Lutfi Ishak dalam blognya membalas kenyataan "sinikal" Puan Ainon tentang Dialog Orang Muda (DOM) di Rumah PENA. Sama ada meratap atau tidak para panel dan khalayak yang datang ke majlis DOM tidaklah saya pedulikan sangat kerana perkataan "meratap" itu mengandungi unsur tafsiran lantaran sifatnya yang konotatif. Yang ingin saya sentuh ialah soal kekayaan sesetengah penulis yang menulis cereka popular hingga mereka tidak termasuk dalam golongan "meratap" itu. Memang sudah wajar sangat penulis yang kaya itu menyimpan sahaja ratapan mereka kerana semua perlakuan itu tidak relevan lagi dengan hidup mereka. Kalau mereka yang kaya itu pun meratap, tentulah akan timbul pula kenyataan bahawa mereka tidak tahu bersyukur. Golongan itu perlu dibiarkan sahaja mengisi relung-relung yang dahaga akan karya mudah dan simplistik. Memang dunia besar atau kecil sekarang dikuasai oleh konsumerisme lalu intelektualisme terpinggir daripada perkiraaan pasaran. Jika penulis yang memenuhi konsumerisme sudah kaya raya, penulis yang mementingkan intelektualiti tidak boleh dianggap meratap apabila mereka memperkatakan situasi yang menekan intelektualisme. Jika golongan ini tidak bersuara, siapakah yang akan menjadi pembimbing masyarakat untuk memilih nilai kecendekiaan? Biarlah golongan ini terpinggir, marginal,dan miskin asalkan mereka kaya dengan pemikiran dan besar dengan harapan. Inilah golongan yang akan diingati dan tercatat dalam peradabanbangsa.
Untuk makluman, saya tidak mengelompokkan penulis yang berjaya dengan hasilkarya mereka itu sebagai penulis sampah. Mereka juga penyumbang kepada penyebaran maklumat dan moral walaupun tidak termasuk dalam lingkaran ilmu. Maka, yang perlu kita pertimbangkan ialah sama adakita menyebarkan maklumat atau ilmu? Kedua-duanya ada manfaat. Tidak perlu kita memusuhi mana-mana golongan tetapi jangan sampai kita menghina golongan yang kecil tetapi besar pemikirannya.