara ini berbanding yang lepas-lepas. Cerdik Samy tidak tertanding oleh Subramaniam. PM yang lepas-lepas pernah dijunjung dan dipujanya tetapi sekarang dipermainkannya. Giliran najib pulalah sekarang disanjung sebelum kemudian nanti menerima nasib yang ....(entahlah)

Tentang persamaan mereka pula: masing-masing kebal dari segi sebarang tuduhan oleh penentang dan pembangkang mereka. Mereka ternyata berjaya mengharungi badai itu sehingga tidak mendatangkan kesan mudarat apa-apa pun kepada kerjaya politik mereka. Malahan semakin tegak mereka berdiri dan yang menuduh pula tunggang-langgang bagai dihambat lembu gila.

Persamaan lain yang sangat mengesankan ialah bahasa yang digunakan. Apabila Najib bercakap dalam bahasa Inggeris campur-campur, maka Samy pun tidak mahu mengaku kalah. Dia juga bercakap Inggeris yang lebih baik daripada ayat bahasa Melayunya. Maka jadilah hasrat mewujudkan 1 Malaysia hampir nyata. I Malaysia nanti beralatkan bahasa Inggeris pecah belah kerana kalau nak digunakan bahasa Inggeris sempurna pun bukanlah mudah. Ramai suku sakat Samy pun bukannya reti berbahasa Inggeris, tetapi setakat menyebut "tenk kiu" bagi "thank you" atau "yeroplen" bagi aeroplane tidaklah menjadi masalah. Tahu sangatlah saya akan kemampuan mereka kerana pernah bergaul dengan rakan-rakan dari Estet Kemuning dan Dovenby di Sungai Siput.

Najib nyata sangat tidak mempercayai bahawa bahasa Melayu patut diucapkan dalam persidangan MIC itu. Jika tidak tentulah dia akan bercakap dalam bahasa Melayu. Mungkin jugalah tindakannya itu disebabkan dia tidak lagi meyakini bahasa Melayu difahami oleh orang India di negara ini. Sudah berbuih mulut dia menasihati orang India itu dan ini dalam bahasa Melayu tetapi mereka buat bodoh saja. Akhirnya berlakulah perubahan dasar ucapan, yakni dengan menggunakan bahasa Inggeris pecah belah.
Kalau selepas ini persidangan MIC di estet pun bercakap dalam bahasa Inggeris pecah belah, dapatlah kita fahami sebabnya. Dalam persidangan lain pun nanti bahasa Inggeris tidak mustahil digunakan, walaupun dalam persidangan UMNO yang asalnya ditubuhkan dengan jerih payah dan keringat orang Melayu kampung yang berbahasa Melayu.

Kadang-kadang terasa semangat berbahasa Melayu oleh Chua Soi Lek lebih tinggi daripada orang Melayu sendiri. Maka salah siapakah kalau bahasa Melayu akhirnya dicampakkan ke longkang suatu hari nanti.

Thursday, September 10, 2009

Putu kacang, bahulu, kuih bakar dan lemang



(Sungai Baduk, dekat perkampungan Orang Asal di Ulu Chemor. Airnya jernih dan tidak dalam. Keriangan kanak-kanak ialah gambaran keriangan kami semasa kecil. Tapi semasa saya kecil sungai ini sudah saya susuri dari hilir ke hulu dan memasuki hutan, turun naik bukit untuk mencari petai. Malangnya pokok petai pun tak ditemukan)

Apabila emak hendak membuat kuih raya lazimnya saya akan membantu menumbuk kacang hijau untuk putu kacang, memukul telur untuk bahulu, mencari buluh untuk memasak lemang. Putu kacang emak sangat sedap,lembut dan manisnya sederhana. Emak akan meminta saya menumbuk kacang hijau di dalam lesung besi yang dipinjam daripada jiran atau lesung kayu yang dari mana diperolehnya. Saya sebenarnya tidak gemar sangat melakukan kerja itu kerana penat berpuasa tetapi disebabkan itu satu tugas rutin maka melakukannya juga. Bukannya mudah hendak menghancurkan kacang hijau sehingga benar-benar halus sebelum diayak dengan pengayak. Putu yang sudah dibentuk dengan acuan kayu akan dijemur dan ditutupi selendang nipis. Ini pun perlu dijaga kalau-kalau datang burung atau hari hujan. Kuih bahulu dibuat secara tradisional. memukul telur dengan gula memang memenatkan tangan dan berkali-kalilah saya menanyakan sama ada sudah cukup mesra atau belum telur dan gula itu. Bahulu dimasak di dalam periuk di atas dapur kayu. Di atas tudung periuk itu akan diletakkan sabut yang dibakar juga. Tekanan api dari atas dan bawah akan menjadikan bahulu kembang dan lembut. Kuih bakar pula dimasak di dalam oven yang menggunakan dapur minyak tanah. Kuih bakar emak akan dihiasi hirisan ceri merah. Hirisan ceri inilah yang menarik selera selain rasa kuih yang sedap, rangup.

Buluh lemang akan kami cari di hutan sekitar kampung. Biasanya saya dengan kawan-kawan akan bersama-sama mencari buluh yang entah siapa pemiliknya. kami tidak mengira sangat siapa tuan tanah hutan itu. Asalkan ada buluh muda kami akan mengambilnya. Memasak lemang juga menjadi tugas saya. Saya terpaksa menjaga api dari mula ditanak hingga masak. Masa yang diambil sekurang-kurangnya enam jam. dari mula memang tidak sukar kerana hari masih pagi tetapi menjelang petang saya sudah mula kepenatan dan mengantuk. Ini menyebabkan saya terleka untuk mengalih-alihkan buluh lemang di palangnya. Akibatnya lemang saya akan selalu hangus sebelah. Ini sebenarnya mengecewakan saya kerana sudah bertungkus-lumus sejak pagi tetapi digagalkan oleh kelekaan menjelang petang. Sayapun berazam untuk tidak mengulang kesilapan itu pada tahun depannya. Tetapi tahun pun begitu juga hasilnya.

Pernah suatu ketika saya bersama kawan saya, Du namanya (nama sebenar Azhar), mencari buluh lemang untuk dijual kepada Mak cik Awi yang berniaga lemang. Kami pun memasuki hutan ke hutan dan berjaya mengumpulkan buluh dalam kuantiti yang banyak. Di samping itu kami juga mengutip bunga kantan untuk dijual kepada Mak Cik Awi. Kami sudah berkira-kira untuk mendapat belanja raya hasil daripada jualan lemang itu. Seeblum kami menjual bulu tersebut kami telah memotongnya mengikut ruas, kononnya untuk memudahkan pembeli. Setelah siap kami pun memikul buluh dan menjinjit bunga kantan ke rumah Mak Cik Awi. Dia sudah sedia menunggu di laman rumahnya yang dinaungi pokok getah. Mak Cik Awi hanya berketang dan bersila di tikar atas tanah sambil menghisap rokok lucky strike. Dia memang menghisap rokok dan sebenarnya ramai juga wanita tua di kampung saya dulu merokok. Mungkin itu kebiasaan yang tidak menyalahi norma pada masa itu. Dengan penuh semangat kami menghulurkan senyum dan bertanyakan berapa hasil jualan kami itu.

Bagaimanapun, impian kami hancur berderai. Rupa-rupanya kami tersilap potong. Kami memotong buluh secara melurus, sepatutnya secara songsang. Buluh kami itu, pangkalnya ialah bahagian yang lembut. Jika demikian halnya macam mana lemang hendak dibakar? Akan pecahlah pangkalnya. Alangkah kesalnya kami ketika itu. Mujurlah kekecewaan kami diubati oleh Mak Cik Awi apabila dia membeli juga buluh yang agak tua dan masih boleh digunakan untuk melemang. Bunga kantan juga dapat mengubati kekecewaan kami. Saya tidak ingat akan jumlah hasil jualan kami, tetapi tentunya jauh daripada jangkaan.

Yang pasti, kami tidak tahu pun siapakah pemilik tanah tempat kami mengambil buluh tersebut. Semuanya kami anggap tumbuhan wakaf. Saya yakin pada masa itu belum ada orang yang mementingkan hak atas tumbuhan liar sebegitu. Sesiapa saja diizinkan mengambilnya untuk kegunaan. Masalahnya, kami berniaga...boleh ke gitu?

Wednesday, September 9, 2009

Kampungku Seorang Tua

Tapak rumah
Belukar sepulau
Tiang reput
Tangga runtuh
Punggur kelapa
Longkang tepu
Jalan pecah
Kekabu sepah
Suara azan serak sekali.

Pak Mat pimpin basikal usang
tiada lagi
Imam Bada bertatih ke surau
hilang jejak
Pak Itam pahat kentung
tinggal bayang
Pak Embi pun
baru saja pergi

Mujur ada lagi Haji Latif jadi imam
dengan serak suara dan selingan batuk
dengan sesak dada dan ketar lutut
dan sebaris semut serta kelkatu
merayap terbang
mengaminkan Fatihah.


Budak-budak berligan guli
entah ke mana
Budak-budak melastik burung
entah ke mana
Budak-budak meranduk paya
entah ke mana
Yang ada di simpang surau
anak muda berbual kosong
memicit butang sms
menghembus asap rokok
dan beredar pulang ketika maghrib tiba
berselisih dengan Haji Latif yang terketar
membuka kunci surau
dengan sambutan salam malaikat
serta semut dan kelkatu.

Siapa peduli pada kampungku
bagai si tua yang tinggal tulang
dan kehilangan suara
di dadanya seribu kenangan
di kepalanya seribu harapan
agar meriah kembali bertandang di laman surau
marhaban dan berzanji berkumandang
tempik selawat tarawih melangsing
kenduri milik sekampung.

Siapa peduli lagi
Semuanya berlalu tanpa dijejak rindu
Yang pergi tidak berganti
Yang datang tidak peduli.

Kemeriahan dan keseronokan
sesekali datang
sewaktu pilihan raya berulang
dan YB semakin kerap menghulurkan budi
membuat kenduri dan meminta undi.

Selepas itu kampung tinggal sebatang kara
seorang tua bertulang selangka
harapan dan doanya
cuma bergema dalam dada.
cuma bergumam di hujung senja.



2008-09

Friday, September 4, 2009

Anak Chemor

(Ini gambar Lutfi Ishak dan Amirul Fakir sedang menaiki beca di Medan. Saja nak tunjukkan ketampanan teman saya dari Hulu Bakai ni. Amirul Fakir sudah lama tidak kami ziarahi di Ipoh. Apa khabar dia sekarang terutama menjelang aidilfitri ini. Mari kita sama-sama memikirkan bantuan untuk beliau yang sedang diuji Allah SWT)


Kali ini saya hendak bercerita tentang Chemor dan legasinya.

Kenapa saya sering sangat menyebut tempat asal saya di Chemor? Sebabnya Chemor memang tempat yang hebat. Di sinilah lahirnya Aminuddin Baki yang merupakan tokoh pendidikan negara. Rumahnya banglo di kampung Batu 9 pernah saya kunjungi. Keluarganya besar. Sanak saudaranya merata di kampung itu, jalan Kuala Kangsar -Ipoh. Di situ juga ada keluarga Tun Adam malek,bekas Menteri Luar Indonesia yang juga bertanggungjawab menjernihkan konfrontasi Malaysia-Indonesia tahun 1963. Ibunya memang tinggal di situ dan rumahnya juga besar. Sekarang saya tidak pasti sama ada rumah itu masih ada atau tidak.

Dalam satu lakaran kartun Lat dipaparkan orang bermain bola di tepi jalan keretapi. Penjaga gol yang terleka melihat keretapi lalu di belakangnya telah melepaskan gol daripada tendangan penalti lawannya. Jalan keretapi itu dan padang bola tersebut letaknya di pekan Chemor. Lat pun memang orang Tanjung Rambutan. Adiknya Mamat ialah senior saya semasa di Sek Men Raja Chulan, Ipoh. Pada masa itu saya tinggal di asrama manakala Mamat tinggal di luar. Dia di tingkatan enam atas dan saya baru berhijrah ke sekolah itu setelah berjaya memasuki tingkatan enam rendah. Mamat memang berwajah lucu tetapi saya jarang melihatnya di sekolah. Kawan seangkatan dengan ialah Karim, ahh tak ingat dah. Kalau dulu ada blog bolehlah saya tulis nama semua mereka.


Pada masa itu (tahun 1982) Chemor belum ada tingkatan enam. Maka terpaksalah saya meninggalkan keluarga dengan sedikit kebimbangan: bagaimana hidup di tempat tanpa wang? Kebimbangan itulah yang menjadi faktor keengganan saya menerima tawaran ke tingkatan empat aliran sains di Ipoh pada tahun 1980. Saya tidak pasti sama ada keluarga saya mampu mengadakan wang untuk keperluan saya di asrama. Jadi, kekallah saya di Sek Aminuddin Balik Chemor sehingga selesai tingkatan lima dalam aliran sastera. Memang minat saya dalam sastera dan kalau saya ke aliran sains agaknya saya akan terkandas. Alhamdulillah pilihan saya bolehlah dikira tepat, agaknya. Dapat jugalah saya memperoleh gred 2 dalam SPM. Di sekolah saya ketika itu rasanya hanya tiga atau empat orang sahaja berjaya mendapat gred 2. Gred 1 rasanya tiada. Gred 3 banyak dan diikuti gred 4 yang paling banyak.


Selain itu, kalau sesiapa pernah membaca buku siri Bercakap dengan Jin, karya Tamar Jalis pastilah dapat mengetahui selok-belok rimba belantara sekitar Chemor, Tanjung Rambutan dan sekitar. Saya tidak mengenali Tamar Jalis tetapi latar kisahnya di tempat saya. Sememangnya di tempat saya banyak kisah misteri dan luar biasa begitu. Nantilah dalam kesempatan lain saya ceritakan kisah pertempuran dua bomoh di kampung saya dengan bantuan jin masing-masing.

Di kampung Ulu Chemor dulu ada seorang pawang yang cukup disegani. Kononnya dia mengawal sekitar beberapa kampung. Sebarang masalah yang timbul dirujukkan kepada beliau. Kononnya semua jin di beberapa kampung dalam pengawasan beliau dan tunduk kepada beliau. Pernah seorang budak kecil, namanya Faridah, hilang di kampung. Apabila dirujukkan perkara itu kepada pawang tersebut dia cuma menjawab: "Ada dia tu, tak ke mana."

Orang kampung pun kembali mencarinya dan Faridah ditemui di dalam kebun ubi belakang rumahnya pada waktu malam. Sebelum itu sehari suntuk tempat itu sudah digeledah tapi tak ditemui sesiapa. Faridah memang selalu disembunyikan. Kami percaya ada makhluk halus yang suka pada Faridah.

Di kampung saya juga, semasa saya kecil, sekitar tahun 60-an dan awal 70-an agaknya, sering diadakan kenduri simpang. Sebulan sekali orang kampung akan membawa bekalan makanan (potluck) ke simpang empat, dekat rumah saya, untuk dikendurikan bersama. Konsep bawa makanan sehidang sekeluarga memang sudah lama diamalkan di kampung saya. Waktunya bermula senja hingga pangkal maghrib. Pawang itu akan mengetuai doa. Saya tidak pasti sama ada orang kampung bersembahyang maghrib atau tidak. Yang pastinya kami seronok menyertai kenduri yang bertujuan menolak bala itu. Di situlah kami menikmati kuih sagu, bubur kacang, kuih lompang, kuih gelang keria), seri muka, kundas (cakui), dan macam-macam.

Sesiapa yang pernah hidup dikampung tentunya akan dapat menghayati kisah yang ditulis oleh Shahnon dalam banyak novelnya seperti Detik-detik Diri di Daerah Daif, Srengenge, Tunggul-Tunggul Gerigis, dan Ranjau Sepanjang Jalan.

Anak-anak sekarang yang lahir dan membesar di bandar langsung tidak tahu akan kehidupan sebegitu. Mampukah mereka memahami kecintaan dan kerinduan ibu bapa mereka terhadap kampung halaman?

(n.b. Seceruk-ceruk kampung saya tidaklah seceruk kampung Lutfi Ishak di Hulu Bakai... Tapi durian dan manggis di kampung dia sedap...ambil hati balik. Nanti boleh ke sana lagi.)
Tuan Sham al-Johori dah berkisah tentang meriam buluh dalam blognya. Ingat dia saja ada kisah begitu. Kami pun ada. Kami tak pakai buluh dah, tapi pakai paip pvc yang ditinggalkan kontraktor paip air. Pernah juga pasukan artileri kampung saya yang diketaui oleh Din (sekarang dia dah berusia 50-an, dah pencen main meriam) menggunakan besi pancut air yang diambil dari lombong bijih timah di belakang kampung. Tapi meriam itu entah ke mana hilangnya. Paip pvc pun boleh tahan dan boleh disimpan bertahun-tahun. Bunyinya gamat sekampung dan berdegum sampai ke kampung sebelah lalu dibalas oleh pasukan artileri kampung Hulu Chemor pulak. Masalahnya ialah pada masa itu emak saya sudah jatuh sakit angin ahmar dan dia terngganggu dengan bunyi itu. Mereka bermain di simpang empat tengah kampung dekat rumah saya. Saya memang tidak mencampuri mereka kerana berakal jugalah. Tapi seronok juga tengok sesekali. Sebenarnya selalu juga teguran diberikan oleh orang tua, tetapi sukarnya mereka hendak menerima teguan itu lalu berlakukan konflik generasi.

Setelah menerima banyak teguran dan anggota pasukan pun sudah semakin berumur, mereka pun berpindah ke hutan belakang kampung,tapi bukan sebarang hutan. Sebenarnya tempat bermain meriam itu di kebun sayur Cina yang bernama Ah Yau. Ah Yau (sudah mati pun) sudah berkebun di kampung saya sejak berpuluh-puluh tahun (ramai lagi Cina berkebun di kampung saya sejak saya kecil kerana tanahnya sangat subur dan kami sudah lama hidup rukun damai, makan sayur tak payah beli kerana boleh dapat percuma kalau kita bekerja di kebun mereka atau meminta sedikit secara percuma). Disebabkan kebetulan ketika itu Ah Yau ketika itu menanam betik dan mentimun, maka pasukan artileri ini seronok sangat kerana boleh meratah mentimun dan betik sesuka hati. Saya pergi juga ke hutan itu (masa tu dah berkeluarga) tetapi saya tak makan buah curi, kecuali kalau mereka kata Ah Yau dah beri kebenaran. Pernahkah Ah Yau kata begitu? bunyinya tetap gamat sewilayah tiga empat kampung tapi tidaklah menggegarkan kerana jaraknya jauh, hampir setengah KM.

Sekarang saya tidak pasti sama ada meriam masih ada atau tidak kerana angkatan muda sekarang tidak seperti dulu yang adventures. Sekarang mereka hanya sibuk dengan motor, dan bilangan mereka sangat kecil kerana ramai yang sudah bekerja di luar.

Kampung saya sebenarnya semakin kecil, semakin sepi, semakin kosong. Orang tua sudah ramai yang pergi manakala orang muda pun tidak menjenguk ke surau macam angkatan kami dulu. Puncanya dulu AJK surau mengunci pintu surau kalau bukan waktu maghrib dan isyak kerana banyak sangat kejadian kecurian barang surau. Akibatnya surau tidak lagi menjadi tempat lepak anak muda lalu generasi itu semakin jauh dari serambi surau apatah lagi lagi mihrabnya.

Tapi saya akan balik ke kampung juga tahun ini, biarpun teman sudah semakin sedikit. Saya perlu menyokong teman-teman yang masih tinggal di kampung kerana kalau mereka juga keluar dari kampung itu apakah yang tinggal lagi? Saya akan kehilangan kampung halaman dan tentunya rumah pusaka akan mereput. Alangkah tragisnya kehidupan itu. Maka yang tinggal ialah Kampung Nurani (pinjam frasa yang dipopularkan oleh Tuan Haji Sham).

Bertualang

Bergambar di Tanah Lot, Bali dengan AJK PENA tahun 2007. Sudah agak lama tidak dapat bertualang dengan ihsan presiden terasa semakin sepi di tanah sendiri. Bilakah agaknya kita akan bertualang lagi seperti dulu? Maksudnya dengan ihsan presiden. Sudahkah kita melantik mantan Presiden sebagai Penasihat Kehormat PENA?

Bergambar dengan otai (old timer but young forever) menimbulkan dua kemungkinan kesan: kita tampak tua ataupun mereka yang tampak muda.

Pak Berahim dengan blangkon jawanya akan mengandakan moreh puisi mala ni di rumahnya, Jalan Bukit Kapar, Kelang (4 September 2009). Sesiapa yang hendak pergi silalah. Majlis itu dengan kerjasama PENA bagi menggantikan majlis baca puisi PENA yang berehat sebulan puasa ni.

(Kali ini tulis dalam tiga perenggan setelah ditegur oleh Nasury, mantan pelajar yang dulu selalu juga menipu saya. Sekarang dia pula menegur saya. Inilah pelajar cemerlang.)

Wednesday, September 2, 2009

derma dan sedekah

Sepanjang Ramadan ada saja ustaz yang datang memberi tazkirah di samping meminta sumbangan untuk pembangunan, anak yatim dan sebagainya di tempat mereka. Malah inti ceramah kadang-kadang dihilangkan oleh penekanan keterlaluan pada akhir tazkirah tentang kebaikan bersedekah. Betullah kata ustaz itu, tetapi kenapa sampai begitu sekali di Malaysia ni? Kenapa budaya minta sedekah terlalu kuat? Ustaz yang berbuat demikian termasuklah wakil rakyat yang katanya untuk membangunkan ummah di kawasan mereka. Terlalu kabur konsep membangunkan ummah. Kenapa wakil rakyat pun minta sedekah? Mereka akan jawab bahawa kerajaan pusat tidak memberikan peruntukan yang sepatutnya kepada mereka. Betul juga kut dakwaan itu. Tapi gambaran ini sangat tidak menyenangkan, seolah-olah Islam hanya boleh dibangunkan dengan minta sedekah. Tidaklah saya menyalahkan mereka yang berbuat demikian, cuma yang merungsingkan saya, inikah keadaan umat Islam sampai sekarang? Kenapa begitu daif umat Islam? Bagaimana penglibatan mereka dalam perniagaan atau penjanaan sendiri?
Jangan sesiapa salah anggap pertanyaan saya ini. Bersedekah sangat baik tetapi dalam Islam dikatakan tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Bersedekah baik tetapi meminta sedekah rasanya kurang mulia.
Kalau benar kerajaan pusat tidak adil, amat malanglah kita.

Thursday, August 27, 2009

nganto-nganto: permainan yang sudah lenyap

Permainan nganto-nganto tidak saya temui di tempat lain. Di Kampung Jasa, Chemor sekitar tahun 60-an dan 70-an sebelum masukera elektrik, permainan itu sangat popular dalam bulan puasa. Nganto-nganto berasal daripada kata "menghantar" dan diperakkan dengan sebutan unik kami. Caranya agak pelik kerana yang berbudi akan menerima akibat buruk tetapi sememangnya direlai. Satu kumpulan dalam tiga atau empat orang (bergantung pada perbincangan) akan menyediakan juadah makanan sama ada kuih, buah atau pun apa-apa sahaja asalkan boleh dimakan. Senarai nama akan ditulis pada sehelai kertas. Juadah dan kertas itu kemudian akan dihantar ke mana-mana rumah secara senyap pada awalnya, tetapi setelah selesai meletakkannya di pintu rumah kumpulan itu akan membakar mercun atau menjerit "Nganto-nganto!" Kumpulan itu akan lari menyelamatkan diri kerana selepas itu tuan rumah akan menyediakan kumpulannya pula yang terdiri daripada rakan-rakan untuk mengejar mereka. Lebih menyeronokkan, kumpulan pengejar akan menyapu telapak tangan pada arang kuali untuk disapukan pada muka orang yang menghantar juadah. Berdasarkan senarai nama itu, mereka akan mengejar kumpulan penghantar di segenap kampung. Biasanya permainan itu sudah bermula selepas maghrib lagi. Maka akan berkeliaranlah dua kumpulan itu di serata kampung hatta memasuki hutan atau semak belukar di tengah kampung. Walaupun perdu nanas menghunuskan ketajaman daunnya sedikit pun tidak timbul ketakutan pada kumpulan penghantar untuk menyelamatkan diri. Sekiranya sesiapa yang lari berjaya ditangkap maka arang yang bersalut pada tangan pengejar akan menghitamkan muka mereka. Tidak boleh sesiapa pun memarahi hukuman itu, malahan semuanya akan berasa seronok dengan adegan kejar-mengejar. Lazimnya permainan akan berlarutan sehingga larut malam atau setelah semuanya berjaya disapu arang. Semasa saya kecil, orang yang sudah berkeluarga pun turut serta dalam permainan ini, baik lelaki mahupun wanita. Sekarang mereka sudah tua-tua.
Saya sendiri berpengalaman sebagai penganto mahupun pengejar. Dan kami pernah bersembunyi di belukar paya apabila pengejar sudah hampir. Sedikit pun tidak kami takut ketika itu. Ada kawan yang hanya berlari dengan berkaki ayam. Dan kawan ini jarang mengaku bahawa dia sudah berjaya ditangkap.
Setelah penat dan selesai kami akan pulang ke rumah dan mandi sebelum masuk tidur.
Setelah kampung menerima bekalan elektrik permainan itu semakin surut dan hilang juga akhirnya. Malahan panjut pun tidak lagi menerangi kampung kecuali di sebuah dua rumah. Tidak ada lagi kanak-kanak (saya sendiri) yang berjalan dari rumah ke rumah dengan membawa tanglung lilin. Tanglung itu dibuat berbentuk bintang yang disaluti kertas lutsinar. Di dalamnya, pada rangka buluh akan dipasangkan lilin. Ramai kanak-kanak dan anak dara tentunya berjalan di sekitar kampung. Ketika itu saya masih kank-kanak dan tidak merasa debaran bermain dengan anak dara di kampung. Semua kami anggap biasa saja. Malah mandi di sungai pun tidak dibatasi apa-apa.
Kawan-kawan saya masa itu ialah Wa, Lan, Usop, Hamid, Pot, Johari, Mat Pak Buyong, Du, Li Ketot. Amir. Kami tidak mencampuri generasi yang lebih dewasa kerana pada masa itu kanak-kanak tidak boleh mencampuri "orang tua". Tapi rasanya kenakalan kami tidaklah sampai mengatasi kenakalan "orang tua" masa itu.

Setelah bersekolah saya jarang sekali tidur di rumah semasa bulan puasa. Kami akan memenuhi madrasah tidur berhimpit-himpit. Tetapi ramai juga yang merayau sebelum tidur atau mengintai rumah orang yang ada anak dara atau pasangan yang baru berkahwin. Saya sendiri tidak berani berbuat demikian kerana bimbang diketahui oleh ibu bapa saya. Cerita mengintai pun sentiasa bermain dalam kenagan saya. Kita sambung kemudian...apa lagi aktiviti dalam bulan puasa?

Tuesday, August 25, 2009

Berpuasa semasa bocah

Aku tidak berapa ingat akan pengalaman berpuasa semasa aku masih bocah (maknanya kanak-kanak..isy terpakai bahasa Indonesia pulak) di kampung kerana memang daya ingatanku agak lemah. Mungkin terlalu banyak peristiwa yang bersesak dalam tempurung ingatan. Disebabkan jarang-jarang dikeluarkan secara bertulis, maka banyak kenangan terperap di dasar dan menghalang ingatan lain muncul di permukaan. Walau bagaimanapun, sesekali lintasan kenangan yang berupa fragmen-fragmen indah masih sentiasa melayang di depan mata hati dan mata batin sehingga aku sering terasa semakin jauh dari kenangan itu dan semakin dekat pula kepada daerah kematian. Lalu, ingatan itulah yang akan kukongsikan bersama dalam ruangan ini, atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban yang sarat dalam tempurung ingatan. Semoga setelah cebisan kenangan ini dikeluarkan, ada ruang untuk kenangan lain muncul di permukaan suatu hari nanti.
Kampungku jauh dari pekan, kira-kira 5 batu dari pekan Chemor. Nama pekan Chemor itu kononnya berasal daripada perkataan "cemar" kerana banyak komunis pada zaman darurat dulu. tetapi tidaklah pula aku ketahui sama ada pekan itu baru diberi nama semasa kewujudan komunis atau memang sudah diberi nama sebelum itu lagi. Satu lagi versi mengatakan nama itu berasal daripada perkataan "cu mau" dalam bahasa Cina (entah Hokien entah hakka, entah Khek) yang bermakna bulu babi. Memang dulu-dulu banyak sangat kandang babi di sekitar Chemor, malahan hampir di kebanyakan lombong tinggal ada saja kandang babi sehingga membiakkan ikan tilapia di dalamnya. Kami pun memang sering memancing atau menjala di lombong itu. Kami tidaklah memancing di kandang babi tetapi jauh di seberang dan lombong itu pula besar saiznya. Kami membuat fatwa bahawa ikan itu sudah dibersihkan oleh luasnya lombong itu yang beribu-ribu kolah.
Asingnya pekan Chemor dan besarnya pekan itu dalam kehidupan saya hanya dapat dijelaskan dengan langkanya saya ke sana. Seingat saya, kali pertama saya ke pekan Chemor (dalam keadaan yang sedar) ialah semasa hendak mengambil peperiksaan penilaian darjah lima, dan kemudian mengambil gambar untuk membuat kad pengenalan semasa darjah enam. Pada masa itu jalannya masih tanah merah dan kerikil.
Disebabkan kejauhan itu, dan disebabkan belum ada elektrik di kampung kami, pada setiap bulan puasa kami akan berdatangan ke simpang empat, dekat rumah saya untuk membeli ais batu. Ais batu itu dijual oleh Pak Salleh. Kebetulan namanya sama dengan saya. Pak Salleh juga berjual ikan di kampung saya dengan menaiki basikal. Tentang Pak Salleh ini ada cerita peribadi juga ingin saya rakamkan. Dia yang pada setiap hari ke pekan untuk membeli ikan akan turut membeli suratkhabar. Saya pula yang gemar membaca sebarang bahan bertulis akan datang ke rumahnya pada setiap hari untuk membaca akhbar. Pada suatu hari, semasa saya membaca akhbar di anjung rumahnya saya terdengar bunyi benda jatuh ke tanah. Rupa-rupanya Pak Salleh yang sedang membaiki tingkap rumah di biliknya telah tersembam ke tanah. Dia yang memang menghidap penyakit asma telah menderita akibat jatuh itu. hayatnya cuma bertahan kira-kira sebulan. Dia meninggal selepas sebulan menanggung derita. Dia juga semasa hidupnya pernah menolong membawa saya ke klinik di pekan Chemor setelah anak jari kaki saya hampir putus dirembat pisau pengait rambutan. ketika itu, saya memanjat pokok rambutan masa di belakang rumah dengan membawa pengait yang berpisau. Di dahan yang agak tinggi saya menjatuhkan pengait itu. malangnya pengait itu meraut sama jari kaki saya. Mujurlah tidak putus jari itu. Segera saya bergegas turun dari pokok. Balik ke rumah, mujurlah kebetulan Pak Salleh baru sampai untuk berjual ikan. Dia egera membawa membawa saya ke pekan Chemor. Sempat jugalah jari saya kekal bersama sehingga usia sekarang. Jasa beliau tidak hilang dari ingatan.
Pak Salleh ialah penghubung utama orang kampung dengan barangan dari pekan. Dia akan menjual ais batu yang dibelinya dalam bentuk bongkah panjang dan diselaputi serbuk kayu. Dia hanya berbasikal tua. Kami akan membelinya dengan harga lima sen sepotong dan dia akan menggergaji ais itu. Di samping ais, dia juga menjual sirap merah yang diisi di dalam paket plastik. Bagi kami, bekalan ais batu sangat berharga dan menjadi idaman kerana jika bukan bulan puasa jualan ais tidak ada. Hanya dalam bulan puasa kami dapat minum ais yang berwarna merah. Sirap merah juga merupakan satu kebanggan kepada kami. Pada masa itu saya masih belum bersekolah, sekitar tahun 60-an. Saya mula memasuki sekolah darjah satu pada tahun 1971 di Sek. Keb. Kampung Hulu Kuang yang kemudian ditukar namanya kepad Sek keb. Syed Idrus, mengenang seorang penduduk tempatan yang dipercayai dibunuh oleh pengganas komunis. Semasa nama baru sekolah itu hendak diberikan muncul juga cadangan supaya dinamakan Sek. Keb. Gajah Mati kerana tidak lama sebelum itu seeokr gajah telah ditembak mati oleh Jabatan Mergastua di pinggir Gunung Kuang dekat Chemor Estet. Tapi mujurlah nama itu tidak diterima. Jika tidak, itulah gambaran corak pemikiran penduduk pada masa itu.
Rasanya sebelum bersekolah saya tidak pergi ke surau yang kami panggil menesah (madrasah atau munaksah?). Saya hanya bermain di sekitar kampung pada malam Ramadan. Kalau mengaji pun saya akan pergi ke rumah Pak Cik Bada (Imam Badarudin) yang tidak jauh dari rumah saya.
Saya pun berbuka di rumah saja, tetapi tidak juga saya ingat sama ada saya berpuasa atau tidak. Terlalu sayup ingatan itu. Yang penting, bulan puasa ialah bulan meriah di kampung kami dan saya memandang kemeriahan itu dari pinggir sahaja. Saya belum dapat bercampur dengan generasi yang agak remaja kerana mereka hanya bermain sesama mereka. Selain meriah dengan pesta panjut, iaitu pelita yang diatur di sekeliling rumah sejak malam pertama lagi, ada satu permainan yang menarik di kampung saya. Permainan itu kami namakan "nganto-nganto". Tidak ada di tempat lain rasanya permainan itu. Nantilah saya sambung kemudian...nak sambung kerja dulu.

Sunday, August 23, 2009

Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan

Kalau kita hendak memilih Sasterawan Negara biarlah kita apungkan kekuatan dan keistimewaan karya mereka. Dengan kesedaran itu, maka saya titipkan makalah kritikan saya terhadap karya sasterawan Negara ke-10, Dato' Anwar Ridhwan sebagai penghargaan kepada beliau. Saya pernah mengkritik novelnya Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, tetapi belum diterbitkan di mana-mana, maka tidak akan saya titipkan di sini. Tajuknya, "Eros dan Thanatos: Remang-remang yang Estetis dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman". Saya bercadang hendak menyelenggarakan sebuah buku yang menghimpunkan kritikan terhadap karya Anwar Ridhwan tetapi belum sempat. Kalau ada sesiapa yang berminat untuk menerbitkannya, mungkin saya akan mencari kritikan daripada teman-teman. Elok juga kalau ada orang lain yang hendak melakukan kerja itu. Ini idea saya saja. Tangan tak cukup nak buat semua perkara. Selamat membaca tulisan yang dangkal ini.
Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan§

Mohamad Saleeh Rahamad
Pendahuluan

Naratif Ogonshoto (Anwar Ridhwan, 2001) muncul sebagai sebuah teks sastera rakyat moden yang dapat berdiri sebagai teks pascamoden multiwacana— pascakolonialiti (walaupun pascakolonialiti juga termasuk dalam kategori pascamamoden), tekstualisme baru, dan realisme magis. Tiga unsur yang menjadi pasak teks ini --strukturnya Sejarah Melayu, ceritanya bercorak cerita rakyat, dan pemikirannya yang bersifat political dimension--mengeluarkannya daripada kelompok karya yang parokial, jumud, klise, dan mediocre. Karya ini berjarak jauh daripada persoalan setempat tetapi tetap mempunyai signifikasinya dalam penerimaan tempatan kerana nilai kesejagatan yang dikemukakannya. Oleh yang demikian, kedudukannya dapat dibariskan dalam jejeran sastera bertaraf dunia.

Kerancuan Bentuk dan Makna

Sebagai hasil seni, Naratif Ogonshoto juga tidak memberikan makna yang pasti atau bersifat polos, sebaliknya pelbagai tafsiran dapat diberikan lantaran kompleksitinya. Naratif Ogonshoto termasuk dalam karya yang kompleks walaupun dikisahkan menurut aturan naratif yang tradisional. Pembaca dipaksa mencari makna yang tersirat di bawah lapisan naratif ala cerita rakyat yang tampak mudah ini. Tanggapan dapat disejajarkan pada sebuah cerpen (atau bab?) dalam teks ini, iaitu “Pentafsir”. Anwar seperti watak resi tua dalam cerpen tersebut—kata-katanya sukar ditafsirkan kerana dia hanya mengeluarkan “...kata-kata paling terpilih, bagai madu lewat saringan. Kata-kata terpilih itu pula tidak pernah mempunyai makna tunggal, tetapi membawa makna berlapis-lapis serta perlambangan.” (Anwar Ridhwan 2001: 119)
Makna yang dikendong dalam teks ini bukan sahaja berlapis-lapis dan pelbagai, malahan bentuknya juga bebas daripada konvensionaliti. Kebebasan kreativiti dalam pembinaan teks ini membuka satu dimensi baru dalam persoalan genre. Dalam usaha mengenal pasti genre teks ini, kita berhadapan dengan masalah yang sengaja ditimbulkan oleh pengarang/penerbit di samping coraknya yang merentasi sempadan pelbagai genre. Anwar mengumpulkan manik yang berwarna-warni daripada pelbagai sumber tradisi lalu menggabungkannya dalam adunan wacana moden hingga menjadikannya sebuah teks sinkretik, iaitu gabungan pelbagai unsur. Adunannya pula begitu mesra sehingga menghilangkan garis sempadan antara sumber tetapi rasa dan aroma sumber yang pelbagai itu masih terkesan. Adunannya menjadi, dan rasanya tersendiri, “Seperti madu tersaring, bunga tunggalnya tidak dikenal lagi kerana lebah mungkin telah menynting tujuh jenis bunga dari tujuh taman.” (Anwar Ridhwan 2001: 119)
Kerancuan makna memang gejala teks pascamoden. Dalam sastera pascamoden tiada makna tunggal, dan tiada kebenaran yang mutlak. Kebenaran dan jawapan makna terletak pada tafsiran pembaca menurut situasi dan kondisi yang mengelilinginya. Oleh itu, teks ini dapat ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Lebih menyukarkan tafsiran apabila pengarang bermain dengan lambang personal--bilangan hari dalam bab “Mainan”, simbol ikan dan kelapa emas dalam “Pentafsir”, atau iceberg dalam “Aisberg”. Begitupun, kesukaran inilah yang menghidupkan sesebuah karya dalam jangka hayat yang panjang kerana sifatnya yang sentiasa mengundang tafsiran yang polisemi.
Kerancuan genre juga menjadi masalah kajian yang tidak kurang menariknya. Wujud unsur pengaburan genre dalam teks ini sama ada hendak digolongkan sebagai cerpen atau novel, sastera tradisional atau sastera moden. Yang jelas, semua genre itu dapat dilabelkan pada teks ini. Pada bahagian awalan buku ini diterangkan bahawa teks ini merupakan kumpulan cerita pendek dan sebuah daripadanya yang bertajuk "Hering" sudah disiarkan dalam Dewan Sastera, Ogos 2000. Pengakuan ini sudah cukup untuk mengelompokkannya ke dalam kumpulan cerpen selain kemandirian setiap bab sebagai cerpen yang berasingan. Namun begitu, apabila dibaca bahagian prolog hingga epilognya ternyata bab-bab yang episodik tersebut merupakan kisah yang berangkaian lalu membentuk sebuah novel. Pada bab "Prolog: Kawai Maru", dijelaskan geografi negara Republik Ogonshoto dari sudut pandangan seorang pelaut dari kapal Kawai Maru yang pernah berlabuh di Ogonshoto. Hal ini samalah dengan fasa awal sastera sejarah (Sejarah Melayu atau Tuhfat al-Nafis) yang menerangkan asal usul pembukaan negeri dan keturunan raja-rajanya. Kemudian pada bab-bab seterusnya yang bertajuk "Kolonial","Jeneral", "Penyamaran", "Aisberg", "Mainan"," Pentafsir", "Hering", "Jari", "Kamera", dan "Bahtera", dikisahkan naratif berkenaan Ogonshoto dan penghuninya daripada segenap strata sosial seolah-olah dalam bentuk cerita lisan. Bentuk cerita lisan tergambar pada Bab Prolog itu yang diakhiri pernyataan: "Dan di sepanjang jalanan, dalam gerakan lunak itu, mulut ibu terus bercerita terus kepada anak kecilnya...yang sekarang dewasa sudah, sedang bergelimpangan di petiduran, mendengar naratif-naratif Ogonshoto." (Anwar Ridhwan 2001: 8) Dalam bahagian Epilog dikatakan: "...Daripada tokok tambah merekalah naratif-naratif Ogonshoto ini berbentuk dan berisi, punya pangkal dan hujungnya--seperti seekor ikan yang lengkap." (Anwar Ridhwan 2001: 241) Frasa "seekor ikan yang lengkap" sudah membuktikan penyeluruhan teks ini di bawah satu tajuk atau wacana yang lengkap pula.
Mary Louise Pratt (1981, 182--186) menyatakan perbezaan antara novel dengan cerpen: (i) The novel tells a life, the short story tells a fragment of a life; (ii) The short story deals with a single thing, the novel with many things, (iii) The short story is a sample, the novel is the whole hog, dan (iv) The novel is a whole text, the short story is not. Ciri-ciri ini tampak bersilang jika diterapkan pada Naratif Ogonshoto. Setiap tajuk kecilnya boleh menjadi cerpen atau “a fragment of life” atau “a single thing” tetapi apabila dirangkaikan boleh pula membentuk sebuah teks novel, “a life” atau “the whole hog”. Sekarang kita berhadapan dengan Naratif Ogonshoto yang memungkinkan kedua-dua genre ini. Lalu ke dalam genre apakah teks ini hendak dimasukkan?
Persoalan ini terjawab apabila kita membaca teks Sejarah Melayu. Episod-episod yang termuat dalam teks tersebut boleh bersifat mandiri tetapi apabila dibaca secara keseluruhannya maka akan dapat dipegang satu tema yang khusus, sama ada berkenaan dengan permulaan dan kejatuhan kerajaan Melaka mahupun seperti yang dikatakan oleh Lutfi Abas (1995) bahawa tema Sejarah Melayu ialah "Raja sesuatu negeri yang datang dari luar biasanya menjadi zalim terhadap penduduk tempatan, tetapi raja yang zalim itu akan jatuh juga akhirnya walaupun penduduk tempatan tetap setia." Dengan demikian, apa-apa sahaja episod yang dimuatkan dalam Sejarah Melayu, walaupun terpisah-pisah, akhirnya menjurus kepada satu tema yang jitu. Ini samalah halnya dengan Naratif Ogonshoto. Tema yang mendasari setiap babnya menjurus kepada pembentukan satu tema bahawa sebuah negara yang diperintah secara zalim oleh seorang raja pastinya akan hancur juga, sama ada oleh tindakan rakyatnya mahupun balasan daripada Tuhan.
Oleh itu, teks ini tidak dapat didakwa genre yang khusus dengan menafikan hak genre lain. Dalam gejala pascamoden, tiada naratif agung yang diraikan. Maknanya tidak ada satu genre yang berhak mengatakan teks ini sebagai miliknya kerana teks ini berada di kedua-dua pihak, atau di pihak yang pelbagai. Bentuk yang serupa juga dapat dilihat pada Nagogho Astana dan Orang Kota Baru karya S. Othman Kelantan yang menampilkan kehadiran dua genre—cerpen dan novel--dalam sebuah karya.
Naratif Ogonshoto sebagai Teks Pascamoden
Dengan membebaskan diri daripada tanggungjawab mempertahankan kebenaran cerita-cerita yang disampaikan secara episodik itu dan meletakkan segalanya kepada pencerita dari Ogonshoto dan orang dari bahtera Ogonshoto, pencerita dari Kali Besar, Noor, memasukkan segala kepercayaan rakyat tempatan tanpa sebarang tapisan realisme. Ini samalah dengan Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang mahupun The Persian War oleh Herodotus yang menerima segala-gala maklumat daripada orang yang ditemuinya ketika menulis sejarah Perang Parsi hingga tergelincir ke dalam lopak mitos dan karut. Begitupun, dari segi peristilahan unsur tersebut mendapat nama baru yang lebih menarik iaitu realisme magis.
Bauran pelbagai cerita yang realistik mahupun yang bersifat mitos dalam teks ini dimungkinkan oleh logik cereka terutamanya daripada sifat sastera rakyat dan dilatari halusinasi watak Noor dari Kali Besar. Halusinasi yang dialami oleh Noor dari Kali Besar yang dapat dikesan pada bab terakhir mirip gejala yang dialami oleh Lokman dalam teks realisme magis Melayu, Hujan Pagi karya A. Samad Said. Noor dalam Naratif Ogonshoto mengalami mimpi atau halusinasi yang panjang sebagai seorang pelaut/nelayan Jepun yang mengikut kapal Kawai Maru. Dalam pelayarannya itulah dia bertemu dengan rakyat Ogonshoto yang terselamat daripada bencana Tsunami yang melanda pulau mereka. Daripada merekalah dia memperoleh pelbagai cerita tentang Ogonshoto dan kezaliman Presidennya hingga membawa kepada bencana Tsunami yang menenggelamkan Pulau Ogonshoto. Tetapi Noor akhirnya tersedar daripada amnesia yang diakibatkan oleh operasi pembedahan yang dijalaninya di Tokyo. Pengarang menggunakan lesen kreatif untuk mewajarkan segalanya diceritakan tanpa sebarang tapisan realisme. Yang lebih penting bagi pengarang ialah penyampaian idea, mesej, kritikan, dan sanggahannya terhadap gejala korupsi politik.
Yang lebih menyelamatkannya ialah ketiadaan latar tempat dan latar waktu yang tertentu. Semua yang dikisahkannya dan dikritiknya boleh disejajarkan dengan mana-mana situasi, sejarah, dan politik. Oleh yang demikian, teks ini tidak wajar dibaca dengan pendekatan mimetik atau dengan sudut pandangan lokal sentrik. Anwar telah menyusun sebuah teks yang di dalamnya terangkum unsur yang pelbagai daripada teks-teks lain. Hasil gabungan ciri cerita rakyat dan sastera sejarah daripada sastera tradisional dengan ciri sastera moden, Naratif Ogonshoto dapat berdiri sebagai novel beraliran realisme magis ataupun sastera rakyat/historiografi moden. Dikatakan teks ini sebagai historiografi moden kerana kandungannya berlawanan dengan kehendak feudalisme yang mengagungkan raja (presiden). Tanpa tunduk kepada feudalisme, Naratif Ogonshoto bebas memaparkan kehodohan tindakan politik Presiden Ogonshoto, apatah lagi watak dan latar tempatnya cuma rekaan.
Dalam pengertian pascamoden, Naratif Ogonshoto dapat digolongkan sebagai teks pastiche, iaitu karya sastera yang disusun daripada elemen-elemen yang dipinjam daripada pelbagai penulis lain atau daripada penulis tertentu pada masa lalu. Pastiche sering disamakan dengan parodi dari segi penggunaan teks-teks lama sebagai sumber untuk digeledah dan dimodifikasi, tetapi perbezaannya ada. Sementara parodi beroperasi denngan cara menggali, mencari, dan menonjolkan perbezaan dengan teks rujukan, pastiche pula menurut Linda Hutcheon, beroperasi berdasarkan prinsip persamaan dan keberkaitan. Pastiche mengambil bentuk-bentuk teks atau bahasa estetik daripada pelbagai fragmen sejarah, lalu mengeluarkannya daripada semangat zamannya, dan menempatkannya dalam konteks semangat zamannya (masa kini) (Yasraf Amir Piliang 2003: 187-188). Demikianlah operasi kreativiti Anwar dalam Naratif Ogonshoto. Dia mengambil bentuk teks lama sama ada dalam teks sastera sejarah, cerita rakyat, kisah Nabi Nuh, dan sebagainya lalu menempatkan segala-galanya dalam sebuah teks yang bernyawa untuk zaman kini.
Anwar Ridwan memang pakar bercerita sama seperti pakarnya watak penglipur lara Pak Hassan dalam novelnya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Dengan mewarisi kebebasan penglipur lara itu Anwar hanya berperanan sebagai penyampai cerita dalam penyamaran modennya tanpa menghadirkan peringatan yang didaktis secara superficial. Cerita-ceritanya berlangsung seperti yang kononnya berlaku sahaja dan terpulanglah kepada pembaca untuk menangkap maksud yang tersirat di sebalik setiap episod tersebut. Anwar seolah-olah ingin berlepas tangan daripada kritikan yang tersirat dalam Naratif Ogonshoto walaupun pada bahagian awal ditegaskan hak cipta miliknya. Sikap kepengarangannya ini samalah dengan sikap yang dipegang oleh Tun Seri Lanang yang menyusun Sejarah Melayu apabila dia bersandar pada frasa ""kata yang empunya ceritera", "kata sahibul-hikayat", "maka tersebutlah", "al-kisah", dan sebagainya terutama pada bahagian pra-Melaka yang banyak menyelitkan unsur mitos. Dengan menggunakan frasa sedemikian Tun Seri Lanang hanya berfungsi sebagai mediator atau penyampai cerita daripada sumber lain, dan dia tidak bertanggungjawab atas cerita tersebut. Begitupun, Tun Seri Lanang masih memelihara adab sebagai penjunjung perintah raja semasa menyusun teks Sejarah Melayu. Kritikannya penuh dengan kiasan dan tegurannya berlapik dengan kesopanan.
Sebaliknya, lantaran tidak memikul tanggungjawab menjalankan perintah raja sebagaimana Tun Seri Lanang yang menulis "supaya menyukakan duli hadirat baginda", Anwar Ridhwan atau watak Noor dari Kali Besar tidak berkias lagi untuk menceritakan keburukan asal usul Presiden Ogonshoto. Bahasanya untuk watak Presiden adalah kasar, sehingga berani melabelkan Presiden (lazimnya watak kultus dalam sastera istana atau sastera feudalistik) sebagai “anak haram”. Kalau raja-raja Melayu dikaitkan dengan mitos Iskandar Zulkarnain, Presiden Ogonshoto pula tidak mempunyai nasab yang sah--dia seorang anak haram dari Malagana, kota maksiat terkenal di Ogonshoto. Semua ini dimungkinkan oleh kedudukan teks ini sebagai sastera rakyat, atau lebih tepat, sastera rakyat moden.
Sebagai sastera rakyat, suara rakyatlah yang dikumandangkan dalam Naratif Ogonshoto, bukannya kebesaran Presiden. Oleh itu, yang dipaparkan ialah kesan dan bentuk kezaliman oleh Presiden serta pembesar lainnya dalam usaha mereka mengekalkan kuasa. Dari segi ini, Anwar hanya meminjam struktur sastera sejarah tetapi isinya berupa sastera rakyat. Anwar menghilangkan dikotomi antara dua genre—sastera istana dengan sastera rakyat, dan sastera moden dengan sastera tradisi. Anwar memunculkan suara rakyat yang tertindas dalam meperkatakan keburukan perilaku Presiden, atau dalam istilah pascakolonial memunculkan suara golongan subaltern. Ini ada persamaan dengan tekstualisme baru yang menurut Roger Fletcher (1988) disebut sebagai history from below yang memberi penekanan pada
...adopting the perspective of the subordinate classes and `victims’ of history ... its primary concern is with reconstructing the everyday life the common people of the past (microhistory), its use of new sources (especially the technique of oral history), its acceptance of the inevitable subjectivity in all historical representation. (Dlm. Noriah Taslim 2004: 41-42)
Naratif Ogonshoto mempamerkan gejala teks pascamoden melalui pengambilan dan pembauran sumber tradisi ke dalam/dengan teks moden. Bauran dua unsur—tradisi dan moden—ini merupakan satu daripada ciri pascamoden yang diistilahkan sebagai kod berganda, double coding. Yang diutamakan dalam kerangka pascamoden ini ialah memberikan suara kepada golongan terpinggir (dalam konteks ini sastera rakyat dan suara rakyat) di samping menolak sebarang bentuk naratif agung yang selama ini mendominasi ruang kesejagatan dalam segenap bidang kehidupan. Dalam era pascamoden tiada lagi titik tunggal yang paling berkuasa tetapi semuanya sudah diubah kepada sinkretisme, pluralisme, hetereglosia dan sebagainya. Dunia tanpa titik pusat ini disebut oleh Michel Foucault (1970: xviii) sebagai “heteretopia”.
Pengambilan kisah-kisah mitos memang menjadi kelaziman dalam sastera tradisional apabila sumber terapung (floating sources) yang bersifat migratory (boleh bergerak) digunakan dalam teks yang pelbagai. Dalam Naratif Ogonshoto, kepercayaan superstitious yang berlegar di kalangan masyarakat Melayu, kisah bahtera Nabi Nuh daripada al-Quran, kisah siTenggang, ciptaan teropong ajaib dalam novel Putera Gunung Tahan (Ishak Haji Mohamad) diolah semula dengan gaya yang tersendiri tanpa dipaliti gejala plagiat. Gejala superstitious dalam masyarakat Melayu adalah seperti kehadiran rama-rama di dalam rumah, bunyi kicauan burung, atau ular masuk ke rumah—semuanya memberikan alamat akan berlaku sesuatu, sama ada baik mahupun buruk. Unsur superstitious ini diterapkan dalam bab “Pentafsir” dengan kejadian ikan paus mati di pantai Aitu dan debu gunung berapi yang membawa alamat buruk (kisah kehadiran ikan paus mati itu berlawanan dengan ikan paus yang menyelamatkan Nabi Yunus); begitu juga halnya dengan penyu raksasa yang bergerak dari tempatnya di lautan yang menandakan gempa bumi akan berlaku (“Bahtera"). Haiwan air sebagai pemberi alamat buruk ini juga terdapat dalam Hikayat Hang Tuah yang memunculkan buaya putih. Dalam bab "Hering" peristiwa zakar mayat politikus muda yang hidup dan terpaksa ditundukkan oleh gundiknya dipinjam daripada Tuhfat al-Nafis yang menceritakan perihal sebab Cik Pung bunting mengandungkan anak Sultan Mahmud II (Virginia Matheson Hooker (ed.), 1991: 144).
Asal usul Presiden dapat digandingkan dengan hipogramnya dalam sastera rakyat Melayu iaitu cerita Si Tenggang yang menjalani perubahan status sosial selepas bertemu dengan nakhoda yang kaya raya. Tetapi dalam Naratif Ogonshoto, kisah Si Tenggang itu telah didemitifikasikan: Jika Si Tenggang menolak kehadiran ibunya yang tua dan hodoh, Presiden bertindak sebaliknya, iaitu terus mencari ibunya dan melutut sebagai tanda penghormatannya yang tinggi kepada ibunya. Dalam bab “Bahtera” juga kisah pembinaan bahtera oleh nakhoda yang percaya akan berlakunya gempa bumi merupakan peminjaman daripada kisah Nabi Nuh yang membina bahtera besar bagi menyelamatkan kaumnya daripada banjir besar. Sementara itu, bab “Kamera” memunculkan sebuah ciptaan moden yang dapat merakam gambar pada masa lampau; dan ini berkait dengan teropong ajaib yang terdapat dalam novel Putera Gunung Tahan dengan versi yang diubahsuai. Anwar Ridhwan telah memanipulasi kaedah interteks dalam membina naratif ini, yakni meminjam mana-mana unsur yang terdapat dalam teks lain lalu mengolahnya dalam versi tersendiri.
Dalam konsep imaginasi, teknik pencerekaan oleh Anwar Ridhwan ini adalah lazim kerana imaginasi merupakan satu usaha mengumpul imej yang bertaburan ke dalam satu bentuk yang tersendiri. George Henry Lewes (1969, hlm. 29) menyatakan bahawa imaginasi ialah
...the power of forming images; it reinstates, in a visible group, those objects which are invisible, either from absence or from imperfection of our senses. That is its generic character. Its specifics character, which marks it off from Memory, and which is derived from the powers of selection and recombination... .

Teks yang menggabungkan elemen tradisional Melayu dengan cara yang berseni dan melarutkannya ke dalam satu adunan yang kompleks ini sudah mencapai taraf sastera antarabangsa. Bukan latar dan watak asing yang mengangkat teks ini ke taraf sastera antarabangsa tetapi kompleksiti struktur dan pemikirannyalah yang lebih utama. Teks ini tidak bergelumang dengan persoalan setempat tetapi dalam masa yang sama mampu mengangkat elemen tradisi. Elemen tradisi yang berakar dalam kebudayaan Melayu mengejapkan kekukuhan binaan teks yang mengangkat pemikiran politik sejagat.

Naratif Ogonshoto Melalui Bacaan Pascakolonial

Pengambilan sumber tradisi adalah sebagai satu usaha untuk melepaskan diri daripada ketergantungan pada sumber luar, terutamanya dari Barat yang pernah menjajah negara pengarang. Usaha ini lebih sesuai dilihat sebagai satu bentuk dekolonisasi atau disebut oleh Braginsky sebagai neotradisionalisme yang dihuraikannya seperti berikut: “...the sum total manifestations of hybrid culture arising as aresult of reinterpretations of forms of traditional culture by Europeanised consciousness.” (Braginsky 1996:6) Pengambilan sumber tradisi dilihat sebagai usaha pemulihan kesusasteraan rakyat, meraikan semula budaya etnik, dan mengangkat jati diri bangsa. Pengarang peribumi tidak lagi mengagumi bawaan Barat seratus peratus dan tidak mahu terikat dengan metanaratif, atau naratif agung. Oleh itu, bagi merombak bentuk teks moden genre cerpen dan novel yang dibawa oleh Barat, pengarang menggali sumber tradisi lalu menggabungkannya dengan genre baru. Inilah yang dilakukan Anwar.
Di samping itu, wajah teks pascakolonial juga tergambar pada ceritanya, terutama pada peribadi dan tindak-tanduk Presiden Ogonshoto yang kolonialis dari segi amalan, natif dari segi keturunan. Presiden yang zalim dalam Naratif Ogonshoto merupakan jelmaan watak kolonial, dan ini sangat disedari oleh pengarang apabila menyamakan Presiden itu dengan “kolonial”. Kehadiran unsur kolonial ini meletakkan Naratif Ogonshoto sebagai karya pascakolonial walaupun tiada lagi soal penjajahan dari luar atau dari Barat secara langsung dalam dunia Ogonshoto. Kolonialisme yang berlaku ialah kolonialisme dalaman atau internal colonialism dan ini berupa satu ciri dalam wacana pascakolonial. Persoalan ini telah ditegaskan oleh pengarang pada bab “Kolonial” apabila dikatakan Istana Presiden dipagari tujuh tembok ghaib:
...semangat mahasiswa yang telah dicabut dan dipasak ke bumi, semangat nelayan yang telah dirantai ke tanah, semangat petani yang telah dibelenggu ke batu hitam muntahan gunung api, suara wartawan radikal yang hanya layak mendinding kaki bukit keliling Istana, suara seniman tulen yang hanya cocok memagar keliling pekarangan, empangan darah pembangkang, dan sederetan laung mangsa penyiksaan [sic] serta pembunuhan misteri. (Anwar Ridhwan 2001: 30-31)
Dalam istilah teori pascakolonial, apabila wujud kolonialisme dalaman, yakni tekanan daripada penguasa terhadap rakyatnya sendiri, wujudlah “dunia keempat”, iaitu jejeran simbolik daripada tiga sistem dunia yang sedia wujud: dunia pertama pertama (blok negara maju, negara utara), dunia kedua (blok komunis), dan dunia ketiga (negara sedang membangun, negara selatan).
Perihal pascakolonialiti dalam teks ini dapat diperjelas melalui watak Presiden Ogonshoto. Presiden itu hanya seorang anak haram hasil percantuman benih daripada penjajah Barat dengan anak peribumi, berasal daripada Malagana. Percantuman benih luar nikah itu memastikan wujudnya gejala awal unsur pascakolonial, iaitu hibrida. Dalam teori pascakolonial, hibrida yang berupa cantuman antara peribumi dengan penjajah menghasilkan manusia yang ambivalence, berbelah bahagi antara hendak mempertahankan nilai peribumi dengan menganut nilai penjajah Barat. Keadaan ambivalence atau berbelah bahagi dalam wacana pascakolonial diambil daripada teori Freud yang mengatakan bahawa sikap ini wujud apabila dua naluri yang bertentangan membentuk satu ketetapan yang hampir sama. Homi K. Bhabha menyatakan bahawa objek wacana kolonial ditandai oleh ambivalence antara antara penafian (derided) dengan keinginan (desired) (Peter Childs dan R.J. Patrick Williams 1997: 124). Bhabha mengambil tulisan Frantz Fanon sebagai asas membentuk konsep ambivalence. Sementara Fanon menyimpulkan bahawa keinginan peribumi ialah mendiami tempat tinggal penjajah, Bhabha menambah bahawa penjajah juga dari tempatnya yang tinggi mahu melihat ke bawah bagi mencari identitinya. Penjajah dikatakan terperangkap dalam dua keinginan iaitu antara megalomania dan keinginan untuk menyeksa (Peter Childs dan R.J. Patrick Williams 1997: 125). Inilah yang terlihat pada Presiden apabila dia membawa nilai demokrasi liberal, sistem ekonomi kapitalis dalam pemerintahannya di Ogonshoto tetapi dalam masa yang sama menyatakan bahawa sistem Barat itu tidak cocok diikuti sepenuhnya di negara belahan Timur. Tetapi sebagai manusia yang mahukan kekuasaan, Presiden lalu mengubah peribadinya menjadi manusia Barat yang rakus, dengan menganut nilai negatif yang dihuraikan oleh Nicollo Machiavelli iaitu “matlamat menghalalkan cara”.
Presiden ialah manusia mimikri, iaitu manusia peniru yang sebenarnya pewaris nilai penjajah. Ini jelas kerana dia dikatakan menuntut ilmu di Eropah selepas mengikuti sebuah kapal dagang Eropah yang berlabuh di perairan Ogonshoto semasa kecilnya. Dia membesar dalam keluarga bangsawan dan mendapat pendidikan Barat secara total. Sebagai manusia yang ambivalence dan mimikri, presiden memakai topeng putih walaupun kulitnya berwarna (black skin, white mask, kata Frantz Fanon). Hasil didikan total Barat, Presiden kembali ke negara asalnya dan membawa nilai kerakusan memperoleh dan mengekalkan kuasa yang berleluasa dalam tamadun Barat. Dia membaca buku Machiavelli, Discourses on Livy dan The Prince. Dia sebenarnya bukan lagi manusia peribumi tetapi manusia penjajah, ejen kolonial, atau diistilahkan sebagai comprador. Comprador ialah manusia yang telah diindoktrinasi dalam nilai penjajah Barat lalu dia menjadi penyambung nilai itu di negara bekas tanah jajahan walaupun penjajahan sudah berakhir. Dalam “Minute to Parliament 1853” oleh Lord Macaulay, kerajaan British semasa menjajah India disaran supaya melahirkan satu golongan elit India yang dikatakannya sebagai “a class of persons Indian in blood and colour, but English in tastes, opinions, in morals, and in intellect” bagi menjamin kelangsungan imperialisme British di India. Demikianlah Presiden, walaupun dia berasal dari Malagana, dia telah diasuh oleh Barat dan sudah menjadi Barat dalam erti penganut nilai. Presiden meneruskan kelangsungan nilai penjajah terhadap rakyatnya demi mengekalkan kekuasaannya.
Anwar menghantar idea dekolonisasi melalui pengisahan Presiden Ogonshoto. Maksudnya, penguasa yang berada dalam kepungan mentaliti Barat tidak akan menjadi penguasa yang baik. Mereka akan menjadi zalim terhadap rakyatnya demi kepentingan individu kerana dalam sistem kapitalisme Barat dan pemikiran yang beralur daripada Abad Pencerahan (Enlightenment) kedudukan individu adalah lebih penting daripada masyarakat. Oleh itu, maka Presiden Ogonshoto telah ditampilkan sebagai manusia rakus yang mementingkan diri sendiri dan sanggup melakukan sebarang cara demi matlamat kekuasaannya. Namun demikian, Anwar tidak parokial dalam soal ini. Pemikiran yang terkandung dalam Naratif Ogonshoto bersifat sejagat dan tidak terkepung dalam jaringan waktu. Teks ini bercakap tentang manusia di mana-mana dan pada bila-bila masa kerana permainan politik dalam ketamadunan manusia berlaku sepanjang zaman dalam pola yang hampir sama. Dari sudut ini, Anwar Ridhwan telah mengetengahkan sebuah karya yang berwajah Melayu tetapi bersuara untuk khalayak antarabangsa.
Teks ini tidak mementingkan latar waktu dan latar tempat walaupun penjelasan tentang aspek itu diberikan secara imaginatif sepenuhnya. Perincian aspek latar berfungsi sebagai penafian sindrom kamar kosong bagi menguatkan kesan verisimilitudenya. Untuk itu dinamakannya Kepulauan Ogonshoto (Gora-Gora, Rai-Rapa, dan Futu-Ata) dan dihubungkannya pula dengan Jepun. Penamaan lokasi ini telah menjadikan latar tempatnya sebagai sesuatu yang seolah-olah benar wujud atau objektif tetapi tidaklah begitu penting. Latar itu akhirnya lenyap dan kelenyapannya tidak pula dipersoalkan berbanding dengan kebenaran pemikirannya.
Penutup
Naratif Ogonshoto berdiri sebagai sebuah teks yang lengkap teradun pelbagai unsur daripada pelbagai sumber, dan teks ini terhasil sebagai karya yang tinggi nilainya ibarat madu yang telah melalui proses penyaringan daripada sumber yang pelbagai. Naratif Ogonshoto menawarkan satu penyelesaian yang menarik dalam usaha para seniman menghantar suara radikalnya untuk mengkritik sesuatu golongan yang berkuasa. Karya ini telah menampilkan keupayaan karya seni untuk memberikan teguran yang keras tetapi berkias. Dari segi ini, Anwar telah memanipulasi kaedah kritikan cara Melayu yang banyak ditemukan dalam sastera rakyat dan sastera sejarah dengan cara yang sangat halus tetapi menikam.

§ Kertas kerja ini dibentangkan dalam Diskusi Naratif Ogonshoto, anjuran Biro Penulis Muda PENA, di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada 15 Februari 2005. Diterbitkan dalam Dewan Sastera, September 2005, hlm. 74-80; Jurnal Pengajian Media Malaysia, Jilid 7 No. 1 2005, hlm. 91-99. Makalah ini memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004-2005 (Tapi sampai sekarang belum ada majlis penyampaian hadiah. Hadiah dah dapat, mujurlah)

Friday, August 21, 2009

sajak bulan puasa dan pertemuan penyair nusantara

1. Menjelang bukan puasa tentulah banyak sangat pengakuan "ikhlas" dalam pelbagai bentuk,terutamanya sajak. Banyak sajak taubat muncul untuk merawat diri sendiri atau cuba mengajak orang lain melakukan taubat. Kejernihan hati disebut-sebut, keluhuran jiwa dicanang-canang seolah-olah bulan ini sajalah waktunya untuk berasa demikian. Tidak mengapalah kalau ada kesan yaang baik daripada pengakuan itu. Tetapi banyak juga yang palsunya. Sajak dicipta sekadar memenuhi musim Ramadan dan bait-bait puitis lebih mudah terbina berbanding dalam bulan lain. Pun tidak mengapa kerana ada juga kesannya nanti pada khalayak. Ini lebih baik daripada lirik lagu dan sajak yang menggersangkan iman. Tapi saya susah nak percaya pada sajak musiman begitu sebagai ekspresi jujur pengarangnya. Saya mengelak daripada kekeliruan yang disebut oleh I.A. Richard menurut New Criticism sebagai intentional fallacy. Begitupun, saya tahu banyak tanggapan saya yang memang salah. Moga kita benar-benar jujur menuturkan kata, bak kata teman (Haji Shamsudin othman), "sajak sebagai percakapan nurani".
2.Ungkapan Haji Sham itu juga dicadangkan sebagai tema Pertemuan Penyair Nusantara yang akan dianjurkan oleh PENA bulan November nanti tetapi belum diputuskan kerana cadangan Zakir ialah "Sajak sebagai suara kemanusiaan". Pada saya cadangan Haji Sham tidak memberikan makna yang jelas: kalau nurani, apa isinya? Cadangan Zakir pula dikatakan oleh Amirrudin terlalu biasa (tak berani dia nak cakap klise). Tapi pada saya ada isi, cuma dah overused.
Maka satu ungkapan lain perlu dicari. Diharapkan agar teman-teman bersama memberikan cadangan untuk tema program ini. PENA sebenarnya telah diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah Pesta Penyair Nusantara bagi tahun 2009. Ketetapan ini dicapai dalam mesyuarat di Kediri, Indonesia pada tahun lepas. Ini musim ketiga. Musim pertama di Medan, musim kedua di Kediri.
PENA lewat mengadakannya kerana lambat mendapat tajaan. Mujur baru-baru ini ada pihak yaang sudi menghulurkan sedikit bantuan. Kami juga masih mencari bantuan daripada pihak-pihak lain untuk menyempurnakan program yang tidak ada keuntungan material ini. Semoga banyak pihak sudi menghulurkan bantuan walaupun sedikit. Logo dan nama mereka akan disebut sebagai penaja pada kain rentang dan buku program.
Peserta dari luar negara dan dalam negara dialu-alukan. Tetapi kali ini memandangkan kewangan tidak subur kami tidak menyediakan penginapan percuma. Jika dapat tempat di Puspanita mungkin boleh dipertimbangkan percuma tetapi tempatnya sedikit. Di hotel agak sukar kerana mahal. Kami merancang mengadakannya di DBP sahaja. Jadi sesiapa yang berminat untuk turut serta, sediakanlah wang untuk sewa hotel berhampiran DBP. Atau ada cadangan lain? Mau bayar dan kami carikan tempat penginapan? Berikan cadangan anda segera. tarikh yang dicadangkan ialah 20-22 November 2009.

Thursday, August 20, 2009

senandika di balik wajah

senandika di balik wajah


aku sampai ke titik kosong
tanpa bunyi tanpa rupa
tanpa warna tanpa nada
aku bermukim di ruang kosong

aku enggan berkata
mendengar tidak juga
biarlah suaraku terbenam
di dasar kalbu
suara teman berapungan
mencari rongga lain
aku enggan berkata
mendengar tidak juga

sesekali aku hanya melayan kalbu
mencari istirahat
bannyak lagi kata belum ditafsir
banyak lagi ayat belum kuukir

sesekali biar aku bersepi
mendaki gunung tafsir
menyelam laut fikir

Wednesday, August 19, 2009

Perkuburan Seniman

Ada seorang ahli PENA membawa usul dalam mesyuarat agung PENA yang lepas supaya meminta kerajaan menyediakan satu kawasan perkuburan untuk sasterawan atau seniman. Usul itu tidak diterima dan terpendam begitu saja kerana pertimbangan lain. tetapi memandangkan sekarang terlalu ramai seniman kita yang meninggal dunia berturut-turut, cadangan itu kembali relevan untuk difikirkan. Bagus juga kalau satu kawasan perkuburan disediakan untuk golongan ini kerana ingatan orang ramai akan lebih segar terhadap mereka. mengunjungi kubur seniman akan membangkitkan nostalgia di samping memudahkan ziarah (tak perlu berziarah ke beberapa tanah kubur). Kalau Rendra menyediakan kawasan perkuburan di bengkel teaternya di Kelurahan Cipayung, kita juga perlu menyediakan kawasan sebegitu. Kalau Rumah Gapena tak jadi dibangunkan oleh Dewan perniagaan melayu malaysia mungkin elok juga tapak ruamh itu dijadikan kawasan perkuburan. Atau kalau hendak dimajukan dan dikomersialkan, buat sahaja tanah kubur bertingkat

Monday, August 17, 2009

Akademi sastera

Esok akan berlangsung program akademi sastera di DBP. Peserta daripada lima IPT akan bertarung di pentas kritikan sastera dengan menggunakan teori tertentu. IPT yang terlibat ialah UM, UKM, UPM, UPSI, ASWARA. Pelajar saya akan membincangkan novel Jong Chian Lai, Nor Hanisah othman, Faisal Tehrani dan simpanan Azizi Haji Abdullah. Pelajar Universiti lain saya tak tau.
Dalam akhbar dikatakan tarikhnya 20 ogos, sebenarnya 19 Ogos. Tiada pula pembetulan dibuat oleh DBP. pelik betul. nanti orang datang 20 ogos apa nak buat.

semua dijemput memeriahkan majlis dan memberikan sokongan kepada bakal pengkritik tanah air.

Sunday, August 16, 2009

Kerjasama dengan PSU Hatyai


(Gambar di atas, Zakir sedang menerima cenderamata daripada Timbalan Mayor Hatyai, dan di bawahnya gambar buku program persidangan. Untuk pengetahuan semua, Zakir pakai baju belang dan seluar belang jenama Yves St Laurent, dan kasut Bally yang dibeli di Bandung. Zakir tak kalah dengan pakaian Timbalan Datuk bandar Hatyai. Tapi dia lupa nak bawa tali leher, maka dia mengancingkan bajunya ke atas. Segak dan bergaya dia. Bagaimanapun, pada hari kedua dia tak mahu memakai baju belang selepas saya berpantun:
Apa guna menebas lalang, Kalau tidak padi yang tumbuh; apa guna berbaju belang,..................(baris akhir terbuka untuk ditambah kengkawan)

Setelah beberapa kali hadir ke pertemuan dengan ahli akademik di Prince of Songkhla University, Hatyai, kami daripada PENA terasa sudah dimartabatkan sebagai wakil dalam segala hal bagi pihak malaysia sedangkan kemampuan kami sangat terbatas. Terbaru, dalam satu mesyuarat dengan Dekan Faculty of Liberal Arts, Miss Adisa, kami diberi pengharapan agar menjadi perantara bagi PSU dengan seluruh ahli akademik di Malaysia. Mereka mahu menerbitkan jurnal dan sedang mencari penilai serta editorial board. Saya berikan nama rakan-rakan akademik yang saya ingat semoga dapat membantu mereka. Saya sebenarnya hendak melepaskan tanggungjawab berat itu dan berharap Dekan tersebut menghubungi ahli akademik yang disyorkan. Di samping itu, terpaksa juga saya dan Zakir menerima pelawaannya untuk menjadi editorial board bagi jurnal yang akan diterbitkan sementara menunggu persetujuan ahli akademik lain dari Malaysia.

Pada hari yang sama Kelab Bahasa Melayu PSU mengadakan bengkel Pantun Melayu, dan kami dari PENA jugalah yang mengendalikannya. Saya yang malas nak berpantun di Malaysia terpaksa berbuat demikian di depan pelajar sana yang kebanyakannya dari Patani. Semua orang Melayu islam tetapi kepetahan bahasa Melayu mereka terhad. Sayang sekali jika Malaysia tidak mengambil peluang mengembangkan bahasa Melayu di sana. Kedutaan negara lain sangat bermurah hati menghulurkan bantuan untuk mengembangkan bahasa masing-masing tetapi kedutaan Malaysia langsung tidak tahu akan hal ini. Kami yang kecil dan sedikit (yang berani pergi) inilah yang diharapkan membantu. Subjek bahasa Melayu agak popular di sana tetapi mereka tidak mendapat bantuan dari Malaysia secara rasmi. Mujurlah kami mendapat sokongan kewangan daripada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) untuk menghadiri program ini. Sangat besar ertinya bantuan itu. Terima kasih ITNM, khususnya Sdr Khair Ngadiron, Pengarah Eksekutifnya yang sangat faham akan erti perjuangan bahasa dan bangsa. Sumbangan DBP juga diperoleh dalam bentuk majalah dan CD puisi yang diminta oleh Zakir. Terima kasih jugalah. Selainnya kami gunakan duit PENA sedikit dan duit sendiri tentunya.

Pada bulan April tahun 2010 akan diadakan seminar Humanities and Social Sciences dan para pelajar ijazah tinggi dari Malaysia dipelawa membentangkan kertas penyelidikan masing-masing. Sesiapa yang berminat, sila hubungi Zakir atau saya. Para pelajar ijazah tinggi tentunya tidak wajar melepaskan peluang ini kerana syarat bagi ijazah tinggi sekarang perlu membentangkan kertas penyelidikan masing-masing. Kertas kerja mesti dalam bahasa Inggeris. Kos penginapan dan makan minum tanggungan sendiri.Tetapi belanjanya tidak mahal. Tambang bas pergi balik cuma RM100 dari Pudu raya. Hotel sekitar RM60 semalam (boleh kongsi dua orang). Makanan halal mudah sekali. Keselamatan insya-Allah terjamin. Orang Malaysia bersepah di Hatyai, terutama pada malam hari, makan udang goreng dan pulut durian selepas berbelanja sakan di kedai pakaian yang bersepah juga. Macam di Malaysia rasanya suasana di sana. Kami berhajat membawa delegasi ITNM ke sana suatu hari nanti, dan pegawai DBP juga. Susahnya, PENA bukan badan rasmi di Malaysia, cuma NGO kecil. Susah menarik kepercayaan pihak badan kerajaan untuk turut serta.


Sehari sebelum mesyuarat itu kami menghadiri Persidangan antarabangsa Language and Language Teaching 2009 yang juga dianjurkan bersama PENA dengan Faculty of Liberal Arts PSU. Zakir memberikan ucapan pembukaan dan saya memberikan ucapan penutup. Sayangnya beberapa teman dari malaysia yang sudah menghantar abstrak tidak hadir ke persidangan itu. Agak memalukan juga. Tapi apa boleh buat, masing-masing ada masalah sendiri. Saya pun terpaksa menghadiri persidangan itu kerana tidak sanggup membiarkan Zakir menanggungnya keseorangan. Sebagai penganjur bersama tentunya kami perlu hadir. Maka, walaupun penat dari Bandung belum habis saya terpaksa menaiki bas ke Hatyai. Lebih mudah menaiki bas daripada kapal terbang kerana kapal terbang hanya turun di Alor Setar dan terpaksa disambung dengan teksi dan van sapu ke Hatyai.
Penyertaan PENA dalam persidangan ini juga mendapat bantuan kewangan daripada ITNM. Maka PENA (dan ITNM sebenarnya) menjadi penyumbang terbesar daripada beberapa nama penajanya yang terdiri daripada penerbit buku antarabangsa dan Datuk Bandar Hatyai.
(Kena ucap terima kasih juga kepada isteri dan anak-anak juga kerana sanggup ditinggalkan sekejap tapi selalu.)

Saturday, August 8, 2009

Beginilah hidup dan kehidupan


Dua foto ini fragmen kehidupan insan seni di jalanan kota Bandung. Mereka hebat kerana tidak mencari populariti dan tidak menjual diri tetapi menjual bakat alam. Jika kita sanggup membayar untuk tiket konsert yang beratus-ratus ringgit, kenapa kepada insan pinggiran ini kita anggap pengacau? Hanya kerana mereka miskin? dan kotor? Siapa lebih kotor, antara artis yang bergelumang dengan lumpur hitam untuk naik dan kekal popular dengan insan begini. Sekurang-kurangnya mereka lebih jujur memperlihatkan sosok diri sebenar, tidak seperti artis yang menampilkan kepalsuan semata-mata.






Hidup Adalah Sepotong Ayat

Hidup adalah sepotong ayat:
bermula dengan kesenyapan
berakhir dengan kesenyapan.

Di tengah-tengahnya
kita belajar mengatur nada
kita mengenal makna kata
--yang semantik dan yang pragmatik
tidak membawa erti yang sama.

Terlalu panjang kita berkata
tak terfikir tanda baca
di mana mengambil nafas
di mana menandakan keras.

Kita sering keliru
antara kata yang diujarkan
dengan makna yang dimaksudkan
kerana lidah tidak sering
menyetujui hati
dan hati tidak mahu
membinasakan lidah.

Kita terlalu berharap
orang mentafsir
kata yang samar
tapi mereka sering tersasar
dan faham menjadi semakin liar.

Pertemuan yang panjang
kata yang berbayang
ayat yang berpancang
hanya mengatur
makna yang gersang.

Daripada berkata
yang bersilang
lebih baik aku senyap
kerana itulah permulaan
kerana itulah pengakhiran.


1997—1998

Friday, August 7, 2009

rendra dan noordin mat top

Catatan tentang Rendra yang saya muatkan dalam blog ini seminggu dua lalu rupa-rupanya berakhir dengan hujung hidupnya. Semalam televisyen Indoneia gegar dengan kesuraman, lebat dengan kenangan, in memoriam Rendra. Menyusul kematian Mbah Surip teman karibnya, Rendra tidak berlama bersendirian difana dunia ini. Beliau yang sedang dirawat sejak sebulan lalu di hospital Mitra Keluarga sempat pulang pada 4 Ogos ke rumah puterinya Clara Sinta ketika kematian Mbah Surip. Pada 6 Ogos beliau kembali tenat lalu dimasukkan semula ke hospital pada jam 9.00 malam dan meninggal pada jam 10.20.
Beliau juga dikembumikan di bengkel teaternya, di Kelurahan Cipayung, Kota Depok, bersemadi dan berjiran dengan Mbah Surip diperkampungan abadi yang sama.
Si Burung Merak (gelaran untuk Rendra) diberi perhatian khusus dan besar-besaran oleh media Indonesia. Sepanjang hari berita tentang beliau mengisi ruang berita dengan liputan bertali arus seperti liputan tentang keruntuhan Highland Tomer di Hulu Kelang dulu. Rakaman Rendra membaca sajak semasa mudanya juga dapat saya saksikan buat pertama kali. terasa aura Rendra begitu hebat. Beliau naik ke tingkat atas di kampus Universitas indonesia untuk menyuarakan gegak gempa dalam batinnya tentang kerosakan di negaranya dan kemudian berjalan di kerumuman khalayak sambil juga membaca sajaknya. beliau tidak hanya membaca di atas pentas.Layaklah beliau digelar Burung Merak.
Sehari selepas itu televisyen sibuk pula menyiarkan berita pengepungan sebuah rumah di Temanggung, sejak 7 Ogos sehingga pagi ini 8 Ogos. Rumah itu disyaki sarang teroris dan nama Noordin M. Top disebut-sebut sebagai penghuninya. Polis belum dapat merapati rumah itu sedangkan penghuninya disyaki hanya 3-4 orang orang. Entah apa pentunjuknya, nama Noordin diulang entah berapa ribu kali sedangkan setakat ini tiada bukti pun tentang kewujudan beliau. Ternyata seperti ada ketakutan yang dicipta untuk menumbuhkan semangat etnonasionalisme. Noordin digambarkan sebagai orang malaysia yang berbahaya.
Kita harus segera menyikapi situasi yang berlaku sekarang dengan bijaksana.
Saya telah membeli empat buah buku ddi Gramedia tentang hubungan semasa Malaysia indonesia yang akan saya ulas kemudian.
Beg sudah begitu sarat dan berat. Entah-entah buku itu saya tinggalkan saja.

Tuesday, August 4, 2009

Mbah Surip dan Sabar Bohari, dan angin Bandung

Sampai ke dada bumi Bandung, dari atas kelihatan hamparan belantara, bukit bukau dan rumah demi rumah yang dipancung lalu oleh anak sungai berwarna hitam. Bungkah awan yang baru kami rempuh dengan doa bersayap di dada menyedarkan saya betapa kerdil diri di titik kuasa Ilahi. Cukuplah jika awan itu memekat dan mengikat pesawat yang kami naiki, nescaya nyawa akan bersayap juga menuju Tuhan. Alhamdulillah, pesawat selamat mendarat selepas terbang mengiring mengitari bandara (bandar udara) Hussein Sastranegara. Angin lembap dan panas melekitkan tubuh tetapi cuaca terang.
Di kaunter ejen peancongan saya mendapatkan bilik sebuah hotel yang jaraknya dengan Universitas Pendidkan Indonesia, Jalan Setiabudi cukup hampir. Esok saya akan ke UPI untuk memulakan kembara akademik.
Teman-teman lain dari Malaysia ada yang sudah sampai sejak semalam kerana terlibat dalam seminar yang lebih awal diadakan di UPI juga. Beruntung juga mereka kerana berjaya membentangkan dua kertas kerja dalam satu kunjungan.
Hotel penginapan saya masih baru, baru setahun. Khidmat layanannya baik dan semua peralatan masih baru. Biliknya cantik walaupun pemandangan dari jendela hanya menghidangkan bangunan demi bangunan.
Penat masih menggigit betis selepas ke Pasar Baru tadi untuk mencari oleh-oleh isteri dan anak-anak. Mungkin pilihan (belian ) saya tidak betul, tapi ini sudah cukup melengkapkan perjalanan saya. Asalkan ada bingkisan untuk mereka saya tidak berasa bimbang apa-apa lagi. Dulu emak saya juga sentiasa membelikan saya sesuatu apabila dia berpergian walaupun beliannya cuma buah epal yang sudah rosak (tetapi murah). Bahagianya menerima pemberian emak tidak dapat saya lupai dan saya juga mahu anak-anak merasai kebahagian itu walaupun barang yang saya bawa boleh dibeli di Malaysia, dan sentiasa pun saya membelinya di Kajang apabila mereka memerlukannya.
Hidup kita yang singkat sebenarnya menyediakan ruang yang luas untuk menggembirakan orang lain. Saya cuba merebut peluang itu selagi sempat.
Televisyen baru menyiarkan berita tentang kematian Mbah Surip, penyanyi Raggae terkenal di Indonesia. Liputannya meluas dan rakyat merinduinya. Dia mewasiatkan agar jenazahnya dikebumikan di kawasan rumah Rendra tetapi keluarganya mahu dia dikebumikan di kampung halamannya. Dia seorang ikon dalam masyarakat bawahan kerana membawa suara masyarakatnya. Dan kematiannya juga diulas oleh SBY, Presiden Indonesia dengan agak panjang lebar menandakan pengetahuannya yang jelas tentang peribadi Mbah Surip, seorang seniman rakyat.
Dan baru saya terima berita tentang kematian Sabar Bohari, penyair veteran yang sajaknya sudah tersebar di negara kita sejak lama, lama dulu.

Tetapi... entah dia dikenali atau tidak oleh Perdana Menteri kita? Siapakah yang mengulas kematiannya daripada kalangan pemimpin? Alfatihah...

2. Khabar terbaru malam ini, dalam tv dinyatakan bahawa Mbah Surip akan dikebumikan di bengkel teater Rendra. Betapa dekat hubungan batin dua seniman ini. Dan dekat juga hubungan mereka dengan rakyat. Lalu kalau kita mahu melihat kedudukan kita sebagai seniman, nilailah juga hubungan kita dengan masyarakat. Siapa yang kita kenali dan siapakah yang mengenali kita?

Kematian Mbah Surip menyuramkan Indonesia apabila medianya memainkan peranan aktif dan proaktif menggelembungkan berita itu. Rancangan beritanya sentiass diisi dengan cerita Mbah Surip. Malah sentiasa ada rancangan dalam tv tentang Mbah Surip. Rakyat menangisi kematiannya dan mendoakan kesejahteraannya di samping mendoakan ada pengganti Mbah Surip nanti. Puterinya sempat dinikahkan di depan jenazah beliau sebelum dikebumikan di lahan bengkelteater Rendra (Rendra sendiri sedang sakit sekarang). Selepas selesai dijabkabulkan, puteri Mbah Surip pengsan. Dan media terus menerus menyiarkan peistiwa ini. Betapa kuat perhatian media media kepada seniman jalanan yang tiba-tiba terserlah pada tahun 2009. Dia menjadi kaya raya tiba-tiba dan menjadi tokoh masyarakat yang fenomenal.


3. Dalam satu siaran tv Indonesia juga ada rancangan sitkom yang berjudul Opera van Java. Ceritanya lucu tetapi menggusarkan saya. Kisahnya tentang perkahwinan seorang putera dari Malaysia yang bernama Tengkurep dengan wanita Indonesia yang bernama Manukara. Tidak susah mencari pertaliannya dengan isu yang panas sekarang. Terasa rendah sekali orang Malaysia dibuat media. Media mereka bebas berlucu walaupun menyentuh negara lain. Media Malaysia selalunya berhati-hati sekali.

Pengajaran daripada peristiwa ini ialah kuatnya peranan media membentuk agenda fikiran masyarakat.
Di Malaysia juga berlaku hal sebegitu apabila medianya berusaha membentuk agenda fikiran rakyatnya tetapi rakyat telah memilih media alternatif dan media arus perdanaterus terasing, terpinggir. Media itu sendiri yang salah kerana tidak menyebelahi suara rakyat walaupun motonya hebat sekali, yakni mengutamakan agenda rakyat. Yang diutamakan ialah agenda pemilik dan penguasa. Malah lebih tepat, media kita mengutamakan agenda regim yang berkuasa, bukannya negara. Mereka gagal mengenal pasti peranan utama mereka dan akhirnya mereka gagal dan terus gagal.
(Sekarang yang diutMkN ialah keselamatan regim)

4. Menurut blog Shamsudin othman Dharmala NS sedang tenat di hospital Seremban. Saya pernah bekerja dengan Dharmala NS semasa menjadi wartawan di akhbar Watan di bawah Kumpulan karangkraf. Dharmala memang baik orangnya. Tetapi kami tidak lama bersama, entaha saya berhenti dulu atau dia berhenti daripada Watan. Tidak selepas perpisahan itu saya mendengar dia sudah masuk DAP dan menjadi calon pilihanraya tetapi tewas. Selepas itu saya sesekali sahaja mendengar tentang beliau. Dan sekarang belia sedang tenat. Semoga Allah memberikan kesejahteraan kepadanya. Sekali jadi sahabat, selamanya sahabat saya.