Monday, April 18, 2016

Mari ke Laman Sastera

Sajak ini (sajak konon) saya sampaikan semasa Baca Puisi Pena-ITBM-DBP di hadapan Ketua Pengarah DBP yang baru, Tuan Haji Abdul Adziz Abas.

Mari ke Laman Sastera
Selamat datang
ke laman keras ini
di sini kita menjalin rasa
walau sesekali bertingkah nada.
kita sering mencari-cari
apakah makna diri:
memiliki harta dan pangkat
atau maruah dan martabat.
kita selalu melihat diri
pada cermin yang retak
pertimbangan pun menjadi keliru
dan pilihan menjadi buntu.
di laman ini
bukan hanya ada batuan
pohonan dan kegelapan
dengan jernih hati
dah hikmah akal
laman ini jadi cermin
untuk kita mengenal diri..
1 Mac 2016

Sunday, April 17, 2016

Janganlah Lupa Jalan Kembali

Janganlah Lupa Jalan kembali
(Dedikasi untuk Sekolah Aminuddin Baki)

Sekolah Aminuddin Baki
kudatangi lagi tempat ini
tanah budi yang menumbuhkan peribadi
rumah ilmu yang menyuburkan kemuliaan
sekali jejak ke sini 
selamanya dalam ingatan.

aku pernah di sini bersama teman
guru, pentadbir, dan tukang kebun
bergurau, bertengkar, dirotan, dan disanjung
segalanya masih hangat dalam kenangan
menghidupkan semangat 
untuk menempuh masa depan.

perpustakaan, bilik darjah, papan hijau berdebu kapur
rumpun puding, padang terbentang, lombong tinggal
ladang getah, dan embun bertakung di hujung rumput
terasa masih sejuk
membasahi kasut putih 
dan kaki celana.

apakah yang lebih manis daripada kenangan
yang berhimpun sarat dalam kecintaan
saat yang berlalu tidak akan berulang.

tapi sebaris kata guru 
masih kudengar hingga kini:
“setelah jauh kau pergi
Janganlah lupa jalan kembali.”

Sekolah Aminuddin Baki
walau jauh sudah aku merantau
melihat dunia lain dan budaya asing
sering saja aku berpulang pada diri
dan mengingati 
jalan pulang ke sini
pada ilmu yang membesarkan peribadi
pada guru yang menabur bakti.

Mohamad Saleeh Rahamad
17 April 2016

Tuesday, April 5, 2016

mari kuajar...

Mari kuajarkan cara membaca kertas kosong
Menilai makna yang tak ditunjukkan
Mari kuajarkan cara mendengar sepi
Memahami maksud yang tak disuarakan.
Kekosongan dan kesepian
menunjukkan erti:
kau tak perlu membaca dan mendengar lagi.

Tuesday, March 29, 2016

Kosong

Di depanku kekosongan
tapi kau ada.
Kehadiran tanpa rupa
lebih abadi.
Kewujudan dalam kekosongan lebih bererti dari kekosongan dalam kehadiran.

Di depanku kekosongan
tapi kau ada
untuk mendengar gurindam
yang kuhantar
tanpa suara

Monday, March 28, 2016

pada suatu detik yang tak kutahu makna waktu

Pada suatu detik yang tak ku tahu makna waktu
(Himbauan kepada Rahimidin Zahari)
Dengan apakah dapat kusampaikan 
cerita tentang kawan-kawan 
dan pesta sini sana.
Pada angin berpuput
atau sungai menghilir
Pada merpati melayang
atau helang melanglang?
Muara tak sampai ke laut
Laut tak jejak ke langit
Puisi hilang makna
Pujian pun tiada harga
Segala yang nyata 
telah sirna.
Yang tinggal hanyalah doa.

UM 29 Dis 2015

Friday, March 25, 2016

damai

damai tak pernah tua
setia menanti sang pencari
yang kelelahan 
yang kesesatan
damai tak pernah mungkir
pada usia yang mengalir
disiramnya hujan semilir
datanglah ke sini 
jika kau mahu
damai sedia menunggu.

Tuesday, March 22, 2016

Garis tua

Kataku:mengapa kau berpaling
ketika aku menatap matamu
katamu: aku tidak sanggup melihat kekecewaan
yang berapungan di matamu
tenanglah sahaja, kau sebenarnya belum 
sampai ke garis tua selagi kita belum bersama
kataku: berpalinglah ke arahku
agar dapat kulihat kejujuran dalam matamu.
(Dan kau tidak pernah berpaling ke arahku
sehingga kini.)

Saturday, March 19, 2016

Pulang

Aku pulang ke kampung menyapa rumputan menjulang,
julai rambutan melampai,
pohon sawo merendang 
dan tiang rumah yang dimamah anai-anai.
Masih terdengar tawa kami sambil berkeliaran dari laman ke laman sewaktu malam Ramadan.
Terlintas sosok mak tua upik menjengah di pintu membawa sepiring penganan.
Dan terbau rendang ayam di kuali bonda menjelang syawal (ini juadah yang kami nikmati setahun dua kali).
Tapi kepulangan kali ini tidak disambut kemanisan masa lalu selain kesepian dan kekeringan meramas kampung: pohonan rontok, dedaun kuning, telaga kontang.
Benar di sini segalanya sepi 
kering dan berdebu.
Tapi kalbuku basah 
dek rindu padamu

Friday, March 18, 2016

Penyusun Fail

Penyusun Fail
Dalam dunia birokrasi
kita diajar menyusun fail 
dan mencatat temu janji
mesyuarat mesti dihadiri
waktu bekerja jangan dilewati
GO menjadi pemerhati
SSB menentukan gaji.
Dan jangan lupa 
persetankan rasa hati.
Ini dunia birokrasi
semuanya mesti difailkan 
supaya mudah dibuka 
dan disimpan semula.
......
Aku tidak perlu kecewa
kerana tugasku 
hanya membuka dan menutup 
sebuah fail
yang mati.
Dan persetankan rasa hati.
Jabatan Pengajian Media
15 April 1998

Thursday, March 17, 2016

Ke seberang

Kalau aku pergi dulu ke seberang
Pandanglah debur air yang kutinggalkan
Jangan beralih pandang
 
sehingga bayangku menghilang.
Kutinggalkan engkau di situ
Hanya untuk sementara waktu
Pasti pada suatu saat
 
Kau juga akan berangkat.
Dan kau juga meninggalkan dermaga
Menuju ke arahku
Dengan harapan yang serupa
Kepada teman-teman
Yang belum tiba waktu keberangkatan.

Friday, March 11, 2016

Sesekali datang juga rindu ini
Pokok jambu berbuah lebat tempat aku mengutip manis 
Dangau ringkas beratap lalang
Tempat aku memaut teduh
Pangkin kayu tidak berbumbung
Tempat aku mengulit lelah
Dan tidak pernah aku bertanya semua itu milik siapa
Tidak juga menjangka
semuanya sementara.
Di kota dan di batas usia ini
Semuanya datang sesekali
Merusuh dalam hati
Tapi segalanya bayang-bayang
Tak mungkin berulang.
Ah, buat apalah dikenang
semua itu milik orang.

Wednesday, March 9, 2016

Hanya pinjaman

Semua hanya pinjaman.
Yang cantik tinggal di situ
Yang indah kekal di kalbu
Setelah kauhirup sarbat kenangan
Manisnya harap dibuang jangan
Masa yang singkat tidak berulang
Terus berlalu tak dapat dihalang
Puas melayang di atas kayangan
Tak akan terlepas tali pegangan

MSR
Hari gerhana 9 mac 2016

Wednesday, March 2, 2016

Walau kita dari benua yang berbeza
Warna dan bahasa tidak sekata
Mimpi kita masih serupa
Dan langkah kita tetap sama.
Biarpun ada nasar sedang mengintai 
Menanti bau mayat kita
Biarpun gurun masih saujana
Dan lautan bergelombang
Atau belukar merimbun
Kita berjalan terus mencari 
hamparan yang sedang menanti
sila dan sembang kita 
dalam derai tawa.

Mencari Wira

MENCARI WIRA
Berkurun kita berburu
mencari makna kata
berkurun kita keliru
mengenal makna wira:
Jebat dan Tuah 
siapa patut dipuja?

Lemas kita dilanda curiga
antara setia dengan pembela

Selamanya wira dinilai oleh masa
selamanya wira dicanai oleh kuasa
selamanya wira dijulang oleh dusta
selamanya wira dinobat oleh harta.
Akhirnya wira entah di mana
di depan kita pengkhianat bangsa.

Bangunlah dari lena khayali
segeralah keluar dari mimpi
kita kembalikan kata pada lidah
kita pulangkan pandang pada akal
kita keringkan rajuk pada tindak.

Akal tak pernah mengalah
kalau diajak bertelagah
tapi selamanya kita mematikan akal
kerana akal membijaksanakan manusia
dan si bijak tidak perlu hidup
seperti wajarnya si budak ditikam
atas bijaksananya yang mengancam.
(Ah! sejarah todak kerap sangat berulang tandang)

Marilah kita didihkan akal 
mentafsir kata dengan sempurna
--ada waktunya berontak itu keji
--ada waktunya berontak itu suci
--ada waktunya berontak itu cemar
--ada waktunya berontak itu samar

Berubah musim beralih sikap
bertukar pimpin bersalin harap
tapi pejuang tidak pernah terpuja 
tika darahnya mengucur seksa
tika matanya dicungkil buta
tika tangannya diikat waja
tika kakinya dirantai sula
dan kita mengulang keanehan
berebut menabur bunga dan pandan
di dada mereka setelah kematian.

Sesal hanya datang sekali 
tapi seksanya sepanjang hayat 
lukanya berparut berabad-abad.

Jabatan Pengajian Media
Universiti Malaya
(Dlm. GAPENA (peny.). Aksara Merdeka, Kuala lumpur: Gapeniaga, 2000)

Friday, March 15, 2013

Pencalonan Anugerah Sastera Negara Yang Ke-12

PENCALONAN
ANUGERAH SASTERA NEGARA YANG KE-12

Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain)

Baharuddin Zainal atau Baha Zain ialah sasterawan dan pemikir budaya yang penting dalam jagat persuratan Melayu moden sejak pertengahan abad ke-20 sehingga kini. Dalam pemetaan tokoh sastera, Baha Zain berdiri sebagai ikon dengan pengaruhnya yang besar dalam mencorakkan landskap sastera melayu, khususnya dalam genre puisi. Sebagai pentadbir sastera juga beliau telah memperlihatkan dampak yang besar semasa bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Timbalan Ketua Pengarah, sebagai Ahli Lembaga Pengelola DBP, Ahli Lembaga Pengarah Institut Terjemahan Negara Malaysia, dan sebagai pemimpin persatuan penulis, baik dalam Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) mahupun dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). 
         Sejak tahun 60-an lagi Baha Zain sudah melibatkan diri dalam PENA dan telah memegang jawatan demi jawatan sehingga akhirnya menjadi Presiden pada tahun 2008-2010. Beliau tidak pernah mahu menonjolkan dirinya sebagai pemimpin tetapi sentiasa bersemangat menjulang inti perjuangan bangsa. Beliau berani bersuara dan mempamerkan riak wajahnya yang tegas mempertahankan maruah bahasa Melayu walaupun terpaksa berdepan dengan persepsi yang berbeza. Baginya, bahasa dan sastera Melayu perlu dihidupkan sebagai bahasa ilmu dan warisan bangsa yang bernilai, bukannya sekadar menjadi artifak di muzium peradaban yang tidak bernyawa.
         Banyak pengorbanan telah dicurahkannya kepada perjuangan melalui wadah PENA sehingga namanya sinonim dengan PENA. Jika orang bercakap tentang PENA, nama Baha Zain yang menjadi sebutan. Walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan dalam PENA, umum masih melihat PENA ialah Baha Zain dan Baha Zain ialah PENA. Ini suatu pengiktirafan yang tumbuh tanpa dipaksa-paksa melainkan menjulur bagai tunas pada pucuk muda yang terus membesar menaungi jagat raya. Dalam tempoh bersama PENA, hatta selepas tidak lagi mendukung PENA secara rasmi, Baha Zain tetap setia dengan perjuangannya. Beliau terus mendidik generasi muda tentang cara berfikir untuk bertindak dan menyusun strategi, seterusnya menyiapkan diri untuk menerima sebarang akibat daripada setiap risiko yang datang.
         Dalam sejarah hayat PENA sehingga kini, Baha Zain tetap tekal dan tegas dengan prinsipnya tetapi mungkin telah beransur-ansur mengubah cara bertindak. Dengan ketekalannya memegang prinsip dan kejelasan dalam menentukan arah perjuangan serta kesungguhannya mempertahankan kelangsungan hayat PENA, Baha Zain sememangnya wajar dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh PENA dalam tempoh 50 tahun pada Majlis Ulang Tahun PENA ke-50 tahun lepas.
         Dalam bidang perpuisian, Baha Zain tidak terhenti pada zaman mudanya, malahan terus mengusung jemala idiosinkrasinya dengan bait-bait puisi yang tersusun kemas, padat, ekonomis, dan berisi. Tidak hanya bermain dengan manipulasi bahasa yang indah dan jernih, puisinya sarat dengan idea dan saranan, teguran dan kritikan demi kemanusiaan sejagat. Dia membongkar kebejatan perilaku politikus, memuliakan alam anugerah Tuhan kepada makhluk, dan mengajak manusia memuhasabah diri. Membaca puisinya yang bercorak pengakuan tentang kelemahan diri sekali gus menggugah keegoan sendiri. Dia tidak perlu menuding jari untuk mencari kesalahan orang lain untuk mengajak ke  arah kebaikan tetapi cukup dengan menjatuhkan hukuman ke atas dirinya sendiri lalu pembaca juga merasai tempias kritikan itu.
Namun begitu, apabila maruah bangsanya tercabar, dia tidak berhenti-henti menyuarakan bantahan hatta termasuk mematahkan kepentingan sendiri. Sejak perjuangan bahasa yang melibatkan Perkara 152 dalam sehingga isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) Baha Zain bergerak dengan tutur intelektual sederap dengan bentakan keras yang mengucurkan keringat.
         Di samping bergerak sebagai seniman yang halus pengucapannya Baha Zain juga banyak menyuarakan idea yang konsktruktif dalam usaha mempertingkatkan martabat persuratan Melayu yang merupakan teras kesusasteraan kebangsaan. Dalam banyak memoranda kepada pemerintah, Baha Zain begitu praktikal menyampaikan ideanya sehingga banyak juga diguna pakai oleh pemerintah, seperti memberikan rebat kepada royalti penulis buku dalam cukai pendapatan. Dalam tulisannya Memartabatkan Persuratan Melayu misalnya beliau telah mengemukakan banyak cadangan yang dapat digunakan oleh agensi kebudayaan. Pandangannya tidak idealistik tetapi praktikal dan pragmatik. Semua ini memberikan nilai kepada pencalonannya sebagai penerima Anugerah Sastera Negara.
         Oleh itu, PENA tanpa berbelah bahagi mencalonkan Baharuddin Zainal atau Baha Zain sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang baharu. Sekiranya pada kali ini pun namanya tercicir, nescaya generasi akan datang menganggap suatu penyelewengan sejarah telah dilakukan.

BIODATA

Nama:                BAHARUDDIN BIN ZAINAL (Baha Zain) 
Tarikh lahir:     22 Mei 1939   
Blog:                  Desakota- bahazain.blogspot)
Pendidikan:    
ii.      Universiti Malaya Kuala Lumpur (1960-1963)
iii.     Fakultas Sastera, Universitas Indonesia, Jakarta (1970-72).
Pengalaman:
      i.     Mulai menulis sejak di sekolah menengah ( 1956-1959).
    ii.     Penolong Pegawai Penyelidik (1963) di Dewan Bahasa dan Pustaka
   iii.     Timbalan Ketua Pengarah (sehingga 1985).
   iv.     Ketua Editor  Dewan Sastera, dan Dewan Budaya pada dekad 70-an.
    v.     Editor Dewan Bahasa.
   vi.     Kolumnis majalah bulanan Dewan Sastera (2005- kini ).
  vii.     Sejak 25 tahun dahulu bekerja sendiri dan  menjadi penulis esei dan puisi sepenuh masa.
viii.     Karya-karya puisi telah diterjemahkan ke bahasa-bahasa Inggeris, Korea, Jerman, Russia, Mandarin dan bahasa Sepanyol.                              

Hadiah dan penghargaan persuratan:
      i.     SEA Write Award (Thailand) 1980.
    ii.     Anugerah Penyair Gapena  1988.
   iii.     Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa (Persatuan Linguistik Malaysia) 2004.
   iv.     Anugerah Budaya Gapena 2008.
    v.     Anugerah Tokoh Pena 2011.   
Anugerah Pingat  Persekutuan dan Negeri:
      i.     K.M.N. (Kesatria Mangku Negara) Persekutuan, 1982.
    ii.     P.C.M.  (Darjah Cura Simanja Kini ) Perak,1985.
   iii.     D.P.M.P. (Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak) Perak, 1998.
   iv.     Ijazah kehormat doktor persuratan daripada Universiti Sains Malaysia, 2010.
     
Lantikan Agensi Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan:

      i.     Setiausaha Satu PENA, 1967-1969.
    ii.     Ketua Dua GAPENA, 1982-1984.
   iii.     Anggota Panel Anugerah Sastera Negara (1985-1996).
   iv.     Ahli Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pendidikan,1986-94. 
    v.     Naib Presiden, Persatuan Penterjemah Malaysia, 1985-1991.
   vi.     Presiden, Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional, 1989-1994.                 
  vii.     Ahli Lembaga Amanah, Balai Seni Lukis Negara, 1984-1987; 2001-2003.
viii.     Ahli Lembaga Pengelola, DBP, 1989-1992; 2002-2005; 2005-2008.   
   ix.     Ahli Lembaga Pengarah, Institut Terjemahan Negara Malaysia, 1993-2009.
    x.     Timbalan Presiden PENA, 1992-2008.
   xi.     Pengerusi , Panel  SEA Write Award ( 2002- 2005)
  xii.     Presiden, PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia) 2008-2010.
Kursus di Luar Negara:
      i.     Fakultas Sastera, Universitas Indonesia, Jakarta (Kursus &Penyelidikan).
    ii.     Asian Cultural Center Unesco, Tokyo (Kursus Pengeluaran Penerbitan).
   iii.     International Writing Program, University of Iowa, Iowa City( Lawatan berkarya).
   iv.     Asian Institute of Management, Makati, Manila ( Kursus Pengurusan).
Pertemuan Antarabangsa: 
      i.     Singapore Writers Festival.  (2009)
    ii.     ASEAN-Poetry Night, Jeju Island, Republic of Korea. Jun 2009.
   iii.     Undangan untuk penulis dan wartawan budaya, Goethe Institute, Frankfurt International Book Fair, 2005.
   iv.     Seminar Penulisan Antarabangsa PEN, Tokyo, 1996.
    v.     Kongres Puisi Sedunia, Bangkok, 1988.
   vi.     Seminar Penulisan Antarabangsa, Singapura, 1986.
  vii.     Fourth World Congress of Poets, Seoul, Korea, 1979.
viii.     World Congress of Poets, Taipei, Taiwan, 1974.
   ix.     National Language Conference for Asia, Manila, 1972 
Terbitan buku  perseorangan:

      i.     Perempuan dan Bayang-Bayang (1974)
    ii.     Esei Sastera Baharuddin Zainal (1979
   iii.     Dari Kertas Catatan Tengah Malam (1978)
   iv.     Tiga Catatan Perjalanan (1980)
    v.     Jalan Desa Ke Kota (1994)
   vi.     Esei dan Puisi Baha Zain (2000)
  vii.     Berguru Pada Binatang (2000)
viii.     Setaman Pantun (2002)
   ix.     Topeng-Topeng (Puisi-puisi Baha Zain) ( 2003)
    x.     Memartabatkan Persuratan Melayu (2006)
   xi.     Postponing Truth and Other Poems (2009)
  xii.     Baha Zain. Posponiendo La Verdad Y Otros Poemas. Diterjemah oleh
Patricia Vazquez Marin. Kuala Lumpur:ITNM, 2010.
xiii.     “Renungan di Taman” & “Sajak- Sajak Merdeka” (Kumpulan Puisi sedang dalam penyuntingan)
xiv.     “ Monolog Kecil”  (Kumpulan esei sedang dalam penyusunan DBP)

Ada banyak lagi karyanya tidak direkodkan, dan banyak anugerah diterimanya dalam penulisan juga tidak tercatat dalam rekod peribadi.