PENCALONAN
ANUGERAH SASTERA NEGARA YANG KE-12
Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain)
Baharuddin Zainal atau Baha Zain ialah sasterawan dan pemikir budaya yang penting dalam jagat persuratan Melayu moden sejak pertengahan abad ke-20 sehingga kini. Dalam pemetaan tokoh sastera, Baha Zain berdiri sebagai ikon dengan pengaruhnya yang besar dalam mencorakkan landskap sastera melayu, khususnya dalam genre puisi. Sebagai pentadbir sastera juga beliau telah memperlihatkan dampak yang besar semasa bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Timbalan Ketua Pengarah, sebagai Ahli Lembaga Pengelola DBP, Ahli Lembaga Pengarah Institut Terjemahan Negara Malaysia, dan sebagai pemimpin persatuan penulis, baik dalam Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) mahupun dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Sejak tahun 60-an lagi Baha Zain sudah melibatkan diri dalam PENA dan telah memegang jawatan demi jawatan sehingga akhirnya menjadi Presiden pada tahun 2008-2010. Beliau tidak pernah mahu menonjolkan dirinya sebagai pemimpin tetapi sentiasa bersemangat menjulang inti perjuangan bangsa. Beliau berani bersuara dan mempamerkan riak wajahnya yang tegas mempertahankan maruah bahasa Melayu walaupun terpaksa berdepan dengan persepsi yang berbeza. Baginya, bahasa dan sastera Melayu perlu dihidupkan sebagai bahasa ilmu dan warisan bangsa yang bernilai, bukannya sekadar menjadi artifak di muzium peradaban yang tidak bernyawa.
Banyak pengorbanan telah dicurahkannya kepada perjuangan melalui wadah PENA sehingga namanya sinonim dengan PENA. Jika orang bercakap tentang PENA, nama Baha Zain yang menjadi sebutan. Walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan dalam PENA, umum masih melihat PENA ialah Baha Zain dan Baha Zain ialah PENA. Ini suatu pengiktirafan yang tumbuh tanpa dipaksa-paksa melainkan menjulur bagai tunas pada pucuk muda yang terus membesar menaungi jagat raya. Dalam tempoh bersama PENA, hatta selepas tidak lagi mendukung PENA secara rasmi, Baha Zain tetap setia dengan perjuangannya. Beliau terus mendidik generasi muda tentang cara berfikir untuk bertindak dan menyusun strategi, seterusnya menyiapkan diri untuk menerima sebarang akibat daripada setiap risiko yang datang.
Dalam sejarah hayat PENA sehingga kini, Baha Zain tetap tekal dan tegas dengan prinsipnya tetapi mungkin telah beransur-ansur mengubah cara bertindak. Dengan ketekalannya memegang prinsip dan kejelasan dalam menentukan arah perjuangan serta kesungguhannya mempertahankan kelangsungan hayat PENA, Baha Zain sememangnya wajar dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh PENA dalam tempoh 50 tahun pada Majlis Ulang Tahun PENA ke-50 tahun lepas.
Dalam bidang perpuisian, Baha Zain tidak terhenti pada zaman mudanya, malahan terus mengusung jemala idiosinkrasinya dengan bait-bait puisi yang tersusun kemas, padat, ekonomis, dan berisi. Tidak hanya bermain dengan manipulasi bahasa yang indah dan jernih, puisinya sarat dengan idea dan saranan, teguran dan kritikan demi kemanusiaan sejagat. Dia membongkar kebejatan perilaku politikus, memuliakan alam anugerah Tuhan kepada makhluk, dan mengajak manusia memuhasabah diri. Membaca puisinya yang bercorak pengakuan tentang kelemahan diri sekali gus menggugah keegoan sendiri. Dia tidak perlu menuding jari untuk mencari kesalahan orang lain untuk mengajak ke arah kebaikan tetapi cukup dengan menjatuhkan hukuman ke atas dirinya sendiri lalu pembaca juga merasai tempias kritikan itu.
Namun begitu, apabila maruah bangsanya tercabar, dia tidak berhenti-henti menyuarakan bantahan hatta termasuk mematahkan kepentingan sendiri. Sejak perjuangan bahasa yang melibatkan Perkara 152 dalam sehingga isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) Baha Zain bergerak dengan tutur intelektual sederap dengan bentakan keras yang mengucurkan keringat.
Di samping bergerak sebagai seniman yang halus pengucapannya Baha Zain juga banyak menyuarakan idea yang konsktruktif dalam usaha mempertingkatkan martabat persuratan Melayu yang merupakan teras kesusasteraan kebangsaan. Dalam banyak memoranda kepada pemerintah, Baha Zain begitu praktikal menyampaikan ideanya sehingga banyak juga diguna pakai oleh pemerintah, seperti memberikan rebat kepada royalti penulis buku dalam cukai pendapatan. Dalam tulisannya Memartabatkan Persuratan Melayu misalnya beliau telah mengemukakan banyak cadangan yang dapat digunakan oleh agensi kebudayaan. Pandangannya tidak idealistik tetapi praktikal dan pragmatik. Semua ini memberikan nilai kepada pencalonannya sebagai penerima Anugerah Sastera Negara.
Oleh itu, PENA tanpa berbelah bahagi mencalonkan Baharuddin Zainal atau Baha Zain sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang baharu. Sekiranya pada kali ini pun namanya tercicir, nescaya generasi akan datang menganggap suatu penyelewengan sejarah telah dilakukan.
BIODATA
Nama: BAHARUDDIN BIN ZAINAL (Baha Zain)
Tarikh lahir: 22 Mei 1939
Blog: Desakota- bahazain.blogspot)
Pendidikan:
ii. Universiti Malaya Kuala Lumpur (1960-1963)
iii. Fakultas Sastera, Universitas Indonesia, Jakarta (1970-72).
Pengalaman:
i. Mulai menulis sejak di sekolah menengah ( 1956-1959).
ii. Penolong Pegawai Penyelidik (1963) di Dewan Bahasa dan Pustaka
iii. Timbalan Ketua Pengarah (sehingga 1985).
iv. Ketua Editor Dewan Sastera, dan Dewan Budaya pada dekad 70-an.
v. Editor Dewan Bahasa.
vi. Kolumnis majalah bulanan Dewan Sastera (2005- kini ).
vii. Sejak 25 tahun dahulu bekerja sendiri dan menjadi penulis esei dan puisi sepenuh masa.
viii. Karya-karya puisi telah diterjemahkan ke bahasa-bahasa Inggeris, Korea, Jerman, Russia, Mandarin dan bahasa Sepanyol.
Hadiah dan penghargaan persuratan:
i. SEA Write Award (Thailand) 1980.
ii. Anugerah Penyair Gapena 1988.
iii. Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa (Persatuan Linguistik Malaysia) 2004.
iv. Anugerah Budaya Gapena 2008.
v. Anugerah Tokoh Pena 2011.
Anugerah Pingat Persekutuan dan Negeri:
i. K.M.N. (Kesatria Mangku Negara) Persekutuan, 1982.
ii. P.C.M. (Darjah Cura Simanja Kini ) Perak,1985.
iii. D.P.M.P. (Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak) Perak, 1998.
iv. Ijazah kehormat doktor persuratan daripada Universiti Sains Malaysia, 2010.
Lantikan Agensi Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan:
i. Setiausaha Satu PENA, 1967-1969.
ii. Ketua Dua GAPENA, 1982-1984.
iii. Anggota Panel Anugerah Sastera Negara (1985-1996).
iv. Ahli Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pendidikan,1986-94.
v. Naib Presiden, Persatuan Penterjemah Malaysia, 1985-1991.
vi. Presiden, Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional, 1989-1994.
vii. Ahli Lembaga Amanah, Balai Seni Lukis Negara, 1984-1987; 2001-2003.
viii. Ahli Lembaga Pengelola, DBP, 1989-1992; 2002-2005; 2005-2008.
ix. Ahli Lembaga Pengarah, Institut Terjemahan Negara Malaysia, 1993-2009.
x. Timbalan Presiden PENA, 1992-2008.
xi. Pengerusi , Panel SEA Write Award ( 2002- 2005)
xii. Presiden, PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia) 2008-2010.
Kursus di Luar Negara:
i. Fakultas Sastera, Universitas Indonesia, Jakarta (Kursus &Penyelidikan).
ii. Asian Cultural Center Unesco, Tokyo (Kursus Pengeluaran Penerbitan).
iii. International Writing Program, University of Iowa, Iowa City( Lawatan berkarya).
iv. Asian Institute of Management, Makati, Manila ( Kursus Pengurusan).
Pertemuan Antarabangsa:
i. Singapore Writers Festival. (2009)
ii. ASEAN-Poetry Night, Jeju Island, Republic of Korea. Jun 2009.
iii. Undangan untuk penulis dan wartawan budaya, Goethe Institute, Frankfurt International Book Fair, 2005.
iv. Seminar Penulisan Antarabangsa PEN, Tokyo, 1996.
v. Kongres Puisi Sedunia, Bangkok, 1988.
vi. Seminar Penulisan Antarabangsa, Singapura, 1986.
vii. Fourth World Congress of Poets, Seoul, Korea, 1979.
viii. World Congress of Poets, Taipei, Taiwan, 1974.
ix. National Language Conference for Asia, Manila, 1972
Terbitan buku perseorangan:
i. Perempuan dan Bayang-Bayang (1974)
ii. Esei Sastera Baharuddin Zainal (1979
iii. Dari Kertas Catatan Tengah Malam (1978)
iv. Tiga Catatan Perjalanan (1980)
v. Jalan Desa Ke Kota (1994)
vi. Esei dan Puisi Baha Zain (2000)
vii. Berguru Pada Binatang (2000)
viii. Setaman Pantun (2002)
ix. Topeng-Topeng (Puisi-puisi Baha Zain) ( 2003)
x. Memartabatkan Persuratan Melayu (2006)
xi. Postponing Truth and Other Poems (2009)
xii. Baha Zain. Posponiendo La Verdad Y Otros Poemas. Diterjemah oleh
Patricia Vazquez Marin. Kuala Lumpur:ITNM, 2010.
Patricia Vazquez Marin. Kuala Lumpur:ITNM, 2010.
xiii. “Renungan di Taman” & “Sajak- Sajak Merdeka” (Kumpulan Puisi sedang dalam penyuntingan)
xiv. “ Monolog Kecil” (Kumpulan esei sedang dalam penyusunan DBP)
Ada banyak lagi karyanya tidak direkodkan, dan banyak anugerah diterimanya dalam penulisan juga tidak tercatat dalam rekod peribadi.