Tuesday, January 18, 2011

Isu Interlok:Memorandum PENA Kepada TS Muhyidin




Kami datang menemui Datuk Abdullah Hussain pada 8 Januari 2011

MEMORANDUM MEMPERTAHANKAN NOVEL INTERLOK

Kepada:
YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin
Timbalan Perdana Menteri Malaysia

Isu novel Interlok yang hangat diperkatakan sekarang sehingga melibatkan campur tangan politik dan badan bukan kerajaan perlu ditangani dengan bijaksana dan berhemah. Percampuran antara politik dengan bidang persuratan dan pendidikan secara keterlaluan hanya akan menimbulkan pergeseran yang tidak berkesudahan.
Bagi menangani kemelut tersebut, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) telah menganjurkan Dialog Novel Interlok pada 8 Januari 2010, bertempat di rumah PENA yang dihadiri para sarjana sastera dan penulis tanah air. Ahli Panel terdiri daripada pengkaji sastera dan penulis, Dr.Ilias Zaidi, Dr.Fatimah Busu dan Penerima Anugerah Penulis Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Syed Mohd. Zakir S. Othman dan dipengerusikan oleh Presiden PENA, Sdr. Mohamad Saleeh Rahamad. Antara sarjana yang turut serta ialah Profesor Dato’ Dr. Md Salleh Yaapar, Dr. Mohd.Hanafi Ibrahim, Dr. Fatimah Busu, Dr. Norhayati Abd. Rahman, Profesor Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas, dan Profesor Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan.
PENA juga telah menemui Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain pada 18 Disember 2010, di rumah anaknya di Puchong yang diwakili oleh Timbalan Presiden PENA, Amiruddin bin Md. Ali Hanafiah bersama dengan wartawan Berita Harian, Sdr. Nazmi Yaakub. PENA bersama-sama beberapa orang sarjana sekali lagi telah menemui SN Datuk Abdullah Hussain, di rumahnya di Petaling Jaya pada 8 Januari 2011. Pertemuan tersebut diketuai Presiden PENA, Sdr. Mohamad Saleeh Rahamad berserta Timbalannya Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Ahli Jawatankuasa PENA, Rahimidin Zahari dan Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim. Antara sarjana lain yang turut hadir ialah Dr. Fatimah Busu dan Dr. Norhayati Abd.Rahman serta editor Dewan Sastera, Puan Rozninah Abd. Azib. Pertemuan itu bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang penghasilan novel Interlok di samping menziarahinya yang sedang uzur.

Seterusnya, PENA juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil badan bukan kerajaan bagi membincangkan isu tersebut pada 9 Januari 2011 di Rumah PENA. Antara wakil yang hadir ialah Dr. Hassan Mad (Majlis Permuafakatan Melayu), Profesor Madya Datuk Hj. Mohamad Ali Hasan, Presiden Mimbar Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Sdr. Zainal Mohd. Jais, Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Sdr. Abu Hassan Ashari Hj. Abas, Naib Ketua PERKASA Daerah Klang, Hj. Megat Md. Saleh Md. Arshad, Timbalan Setiausaha Agung KONGRES, dan Haji Razali Endon, Ketua 1 Ikatan Persuratan Melayu (IPM).

Daripada perbincangan dan persetujuan yang disepakati, PENA serta beberapa badan bukan kerajaan yang namanya disenaraikan meminta Kementerian Pelajaran Malaysia mengekalkan novel Interlok sebagai teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan lima. Kami juga dengan tegas menolak sebarang campur tangan politik yang berpentingan peribadi dan bersifat politik perkauman. Kami juga menolak tuntutan supaya novel itu dipinda jika alasannya adalah kerana wujudnya unsur penghinaan terhadap kaum tertentu. Bagi kami, tiada unsur penghinaan sama sekali dalam novel itu.
Bagi menegaskan pendirian kami, satu laporan polis telah dibuat pada 10 Januari 2011 di Balai Polis Dang Wangi (no repot:000943/11) ekoran tindakan segelintir orang India membakar novel Interlok dan menghina gambar Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain di Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Kelang pada 8 Januari dan dilaporkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 9 Januari 2011. Kami menyifatkan perbuatan itu melampau dan boleh mencetuskan ketegangan kaum. Sebagai badan penulis, kami berasa bahawa penghinaan itu sangat biadab apatah lagi dilakukan terhadap Sasterawan Negara yang menerima anugerah tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, penghinaan terhadap Sasterawan Negara bukan sahaja dapat dianggap sebagai penghinaan terhadap orang Melayu dan penulis, malahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Dengan ini, PENA menyerahkan memorandum ini kepada YAB Tan Sri dengan maksud meminta YAB Tan Sri mengekalkan novel Interlok tanpa tunduk kepada sebarang tuntutan daripada pihak yang menentangnya. Pendirian ini berdasarkan alasan yang berikut:

1. Novel Interlok ialah novel sejarah pembinaan bangsa dan pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka. Daripada novel tersebut dapat dipelajari susur galur pembentukan negara dan bangsa Malaysia yang wujud hari ini. Dengan kata lain, sejarah sosial negara ini dapat diikuti secara halus kerana paparannya dalam bentuk seni. Secara tidak langsung pelajar dapat mmahami sejarah sekali gus mempelajari nilai sastera dan bahasa melalui novel tersebut.

2. Novel Interlok menampilkan peranan penting tiga kaum terbesar di Tanah Melayu yang saling membangunkan kegiatan ekonomi, politik dan sosiobudaya, iaitu Melayu, Cina dan India tanpa prejudis dan bias perkauman. Gambaran realiti masyarakat tiga kaum terbesar di Tanah Melayu dipaparkan tanpa menghakimi mana-mana kaum tetapi menggagaskan harapan wujudnya perpaduan yang mutlak.

3. Interlok menceritakan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Ia juga mengisahkan kehidupan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik budaya, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti dalam bab akhir (bab 4), iaitu Interlok.

4. Interlok tidak menghina mana-mana kaum di negara ini sebaliknya menonjolkan gagasan perpaduan untuk melestarikan kemerdekaan bagi sebuah negara yang baru dibentuk dan berdaulat. Perkara ini dapat dijelaskan melalui diskusi ilmiah yang diadakan di Rumah PENA pada 8 Januari yang kemudian dilaporkan atau diulas oleh wartawan dalam Berita Harian bertarikh 9 Januari 2011 dan sebuah tulisan dalam akhbar The Star. Antara tulisan yang dapat dirujuk adalah daripada penulis yang berikut dan karya mereka kami lampirkan:
5. Fatimah Busu (kertas kerja diskusi di Rumah PENA)
6. Datuk Meor Kamarul Shahid Kamarul Baid (Berita Minggu, 9 Januari 2011)
7. Baradan Kuppusamy (Sunday Star, 9 Januari 2011)
Dengan penjelasan itu, telah terbuktilah bahawa premis yang digunakan oleh para sarjana dan penulis itu mampu menjawab dakwaan yang dilemparkan oleh pihak penentang novel Interlok. Pandangan mereka itu adalah informatif, signifikan, lebih relevan dan tidak bersifat bias etnik sama sekali.

8. Interlok ditulis untuk menyahut seruan pemimpin negara supaya menghasilkan karya yang mengisi kemerdekaan negara dan menghayati semangat perpaduan kaum. Melalui Sayembara Menulis Novel 10 Tahun Merdeka, novel tersebut dihasilkan dengan niat yang murni. Malahan menurut pengarangnya, Abdullah Hussain, dalam pertemuan PENA dengan beliau pada 8 Januari di rumahnya, novel itu ditulis dengan bantuan daripada seorang pensyarah India di jabatan Pengajian India Universiti Malaya. Ini bermakna, maklumat tersebut datangnya daripada etnik India dan sekali gus menunjukkan bahawa tiada unsur penghinaan mendasari penulisannya. Pandangan beliau ini juga dapat dilihat dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Januari 2011.

9. Setelah 40 tahun novel yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis Novel Sempena 10 tahun Merdeka itu diterbitkan, tidak pernah timbul sebarang isu atau kesan negatif dalam masyarakat dan ini membuktikan novel Interlok tidak mengandungi unsur penghinaan. Malahan sebelum ini pun novel Interlok sudah menjadi teks sastera bagi tingkatan enam. Kenapakah tiada masalah kekeliruan timbul pada waktu itu. Adakah pada waktu itu masyarakat India tidak menyedarinya?

10. Tidak ada unsur penghinaan dalam karya tersebut, sebaliknya isu yang didakwa sesetengah pihak itu bersifat menghina dan menggugat kefahaman generasi masa kini tidak wujud sama sekali jika dibaca dengan akal yang waras dan objektif. Mesej dan matlamat novel ini jelas untuk mengangkat Malaysia sebagai negara yang bersih daripada pemisahan kasta. Novel ini bertujuan menimbulkan rasa kecintaan setiap kaum terhadap negara ini dan menjadi warganegara Malaysia yang mengakui kedaulatan negara ini dan menjunjung Perlembagaan serta budayanya.

11. Kami meragui hasrat dan niat pihak yang mempersoalkan perkara tersebut pada masa sekarang setelah empat dekad diterbitkan. Kami bimbang tanggapan negatif kelompok tertentu akan mencetuskan gejala yang tidak sihat kepada perpaduan yang telah wujud di negara ini. Melayani tuntutan yang tidak munasabah seperti itu hanya mendedahkan kerajaan kepada risiko sindrom takut pada ancaman demagogue politik.

12. Tuntutan yang dibuat oleh mereka adalah tidak munasabah dan boleh menyebabkan kerajaan sukar untuk menjalankan tugasnya sebagai pemerintah yang tegas dan berwibawa, serta akan mengganggu suasana harmoni persekolahan di negara ini.

13. Kesan penarikan balik novel ini akan merosakkan imej karya sastera yang bertaraf tinggi dan dihasilkan oleh Sasterawan Negara. Apabila karya Sasteraan Negara dianggap sebagai berunsur negatif dan menimbulkan kekeliruan, di manakah kayu ukur penilaian beliau sebagai Sasterawan Negara sebelum ini? Bukankah beliau telah dinilai secara telus dan terperinci sebelum dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang kemudian mendapat pengiktirafan daripada Yang di-Pertun Agong?

14. Teks tersebut telah dikaji secara mendalam sebelum diluluskan oleh panel yang berwibawa dan diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh itu, tidak wajar kepercayaan yang telah diberikan ditarik balik. Penulis pada asalnya mengarang novel ini sempena Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1967. Peraduan ini diusulkan oleh Tun Abdul Razak (pada masa itu Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran PENA. Tun Abdul Razak ialah seorang pemimpin yang sangat prihatin tentang soal perpaduan, dan beliau pernah berkata dalam satu ucapan: "Masalah-masalah yang kita hadapi sekarang dan di masa-masa yang akan datang adalah adalah berlainan dengan masalah-masalah yang ada sebelum 13 Mei 1969." (Noor Azam. 1981. Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 7).

Novel ini memenangi hadiah sagu hati dan diterbitkan pada tahun 1971 atas arahan Tun Abdul Razak. Antara panel juri yang menilai penyertaan peraduan ini adalah mantan Ketua Hakim, Tan Sri Mohamed Suffian Hashim (Pengerusi Panel), termasuk sarjana universiti, sasterawan, wartawan serta pegawai tinggi kerajaan yang meminati sastera sebagai panel. Jika novel Interlok dipinda atau diubah isi kandungannya, ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan panel juri yang terdiri daripada kalangan mereka yang profesional dalam bidang masing-masing.

15. Mempertikaikan kewibawaan panel juri yang dipilih untuk menilai penyertaan Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka, termasuk menilai novel Interlok juga dianggap mempersoalkan kredibiliti Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri (kemudian menjadi Perdana Menteri) yang telah bersetuju dengan barisan panel juri penilai peraduan. Kami juga menganggap perbuatan mempersoalkan isi kandungan ataupun perkataan yang telah ditulis oleh Datuk Abdullah Hussain ibarat menderhakai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan penganugerahan status Sasterawan Negara kepada Datuk Abdullah Hussain pada tahun 1996 atas kejerihan beliau memartabatkan kesusasteraan dan persuratan Malaysia, termasuklah menghasilkan novel Interlok.


Saranan
1. Kami menyokong penuh tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang berkepentingan untuk mencemari ketulenan novel Interlok yang telah berusia 44 tahun kerana ia jelas merakam realiti semasa mengenai masyarakat negara ini pada zaman pramerdeka. Sebenarnya sebelum diterbitkan dalam edisi pelajar memang telah dibuat beberapa pindaan bahasa yang dianggap tidak sesuai bagi pelajar. Namun begitu, pindaan seterusnya atas faktor kepentingan politik (yang tidak berasas) tidak wajar dilayan sama sekali. Desakan politik itu lebih bersifat provoksi dan ugutan kepada kerajaan sekali gus untuk menggugat keutuhan kerajaan sebagai pemerintah yang berwibawa.

2. Bagi mengatasi kekeliruan dalam kalangan pelajar seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, kami menyarankan agar guru yang mengajarkan teks tersebut dilengkapi kemahiran bersepadu dengan ilmu bantu supaya mereka dapat membimbing pelajar dalam nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok. Penjelasan tentang konsep pariah dan nilai dalam agama Hindu yang disentuh dalam novel tersebut boleh dijelaskan oleh guru secara mudah sekiranya diperlukan. Malahan inilah antara perkara yang patut disentuh dalam kurikulum di sekolah mahupun dalam subjek Hubungan Etnik di institusi pengajian tinggi.

3. Isu ini hendaklah diselesaikan secara berhemah dan ilmiah serta ditangani dengan akal yang bijaksana agar tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.

4. Oleh itu, dialog intelektual perlu diadakan segera antara pihak yang bertentangan pendapat bagi menjelaskan pandangan secara lebih ilmiah tanpa campur tangan kuasa politik. Dialog ini boleh dibuat dalam satu pertemuan meja bulat dan diwakili oleh pakar sejarah, pakar sastera dan badan bukan kerajaan yang prihatin, bukannya oleh sebuah jawatankuasa baharu yang mungkin akan tertakluk kepada kehendak politik pragmatik.

5. Penubuhan sebuah jawatankuasa baharu untuk mengkaji dan meminda buku itu tidak relevan sama sekali kerana segala penjelasan telah diberikan oleh para sarjana.

6. Kami menggesa Interlok dikekalkan kerana novel tersebut berperanan penting dalam membina generasi muda yang celik sejarah dan budaya dan menjunjung tinggi perlembagaan negara.

7. Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pihak yang menghina Sasterawan Negara kerana kedudukannya sudah dimartabatkan melalui anugerah yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong. Penghinaan kepada beliau samalah seperti menghina Yang di-Pertuan Agong, yakni institusi yang tinggi di negara berdaulat ini.

8. Sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan mata pelajaran sastera secara lebih serius pada peringkat sekolah dan universiti tanpa mengira aliran pengajian. Dengan pewajiban itu banyak manfaat akan diperoleh kerana kesusasteraan terbukti memiliki nilai pendidikan, moral, kehalusan rasa, intelektualiti, dan kreativiti yang dapat menjana pemikiran pelajar atau generasi muda negara ini. Pemisahan sastera daripada pelajar beraliran sains dalam bentuk dikotomi merupakan sistem yang lapuk dan jauh ketinggalan daripada sistem pendidikan di negara-negara maju. Negara-negara maju tidak pernah meninggalkan kesusasteraan dalam sistem pendidikannya walaupun bagi aliran sains, tekonologi, dan sebagainya.

9. Kerajaan juga wajar menurutsertakan wakil-wakil persatuan penulis atau sarjana sastera yang berkaliber dan jujur dalam sebaran bentuk perbincangan bagi memutuskan satu-satu perkara yang melibatkan pembelajaran dan pengajaran di sekolah termasuk dalam soal pemilihan buku teks.


Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
11 Januari 2011

Monday, December 13, 2010

Yang Meratap dan Yang Kaya

Lutfi Ishak dalam blognya membalas kenyataan "sinikal" Puan Ainon tentang Dialog Orang Muda (DOM) di Rumah PENA. Sama ada meratap atau tidak para panel dan khalayak yang datang ke majlis DOM tidaklah saya pedulikan sangat kerana perkataan "meratap" itu mengandungi unsur tafsiran lantaran sifatnya yang konotatif. Yang ingin saya sentuh ialah soal kekayaan sesetengah penulis yang menulis cereka popular hingga mereka tidak termasuk dalam golongan "meratap" itu. Memang sudah wajar sangat penulis yang kaya itu menyimpan sahaja ratapan mereka kerana semua perlakuan itu tidak relevan lagi dengan hidup mereka. Kalau mereka yang kaya itu pun meratap, tentulah akan timbul pula kenyataan bahawa mereka tidak tahu bersyukur. Golongan itu perlu dibiarkan sahaja mengisi relung-relung yang dahaga akan karya mudah dan simplistik. Memang dunia besar atau kecil sekarang dikuasai oleh konsumerisme lalu intelektualisme terpinggir daripada perkiraaan pasaran. Jika penulis yang memenuhi konsumerisme sudah kaya raya, penulis yang mementingkan intelektualiti tidak boleh dianggap meratap apabila mereka memperkatakan situasi yang menekan intelektualisme. Jika golongan ini tidak bersuara, siapakah yang akan menjadi pembimbing masyarakat untuk memilih nilai kecendekiaan? Biarlah golongan ini terpinggir, marginal,dan miskin asalkan mereka kaya dengan pemikiran dan besar dengan harapan. Inilah golongan yang akan diingati dan tercatat dalam peradabanbangsa.
Untuk makluman, saya tidak mengelompokkan penulis yang berjaya dengan hasilkarya mereka itu sebagai penulis sampah. Mereka juga penyumbang kepada penyebaran maklumat dan moral walaupun tidak termasuk dalam lingkaran ilmu. Maka, yang perlu kita pertimbangkan ialah sama adakita menyebarkan maklumat atau ilmu? Kedua-duanya ada manfaat. Tidak perlu kita memusuhi mana-mana golongan tetapi jangan sampai kita menghina golongan yang kecil tetapi besar pemikirannya.

Monday, November 22, 2010

Nilai Kemanusiaan dan Setiakawan

Kami tidak perlu membuat perancangan besar untuk meredah lebuh raya Utara Selatan menuju ke Ipoh. Sudah bertangguh beberapa kali juga sebelum kami dapat berkumpul dan bergerak ke utara Semenanjung demi rasa setiakawan terhadap sahabat yang telah lama menderitai kanser. Amirul

Wednesday, November 3, 2010

Meraikan SM Zakir





Saya percaya, setiap orang mempunyai kekuatannya masing-masing; dan setiap orang ada kelemahannya masing-masing. Kita lupakan kelemahan orang tetapi tumpukan kekuatannya. Kita kurangkan aktiviti menghina orang tetapi kita tumpukan aktiviti menyanjung dan menghargai kelebihan orang. Terlalu sering kita mengecam orang kita akan buta terhadap kelemahan sendiri. Jika kita rajin menyanjung orang, tidak bermakna kita akan terhina, malah itulah sifat mulia. (Falsafahlah kononnya)

Orang yang mempunyai kekuatan dan kemudian telah menerima pengiktirafan daripada suatu pihak yang berwibawa perlu kita raikan walaupun dalam skala yang kecil, mengikut kemampuan kita. Dengan premis itu, maka kami dalam PENA cuba untuk memberikan sokongan kepada teman-teman (ahli-ahli PENA sahaja)yang telah memperoleh pengiktirafan besar. Ini bermula dengan keraian untuk Sasterawan Negara Anwar Ridhwan (sejak saya berada dalam PENA) yang kami adakan bersamaan dengan acara baca puisi PENA dahulu. Kami hanya memberikan hadiah yang kecil sebagai tanda ingatan. Itu pun dengan sokongan rakan pelukis,Aris Aziz, yang sanggup menghasilkan lukisan potret untuk SN Anwar Ridhwan. Demikian jugalah yang akan kami laksanakan pada malam esok (Jumaat, 5 Nov. 2010) di Rumah PENA. Sempena penerimaan anugerah Tokoh Penulis Muda MASTERA oleh SM Zakir PENA akan meraikan beliau dalam acara santai. Sesiapa sahaja akan dberi peluang untuk membaca puisi sama ada karya Zakir sendiri atau karya penyir tentang Zakir. Bagi orang yang mahu membaca sajak lain pun tidak mengapa. Inilah sumbangan yang mampu kami berikan. Dan Kami amat berbangga kerana teman kami dalam PENA menerima anugerah itu. kami juga amat berbesar hati jika teman-teman sanggup turun untuk meraikan teman penulis kita.

Datanglah beramai-ramai ke Rumah PENA pada malam esok, dan bawalah bekalan sajak masing-masing.

Nanti akan menyusul pula majlis meraikan teman kami yang menerima Anugerah SEA Write, Zaen kasturi. Bentuk majlisnya belum diputuskan.

Tuesday, October 19, 2010

Kenapa malas sangat

Kenapa malas sangat saya hendak menulis dalam blog ini? Nantilah dulu.

Thursday, September 30, 2010

Mesyuarat Agung PENA

Acara PENA

Mesyuarat Agung Tahunan PENA: 3 Oktober 2010. Rumah Pena.

Sila datang untuk memeriahkan majlis dan mengundi untuk kepemimpinan baru. Jjamuan Raya disediakan.

Acara lain:

1 Oktober: Forum di Berita Harian anjuran Perskom, Gapena dan Berita Harian. Pukul 3 petang

2 Oktober: Malam di DBP, Pertandingan akhir Deklamasi Puisi Gapena

Sila datang bawa sedara mara.

Wednesday, September 22, 2010

senarai puisi deklamasi gapena

Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan
2010

Teks Puisi-Puisi


Penyelaras

Jawatankuasa Teknikal
Sayembara Deklamasi Puisi
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA)


Kandungan

Huraian Tentang Konsep/ Istilah Bagi Maksud Penghakiman - i

1. A. Rahim Abdullah
Maruah Perjuangan - 1
2. Ahmad Sarju
Mengusir Sangsi - 2
3. Borhan Md Zain
Mantara Anak Merdeka - 4
4. Chu E Liang
Salam Tekad Warga Merdeka - 5
5. Gunawan Mahmood
Tun Perak - 6
6. Hashim Yaacob
Kitalah Tuan - 7
7. Hassan Jaidin
Wasiat Rimba Merdeka - 9
8. Jariah Haji Taha
Di Bawah Kolong Langitmu - 11
9. Lim Swee Tin
Salam Perjuangan Srikandi Bangsa - 12
10. Nassury Ibrahim
Pidato Umum di Dataran Merdeka - 14
11. Rahimidin Zahari
Tok Janggut - 16
12. Raihani Mohd Said
Istana Kemerdekaan - 18
13. Razali Mohd Yussof
Jamung Kemerdekaan - 20
14. Sazalee Haji Yacob
Di Halaman Kembang Sepatu Ini,
Selamanya Sejahteralah Warga - 22
15. Shahrunizam Abdul Talib
Menyelusuri Sungai Merdeka - 24
16. Shamsudin Othman
Rimba Perkasihan - 25
17. Zaen Kasturi
Ke Ruang Katarsis - 27


i

18. Zainal Abadi
Suara Anak Merdeka - 29
19. Zainal Abidin Haji Suhaili
Menebus Nilam Maruah - 31
20. Zainal Rashid Ahmad
Ayahku, Seorang Penjual Roti - 32
21. Zurinah Hassan
Rumah Merdeka - 33

ii

HURAIAN TENTANG KONSEP/ISTILAH BAGI MAKSUD PENGHAKIMAN

1. Vokal – 15%
Suara : bagi deklamasi puisi kemerdekaan suara memainkan peranan yang penting. Ini adalah untuk menaikkan semangat patriotik di kalangan audian. Calon mesti memastikan mempunyai suara yang besar, lantang, parau. Keseluruhan markah ditentukan oleh kesesuaian suara bagi puisi jenis ini.

2. Intonasi – 15%
Turun naik suara. Peserta dapat mengawal tinggi rendah/panjang pendek suara berdasarkan maksud puisi. Kebolehan dan kecerdikan peserta mengawal intonasi menentukan markah baik atau sebaliknya. Kebolehan menggunakan jeda, patah-patah kata, hentian yang betul diambilkira.

3. Nada – 15%
Bunyi suara yang melahirkan atau membayangkan sesuatu perasaan, sikap, aliran atau rentak puisi. Nada dalam deklamasi mengikut ‘mood’ sesebuah puisi. Peserta yang dapat mengikut mood dan nada bagi setiap baris, bait atau rangkap mampu memperolehi markah yang tinggi.

4. Kelancaran/Artikulasi – 15%
Kelancaran bererti peserta dapat mendeklamasi dengan lancar tanpa tersekat-sekat atau terhenti atau terlupa. Sekiranya peserta tertinggal lebih dua perkataan, markah bagi bahagian ini akan kurang kerana ia mungkin mengubah maksud puisi tersebut. Artikulasi bererti dapat menyebut bunyi atau kata dengan jelas. Sebutan dapat difahami dan menggunakan sebutan bahasa Melayu baku.

5. Mimik Muka – 10%
Peserta berjaya meniru, mengajuk gaya, cara setiap sifat dan perasaan dalam puisi.
Contoh: Kalau terdapat perkataan yang membawa maksud marah, sudah pasti peserta memperlihatkan wajah yang marah bukannya tersenyum. Mimik muka amat penting bagi peserta berkomunikasi dengan audian untuk menyatakan maksud puisi.

6. Penghayatan – 10%
Peserta dapat mengalami dan merasai dalam batin, mengalami dan merasai, meresap ke dalam jiwa. Kesimpulannya peserta mesti berada dalam puisi tersebut. Penghayatan dapat dirasai oleh audian dari keseluruhan deklamasi.

iii

7. Bahasa Tubuh/Gesture – 10%
Penggunaan anggota badan bagi menyokong, mengguatkan lagi maksud kata, bait dalam deklamasi. Penggunaan anggota yang betul, tepat amat penting bagi menarik minat audian.

Contoh: Ayuh, mari kita bestarikan tanah hitam putih tanah hadhari milik kita yang pasti. Mungkin penggunaan tangan sebagai bahasa badan untuk melambangkan tanah air. Kalau tangan menunjuk ke langit adalah salah tetapi kalau tangan menujuk ke bawah atau mendasar adalah tepat. Oleh itu peserta mesti berhati-hati.

8. Penampilan – 10%
Penampilan diri sebenar amat penting selain daripada kostum, alat bantu (Kalau ada) sesuai, cara deklamasi, berdiri dan bergerak juga amat penting.

Hakim ada mengambil kira seawal langkah pertama peserta berjalan dipentas. Di sini disiplin pentas, disiplin diri, pengawalan pentas dan pengawalan pembesar suara dianggap penting.

puisi gapena

Maruah Perjuangan
A. Rahim Abdullah


Kemerdekaan adalah harga diri – maruah perjuangan
formula baru dan tapak perjalanan panjang
sebuah negara bangsa yang teruji
bakal menyuluh kalbu rakyat dan pemimpin
kemerdekaan adalah telaga hayat – menyajikan minuman
kesegaran bak sumur kemakmuran abadi
yang tak pernah kering dilanda kemarau panjang.

Kemerdekaan adalah simfoni kebebasan – mergastua belantara
di rimba harapan yang bernyanyi riang
tanpa henti dan terbang ke gunung-ganang
ke padang luas dan saujana tanpa sangsi
melestarikan kebebasan dan harga diri
setelah berdekad lama membina negara
mengangkat harkat dan martabat bangsa.

Justeru jangan ada di antara kita yang lelah
jahil menafsir makna kemerdekaan
bukan arakan panji-panji dan kibaran bendera
kemerdekaan adalah roh dan jasad
yang terus mengalir di relung kalbu
tiap rakyat, tiap pemimpin, tiap pemerintah
yang megah bertakhta di minda bangsa
di sini anak-anak harus diajar erti maruah – harga diri
bakal menerimanya penuh saksama – tanpa berbelah bagi
mengakar akal budi – lalu mengalir
bercambah di perdu tanah air ini
hingga tak terbilang nilainya.

Telah puluhan tahun kita menerima – memahkotakannya
jangan ada di antara kita masih keliru – termangu tak menentu
ke sasar di halaman sendiri dalam mencari erti
kata keramat yang terletak di hujung jari
atau tersimpul di hujung rambut kita
kerana erti merdeka bukan saja nafas cinta
yang dipertaruhkan saban waktu
tetapi nilainya adalah lebih dari itu!


Mengusir Sangsi
Ahmad Sarju


Kemerdekaan bagaikan menadah sinar martabat bangsa
kebebasan yang kita rebut semula dengan darah pekat
yang tumpah menanggalkan sisa-sisa belenggu
yang sekian lama mencengkam
laut yang kehilangan mutiaranya
bumi yang kehilangan permatanya
bangsa yang tercela bahasa dan budayanya.

Duka tertanam telah tercabut duri penindasan
oleh penakluk daratan dan pantai serta teluknya
kita genggam semula setiap butir khazanah di perut bumi
menghapuskan keangkuhan suara bangsa penjajah
yang mengotorkan peradaban dan menghakis kedaulatan
kini kita menjadi bangsa yang berani menentang kezaliman.

Kemerdekaan telah membuka luas padang minda
menanam benih-benih kesedaran di perkebunan ilmu
megubati luka sejarah dengan bahasa perkasa
mengangkat martabat dari gedung bestari bangsa sendiri
bangsaku bukan bangsa kerdil lagi di mahkamah dunia
yang gigih menegakkan keadilan dan menghapuskn penindasan.

Bukan mimpi kita melangkah tampan di barisan hadapan
ke pentas dunia mematahkan telunjuk bangsa yang angkuh
menampilkan kepintaran berhujah
menepis tikaman tohmah
kerana kita bukan boneka atau badut
menukang cerita palsu yang sering melucukan
atau menjual diri jadi penghibur
kini kita menjadi pemacu kuda
tangkas mengharung dunia ke alaf baru.

Kemerdekaan menukar wajah lesu
kepada peneroka gagah masa kini
jati diri berjiwa besar adalah cermin sejarah perwira samudera
yang tak pernah luntur semangatnya
menjadi pendaki dan pengembara

pemimpin yang menjadi pejuang keamanan
di seluruh benua yang pernah dipinggirkan
kini berdiri di pentas antarabangsa bukan sekadar keberanian
tetapi kebijaksanaan mengatur acara dunia.

Akar perpaduan telah menyuburkan benih setia
setiap warga kini kita berhijrah dan kemegahan palsu
kepada pembina Malaysia baru berani membebaskan adat
kita bukan pedagang melarat
meminta ihsan dari timur atau barat
kita adalah warga pentadbir dunia pencinta kedamaian sejagat
bukan sekadar kakaktua bijak melontar kata-kata.

Kini tugas kita mengusir sangsi
wabak kejam yang lembut membunuh atau ragu
yang mematahkan keteguhan dan ketabahan perjuangan
yakinlah bangsaku, yakinlah generasiku
kegemilangan negara-wargamu ada di tanganmu.


Mantera Anak Wawasan
Borhan Md. Zain


Kalian, jika keris pusaka ini diasamlimaukan
kalau tanjak pahlawan ini dimahkotakan
pasti alun hidup akan terjurus
pada satu arah dan matlamat;
berkata dengan santun dan berbudi
menyanggah secara halus dan bererti
tepak sirih dihulur, salam bersahut
maka pekerti akan datang sediri
berdiri sebagai bangsa yang satu
bersila sebagai bangsa bermartabat
dalam persada iman dan taqwa.

Pada tujuh petala langit
pada tujuh petala bumi,
turunkanlah semangat pahlawan bangsa
pada anak-anak wawasan
yang berkeliaran di kaki lima,
asapkan mereka dengan semangat perwira
agar mereka menjadi panglima setia bangsa.

Hei! anak-anak wawasan
kini bukan lagi masa untuk bersandar lena
atau asyik bersembang di kaki lima,
kita mesti mengejar masa
kita mesti mengukuh kuasa
agar kita setara dengan segala bangsa.

Hei! anak-anak wawasan,
ruang yang luas mesti dirampas
sekali tercicir bererti gelincir
sekali terlepas bangsa melepas.

Kita jangan papa jadi perempat
dan peminta di tanahair sendiri
kita jangan celaka jadi penyengat
dan petualang jalang mengotor hitam persada suci.

Usah lali dengan kemerdekaan
jangan leka dengan kebebasan
perjuangan kita baru bermula
esok lusa siapa yang punya.


Salam Tekad Warga Merdeka
Chu E Liang

Dengan tekad seusia laluan musim menjelang tiba
dalam gugup resah merisip apa yang tersimpan di sukma bangsa
betapa menuntut kebijaksanaan menajam mata fikir
mentafsir setiap juzuk setiap langkah kita melangkah
biarkan menempa kemasyhuran seusia kita
menyarung resah sehayat kita berjuang.

Mengempal niat mulia menyusuli jalan kebenaran
membongkar rahsia mengutusi iman laman kitab
memacu mengangkat menjulang martabat bangsa
agar sentiasa terbilang mengulangi kejayaan demi kejayaan
mengatasi desah spekulasi dan himpitan bencana
yang kerap melanda hingga terusik jiwa

Telah kita warnai keperibadian kampung kebebasan ini
dengan menyempurnakan gandingan kukuh teguh
sebagai warga Malaysia yang gigih membina angklung kedamaian
kerana kita tahu maknanya
kita tangkas menjaga kita pantas membela
agar laman damai ini kekal selamanya.

Kemerdekaan kita biarkan tertunai di jiwa
tersergam di kalbu terhias di laman
kecintaan semerbak lagu harmoni
dengan wajah persekitaran udara yang nyaman
ruang bumi indah di cakerawala mempesona.

Wahai generasi yang cekal dan bermaruah
di bahumu tersirat segala tuntutan
mempertahankan dan menjulang maruah bahasa ibunda
kerana itulah jiwa bangsa berbudaya sebuah negara merdeka.

Di musim pancaroba
semacam tutur kata asing cuba memacu kita
tidak harus kita leka dan tergelincir dengan arcanya
kerana di jiwa kita sudah terpahat makna
tanah air ini hak kita kekal selamanya.


Tun Perak
Gunawan Mahmood

Tun Perak itu bijaksana orangnya lagi sopan tingkahnya
gagah perkasa tidak menghilangkan baik perilakunya
keperwiraannya tidak melenyapkan kesetiaannya
fikirannya bernas, tubuhnya perkasa, nadanya tegas
pandai bermain senjata, pandai pula bersilat kata
ungkapannya sarat strategi, tindakannya sudah teruji
suaranya adalah titah raja, titah raja adalah firasatnya.

Tun Perak lelaki Melayu tokoh terulung di zamannya
dialah pemerintah di bawah junjungan mahkota mulia
bijaksananya memikat ribuan orang datang berdagang
kepandaiannya terbina kota niaga dan pelabuhan
makmurnya tanah ini mengundang kuasa-kuasa Barat.

Tun Perak tahu di mana meletakkan dirinya
sedikit pun tidak terlintas menjadi Jebat yang derhaka
apa lagi menjadi Tuah yang setianya membuta
Tun Perak tidak menjadi raja walaupun di tangannya tergenggam kuasa
Tun Perak tidak angkuh walaupun tapaknya kukuh
setianya pada tugas terjunjung sepenuh jiwaraga
dia menjadi pemimpin di tengah-tengah rakyat
dia menjadi pekerja di sisi raja berdaulat
Tun Perak lelaki perkasa yang mengangkat martabat bangsa
dialah juga wira yang melebarkan wilayah kita.

Penuh hikmah lagi pandai menjaga harga diri
patuh kepada kuasa tertinggi
tetap menimbang dengan akal budi
musuh datang ditewaskan dengan helah hulubalang
sahabat pulang mengurut dada yang lapang.

Tun Perak, walaupun telah ratusan tahun kau pergi
tetapi semangatmu tetap pada dalam nurani kami
jasamu besar membina peribadi jatidiri
kaulah penyemai benih-benih demokrasi
di tanah bertuah ini.


Kitalah Tuan
Hashim Yaacob

Kita lari menggendong maruah diri
resah cemas di bumi sendiri.

Lalu berapakah harga kelangsungan nafas
ketika kita tunduk tewas
terkongkong dan tertindas?

Ratusan tahun kita ketiadaan wajah,
apakah tanda kehandalan pahlawan
sedang bangsa menjadi suruhan?
ratusan tahun kita kehilangan rupa,
di tanah sendiri tuannya siapa?

Betapa bosan dalam kehilangan
tiada seri di mata, segala malap,
tiada cahaya di jiwa, segala gelap,
lalu mengeluhrintih bangsa bawahan,
kerana pendatang berdiri,
mempertidak hak dan menuding jari:

“Kami sebenarnya tuan,
kamu yang lemah adalah suruhan!”

Tetapi segala sementara, segala sementara
tidak terbenam inti keberanian
tidak terkikis nadi kepahlawanan:
bangkit Tok Janggut dengan kegagahan,
bangkit Mat Kilau dengan kecekalan,
bangkit Maharaja Lela dengan kehandalan,
bangkit Bahaman dengan keyakinan,
bangkit segala wira, bangkit
bangkit bangsaku memaknakan pertuanan:
berbadai di jiwa membela ibunda
berapi di mata menuntut merdeka!

Kini bagaikan permata,
merdeka di genggaman kita
tergenggam juga kebijaksanaan
kitalah penentu kelangsungan.

Pengalaman adalah perisai sejati,
tegap kita dengan mata waspada
santun kita dengan telinga budi,
kita bangunkan tiang yang lima,
dalam rangka hidup bersama
kita ukir hala tuju
dengan agama, budaya dan ilmu.

Kitalah tuan.


Wasiat Rimba Merdeka
Hassan Jaidin

[Maka Raja Iskandar bertanya,
“Apa nama kayu ini, tempat kita bersandar?”]

mari kita elus makna akar dari sebatang pohon sebijaknya;
dengan akar yang menujah bumi
terfikir kita keakraban paling mutlak
tanpa akar bumi takkan kejap tanpa bumi akar takkan hidup
itulah akal asal bangsa
menunjang batang ketamadunan gemilang
meski dibadai petaka lapan penjuru angin
meski digegar bencana tujuh jurus benua
meski disimbah sengsara tujuh jirus samudera
takkan goyah batang ini,
takkan goyah!

ini akar asal bangsa mengaut gizi agung dari bumi
gizi membentuk budaya murni
gizi membentuk adat harmorni
gizi membentuk iman hakiki
pantaslah batang ketamadunan gemilang
gagah membenteng diri

pohon apakah ini sebenarnya?

mari kita gapai makna pucuk dari sebatang pohon sebijaknya;
dengan pucuk yang melakar langit
terfikir kita keinginan paling waja
tanpa pucuk pohon mati segera tanpa pohon pucuk tiada
bertunas itulah pucuk aspirasi bangsa
menyegar batang ketamadunan gemilang
meski diamuk dermaga tujuh petala langit
meski digait durjana berjuta parasit rimba
meski dipulas seksa nasar tujuh turunan
takkan lemah batang ini,
takkan lemah!
ini pucuk aspirasi bangsa mengaut gizi agung dari jagat terbuka
gizi membentuk citra unggulan
gizi membentuk naungan ikhlas
gizi membentuk keindahan peribadi

sewajarnya batang ketamadunan gemilang mencuat mercu wijaya
pohon apakah ini sebenarnya?

mati kita analisa pohon ini sebagai kita negara bangsa sepadu;
pohon ini segak namanya ke seluruh rimba buana
pohon ini rimbun keprihatinannya menaungi sengsara mergasatua
pohon ini kukuh pendiriannya meski kerdil diukur mata
ini bukan pohon Melaka, bukan
ini pohon Malaysia!
menjadi daunnya sahaja teramat agung untungnya
bagaimana pula jika kita adalah buahnya?

[Maka Raja Iskandar berseru,
“ini kayu jangan tebangkan,
ini rimba jangan hapuskan,
semangat rimba harus ada pada anak cucu kita!”]


Di Bawah Bumbung Langit-Mu
Jariah Haji Taha

Di bawah bumbung langit-Mu tempat kita berteduh
telah tertuang ke bumi lima puluh tujuh kolah air mata
kini menjadi kolam tempat kita mencuci luka lalu
hingga tidak tersisapun segaris kepedihannya.

Di bawah bumbung langit-Mu tempat kita berdiri
ada pondok terhimpunnya khazanah cinta
atapnya kalimat kesetiaan
dindingnya keluhuran peribadi warisan
tiangnya dipacak kukuh mercu bangsa.

Inilah negeri tempat lahirnya para pejuang kemerdekaan
suara tegar masih segar menentang penjajah
tidak rela pelabur kebohongan datang bertandang
dan peraih yang sesekali menawarkan harga dagangan
konon, menanam pepohon keamanan di halaman
sedang di hati bersarang kerakusan dan kedengkian.

Dengan bekal budi bahasa pusaka bangsa
teguhkanlah pekerti anak-anak peribumi
kuasa teknologi usah dibiar bebas menyangkar
kesucian budi dan menakluk jatidiri bangsa
kerana bimbang nanti akan mengigit jari
menjadi hamba di tempat sendiri.

Di bawah bumbung langit-Mu tempat kita berdiri
usah dilupa bapa empunya pondok cinta
dan laluan yang masih basah jejak sejarah
di sinilah tempat kita belajar mengangkat tamadun bangsa
di sinilah tempat kita mengibar jalur gemilang
belajar dari kesilapan kepada kebenaran.

Di bawah pohon tempat anak-anak watan menjunjung kasih
usah dibiar dedalu menjalar di halaman cinta
atau layu dilanda kemarau sepanjang musim
kerana pada setiap 31 Ogos akan tumbuh subur pepohon
yang merimbun kedamaian dan kesejahteraan.


Salam Perjuangan Srikandi Bangsa
Lim Swee Tin


Tunduk hormatku untukmu wanita
penyubur jiwa pemekar cinta
walau kadang-kadang kabut mengepung hari
senyum mengendurkan resah belai menenangkan lena
suami dan anak kecil dipaut lembut renung matamu.

Wanita,
telah kami hafal alur sejarah panjangmu
tatkala bangkit engkau dari liang parut penjajahan
sederap bergandingan di genderang perjuangan
sedar bangsa sekian abad terantai kaki kebebasannya
lalu, di dinding sejarah ini namamu kami ukirkan emas.

Untukmu wanita tunduk hormatku
dewasa kami dalam dodoi dan bening rindumu
kau bekal cekal pada hidup berduri keliru
bahawa pengisian kemerdekaan rupanya dibeliti rintang
kaukejapkan pagar yakin teguh benteng keperibadian
siaga sungguh anak generasi mengharung gelombang.

Wanita,
bertuah pertiwi sepanjang zaman tersulam namamu gemilang
dan Ibu Zain, Fatimah Hashim
hingga kini Tan Sri Aishah Ghani
semuanya permata bangsa tak terkira harga
kautinggalkan pesan suci negara kita bela nusa kita jaga
air mata bukan galang ganti,
keringat dan darah bukan tukarannya
kaukorbankan jiwa demi sejahtera di tanah pusaka.

Wanita,
dalam melestarikan hadirmu tak pernah kausempitkan dunia
kau isi agenda mewarna era merintis kemajuan
kautabur kuntuan makmur dalam kerangka kesejahteraan
manakala, di arena antarabangsa lantang suarakan kebenaran
sehingga kita walau kecil tak lagi dipersenda,
diperkotak-katikkan.

Wanita,
belum sempurna rupanya cantuman perca impian kita
tugas di bahumu masih menuntut bijaksana berganda
lihatlah, di mana-mana bertaburan serpihan kaca percaturan
imperialisme dengan taring dan rahangnya ternganga
maka, jitukanlah jatidirinya perkasakanlah setianya
dari anjung sesusuk persada cananggemakan cintamu mulia.

Salam perjuangan srikandi bangsa
pancangkanlah lagi di tiang hati kasihmu abadi
kerana di sini,
angin liar mungkin meretak cermin sentosa ini
dan, sekalipun hingga ke puncak cakerawala
jejakmu jaya jangan sesekali dibiar tergetus ia
di bumi ini percayalah akan kami maknakan erti merdeka.


Pidato Umum di Dataran Merdeka
Nassury Ibrahim

Lautan sejarah kita adalah lautan maha saujana.
Lauta menyimpan lolonga silam yang tidak bercetak
tentang orang-orang tua kita mengadap tikaman angin dan sergahan
ribut terakam di dalam lumpur dan karangan, lumut dan
ampaian, keris dan kenangan:

Kisah Portugis tak cukup rempah
Kisah Belanda tak cukup tanah
Kisah Inggeris tak cukup timah
Kisah keris tak cukup darah.

Mari kita analisa lolongan ini di makmal inkuiri, kita cari erti segar
dari makna sejahtera; kita petik seri zat dari pohon bahagia.
Ini rumah yang pernah kita tumpangi jangan esok menumpang lagi
setelah empat ratus empat puluh enam tahun menderita di bumi pusaka:
Siang menunggu harapan, malam menanggung bimbang:

Bimbangkan pemuda di mana kuburnya?
Bimbangkan dara siapa pencabulnya?
Bimbangkan kuasa siapa pembelotnya?
Bimbangkan darah siapa penghisapnya?

Hari ini, mari kita susur sejarah luka bangsa kita dan memetik aduh
orang-orang tua. Hari ini, mari kita bina visi dari ramuan milik sendiri,
kerana citarasa kita kitalah yang mengetahuinya:

Visi mengembalikan permai yang hilanG
Visi mengembalikan bangsa kecundang
Visi mengembalikan nilai persaudaraan
Visi mengembalikan negara disegani.

Anak-anak generasi, selamilah lautan sejarah kita tanpa ideologi
dan warna bangsa. Dari laut sejarah dari batu-batu luka kita bina generasi
berdaulat. Generasi bertuankan kitalah tuannya.
Generasi yang besar keagungan betapa pun kecil diri kita:

Kecil itu bukan bererti lemah
Kecil itu bukan bererti mengalah
Kecil itu bukan bererti di bawah
Kecil itu bukan bererti penjunjung perintah.

Setelah sekian aduh kita merasa, mari kita hidup tanpa ’patriot’ dan ’scud’.
Hidup di bawah bumbung harmoni berhijauan mesra.
Hidup tanpa tertipu nafsu atau fikiran bijak, meski di mana sekalipun kita berada:

Di dalam PBB di dalam CHOGM di dalam G-15
Di dalam ASEAN di dalam politik dunia
Di dalam ekonomi antarabangsa: kita bersuara dari suara milik kita.

Anak-anak generasi. Meski telah sekian wira kita berpergian,
kita masih punya seorang lelaki. Lelaki yang menuntut kita
menyempurnakan tugas bersamanya. Lelaki peraih gelar wira dunia ketiga
adalah bapa pemodenan kita yang memberi kejantanannya kepada rakyat jelata.
Dia adalah lelaki kecil yang besar visinya: kepada agama kepada bangsa dan kepada N E G A R A M A L A Y S I A.


Tok Janggut
Rahimidin Zahari

kuharung sungai kususur bukit tujuh gua yang silam
aku murba perkasa kautuduh penderhaka celaka

aku tak pandai berselindung dengan tembang dan senandung
suaraku tak mungkin semerdu seruling

aku tak rela tanah darahku diinjak dijajah
aku tak rela hasil bumiku dicantas dipulas
aku tak rela Melayu bangsaku dipandirkadukkan
aku tak rela Islam agamaku disendatemehkan

Tok Janggut Haji Mat Hassan namaku
tujuh lapis langit terpikul di bahu
tujuh lapis bumi tercengkam di kaki

aku pulang dari tanah Makkah yang putih dan suci
ingin kulihat tanah darahku tanpa penjajah

kubaca Jamaluddin Al-Afghani, kuhafal reformis Muhammad Abduh
dan kugenggam ideologi Rashid Redha

Tok Janggut Haji Mat Hassan namaku
anak Kelantan kelahiran Pasir Puteh
Kampung Saring mahupun Jeram
adalah padang permainanku
adalah gelanggang silat
tempat aku memperlimaukan diri

aku pulang dengan siap sedia asal mula
sebagai lelaki anak jantan perkasa
aku siap sedia menitiskn darah ke ranting cempaka
ini tanah darahku, tak akan kurela kaukikis habis
kuoleng mangkuk mimpi para tiran
inilah nafasku angin bergugus menyebarkan tandus
dan, nah! darah matahariku akan terpercik ke tanah Pasir Puteh

ringkik angin topan, sedialah kau
akan kuamuk kugetus kantung nyawamu
kalaupun aku mati di tangan bangsaku
aku mati sebagai pembela sejati

mutiara tetap mutiara
meskipun terpendam
di perut tiram
jauh pada dasar lautan!


Istana Kemerdekaan
Raihani Mohd. Said

Asas istana ini
kitalah yang meletakkannya.
Tegak atau robohnya
kitalah yang menentukan.
Hanya inilah sanggar
tempat kita menyemai cinta,
hanya inilah pusaka permai
yang kita ada.

Istana ini tiangnya adalah sejarah
yang menyimpan seribu rentetan silam.
Bermula dari kisah panjang dari Srivijaya
hingga terbinanya sebuah empayar megah berkuasa!
Empayar yang pernah menjadi realiti
tetapi kini hanya tinggal mimpi.
Pasir Salak, Naning, Bumi Semantan
adalah saksi yang menyimpan peristiwa berdarah.
Maharajalela, Dol Said, Datuk Bahaman
mewariskan pada kita api semangat,
menghembuskan pada kita nafas perjuangan,
menginsafkan pada kita
nilai hak dan kebebasan.

Cubalah kita kita toleh sejenak
akan jerih-perih duka semalam.
Cubalah kita renungkan dengan mata fikir
serta belajar dari pengalaman
erti sebuah kemerdekaan.
Janganlah pula kita biarkan
lok tujuh keramat yang pernah mereka
benamkan ke dada penjajah
tertikam diri kita kembali.

Jangan pula kita biarkan anak-anak generasi
menumpang di tanah warisan sendiri.
Setelah 446 tahun dipijak
apakah mahu dipijak lagi?

Istana ini dindingnya pembangunan dan kemajuan,
bumbungnya kedamaian dan keharmonian.
Satu misi, satu visi,
yang perlu kita sempurnakan.
Di sini rumah kita yang tercantik,
di sini rumah kita yang terbaik.


Jamung Merdeka
Razali Mohd Yussof

Mari kita imbau
selembar demi selembar
episod air mata tanah air.

Telah lima musim kita meneguk usia
dari pelabuhan kelam ke tanjung sinar
dari jerubu udara ke langit jernih
dari rimba bukit ke lebuh raya
juragan datang dan pergi;
di mana sebenarnya kita berdiri, di bumi sendiri?

Telah lahir putera bangsawan
mengibar jalur kemerdekaan
telah lahir wira berdarah rakyat
menabur baja di ladang pembangunan
telah lahir semangat pejuang
memimpin rakyat ke arah perpaduan
telah lahir arkitek bangsa
memercikkan kegemilangan Malaysia ke mata dunia.

Hari ini menjelma sudah jiwa insan hadhari
dan dari kelopak matanya,
mengalir kali damai yang abadi
tetesannya yang bening
meresapi hasanah dunia dan akhirat.

Rintik-rintik embun tergenang di halaman
angin sepoi-sepoi bahasa membisik ke pelosok desa
berapa harga kita sebenarnya, di bumi sendiri?

Mari kita nyalakan lilin dari jamung puisi
menyemarakkan tembang bahtera merdeka
biar lirik dan irama kita senada
alunkan pada tanah pusaka ini
agar tidak dicemari rengekan biadap hak ketuanan
tidak dibolosi tusukan curang anak dagang.

Tahun beredar dekad berlalu
dan kita semakin dimamah usia,
pergeseran, memusnahkan wawasan anak cucu kita;
seteguh apa sebenarnya perpaduan kita, di bumi sendiri?

Mari kita bebatkan luka di muka
mari kita bebatkan luka di dada
mari kita bebatkan luka di sukma
biar darah sengketa mengalir sejahtera
biar darah cinta meresap ke tulang bangsa
biar darah silaturahim bertunjang ke jantung kita.


Di Halaman Kembang Sepatu ini, Selamanya Sejahteralah Warga
Sazalee Haji Yacob

Ketika desar-desir suara angin menyentak rumput di halaman,
udara hitam dari sukma duka wangsa menyentuh gusar malam
bahtera kebangsaan yang selama ini teguh dan agam
tiba-tiba tercarik layar, tersasar haluan.

Ketika angin serong menyusur ke lembah gersang
badai malam dari kalbu musykil murba menggigit sumsum alam
bangsa yang sekian lama megah dan padu
tiba-tiba menerka udara mahing kemarau silatur
menyeret ke musim silam yang kontang.

Kau bangsaku, jangan lupa pada harumnya tubuh Seputum
kaku menjulur di tali gantung, demi mempertahankan
sekangkang Pasir Salak. Kau saudara seagamaku, jangan lupa
pada wanginya jenazah Tok Janggut,
terjerut songsang di pinggir jalan
demi mendaulatkan sekiting tanah Pasir Putih
generasiku, jangan lupa akan manisnya
darah Leftenan Adnan yang terpercik di makam Tanjung Puteri
demi menegakkan martabat nusa. Jangan sesaat pun kau lupa
akan nyaringnya pekikan para katwal
yang redha berputih tulang
membenteng Rumah Pasung Bukit Kepong
demi memelihara maruah pertiwi.

Generasi ku yang merdeka,
kita tidak pantas meneruskan nafas perjuangan ini
andai kita menjadi api yang marak diam merentungkan sekam
kita tidak pantas mengembangkan kuntum kemerdekaan ini
jika gunting dendam terus meracik licik di dalam lipatan
kita tidak pantas merenjiskan madu kedamaian ini
kalau duri iri masih merodok setiap serat daging kita,
saudara sebangsa ku.

Di sinilah halaman mesra kita,
halaman pusaka – pusaka pejuang terbilang
halaman merdeka – merdeka tanpa decitan darah,
halaman membangun – membangun dengan keringat kendiri,
mengorak maju bersama perbawa pemimpin,
menyantap damai berkat perpaduan warga,
moga kekal selamanya.
Di halaman kembang sepatu ini,
pertahankanlah daulah addin nan quddus
di halaman udara bugar nyaman ini,
perteguhkan maruah bangsa nan mulus
di halaman redup rimbun pohon kemerdekaan ini,
abadikanlah kemakmuran sejati
di halaman multi bangsa dan demokrasi ini,
selamanya sejahteralah warga,
sepanjang alaf menjulang nusa.


Menyelusuri Sungai Merdeka
Shahrunizam Abdul Talib

Berperahu menyusuri sungai merdeka berliku,
bermula di muara Empayar Kesultanan Melaka,
tiba-tiba ranap sebuah kota ketamadunan gemilang
bukan dek kerana bedil Portugis secupak itu,
tetapi kerana bergantang kuasa nafsu serta
khianat berpuaka membarah menjadi petaka,
bumi makmur menjadi lebur.

Melaka rebah, mata sejarah menangis pilu
bertalu musuh menggeledah kekayaan dipunggah,
agama disanggah dan politik bangsa menggelabah,
tiba-tiba di Kuala Semantan bangkit Bahaman pahlawan,
Abdul Rahman Limbung ulamak tersohor juga bingkas,
Si Putum cekal membunuh petualang, Pasir Salak berdarah
Bumi Kenyalang menyaksikan Rentap tangkas berpedang,
mengusir musuh yang tersesat jalan pulang.

Kini, kita mesti berani mendepani cermin sejarah
lantas belajar menjadi dewasa yang sejati,
matang corak fikiran, cemerlang gerak tindakan,
meski pun cermin sering memantulkan pahit kebenaran
yang sering menyilaukan mereka yang leka.

Sudahlah, usah lagi ditangisi semalam yang mendung
bersegeralah melakar gagasan, mengukir wawasan
bumi yang kita pijak ini dahagakan pengorbanan
langit yang kita junjung ini hauskan keikhlasan
demi sebuah masa depan yang lebih menjanjikan.

Rawatilah luka pendekar semalam
dengan mujarab penawar cekal hari ini,
sapulah air mata pejuang semalam
dengan sapu tangan ikhlas hari ini,
kesatlah keringat pahlawan semalam
dengan semangat hari ini.

Merdeka ini usah lagi dilepaskan dari genggaman,
merdeka ini perlukan pengisian, bukannya permintaan,
merdeka ini menagih pelaksanaan, bukan lagi laungan,
kerana merdeka ini milik kita semua
yang cintakan keamanan dan kedamaian.


Rimba Perkasihan
Shamsudin Othman

Kunamakan kau taman permainan inderaloka
tak terperi seru dab wasilahnya.
Inilah rimba perkasihan tempat moyang-poyang
menanam dan memugar nyali uzlahnya.
Aku tak akan mudah berangkat meninggalkanmu
ini janji yang termetri jauh dari lubuk generasi
aku bukan badut yang mudah mengangguk
sehingga tergadai maruah bangsa.

Aku insan dari rimba perkasihan
jangan kau desak untuk menjadi seorang pembohong
sekali darahku menitis berabad dendam membawa
penawarnya lebih pahit dari batawali
lebih manis dari madu tualang belantara
maka, jangan sesekali aku disakiti.

Sebaris kata ini tak akan terlontar kalau tak dinodai.
Ayuh, jangan sesekali tewas menyerah
kita asah tombak akal dan pedang iman
kita titipkan kasturi tiga setangkai
biar bisanya tiada penawar
biar, biar, biar berpanjangan duka nestapa
biar jadi pengalaman kepada penderhaka.

Aku sudah cukup longlai akan taburan kata tak tertunai
juga nyali yang tak berdarah
aku bukan insan yang kehilangan atma dan teja pendekar
akulah pewaris dari rimba perkasihan
rimba tempat anak-cucu belajar
menjulang daulat menjunjung duli
dan bersilatulrahim membina generasi.

Rimba ini rimba seribu kenangan
tempat membebat rasa insaniah
memugar ilmu, taqwa dari zuhud maknawi
medan ketenangan untuk berkasih cinta-Mu

Rimba perkasihan ini amat besar maknanya,
mari kita bina sebuah mahligai dari makna cinta
di sini kita tana suburkan
pohon akrab dan bunga budi bahasa
kita bajai taman indah ini
dengan istiqamah kasih sayang
agar kelahiran baru dapat mengecap nikmat
sebuah rimba lestari yang tumbuh dari jiwa murni.


Ke Ruang Katarsis
Zaen Kasturi

Sesudah mengisi mimpi sesia di ranjang nyedar
apakah yang sempat kita kutip lewat darah dan air mata
poyang moyang yang tumpah ke cangkir resah

resah menggeliat ke tanah
resah menggeliat ke rimba
resah memulas ke tulang bangsa.

Barangkali kitalah penanam padi-padi hampa
membiarkan anak-anak keridik mencuri meresik
malinja dan mahsuri di bendang galauan
hinggap gugup mengatur genta pertama

gugup lahir di mata kita
gugup lahir di suara kita
gugup membiak di mana-mana.

Kita tidak agi pernah bertanya kepada manusia
harus jadi manusia tanpa menolak kebenaran untuk jadi
manusia yang tegar meniup seruling kemanusiaan
yang ligat memetik kecapi keluhuran
kerana kita lupa apa yang tersimpan di album bangsa

album bangsa pernah menyimpan sejuta potret luka
luka berpinar ke nyali jagat
luka berputar ke rohaniah umat
luka menyentak haluan kiblat.

Esok kita bakal menggali tanah
dan menggalas cangkelong maut dari kulit sendiri
ke manakah bangkai dosa akan dikirim
ke kali tujuh penjuru gunung
atau ke laut tujuh penjuru tanjung
sedang kita pernah menari ala canggung maharisi
di kaki bicara nihilisme. Sempurnakah kekesalan kita dengan
melimpahkan air mata nanah ke luka bangsa?

Jerit kita nanti cuma tulang-tulang yang tidak sempat ditalkinkan
pada saat pertama lolong angin tenggara memintal duka bersama
pekik kita nanti cuma darah-darah yang tidak sempat dikebumikan
pada saat pertama raung hujan selatan
menganyam gugup yang bergantungan di dada.

Mari kita lagukan canggung katarsis
arena kita nanti bukan lagi saujana padang lalang
muzik kita nanti bukan lagi tabuh sayap merpalang.

Ayunkan roh anak ke pintu hakiki
dodoikan nyali anak ke perabung maknawi
temani tidur mereka dengan mimpi-mimpi wangi
dan selimut iman dari Tuhan.


Suara Anak Merdeka
Zaidin Abadi

Setapak derap ini melangkah
tidak mungkin berhenti lagi
dan selagi itulah laung keramat ini
saban musim
bergema ke segenap relung bumi
memantul dalam diri
kerana derap dan laungan ini
adalah benih kebebasan yang tumbuh
membesar dan tidak mati-mati.
Langkah demi langkah menginjak
bumi merdeka ini
menghirup angin bebas
di puncak siang di hujung malam
adalah sebenarnya langkah pejuang
bagai jejak pendekar purba membela
maruah bangsa tercinta.

Kitalah anak warisan merdeka
bangun mengibar panji-panji
dengan suara lantang menggegar angin
kebebasan dan berdiri megah
di setiap sudut tanah bertuah ini
bagai pagar-pagar berduri
penghalang tombak-tombak petualang.
Selagi darah ini mengalir dan merah
bumi ini tidak mungkin dirampas ganas
biar seribu gegaran menerjah
biar sejuta taufan menyanggah
kami tetap berdiri di sini, kerana
kamilah anak pewaris zaman
penebus maruah.
Musim demi musim bertukar
kami tabur lagi benih kasih di pesisiran ini
biar tumbuh sejuta pohon rendang
tempat berteduh segala kecintaan
setia dan taat tak terbelah
pada tanah bertuah.

Kamilah bakal mengisi petak-petak nikmat
hasil jerih semangat perjuangan
peneroka zaman silam dan zaman ini
dan kamilah penerus kegemilangan
yang diwariskan.



Menebus Nilam Maruah
Zainal Abidin Hj. Suhaili

Pada sebuah rumah pusaka yang indah
kitalah tiang penunjang kukuh kesatuan ummah
pendekar gagah sedia menyusun pantas langkah
srikandi berani rela merentangkan panjang bakti
sama seirama mengalun pantun perancangan tercantik
saling berganding mengukir arca perlaksanaan terbaik.

Janganlah kita hembuskan nafas keluhan
atau mengumpulkan debu kotor putus asa
kerana sekali mengaku sebagai warga sejati
seluruh putih hati harus menjadi saksi
bumi pusaka adalah puncak gunung tersayang
tanah bertuah adalah dasar tasik terkasih
kesejahteraan rakyat merayap di lantai harapan
kemakmuran nusa memanjat di menara impian.

Marilah kita menanam benih suci azam
menuangkan segala sirap pengalaman dan madu ilmu
untuk menyiapkan hidangan istimewa pembangunan
mengumpulkan segala logam kegigihan dan galian kesungguhan
untuk membangunkan sebuah kota besar kemajuan
agar sepasang kaki bumi pertiwi ini
gagah dan pantas berlari mengejar kelajuan globalisasi
tanpa mencabutkan jejak akar sopan budaya
tanpa melucutkan pakaian mulia ajaran agama.

Dan kini setelah hampir lima dekad
kita pasti mampu tersenyum dengan lebat
melihat anak-anak bangsa generasi hebat
mampu sudah kembali menebus nilam maruah
yang berkurun tergadai di dalam hitam sejarah.


Ayahku, Seorang Penjual Roti
Zainal Rashid Ahmad

Tak ada yang lebih kukenang
Kalau bukan sebatang kayu kandar
pusaka tinggalan almarhum ayah

Kayu tiga depa; licin melengkung
pernah digalasnya setengah abad
menjelajah kampung ke kampung
hingga ke hujung denyut usia

Tak ada yang lebih kurindu
Kalau bukan amanat dan pesanan
kisah ayah yang sering singgah
mendengar pidato Tunku Abdul Rahman
“Bangkitlah… ayuh kita menuju merdeka!”

Ayah penjual roti – miskin papa
kayu kandarnya turut menjinjing cinta
selain menjaja roti bersapu sekaya
sering kali ditempiknya teriak merdeka

Tak ada yang lebih kubangga
kalau bukan basikal tuanya
kisah seminggu ayah berkayuh menuju kota
menjelang terbitnya fajar merdeka

“Tiada jalan mudah…semuanya penuh air mata…”
kata ayah dengan mata berkaca
ibu termanggu, lengan putih bersalut tepung
didengarnya ucap ayah dengan sebak wanita
dan waktu itu, aku masih anak yang dungu
kala ayah berpaling lalu berkata: “Peliharalah negerimu!”

Kini kilang rotiku di Petaling Jaya
dan pada anak cucu aku selalu berkata:
“Inilah tanah airmu…kamulah penjaganya!”
tiap ucapan pasti ditumpahi air mata
lebih basah cucurnya; tatkala kukenang
kayu kandar ayah dan basikal tuanya



Rumah Merdeka
Zurinah Hassan


Selamat datang 31 Ogos
untuk kesekian kalinya kita meneriakkan
’merdeka’
dan mengibarkan bendera indah di puncak
tiang negara.

Selamat datang 31 Ogos
perarakan berlalu menyusur perjalanan waktu
dan kita pun bertanya
bagaimana memelihara rumah merdeka ini sebijaknya.

Mereka bukan bererti bebas tanpa batas
Merdeka tidak bererti rumah tak perlu berkunci
Merdeka bukan membiar kebun jiwa tak berpagar
Merdeka adalah milik kita yang termahal
milik yang ditebus dengan nyawa dan airmata
peliharalah ia sebijaknya
bersihkan ia dari kemungkaran
kerana kemungkaran mengundang virus
kekotoran, racun pencemaran
yang akan membiak dan merebak menjadi wabak
menggugat saraf dan jasad bangsa
perangi ia sehabisnya
sebelum negara menjadi pesakit yang sengsara.

Anak-anak merdeka
mari kita kutip makna dari sejarah
keruntuhan akhlak yang membawa padah
kota dan empayar dunia yang telah musnah
akibat kemungkaran rakyat dan pemimpin khianat
mengambil teladan dari peradaban yang tidak dapat bertahan
runtuh dimamah zaman.

Anak-anak tercinta
jangan kau sangka di era modenisasi, kota siber dan canggih IT
kita tak perlu berbudaya dan berbudi
akhak mulia adalah warna peribadi
tanpa peribadi kau hanyut tak berpaut

tenggelam di lautan tidak bertepi
karam di dataran tanpa sempadan
sesat dan terjerat di timbunan maklumat
buta meraba di simpang siur lebuhraya kota siber.

Anak-anak tercinta
rimbun pohon kerana baja
rimbun tamadun ditunjang akhlak mulia
komunikasi berkesan oleh tutur yang sopan
terpaut rasa oleh santun bahasa
pedoman bangsa adalah rukun susila
taman peradaban yang kita bina dengan semurni wawasan
akan musnh tanpa petugas yang amanah
akan hancur tanpa pewaris yang jujur.

Mari kita lengkapi rumah kita yang bahagia
lindungi bangsa dari penjajah budaya
pelihara bangsa dari penakluk minda
dengan akhlak mulia kita bina masyarakat jaya.

deklamasi puisi gapena

MAKLUMAT MENGENAI SAYEMBARA


PENGENALAN

GAPENA telah diberi mandat oleh Jawatankuasa Sambutan Bulan Kemerdekaan mulai tahun 1987 untuk menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdakaan (SDPBK), peringkat negeri dan kebangsaan. Bermula dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kebudayaan dan Kesenian, Dewan Bahasa dan Pustaka dan lain-lain. Penganjuran bertujuan menanamkan rasa cinta dan semangat patriotik terhadap tanah air.

Penganjuran sayembara ini telah meluas bukan sahaja di negeri-negeri, malahan di IPTA, Angkatan Tentera dan Polis DiRaja Malaysia, telah mendapat sambutan yang amat membanggakan dan telah melahirkan ribuan deklamator di seluruh tanah air.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini bermula pada tahun 2006, penganjuran SDPBK tidak lagi dikelolakan sepenuhnya oleh GAPENA. Kementerian Kebudayaan dan Kesenian (KEKKWA) telah mengambil alih mengelolakan dan GAPENA dijemput untuk berkerjasama. Sempena Perayaan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini telah diumumkan SDPBK tidak lagi dianjurkan dan diganti dengan pengucapan puisi sahaja.

Atas kesedaraan menjaga maruah dan martabat kesusasteraan dan semangat patriotik, GAPENA bersetuju meneruskan SDPBK atas kemampuan yang sedia ada.

TUJUAN
. Meneguhkan perpaduan kaum melalui pengucapan puisi.
. Memperkasakan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia melalui pengucapan puisi.
. Menyerikan Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan pada setiap tahun melalui pengucapan puisi.

PENYERTAAN

Terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas. Johan SDPBK peringkat Kebangsaan (1987-2009) tidak dibenarkan menyertai. Borang penyertaan boleh didapati di Rumah GAPENA atau melalui e-mail: borhanbmz52@yahoo.com atau melgape@pd.jaring.my.

TARIKH SAYEMBARA

Peringkat saringan dan separuh akhir - 25 Sept 2010 (Sabtu)
Peringkat akhir - 2 Oktober 2010 (Sabtu)

Peserta akan dimaklumkan masa dan tempat sayembara berlangsung.


PUISI PILIHAN

Pihak Jawatankuasa Sayembara telah memilih 21 buah puisi dari antologi puisi Maruah Merdeka, Di Atas Mimbar Merdeka, Suara Anak Merdeka, Mutiara Pertiwi, Rumah Merdeka, Aksara Merdeka dan Jamung Merdeka. Peserta ditetapkan memilih satu (1) puisi untuk di deklamasikan. Puisi-puisi boleh diperolehi di Rumah GAPENA atau di e-mail seperti di atas.

Format penghakiman berdasarkan format yang dikeluarkan oleh GAPENA. Peserta dilarang membawa alat-alat muzik semasa mendeklamasikan puisi. Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan tidak dibenarkan menyertai sayembara.

HADIAH

Johan sayembara menerima piala pusingan Tun Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri, wang tunai RM3,000.00, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Naib johan akan menerima wang tunai RM2,000.00, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga akan menerima wang tunai RM1,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Peserta yang berjaya ke peringkat akhir dan tidak berjaya akan menerima saguhati wang tunai RM300.00 dan hadiah iringan serta sijil.

Bagi peserta yang gagal ke separuh akhir akan menerima sijil penyertaan.

TARIKH TUTUP

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 17 September 2010. Setiap penyertaan dikenakan bayaran RM20.00 (RM: Dua puluh sahaja).

PERTANYAAN

Sebarang pertanyaan boleh dimajukan kepada GAPENA dan borang penyertaan bolehlah di hantar kepada :

Urusetia
Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan (SDPBK) 2010
d/a GAPENA
JKR 734, Jalan Dewan Bahasa
50460 Kuala Lumpur

Telefon : 03 21442412 Faks : 03 21410340
H/P. : 019 3196560 (Haji Aziz Ali) dan 012 3447777 (Haji Borhan Md Zain)

E-mail : melgape@pd.jaring.my atau borhanbmz52@yahoo.com


Sekian. Terima kasih.


SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI BULAN KEMERDEKAAN KE-53
TAHUN 2010
KETERANGAN PESERTA


1. Nama Penuh : ____________________________________________________

2. No. Kad Pengenalan : _________________________________

3. Tarikh Lahir : _____________ 4. Negeri Kelahiran : ____________________

5. Jantina : _____________________ 6. Keturunan : _____________________

7. Taraf Pendidikan Tertinggi : _______________________________

8. Pekerjaan Sekarang : ______________________________________________

9. Alamat Surat Menyurat : ____________________________________________

_______________________________________________________

Tel. (Rum./Pej.) : _____________________ No. H/P. : __________________

10. Nama dan Alamat Majikan : _________________________________________

______________________________________________________

______________________________________________________

11. Pernahkah anda menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri sebelum ini. Jika Ya, nyatakan tahun dan negeri berkenaan.

Tahun : _______________ Negeri : ____________________________

12. Puisi Pilihan : _________________________________________

Karya : _____________________________________________________

Pengakuan : Saya bersetuju mematuhi segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengajur Sayembara ini. Bersama ini saya sertakan wang RM20.00 (RM: Dua puluh sahaja), sebagai bayaran penyertaan.

Yang benar,


Tandatangan peserta : _______________ Tarikh : _____________

Tuesday, September 7, 2010

Ramadan yang beredar


Ramadan yang beredar

Di batas peralihan purnama
ada pilu merasuk kalbu
merenung Ramadan yang beredar
meninggalkan aku
terpinga-pinga mencari diri
yang masih bersalut noda.

Singkat sungguh aku disinggahi waktu
tak sempat menghimpunkan amal
atau membasuh dosa
di wajah yang kumal.

Kini aku kembali bertualang
di gurun teka-teki
mencari jalan pulang
dan sebuah wadi.

Sering aku terpesona pada kolam maya
dan tersangkak pada khayal
yang menawarkan keindahan fana
lalu di gurun saujana ini
aku tak jumpa jalan pulang.

Ramadan
setelah kau pergi
aku masih seperti dulu
sesat dalam belantara diri.

8 September 2010

Thursday, September 2, 2010

Lirik lagu dua

Beriku Segaris Kata

Telah kuterima pesan dari angin
bahawa di pulau yang jauh
ada bisikan rindu untukku,
lalu kusahut dengan nyanyian
berdendang lagu kasih.

Apakah yang menanti
dan apakah yang mendatang,
aku masih berdiiri
mencari bayang-bayang;

Beriku segaris kata
dengan makna sejuta cinta
nescaya alam ini jadi miik kita.

Tuesday, August 31, 2010

Lirik Lagu: Menanti

Menanti


Aku menanti hujan teduh
agar dapat berlari di padang
mengutip serpihan pelangi
yang berguguran
untuk kusematkan di rambutmu.

Aku menanti tiba malam
agar dapat mengutip bintang
yang bertaburan di dada langit
untuk kusisipkan di wajahmu.

Aku akan menatap rambut dan wajahmu
yang gemilang
sambil menghitung warna
yang menyusupi sukma.

Aku menanti waktu itu
yang pasti tiba jua
walau dalam mimpi niskala.


Ini lirik lagu
Ada tak komposer nak ambil lirik ini sebagai lagu mereka?

boleh bincang royalti heheh

Monday, August 23, 2010

Sebaris ayat

Agar blog ini tidak ditutup maka saya cuba mengemaskinikannya dengan sebaris ayat.

Pagi diharumi kuntum mawar berkelopak dengan bening embun maghfirah dari pucuk al-Qadr.

Tuesday, August 3, 2010

Terlalu Banyak Menziarahi cepu Kepala


Terlalu banyak yang menziarahi cepu kepala
sehingga aku tertampan pada dinding keraguan
keruh sejarah dan jernih harapan membayang
antara sedar diri dengan langkah tertunda

Ini malam yang menawarkan bisa sekurun
meluruh rahmat Ilahi dari arasy
tak tertadah dengan kerdil diri
lalu kubiarkan saja tubuh penuh dosa
dihujani kasih-Nya

Malam, berikan aku selintas insaf
untuk menemani uzlah yang sering terbiar

Walau terlalu banyak yang ziarah
terlalu singkat detik yang singgah
....

Friday, July 9, 2010

Pertemuan Penyair Nusantara di Brunei

ATUR ACARA TENTATIF
PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA KE-4, 2010 (PPN4) /
BRUNEI INTERNATIONAL POETRY GATHERING 2010

HARI PERTAMA: JUMAAT, 16 JULAI 2010

Pagi – petang: Kehadiran dan urusan penginapan bagi peserta luar negara dan sesi pendaftaran

MAJLIS PEMBUKAAN RASMI PPN4
Tempat: Dewan Bankuet, Bangunan Majlis Mesyuarat Negara

7.00 malam: Kehadiran peserta dan jemputan
7.30 malam: Ketibaan Tetamu Kehormat,
Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Dr. Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (Adi Rumi),
Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam
• Bacaan surah Al-Fatihah, dan Doa Selamat
• Ucapan Pengerusi Bersama PPN4, YM Prof. Madya Ampuan Dr. Hj. Brahim bin Ampuan Hj. Tengah, Ketua I ASTERAWANI
• Ucaptama dan Perasmian oleh Tetamu Kehormat
• Pelancaran Antologi Sajak Gema Nusantara
• Persembahan Tambang Syair karya Muda Omar ‘Ali Saifuddien
• Imbauan dan Ambauan Penyair 3 Serangkai:
o Yahya M.S.
o Badaruddin H.O.
o Adi Rumi
• Menikmati Jamuan
• Persembahan Penyair Nusantara
• Pertukaran Cenderamata
• Bergambar Ramai
• Bersurai

HARI KEDUA: SABTU, 17 JULAI 2010

DIALOG PUISI
Tempat: Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei

8.00 – 8.30 pagi: Pra Gema: Melestari Kehijauan Alam dan Kehidupan
Prof. Siti Zainon Ismail

8.30 – 10.00 pagi: Gema 1: Penyair Pembina Masyarakat
• Brunei Darussalam: Prof. Madya Ampuan Dr. Hj. Brahim
• Indonesia: Drs. Viddy AD Daery
• Malaysia: Dr. Awang Azman Awang Pawi
• Thailand: Nik Rakib Nik Hassan
• Pemakalah Singapura
• Pemakalah Luar Nusantara

10.00 – 10.30 pagi: Minum pagi

10.30 pagi – 12.00 tgh: Gema 2: Kepenyairan: Akreditasi dan Kredibiliti
• Brunei Darussalam: Prof. Madya Dr. Hj. Hashim
• Indonesia: Prof. Dr. Abdul Hadi WM
• Malaysia: Rahimidin Zahari
• Penyair Thailand / Kemboja / Filipina
• Penyair Singapura

12.00 tgh – 2.00 ptg: Makan tengah hari / Solat Zuhur / Rehat

2.00 – 3.30 ptg: Forum Penyair Nusantara: “Rangsangan Lonjakan Industri Kreatif Menerusi Dunia Perpuisian”
• Brunei Darussalam: Mohamad bin Rajap
• Indonesia: Drs. Ahmadun Yosi Herfanda, MTI
• Malaysia: S.M. Zakir
• Panel Singapura
• Panel Filipina / Kemboja / Thailand

3.30 – 4.30 ptg: Gema 3: Kepenyairan Media Baru
• Brunei Darussalam: Zefri Ariff Brunei
• Indonesia: Drs. Isbedy Stiawan ZS
• Malaysia: Mohamad Saleeh Rahamad
• Akademia / Pengamal Media dari Singapura

4.30 ptg – 7.00 mlm: Minum Petang / Solat Asar / Rehat

MERAKYAT PUISI
Tempat: Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

7.00 – 8.00 mlm: Kehadiran Peserta dan Makan Malam

8.30 – 10.30 mlm: Malam Puisi Yayasan

HARI KETIGA: AHAD, 18 JULAI 2010

8.00 – 10.15 pagi: Sepagi Puisi di Tarindak D’Seni

10.30 – 11.15 pagi: Lawatan ke Galeri Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei

11.30 pagi – 12.30 tgh: Lawatan ke Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kg. Ayer

12.45 tgh – 1.15 ptg: Lawatan / Solat Zuhur di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien

FESTIVAL PENYAIR NUSANTARA
(Bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Ulangtahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-64 Tahun)
Tempat: Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei

1.30 ptg: Kehadiran Peserta dan Jemputan

2.00 – 3.45 ptg: Festival Penyair Nusantara

MAJLIS PENUTUPAN RASMI PPN4

4.00 ptg: Kehadiran Tetamu Kehormat,
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Dato Paduka Pengarah Haji Othman (Badaruddin H.O.),
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam
• Pembentangan Resolusi
• Ucapan Pengerusi Bersama PPN4, YM Dayang Hajah Aminah binti Hj. Momin, Pemangku Pengarah DBP
• Penyerahan Simbolik kepada Tuan Rumah PPN5
• Ucapan Penutupan Rasmi oleh Tetamu Kehormat
• Pertukaran Cenderamata
• Doa Selamat
• Acara Bergambar Ramai
• Jamuan
• Bersurai

Malam: Acara bebas

HARI KEEMPAT: ISNIN, 19 JULAI 2010

Pagi – Malam: Kepulangan peserta luar negara.

Monday, July 5, 2010

Apa khabar Amirul Fakir


Tiga hari lepas saya menerima bungkusan yang berisi sebuah buku kumpulan cerpen (Mea Culpa) karya Amirul Fakir (Amirudin Hussin) berserta sekeping poskad MAS (tempat kerja Amirul dahulu; sekarang dia menganggur). Pada poskad itu bertulis tangan oleh isterinya, mungkin, kerana Amirul sudah tidak mampu menulis lagi:

Sdr Saleeh Rahamad YDH,

Pada awalnya Amirul berhasrat utk mengirimkan buku ini kepada sdr selepas acara pelancarannya dulu tetapi tanpa diduga beliau telah ditimpa musibah sehingga menyebabkan beliau terlantar sakit sehingga ke hari ini. Lantaran itu beliau telah meminta saya membantu mengirimkan buku ini bagi pihak beliau. Namun oleh sebab sibuk menguruskan soal rawatan dan perubatan Amirul menyebabkan hal ini tertunda sejak sekian lama. Justeru saya berharap sdr memahami dan sudi menerima kiriman ini bagi pihak Amirul. Mohon saudara turut mendoakan agar Amirul kembali sembuh dan dapat kembali berkarya. terima kasih.

Amirul Fakir
Peti Surat 43
30700, Ipoh
Perak.
Dalam gambar di atas Amirul ketika kami ziarahi masih boleh berbual dan ceria semasa menyambut kedatangan kami. pada waktu itu dia sudah menderita sakit terutama apabila menjelang waktu asar ke atas. Kini khabarnya Amirul semakin sukar menempuh hidup kerana dia disahkan menderita kanser.

Saya dan kawan-kawan sudah hampir setahun rasanya tidak menziarahi beliau. mari kita doakan kesejahteraan untuknya dan mari kita sumbangkan apa-apa yang kita mampu. Mari kita melawat dia dalam masa terdekat ini. Haji Sham, sila fikirkan waktunya, sebelum menjelang Ramadan.

Ahli Pena sudah beberapa menziarahinya dan membantu sekadar yang terdaya. Bagaimana peranan Gapena? Nak cari Melayu di mana lagi?

Monday, June 28, 2010

Harga Sasterawan Negara


Apabila SN Datuk A. Samad Said mengeluh tentang perhatian remeh kerajaan terhadap khazanah seni persuratan Sasterawan Negara, aku teringat luahan perasaan yang sama oleh SN Arena Wati ketika aku dan Prof Muhammad Haji Salleh menziarahi beliau di HUKM tidak lama sebelum beliau meninggalkan dunia fana ini. Semasa beliau masih kuat bercakap itulah dinyatakan kekecewaannya tentang perhatian kerajaan terhadap hasil persuratan yang dihasilkannya. Lantas untuk mengubati kekecewaannya beliau menyatakan bahawa selepas kematiannya beliau mahu khazanah sastera beliau diserahkan kepada pihak muzium di Den Haag, Belanda. Aku faham akan kekecewaan mereka. PENA telah cuba memberikan pandangan kepada pihak DBP supaya disediakan satu sudut khazanah Sasterawan Negara di DBP supaya generasi kini dapat melihat dan mengkajinya dengan mudah. Tetapi idea itu rupa-rupanya sangat susah dilaksanakan.
(Gambar di atas pernah aku paparkan di blog ini tetapi aku paparkan sekali lagi. Tahun depan aku bercuti sembilan bulan. Aku akan cuba mencari dana untuk mengkaji kepengarangan Arena Wati dan aku akan cuba ke Makassar untuk melihat sendiri tanah kelahiran yang disayanginya. Aku yakin ramai kawan nak ngikut tu..)

Wednesday, June 23, 2010

Zaman melibas



Bukannya apa. Gambar ni untuk menyahut cabaran Sudin yang menampilkan gambar tak jelasnya itu dalam gelanggang takraw. Gambar ini dirakam beberapa tahun lepas di UTM, di asrama Jalan Gurney. Selain aku jadi killer, Ustaz Wan Ali Wan Jusoh(no. 4 berdiri dari kiri)dan Ustaz Abd Rahman Soh (berkopiah, duduk no tiga dari kiri). Kalau Ada sesiapa nak bertarung bolehlah cuba runding.Tapi ada lagi ke kasut Warrior aku?

Runtuhan akibat gempa




Antara bangunan yang runtuh di Padang dan belum dipulihkan.

Tuesday, June 22, 2010

Teman kembara di Padang



Membelakangi Puncak Gunung Singgalang yang gagah dan berahsia

Di dalam Terowong Jepun (Japanese Tunnel) berhampiran Jam Gadang dan Ngarai Sianok (canyon)yang dalam. Terowong ini dibina oleh Jepun semasa penjajahannya tetapi tidak sempat digunakan. Ruangnya panjang dan berkelok-kelok. Naik tangga semasa keluar boleh memenatkan tapi cukuplah sebagai ganti riadah saya.

Bersama Sdr Jendrius, Dosen di Andalas dan calon PhD di UM yang menemani kembaraan saya di bumi Padang dan Bukit Tinggi. terima kasih

Thursday, June 17, 2010

Mengenang-ngenang


Inilah pasukan yang menggegarkan kejohanan bolasepak 7 sebelah di Kg Hulu Kuang tahun 1984. Sikit lagi nak masuk piala dunia peringkat zon Chemor.Masa tu jadi striker. jaringan tercantik aku buat masa tu, macam Paolo Rossy jaring gol masa piala dunia tahun 83. huhu..ingat Zakir saja hebat(dia cuma juara bawah 12 tahun. Pak Wan benua suluk dan Rusdi Abd Rahman pula sekadar tunjuk jersy bola. mana ada kelas.

Ini pula pasukan sepaktakraw Kolej Kedua UM (masa tu Prof Irwan jadi pengetua Kolej) tahun berapa entah, 1986 atau 85. Semua geng dah hilang kecuali baru jumpa Jimmy yang rambut afro tu. masa tu aku jadi killer.

Wednesday, June 16, 2010

Perjalanan mencari leluhur siri 2


Bersama saudara-mara Hamka. Mereka tinggal berdekatan dengan rumah Hamka dan menjual karya Hamka yang langka.

Balik dari Kota Gadang terserempak dengan rombongan ibu yang baru balikd ari rumah pengantin selepas menghantar mempelai lelaki ke rumah mempelai perempuan. Selempang yang dipakai oleh mereka mencerminkan status keluarga tersebut. Itu pusaka keluarga.

Di rumah saudara Hamka tidak jauh dari rumah Hamka

Bersama kerabat Hamka yang menjaga rumah Hamka di tepi Danau Maninjau.

Singgah di air terjun Lembah Anai dalam perjalanan ke Bukit Tinggi. Perjalanan ke Bukit Tinggi kira-kira dua jam dari lapangan terbang Minangkabau, Padang

Friday, June 11, 2010

Siri satu: Perjalanan mencari leluhur


Danau Maninjau (ke Danau Singkarak..lupa pulak) dari Puncak Lawang. Dari puncak ini penerjun layang atau paralayang akan terbang meredah angin dan mendarat di bawah, berhampiran Danau.

Friday, June 4, 2010

Thursday, June 3, 2010

Bersama anak buah TKDUM


Bergambar mahu saja bebudak ni. Masa bertanding di USIM minggu lepas. Dapatlah dua perak dan satu gangsa.

Membunuh Yahudi

Membunuh Yahudi

Kita meraung di jalanan
meraung di dataran
di gunungan
lautan dan di mana-mana
dalam kemarahan tak bersukat
menyala di dada jihad.

Ini perjuangan tak kenal batas bangsa
walau dibakar dan disula kita rela
apa pun agama dan darjat
berarak kita sepakat!

”Darah dan nyawa kami untuk tuhan
kami rela berdiri di perbatasan
menahan terjahan
bedilan dan hentaman
syahid impian kami
di Gaza yang dibakar Yahudi.”

Demikianlah sejenak lakonan singkat
sumpah dan janji tak sempat berangkat
ke dalam catatan para malaikat
cuma bergema di langit senja
dan cair meluruh
saat malam menawarkan istirahat.

Mujurlah tiada pesawat
yang menawarkan penerbangan
kerana sumpah dan janji
sudah kita padamkan
menjelang malam
dalam dakapan isteri
sambil menonton tv
dan mengunyah burger McD.


Jika benar
Ya jika jujur hasrat
Bunuhlah Yahudi dalam dirimu
Usirlah Yahudi dari rumahmu.


9 Januari 2009
Rumah Pena