Monday, November 16, 2009

Datanglah sesiapa saja ke PENA




Ada teman bertanya sama ada dia boleh datang atau tidak ke Pertemuan Penyair Nusantara pada 20-22 Nov ini kerana katanya dia bukanlah orang ternama. Teman saya ini sebenarnya penyair terkenal dan aktif dalam dekad 80-an lagi. Dia dan seangkatan dengannya mungkin terasa sudah jauh daripada persatuan penulis kerana tidak diundang secara rasmi. Sebenarnya PENA tidak pernah menutup pintu kepada sesiapa sahaja untuk datang menyertai programnya. Datanglah kerana semuanya dijemput walaupun tiada surat undangan. Baik acara baca puisi PENA setiap bulan mahupun dalam acaran khusus yang besar-besar anjuran PENA, kami sentiasa membuka peluang kepada semua untuk datang kerana kami percaya keterbukaan ialah jalan terbaik untuk merakyatkan sastera. Tidak mampu kami menghantar surat undangan kepada individu kerana terlalu ramai. Kedatangan semua orang sangat dihargai. PENA milik semua walaupun yang bukan ahli. kami dalam PENA banyak bekerja secara sukarela. Keseronokan kami ialah bekerja dengan kawan-kawan dan dapat pula menyumbang kepada kesejahteraan persuratan Melayu. Sekurang-kurang dalam musim kami memegang amanah ini hayat sastera di Malaysia dapat dihidupkan. Apabila kami berundur nanti akan adalah hendaknya pelapis yang sanggup memerah tenaga dan mencurahkan dana untuk menghidupkan sastera melalui PENA.

Kalau ada sesiapa yang rasa terhalang atau dihalang untuk menyertai acara PENA, silalah berhubung terus dengan saya sendiri atau SM Zakir, atau Shamsudin Othman di samping AJK lain: Lutfi Ishak, Hanafi Ibrahim, Malim Ghozali PK, Rahimidin Zahari, Saifulizan Yahya, Raja Rajeswary, Ayahanda kami Ahmad Razali Yusof. Dato Baha telah menyerahkan segala urusan kecil ini kepada kami.


PPN kali ini masih terbuka untuk didatangi sesiapa sahaja. Bayarannya sangat murah iaitu RM20 sahaja, tetapi tanpa penginapan. Penginapan perlu diurus sendiri sama ada di hotel atau di Rumah Gapena. Rumah Pena juga boleh ditiduri tetapi tiada tilam atau bilik khusus. bentanglah tikar dan tidurlah.

Sesiapa nak bawa isteri pun silakan berbuat demikian kerana PENA juga sangat menghargai kesejahteraan keluarga. Itu pun kalau sanggup bersusah payah.


Kami dalam PENA memang tidak mudah bersetuju tentang sesuatu perkara dan kami sentiasa pula terbuka untuk berhujah. Memang antara kami pun sering berhujah apabila hendak membuat satu keputusan yang kontroversial. Antara saya dengan Zakir dan Shamsudin sering berlaku perdebatan untuk mencapai persetujuan bersama, kerana PENA memang tempat orang berbeza pendapat duduk bertelagah. pertelagahan kami bertujuan mencapai kata sepakat. Kami memang sudah bersetuju untuk tidak bersetuju. Tapi akhirnya keputusan yang dicapai dengan pandangan majoriti akan dilaksanakan juga. Walaupun kami sering berdebat, akhirnya kami boleh tidur selantai. Contohnya dalam gambar di atas kami baru sahaja tidur selantai di sebuah homestay, Chemor Inn atau Hotel Kampungjasa selepas menghadiri acara Tabung Amirul Fakir di Ipoh pada 14 November 2009. Tengoklah gambar Nazmi Yaakub, Zakir, Shamsudin Othman, Shukri Abdullah dan Rahimidin Zahari. Agak-agaknya siapa paling kuat dengkurannya pada malam tadi? Bagi yang gambarnya ada di sini janganlah beritahu jawapannya.

5 comments:

Hasmora said...

Salam Pak Saleh.. biar ambo teka, er.. yg berjaket hitam itu.. nilaian berdasarkan tabung suaranya lebih besar berbanding yang lain.. hahaha.. er.. bini saya tak dapat bawa kali ni sebab kakak kawin jumaat ni.. saya tinggalkan sebagai wakil. bukan sebab nak ambil kesempatan joli ya..hehe

Anonymous said...

Err... org yang tangkap gambar kot...

imlan adabi said...

Agaknya, siapakah yang hantar sms kepada nncik saleeh tu?
Rasanya, kenal!

saleeh rahamad said...

hehe. imlan. mana tau? datang je bang.

S.M. Zakir said...

orang yang tidur di sebelah saya.. heh heh