Monday, February 2, 2009

pemergian seorang pemikir bangsa

maka berakhirlah perjalanan hidup seorang pengarang yang gigihnya luar biasa dan semangatnya tidak pernah padam untuk membina mercu peradaban Melayu yang murni dan jernih, yang gagah dan megah. arenawati, pengarang kelahiran makasar yang mendahului kita tidak mencari kemegahan dalam hidupnya tetapi hanya merencanakan kemegahan untuk bangsanya. berita kematiannya saya terima daripada sms anakandanya puan rahmahwati ketika saya berada di melaka. segera tersebar berita pemergiannya ke seluruh negara sebagai petanda betapa besar namanya.

saya tidak sempat menemui allahyarham dalam saat-saat akhirnya dia berdepan dengan angin fana kerana urusan di melaka terpaksa disempurnakan dahulu. kali terakhir saya bertemu dengannya adalah sewaktu dia diserang stroke setelah berpurnama terlantar di hospital. saya menziarahi allahyarham bersama sm zakir, shamsudin othman, norazah aziz (UP&D) serta suaminya pada suatu malam sebaik-baik menerima pesan puan arhmahwati tentang keuzuran arenawati. di katil hospital dia tidak lagi dapat berkomunikasi dengan sempurna meskipun ada tanda bahawa dia mengesani kehadiran kami. keadaannya semakin layu ketika itu, jauh berbeza daripada sewaktu saya menziarahinya buat pertama di hospital bersama SN muhamad haji saleh pada 9 okt. 08. ketika itu arenawati tampak penu semangat dan tidak menyerah kepada serangan kanser yang menyerang paru-parunya. dengan berpakaian kot dan berkain pelekat serta memegang butir-butir tasbih dia bersandar di kerusi sambil mendongak ke arah televisyen yang bersiaran berita dunia, sama ada CNN atau BBC. 24 jam siaran itu ditontonnya, sepanjang berada di hospital.
ketika itu soalan pertamanya kepada kami ialah" Dewan Bahasa sudah ada KP baru?"
Prof muhammad Haji Salleh hanya menjawab lebih kurang, "Pak Arenalah yang patut cakap pada mereka."
selanjutnya dia berceramah, menyampaikan suara hati dan suara akalnya.
pada akhir pertemuan apabila prof muhammad meminta arenawati menulis sesuatu pada sehelai kertas kosong sebagai titipan untuk anaknya, saya tidak ketinggalan meminta kalimat hikmahnya lantas saya suakan permintaan dan dia mencarik sehelai kertas sebelum menulis sebaris kalimat: "untuk prof. dr. mohd. rahmad [tak kisahlah walau banyak silap di situ]. Bakti akademik terlalu murni. Tak dapat dibeli dengan wang."
kalau ada yang menjengah dalam ingatan, inilah baris kalimatnya. semoga bapak sejahtera di alam sana setelah banyak menumpahkan bakti kepada manusia di maya pada ini biarpun tidak banyak orang sedar akan bakti bapak. Allah dengan rahmat keadilan-Nya akan mengasihi bapak.
salam daripada kami yang sedang menunggu giliran menyusuli bapak.

2 comments:

Sham al-Johori said...

bapak dosen,
kita telah kehilangan dia dan apakah kita akan kehilangan lagi?
saya berkira-kira meski tidak mendoakan akan jungkir balik nasib Abdullah Hussein dan Nordin Hassan. apakah waktu yang bakal menyusul itu akan membawa kedinginan medan persuratan Melayu?
entahlah, kita terus berhadapan dengan mimpi demi mimpi.

"hehehe" ketawa tuan sm zakir sb kita tak dapat pergi Hatnyai.

MARSLI N.O said...

Sdr S: Baguslah dah ada blog. Boleh saya selalu datang membaca dan "mencuri" berlian di sini. Harap dihalalkan.

Marsli N.O
Februari 20, 2009