Saya sudah lam sangat tidak memancing. Dulu semasa remaja dan kanak-kanak di kampung saya sering mencari lopak dan paya untuk memancing. Ketika itu, haruan dan keli mudah sangat ditemukan. Lombong-lombong sekitar Kampung Baru, Kantan, Tanah Hitam, Chemor Estet, Changkat Kinding juga menjadi tempat kunjungan saya bersama rakan-rakan untuk mencari tilapia, puyu, haruan, dan tongsan. Ikan tongsan ini belaan Cina, tapi kawan saya tak peduli. Asalkan dapat dipancing asal jadi. Ikan tongsan pada masa itu diberi makan daun ubi, bukannya pelet seperti sekarang, dan bukan juga usus dalaman binatang termasuk babi. Jadi, rasanya sedap. Tapi kami tak suka makan tongsan kerana terlalu berlemak.
Minggu lepas saya berpeluang memancing di Resort Lambaiana, Sg Gabai. Kolamnya kecil saja tetapi ikannya banyak. Teruja juga apabila kembali menemukan pengalaman menakluk ikan. Sebenarnya aktiviti itu dibuat dalam bentuk pertandingan. Ikan yang saya tunjukkan itu bukannya yang terbesar. Banyak lagi yang lebih besar. Akhirnya saya diumumkan sebagai pemenang kerana berjaya mendapat ikan seberat 3.4 kg. Macam mana tak menang, saya bergabung dengan anak bongsu. Orang lain mungkin hanya satu pancing (tapi tentu ada yang pakai dua juga). Ikan yang kami pancing tidak dibawa balik tetapi kami bakar untuk makan tengah hari di resort itu sebelum berangkat pulang.
Kawan-kawan yang teringin nak memancing bolehlah kita buat kem penulisan di situ dan boleh juga mandi di air terjun yang sangat tinggi.