Monday, February 22, 2010

Di Dalam Peti Kaca

Sesiapa sahaja boleh diibaratkan berada di dalam sebuah peti kaca. Kali ini saya fokuskan kepada organisasi. Sesebuah organisasi juga umpama berada di dalam peti kaca. Peti kaca ada empat jenis: pertama, kacanya boleh telus pandangan-orang di luar boleh melihat yang di dalam dan yang di dalam boleh melihat yang diluar; kedua, yang bercermin gelap-yang diluar tidak boleh memandang ke dalam tetapi yang di dalam boleh melihat yang di luar; ketiga, kaca yang berupa cermin jika dilihat dari dalam-orang di dalam peti kaca akan melihat bayangan dirinya sahaja pada cermin itu sedangkan pemandangan di luar tidak kelihatan; keempat, cermin pada bahagian luar-orang di luar melihat peti kaca sebagai cermin dan hanya nampak akan dirinya sahaja manakala yang di dalam peti tidak kelihatan. Bagi jenis ketiga dan keempat, satu pihak lagi tidak peduli pun akan kewujudan pihak yang lagi satu; yang penting ialah kewujudan dirinya sahaja.

Sekarang kita tanya kepada diri sendiri, atau organisasi yang kita wakili: peti kaca jenis manakah yang kita diami?

Usaha DBP hari ini menjemput penulis menghadiri dialog tentang Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Anugerah Sastera Negara sangat baik walaupun berisiko. Risikonya ialah ada kemungkinan DBP dihentam oleh khalayak jemputan. Memang inilah yang berlaku tadi walaupun tidaklah terlalu banyak hentaman itu. Tetapi pegawai DBP mengambil sikap profesional dengan menerima teguran dan kritikan secara terbuka. Memang begitulah selayaknya bagi sebuah organisasi yang menjadi milik masyarakat. Dengan mengamalkan sikap terbuka kepada pandangan luar mereka sebenarnya telah berada di dalam peti kaca jenis pertama.

Majlis yang dipengerusikan oleh Hanafi Ibrahim berjalan dengan baik kerana semua orang diberi kesempatan untuk berkata dan memberikan buah fikiran. Tidaklah terjadi seperti satu pertemuan dahulu yang hanya berjalan sehala kecuali seorang dua diberi peluang bercakap. Nampaknya DBP sedang berusaha memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap kesungguhan mereka untuk berfungsi dengan sewajarnya.

Saya berharap semangat seperti ini dikekalkan dan jangan sesekali sesiapa sahaja mendiami peti kaca jenis ketiga dan keempat kerana jenis itu adalah bagi manusia yang menghidap gejala narsisisme.

Friday, February 19, 2010

Alat Seksaan Rejim Pol Pot


Ini alat seksaan rejim Pol Pot di Tuol Seng, Phnom Penh. "Pesalah" akan digantung kepala ke bawah dan direndam ke dalam tempayan berair sehingga mereka mengaku kesalahan yang mesti diakui juga akhirnya. Saya terhimbau kenangan ketika ke sana bersama teman-teman PENA. Rasanya dalam banyak keadaan di mana-mana negara demokrasi juga kerap berlaku interogation yang sedemikian walaupun tidak seratus peratus meniru gaya Pol Pot. Cuma sukar untuk dibuktikan.

Thursday, February 18, 2010

Cina kaya kerana bantuan kerajaan

Tulisan A kadir jasin dalam Berita Harian bagus untuk ditelaah dan disebarkan kepada orang Cina supaya mereka sedar bahawa selama ini kerajaan telah menjadi pendukung taikun mereka. Janganlah mereka berasa dianaktirikan..kalau betul anak tiri pun..mereka anak tiri yang dimanjakan.

Wednesday, February 10, 2010

Monday, February 8, 2010

Abdullah Tahir

Perjalanan hidup semakin jauh dan kita semakin dekat dengan tubir hayat. Mendekati kaki horizon kematian aku dimesrai kenangan pada orang yang telah pergi. Abdullah Tahir, guruku yang telah banyak menumpahkan percayanya padaku telah lebih 10 tahun meninggalkan alam fana ini. Pusaranya bernombor 2735 di Bukit Kiara sudah lama tidak kuziarahi.


Di Ruang ketiadaan Kau Berdiri
(Elegi untuk Abdullah Tahir)

Di ruang ketiadaanmu
aku terkilas bayang Rumi
kau berdiri dengan pesan penuh uji:

i.

Ini senja yang sudah menghantar isyarat
kerlip bintang lebih berharga
kerana matahari semakin membenamkan cahaya
istirahat tiada waktunya
kerana esok matahari dan bintang dan bulan
saling bersaing memunculkan kuasa
siapa yang berlari dialah ke muka.

ii.
Di kamar yang gelita
terbaring di ranjang derita
air menitis di ampaian pun mendapat puja
dan pintu
pintu itu menyimpan seribu rahsia
bukalah
di sebaliknya ada syurga dan neraka
bukan di ranjang ini
bukan di kamar ini
di sini derita cuma menguji duga.

iii.
Kau bernasib mujur
kerana menjadi hujan
yang jatuh di tanah kontang
tidak di laut terbentang
makna apalah seribut dendam
kauhujani
laut yang dalam
laut yang bergaram.

iv.
Kalau di atasmu ada penguasa
kau patut mendongak sesekali
dan renunglah kakimu kembali
mata kakimu lebih berhak mencari
tajam kelikir dan ranjau duri.

Kalau kau berada di atas
jangan kaurenungi kakimu lagi
jalan menjadi terlalu mudah kaulalui
jika orang bawahan memimpinmu
--lihatlah mata kaki mereka
tapi mendamaikan hati mereka
tidaklah semudah mewarnakan mimpi.

v.
Kita sentiasa mencari
tiada henti
bintang, bulan dan matahari
semua ingin didakap
tanpa peduli pada bumi
tapi waktu bukan milik kita
untuk menghimpunkan segalanya
kitalah milik waktu
yang sentiasa diburu
akhirnya kita terbaring jauh
di perut bumi
tanpa muram bintang, bulan dan matahari.

(Tika wujudmu ain di sisi
kau tidak kusedari;
setelah ketiadaanmu
baru kutemui dirimu.)
--ingatan apakah ini?
Engkau atau si Rumi?

21 Julai 1997
Berita Minggu 28 Disember 1997

Thursday, February 4, 2010

Hujan

Selepas solat Jumaat aku cuba menghadapi komputer untuk menyambung kerja yang tenat ini, tetapi susahnya mendapat tenaga lalu aku lelap seketika. Hujan menderu di luar dengan iringan guntur yang menghentam puncak sepi. Aku cuba sekali lagi membuka buku, membaca artikel muhammad Haji Salleh, "Meragui Bapa: Sastera Melayu dan Trauma Bangsa". terasa ada sesuatu yang baru kutemui. Biasanya begitulah, semakin banyak kita membuka catatan baru, maka akan ada yang tersimpul dapat dileraikan sedikit demi sedikit. Membacalah apabila kita terasa kosong dan kosong...nescaya akan kita temui permata di rumput gilang (Ini judul buku Muhammad Haji Salleh). Bukan sahaja membuka buku orang lain menemukan kita dengan sesuatu, membuka fail lama kita sendiri akan mengahwinkan pengalaman kita dengan sejarah. Dan ini sajak lama yang tersimpan dalam koleksi kerja kursus semasa mengikuti subjek Menulis Puisi bersama Abdullah Tahir:

PEREMPUAN

Engkaulah jarum jam yang berputar
Menghadiahkan waktu dan menyentap kesempatan
Engkaulah lampu yang menyala
Menabur sinar dan memerangkap bebayang
Engkaulah dedaun yang menghijau
Merimbuni pokok dan menyedut saraf akarnya
Engkaulah bayang-bayang hitam
Menemani jasad dan meliarkan diri
Engkaulah angin yang berlegar
Mengusap lembut dan tak dapat disentuh
Engkaulah kabut di pergunungan
Menghadirkan kebeningan dan menabiri pandangan.

Ributmu berpusar dalam rahsia
Kemilaumu bersinar dalam gelita
Rindumu gementar dalam malu.

Perempuan
tunjangmu dari syurga
nafasmu dari neraka.

1987

Tuesday, February 2, 2010

Proses penyuntingan karya A Samad Said

Saya memiliki manuskrip mentah sajak "Cenderahati Mogok Seni" karya A. Samad Said tapi cuma ada lima salinan yang sedang dalam proses penyuntingan. Mungkin sembilan kali Pak Samad menyunting karyanya sebelum berpuas hati. Contengan pada sajaknya menunjukkan beliau begitu berhati-hati memilih kata. Saya teringat T. Alias Taib yang berkata menulis sajak ialah satu proses berkelahi dengan kata-kata. Maka saya petik sebahagian daripada sajak yang saya tulis untuk mengenang Pang Engku yang telah pergi. Sajak ini telah saya baca dalam bengkel Puisi 1 Malaysia anjuran Gapena (saguhati belum dapat haha. Sajak penuh belum boleh disiarkan kerana belum terbit dan tiada penerbit yang mahu pun:

Banyak Lagi Yang Kaufikirkan

.......
........
Kita beralih cerita demi cerita
sehingga petang menarik mentari
ke sudut bumi
dan arus Sungai Perak
terus ke muara memburu mimpi.

Engkau memutihkan kembali
sangka dan duga
katamu kisah teman cuma jenaka
tiada sesiapa yang keruh hatinya
selain kita yang sentiasa curiga.

Kita beransur meninggalkan petang
mencari rahsia malam
dan tabir misteri kita kuak sendirian.

Walau banyak yang kauperkatakan
banyak lagi yang kaufikirkan
tentang manusia dan alam maya
dan tentunya akan meranum
gugusan sajak dari akar bahasamu.

Aku hanya menanti
di muara ciptamu
aku terus menanti

Tapi kau telah tiada.

Monday, February 1, 2010

skrip drama anuar nor arai

Semas saya menyelongkar fail lama di rumah, saya terjumpa sebuah skrip drama Anuar Nor Arai, "Jeneral Sabanov", tentang konflik tentera Rusia. Entah dari mana dia memperoleh idea itu. Saya tidak pasti sama ada skrip ini sudah dipentaskan atau tidak. Skrip ini pun entah dari mana saya dapat: sama ada diberikan oleh beliau sebagai nota kuliah atau saya ambil daripad Kak Maimun yang menjadi jurutaip beliau dahulu. Itu peristiwa tahun 80-an. Saya rasa tidak ada penulis skrip yang seserius Anuar di Malaysia.
Saya lelong skrip ini...siapa mahu 10 ribu hahah. manalah boleh laku di malaysia ni. Kalau di Eropah mungkin laku. sini bahan sastera macam pop corn saja harganya. Tapi saya sangat menghargainya.

Wajah PENA


jawatankuasa pena
yang bakal berubah nanti. siapa mahu ke depan ambil alih?