Sunday, November 29, 2009

Kisah sasterawan negara

Sasterawan negara bukanlah jawatan bergaji dan tidak mempunyai pangkat yang setara dengan pingat kebesaran lain tetapi bagi orang sastera inilah puncak pencapaian dalam penawaran diri penulis untuk menghasilkan karya. Walaupun pengekor dan pentaasub Persuratan Baru tidak menggemari cara pemilihan Sasterawan Negara sekarang, masih ramai lagi pengarang dan penulis yang menerima kayu ukur yang sedia ada.

Sekarang timbul pula permintaan daripada orang bukan Melayu untuk membenarkan sasterawan dalam bahasa lain juga dipilih sebagai Sasterawan Negara. Bukankah nak cari penyakit? Orang politik pun jangan jadi pak angguk pada permintaan tersebut. Saya tidak mahu memberikan sebab musabab penentangan saya terhadap permintaan tersebut tetapi membiarkan hal ini dibincangkan oleh rakan-rakan yang sedang mengukir nama sebagai ahli falsafah dan pejuang bangsa.

Friday, November 27, 2009

buku untuk bacaan guru




Bagi guru yang berhasrat menjadi penulis kreatif tetapi belum menerima latihan secara intensif eloklah baca sebuah lagi buku antologi cerpen dan catatan pengalaman guru cemerlang yang diberi judul Selagi masih Muda. Antologi ini dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin pad majlis makan malam sempena Persidangan Guru Cemerlang pada 24 Nov di Puteri Pan Pac. Saya dan Cikgu Azizul Rahman (bekas Pengerusi Majlis guru Cemerlang Malaysia) menjadi penyelenggara buku ini. Ini antologi ketiga selenggaraan kami. Sebelum ini sudah terbit Terima Kasih Tuhan (UPND) dan Memorabilia (penerbit kaki kapur). Cikgu Azizul tidak pernah serik mengusahakan projek ini setiap tahun. Sehingga ini rasanya sudah lima buah buku kami usahakan bersama. Beliau sangat berani dan aktif dan tidak suka menonjolkan diri. Selama ini beliau lebih terkenal mempromosikan projek MDK (Majalah dalam Kelas) bersama DBP dan banyak menulis buku teks serta buku ulangkaji. Saya tidak tahu buku apa lagi yang hendak diterbitkannya sehari dua ini.
Turut dilancarkan ialah buku antologi esei Strategi Pengajaran Guru Cemerlang. Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Utusan Publication. Sila dapatkan segera untuk membaca isi hati dan idea guru cemerlang yang terpilih seluruh Malaysia.

Sunday, November 22, 2009

PPN 3: Pertemuan hati dan budi

Walaupun tampak sama sahaja majlis Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 yang kami anjurkan dengan seminar dan pertemuan sastera lain, saya merasai satu kesan peribadi yang lain. Ini satu pertemuan hati dan budi antara sesama kami yang telah berusaha memastikan perjalanan majlis berjalan lancar. Rakan-rakan seperti tentera tak bergaji sentiasa bersedia menggalas tugas yang diarahkan tanpa banyak soal jawab. Saya terharu dengan iltizam yang diberikan oleh semuanya. Saya tidak mahu menyebut nama mereka satu persatu kerana bimbang tertinggal nama. Yang pasti saya terhutang budi kepada mereka. Saya juga memohon maaf sekiranya tindakan saya memberikan arahan spontan menyusahkan dan menggores hati mereka. Saya tidak dapat memberikan apa-apa balasan kepada mereka selain ucapan terima kasih. Saya simpan budi mereka selama-lamanya.
terima kasih.

Monday, November 16, 2009

Datanglah sesiapa saja ke PENA




Ada teman bertanya sama ada dia boleh datang atau tidak ke Pertemuan Penyair Nusantara pada 20-22 Nov ini kerana katanya dia bukanlah orang ternama. Teman saya ini sebenarnya penyair terkenal dan aktif dalam dekad 80-an lagi. Dia dan seangkatan dengannya mungkin terasa sudah jauh daripada persatuan penulis kerana tidak diundang secara rasmi. Sebenarnya PENA tidak pernah menutup pintu kepada sesiapa sahaja untuk datang menyertai programnya. Datanglah kerana semuanya dijemput walaupun tiada surat undangan. Baik acara baca puisi PENA setiap bulan mahupun dalam acaran khusus yang besar-besar anjuran PENA, kami sentiasa membuka peluang kepada semua untuk datang kerana kami percaya keterbukaan ialah jalan terbaik untuk merakyatkan sastera. Tidak mampu kami menghantar surat undangan kepada individu kerana terlalu ramai. Kedatangan semua orang sangat dihargai. PENA milik semua walaupun yang bukan ahli. kami dalam PENA banyak bekerja secara sukarela. Keseronokan kami ialah bekerja dengan kawan-kawan dan dapat pula menyumbang kepada kesejahteraan persuratan Melayu. Sekurang-kurang dalam musim kami memegang amanah ini hayat sastera di Malaysia dapat dihidupkan. Apabila kami berundur nanti akan adalah hendaknya pelapis yang sanggup memerah tenaga dan mencurahkan dana untuk menghidupkan sastera melalui PENA.

Kalau ada sesiapa yang rasa terhalang atau dihalang untuk menyertai acara PENA, silalah berhubung terus dengan saya sendiri atau SM Zakir, atau Shamsudin Othman di samping AJK lain: Lutfi Ishak, Hanafi Ibrahim, Malim Ghozali PK, Rahimidin Zahari, Saifulizan Yahya, Raja Rajeswary, Ayahanda kami Ahmad Razali Yusof. Dato Baha telah menyerahkan segala urusan kecil ini kepada kami.


PPN kali ini masih terbuka untuk didatangi sesiapa sahaja. Bayarannya sangat murah iaitu RM20 sahaja, tetapi tanpa penginapan. Penginapan perlu diurus sendiri sama ada di hotel atau di Rumah Gapena. Rumah Pena juga boleh ditiduri tetapi tiada tilam atau bilik khusus. bentanglah tikar dan tidurlah.

Sesiapa nak bawa isteri pun silakan berbuat demikian kerana PENA juga sangat menghargai kesejahteraan keluarga. Itu pun kalau sanggup bersusah payah.


Kami dalam PENA memang tidak mudah bersetuju tentang sesuatu perkara dan kami sentiasa pula terbuka untuk berhujah. Memang antara kami pun sering berhujah apabila hendak membuat satu keputusan yang kontroversial. Antara saya dengan Zakir dan Shamsudin sering berlaku perdebatan untuk mencapai persetujuan bersama, kerana PENA memang tempat orang berbeza pendapat duduk bertelagah. pertelagahan kami bertujuan mencapai kata sepakat. Kami memang sudah bersetuju untuk tidak bersetuju. Tapi akhirnya keputusan yang dicapai dengan pandangan majoriti akan dilaksanakan juga. Walaupun kami sering berdebat, akhirnya kami boleh tidur selantai. Contohnya dalam gambar di atas kami baru sahaja tidur selantai di sebuah homestay, Chemor Inn atau Hotel Kampungjasa selepas menghadiri acara Tabung Amirul Fakir di Ipoh pada 14 November 2009. Tengoklah gambar Nazmi Yaakub, Zakir, Shamsudin Othman, Shukri Abdullah dan Rahimidin Zahari. Agak-agaknya siapa paling kuat dengkurannya pada malam tadi? Bagi yang gambarnya ada di sini janganlah beritahu jawapannya.

Thursday, November 12, 2009

Sekeping lukisan di kaki lima

Sewaktu hujan mengguyur
di kaki lima kota Bandung
sekeping lukisan merekah dan menggigil
warnanya meluncur ke longkang
dijerkah guntur dan dilibas hujan
namun masih jelas figuranya
meskipun tidak lagi bersuara.

pada rekah dan gigil kanvas
terlukis anak-anak kecil yang tidak mengerti
makna kemiskinan dan kemegahan
berbungkus batik lusuh
sedang mencantumkan puing harapan
di padang mimpi
barangkali mereka sedang berkejaran
menangkap kupu-kupu terbang
meningkah tangkas ribuan belalang
dari kelopak dahlia ke pucuk seroja
dari retak derita ke puncak bahagia
di atasnya tersusun warna prisma pelangi.


(Serpihan daripada sajak yang terbenih daripada pengalaman menyusuri kaki lima kota Bandung kelmarin. beberapa keluarga ber-rumah di kaki lima. Anak-anak kecil berselimut dan si ibu dan bapa menanti lena datang sambil berbual dengan orang lain yang senasib dengan mereka)

Sunday, November 8, 2009

Penyair dan suara masyarakat

Ketika saya dan Zakir dijemput mengisi program Agenda Awani di ASTRO pukul 8.15malam tadi tidak pula sempat kami bersedia. Pada sangkaan kami hanya rakaman akan dibuat dan siarannya entah bila. Rupa-rupanya itu siaran langsung. Tentulah agak gusar juga untuk menanti butir-butir kata keluar, kerana dibimbangi terluncur kata yang keras dan pedas. Tapi buat apalah nak dirisaukan. Jika pedas sekalipun, asalkan kami yakin dengan kata-kata itu cukuplah sekali kami berpeluang melontarkannya kepada khalayak.

Kami diminta mengulas peranan penyair dalam masyarakat kontemporari dan cabaran yang menanti penyair. Kami ditanya tentang masadepan penyair dan apakah susunan gerak yang patut dilakukan untukmasa depan. Kami akhirnya diminta bercakap tentang Pertemuan Penyair Nusantara yang akan dianjurkan oleh PENA.

Saya mungkin agak berterus terang menyatakan pandangan tentang kesambalewaan media terhadapsastera dan begitu juga yang diperlihatkan oleh Kementerian Pelajaran. Saya katakan nasib seniman kita terpojok disanggah arus materialisme dan budaya konsumerisme. Kenapa baris-baris puisi seniman kita tidak dipaparkan di tempat awam supaya mereka dekat dengan masyarakat. kenapa kata-kata hikmat seniman Barat juga jadi pujaan. Tidak berseni dan berhikmahkah kalimat seniman kita?
Kenapa sekolah tidak memberikan layanan yang setanding dengan taraf sastera sebagai pembina minda dan jiwa? Di sekolah sepatutnya sastera diajarkan secara meluas, bukannya dipinggirkan. Media massa juga patut bermurah hati menyediakan ruangan sastera. Pihak-pihak lain tentulah lebih wajar berbuat demikian kerana selama ini sastera bergerak dalam kalangan massa dengan keyakinan yang tinggi tetap dengan keupayaan yang terhad.

Rasanya banyak lagi yang hendak saya katakan dalam program setengah jam itu tetapi masa sangat laju menolak kami ke tubir waktu.Bagaimanapun, terima kasih kepada ASTRO kerana memberikan ruang kepada kami dan terima kasih kepada penerbitnya,Lokman Abdullah yang prihatin tentang nasib sastera.Begitulah yang sepatutnya berlaku. Mujurlah ada juga seniman yang menjadi petugas di stesen TV,maka dapatlah sastera bersuara. Saya teringat zaman awal persuratan Melayu yang didukung oleh wartawan hebat di akhbar-akhbar Melayu seperti Rahim Kajai, harun Aminurrashid, A Samad Ismail, A. Samad Said, Pak Sako, dll.

2. Saya berharap penyair dan peminat sastera dapat segera mengesahkan penyertaan anda ke Pertemuan Penyair Nusantara anjuran PENA pada 20-22 Nov. di DBP. Dan sesiapa yang mahu menyertai gerombolan puisi yang akan diterbitkan sempena pertemuan itu,silalah hantar puisi anda hari ini atau esok. Sekarang memang sudah dalam peringkat lay out, tetapi kami dapati ramai lagi penyair sebenar di negara ini belummenghantar puisi dan belum mengesahkan penyertaan ke pertemuan itu. Dapatkan maklumat anda daripada saya, zakir, Shamsudin dan Rahimidin atau telefon ke PENA dan bertanyalah kepada Dr Ahmad razali yang menjadi koordinator PENA.
Berikan kerjasama dan tunjukkan sokongan anda. Jangan menyesalkalau buku itu tidak memasukkan karya anda. Ini sejarah yang patut kita lakar bersama. Tahun depan mungkin negara lain yang jadi tuan rumah. Penyertaan terbuka. sesiapa saja boleh datang tanpa mengira ahli PENAatau tidak. PENA untuk semua...

. emelkan sajak kepada smzakir90@gmail.com ...kalau masih sempat.
Kami berterimakasih kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara, dan PTS Publishing yang sudi menghulurkan bantuan untuk menjayakan pertemuan ini. Sahabat saya, CEO ITNM, Sdr Khair Ngadiron, Ghafar Abdullah (DBP), Datuk Termuzi (KP DBP), Puan Ainon (PTS) dan Datuk Norliza Rofli (JKKN) memang sangat mengerti. Terima kasih daun keladi.

Thursday, November 5, 2009

malam baca puisi PENA untuk Anwar Ridhwan

Malam ini akan diadakan Malam baca Puisi PENA meraikan Sasterawan Negara Anwar Ridhwan. Semua dijemput memeriahkannya untuk menunjukkan bahawa kita ada. Saya pun nak baca Sajak "Lelaki dari kali Besar". Ha..kengkawan penyair jangan nak komen apa-apa ya. Haji Sham bukan boleh percaya. komen dia bahaya selalunya.

Monday, November 2, 2009

Menjelang aidiladha

(Ini kenangan memancing di lombong belakang dekat kampung saya. Berdiri di depan sambil memegang ikan haruan (ikan berocat, kata orang Perak) ialah Hashim Yusof, kini beliau menjadi Setiausaha Persatuan Hoki Malaysia. Di belakang sekali ialah Saaya bin Alang Arpi, kini pesara tentera laut. Kami menacing dengan jorang buluh lemang sahaja, dan umpannya cacing.

Di lombong ini terlalu banyak kenangan zaman kecil terbenam di dasarnya atau terselit di celah batang rempiang atau lalang sendayan. Kami menjadi lombong belakang kampung sebagai pusat pertemuan sewaktu cuti sekolah. Di sinilah kami memancing ikan, belajar berenang, dan sesekali mencuri buah sentul dan rambai masam milik Haji Pandak. Kawasan lombong ini asalnya ialah kawasan perlombongan bijih timah.

Semasa keci saya sempat menyaksikan operasi lombong bijih, berjalan di atas palung yang menyalirkan lumpur untuk memerangkap butiran bijih timah. Timbunan tahi bijih atau disebut amang juga menjadi tempat bermain kami. Kini semuanya sudah lenyap. Kawasan yang berdekatan dengan rumah Nor Saiful Zaini, bekas pemain hoki kebangsaan ini sudah lama tidak saya kunjungi.

Entah masih adakah keli dan puyu dan haruan, dan sepat, bermain di di celah daun teratai. Masih adakah buah sentul bergantungan di pohon yang menyayup. Masih adakah bekas tapak kaki kami di selut atau gema tawa kami tersangkut di ranting senduduk . Masih adakah percakapan kami bersepah di pinggir air. Adakah segala anasir alam di situ turut merindui kami?)



2. Diam tak diam kita sudah memasuki musim haji dan tak lama lagi menyambut aidil adha. Aidil adha bagi kami di kampung sama meriahnya dengan aidil adha kerana kami tidak ada peluang dan ruang lain untuk memeriahkan kehidupan. Hidup di kampung terpencil, apalah yang dapat kami saksikan selain senja merah datang sesekali dan bulan purnama mencerahkan langit. Maka itu, kami akan menyambut tarikh Islam yang penting, baik hari asyura, maulidur rasul, awal muharam, hari raya puasa mahpun raya haji. Kami akan menyediakan makanan dan hidangan seperti raya puasa juga walaupun jumlah kuih keringnya tidak sebanyak raya puasa dan baju raya tidak ditambah. Sambutannya tetap meriah dan kunjung-mengunjungi diamalkan. Sambutan itu dilakukan untuk mengisi hari penting kerana kami tidak ada korban. Kerana kesempitan hidup tidak pernah ada orang melakukan korban di kampung kami. Hanya sesudah dewasa barulah saya sedar ada ibadat korban rupanya pada hari raya haji. Kini sambutan raya haji tidak lagi semeriah dulu dan begitu juga hari raya puasa. Tiada lagi jiran datang berkunjung ke rumah. Jika tidak ada adik-beradik dan saudara mara maka tiadalah orang datang bertandang dengan berpakaian baru. Saya tidak dapat menerima kenyataan itu dan terasa kehilangan dalam hidup ini.
Hidup di kota berbeza sekali caranya. Walaupun seronok dengan rumah terbuka sebulan penuh Syawal malah melimpah ke bulan seterusnya, saya masih merindui sambutan raya haji di kampung yang dulu-dulu.
Raya kali ini kawan-kawan lama mengajak saya pulang ke kampung kerana mereka juga mungkin seperti saya: merindui masa lalu. Mereka tidak lagi menetap di kampung dan rumah kampung pun sudah tiada atau sudah didiami orang lain, tetapi semangat kekampungan mereka masih tebal.

Asyik teringatkan raya haji, panggilan Baitullah belum saya sambut. Alangkah berdosanya saya. Labbaikallahummalabaik...