Berkunjung ke Riau memang sudah lama menjadi hasrat dan baru kini terkabul apabila ada peluang dibentangkan oleh YWJ. Kami ke pekan baru pada 20 feb 09 bersama satu rombonga yang agak besar, termasuk teman sekembara saya, SM Zakir. Tapi dia memilih haluan sendiri sebaik-baik tiba di lapangan terbang Sharif Kassim. Dia menunggu dua teman lagi yang juga mengusung misi persaudaraan, iaitu Dr Ahmad razali (ayahanda) dan Shamsudin Othman.Pada 21 Feb saya membentangkan makalah tentang konsep novel sejarah di Pertemuan Penulis Serumpun di Universitas Riau, Pekan Baru. Bersama dalam barisan panel ialah Profesor Abdullah Zakaria Ghazali (UM), Prof madya Rosnah Bahrudin (UKM) dan pengerusinya, Haji Hamzah Hamdani. Ada pertanyaan yang bagus dikemukakan oleh peserta dan saya menjadi sasaran kerana persoalan konsep dan ciri novel sejarah memang menjadi polemik.
Esoknya, 22 Feb saya mengikuti rombongan ke Siak. Nama Siak memang sudah lama saya dengar dalam buku sejarah terutama Sejarah Melayu tapi tidak tersangka pula akan menjadi medan kunjungan saya. Perjalanan agak mendera kerana kami menggunakan laluan milik swasta yang kurang dirawat. Jalannya banyak rosak dan sempit. Kami terpaksa berselisih dan mengekori lori besar yang membawa kayu akasia untuk dibuat kertas. Timbunan kayunya hampir sama tinggi dengan ketinggian lori. Ini agak mengerikan, terutama apabila berekoran mendaki bukit yang tinggi mencuram. Bagaimana kalau lori itu mengelongsor ke belakang? Hanya Allah yang dapat menyelamatkan kami. Mujur alhamdulillah kami selamat sampai dan balik semula ke Pekan baru.
Di Siak kami diraikan dalam majlis singkat oleh wakil bupati Siak di Balai pariwisata. Kemudian kami ke masjid raya, bersolat dengan berimamkan Prof Madya Zainal Abidin Borhan. Di pinggir masjid itu mengalir Sungai Siak yang lebar dan dalam. Melihat lenggok arusnya yang gemalai dapat saya rasai denyut beraninya menerima segala ancaman sebagaimana kerasnya semangat Melayu Siak dalam zaman pancaroba dalam abad ke-16, 17, 18, 19 dan hinga abad ke-20. Keberanian rajanya yang terakhir Sultan Syarif Kassim tercatat dalam sejarah. Baginda yang diberi gelaran Pahlawan Nasional telah mempertaruhkan nyawanya untuk bersama rakyat menentang Belanda. hartanya diinfakkan kepada perjuangan jihad itu. Maka kematiannya meninggalkan legasi perjuangan yang sangat tersanjung. Demikianlah rentak perjalanan pemimpin yang terhormat, akan sentiasa kekal dalam lipatan sejarah denan nama jernih dan budi bersih. Segera teringat saya kepada pemimpin kita di Malaysia. Walaupun mereka sedar bahawa kedudukan mereka tidak selama mana, tidaklah pula mereka mahu berusaha meninggalkan legasi perjuangan kebangsaan yang murni. Mereka hanya sementara di jenjangn kuasa tapi belum tahu di mana hendak menajamkan keris dan menyangkutkan destar. Jika mereka pergi nanti, akan sentiasa terpahat di benak rakyat jelata tentang kepongahan mereka menjalankan dasar yang jelas merugikan bangsanya. Mereka kurang arif untuk menyelak lipatan sejarah untuk meneladani pemimpin terdahulu yang namanya terasap dengan setanggi sepanjang masa lantaran kesungguhan mereka membela nasib bangsa. Itulah pemimpin yang sentiasa diingat-ingat: Tun Abdul Razak. Beliau sentiasa tersanjung di benak rakyat masa kini atas keberaniannya memugar belantara untuk peneroka Felda, dan yang lebih besar, memartabatkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan. tetapi pemimpin sekarang tidak melihat kemilau budinya itu. Maka berlakulah penyisihan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan. Biarpun banyak desakan daripada orang yang waras dan terhormat supaya bahasa Melayu dikembalikan kepada mata pelajaran Sains dan Matematik, pemimpin kita sengaja mencari alasan untuk menafikan kebenaran hujah yang dikemukakan. Maka beramukanlah orang melayu sesama Melayu. Lalu apa akan jadi pada orang Melayu? Nasib mereka akan ditentukan oleh kuasa ekonomi yang lebih berkiblatkan bahasa Inggeris. Pemimpin yang merencanakan perubahan itu dan yang berdegil untuk meneruskannya dalam sistem pendidikan akan pergi juga, tapi generasi baru terus tumbuh dengan segala kekurangan dan keterpinggiran.Saya kembali merenung lenggok arus Sungai Siak dan melihat luncuran bot laju dari jeti ke utara, menuju ke Pekan Baru sambil menebarkan pandangan ke dalam batin sendiri yang berkecamuk dengan permasalahan di negara sendiri. Akan begitukah lancarnya kehidupan bangsa Melayu nanti? Atau tumpas di tengah arus yang kejam dan penuh dendam.
Kami kemudian makan di sebuah kedai makan. Hidangan asam pedas ikan baung sangat menyelerakan sehingga saya terasa tidak kecukupan dengan seketul baung. Sdr Kasim Tukiman kemudian menewarkan lebihan baung dari meja lain. Walaupu sebenarnya sudah kekenyangan, saya menghabiskan hidangan itu. Ikan baung menjadi hidangan popular di Riau dan mujurlah saya berjaya menikmatinya. Yang masih tersangkal dalam hasrat ialah menikmati hidangan udang dari Sungai Siak. Kata orang itu juga popular di Siak, tapi sampai berangkat ke Pekan baru kami tidak menemukannya. Kami sampai kira-kira jam 8 malam di pekan Bar da terus ke rumah Pak Tenas Afendi yang sudah bersedia menyambut kedatangan kami, juga dengan hidangan ikan baung. Tapi kali ini bukan selera makan yang saya utamakan, melainkan selera akal dan cendekia. Di rumah Pak Tenas saya bertemu dengan kehebatan seorang budayawan dan cendekiawan Melayu. Bukan sahaja rumahnya tersergam indah dengan ukiran dan reka bentuk kemelayuan tetapi semangatnya menghimpunkan Melayu berserta nilai murni dalam bentuk pertemuan manusia dan perbukuan juga sangat mengagumkan. Katanya dia cuba menghimpunkan orang melayu walaupun mereka daripada keturuna Minangkabau, Jawa, banjar dan sebagainya. Usahanya agak sukar kerana etnik itu masing-masing mempunyai lingkungan budaya sendiri yang mahu dipertahankan. Kalau di Malaysia semua "yang dipotong anunya" kata Usman Awang, ialah Melayu (demikianlah juga takrifan melayu yang ditegaskan oleh Dato Onn ketika menyatukan orang Melayu untuk menyertai UMNO dahulu), di Riau lain keadaannya. Melayu lain, Jawa lain, Minang lain, dan lain-lain lain.
Mujur kita di sini semua mengaku Melayu. Tapi sayang juga apabila Melayu di sini ada yang tidak menghormati bangsanya sendiri dan sesama Melayu akhirnya bersengketa.
Wednesday, February 25, 2009
Monday, February 2, 2009
pemergian seorang pemikir bangsa
maka berakhirlah perjalanan hidup seorang pengarang yang gigihnya luar biasa dan semangatnya tidak pernah padam untuk membina mercu peradaban Melayu yang murni dan jernih, yang gagah dan megah. arenawati, pengarang kelahiran makasar yang mendahului kita tidak mencari kemegahan dalam hidupnya tetapi hanya merencanakan kemegahan untuk bangsanya. berita kematiannya saya terima daripada sms anakandanya puan rahmahwati ketika saya berada di melaka. segera tersebar berita pemergiannya ke seluruh negara sebagai petanda betapa besar namanya.
saya tidak sempat menemui allahyarham dalam saat-saat akhirnya dia berdepan dengan angin fana kerana urusan di melaka terpaksa disempurnakan dahulu. kali terakhir saya bertemu dengannya adalah sewaktu dia diserang stroke setelah berpurnama terlantar di hospital. saya menziarahi allahyarham bersama sm zakir, shamsudin othman, norazah aziz (UP&D) serta suaminya pada suatu malam sebaik-baik menerima pesan puan arhmahwati tentang keuzuran arenawati. di katil hospital dia tidak lagi dapat berkomunikasi dengan sempurna meskipun ada tanda bahawa dia mengesani kehadiran kami. keadaannya semakin layu ketika itu, jauh berbeza daripada sewaktu saya menziarahinya buat pertama di hospital bersama SN muhamad haji saleh pada 9 okt. 08. ketika itu arenawati tampak penu semangat dan tidak menyerah kepada serangan kanser yang menyerang paru-parunya. dengan berpakaian kot dan berkain pelekat serta memegang butir-butir tasbih dia bersandar di kerusi sambil mendongak ke arah televisyen yang bersiaran berita dunia, sama ada CNN atau BBC. 24 jam siaran itu ditontonnya, sepanjang berada di hospital.
ketika itu soalan pertamanya kepada kami ialah" Dewan Bahasa sudah ada KP baru?"
Prof muhammad Haji Salleh hanya menjawab lebih kurang, "Pak Arenalah yang patut cakap pada mereka."
selanjutnya dia berceramah, menyampaikan suara hati dan suara akalnya.
pada akhir pertemuan apabila prof muhammad meminta arenawati menulis sesuatu pada sehelai kertas kosong sebagai titipan untuk anaknya, saya tidak ketinggalan meminta kalimat hikmahnya lantas saya suakan permintaan dan dia mencarik sehelai kertas sebelum menulis sebaris kalimat: "untuk prof. dr. mohd. rahmad [tak kisahlah walau banyak silap di situ]. Bakti akademik terlalu murni. Tak dapat dibeli dengan wang."
kalau ada yang menjengah dalam ingatan, inilah baris kalimatnya. semoga bapak sejahtera di alam sana setelah banyak menumpahkan bakti kepada manusia di maya pada ini biarpun tidak banyak orang sedar akan bakti bapak. Allah dengan rahmat keadilan-Nya akan mengasihi bapak.
salam daripada kami yang sedang menunggu giliran menyusuli bapak.

Subscribe to:
Posts (Atom)