Sunday, November 8, 2009

Penyair dan suara masyarakat

Ketika saya dan Zakir dijemput mengisi program Agenda Awani di ASTRO pukul 8.15malam tadi tidak pula sempat kami bersedia. Pada sangkaan kami hanya rakaman akan dibuat dan siarannya entah bila. Rupa-rupanya itu siaran langsung. Tentulah agak gusar juga untuk menanti butir-butir kata keluar, kerana dibimbangi terluncur kata yang keras dan pedas. Tapi buat apalah nak dirisaukan. Jika pedas sekalipun, asalkan kami yakin dengan kata-kata itu cukuplah sekali kami berpeluang melontarkannya kepada khalayak.

Kami diminta mengulas peranan penyair dalam masyarakat kontemporari dan cabaran yang menanti penyair. Kami ditanya tentang masadepan penyair dan apakah susunan gerak yang patut dilakukan untukmasa depan. Kami akhirnya diminta bercakap tentang Pertemuan Penyair Nusantara yang akan dianjurkan oleh PENA.

Saya mungkin agak berterus terang menyatakan pandangan tentang kesambalewaan media terhadapsastera dan begitu juga yang diperlihatkan oleh Kementerian Pelajaran. Saya katakan nasib seniman kita terpojok disanggah arus materialisme dan budaya konsumerisme. Kenapa baris-baris puisi seniman kita tidak dipaparkan di tempat awam supaya mereka dekat dengan masyarakat. kenapa kata-kata hikmat seniman Barat juga jadi pujaan. Tidak berseni dan berhikmahkah kalimat seniman kita?
Kenapa sekolah tidak memberikan layanan yang setanding dengan taraf sastera sebagai pembina minda dan jiwa? Di sekolah sepatutnya sastera diajarkan secara meluas, bukannya dipinggirkan. Media massa juga patut bermurah hati menyediakan ruangan sastera. Pihak-pihak lain tentulah lebih wajar berbuat demikian kerana selama ini sastera bergerak dalam kalangan massa dengan keyakinan yang tinggi tetap dengan keupayaan yang terhad.

Rasanya banyak lagi yang hendak saya katakan dalam program setengah jam itu tetapi masa sangat laju menolak kami ke tubir waktu.Bagaimanapun, terima kasih kepada ASTRO kerana memberikan ruang kepada kami dan terima kasih kepada penerbitnya,Lokman Abdullah yang prihatin tentang nasib sastera.Begitulah yang sepatutnya berlaku. Mujurlah ada juga seniman yang menjadi petugas di stesen TV,maka dapatlah sastera bersuara. Saya teringat zaman awal persuratan Melayu yang didukung oleh wartawan hebat di akhbar-akhbar Melayu seperti Rahim Kajai, harun Aminurrashid, A Samad Ismail, A. Samad Said, Pak Sako, dll.

2. Saya berharap penyair dan peminat sastera dapat segera mengesahkan penyertaan anda ke Pertemuan Penyair Nusantara anjuran PENA pada 20-22 Nov. di DBP. Dan sesiapa yang mahu menyertai gerombolan puisi yang akan diterbitkan sempena pertemuan itu,silalah hantar puisi anda hari ini atau esok. Sekarang memang sudah dalam peringkat lay out, tetapi kami dapati ramai lagi penyair sebenar di negara ini belummenghantar puisi dan belum mengesahkan penyertaan ke pertemuan itu. Dapatkan maklumat anda daripada saya, zakir, Shamsudin dan Rahimidin atau telefon ke PENA dan bertanyalah kepada Dr Ahmad razali yang menjadi koordinator PENA.
Berikan kerjasama dan tunjukkan sokongan anda. Jangan menyesalkalau buku itu tidak memasukkan karya anda. Ini sejarah yang patut kita lakar bersama. Tahun depan mungkin negara lain yang jadi tuan rumah. Penyertaan terbuka. sesiapa saja boleh datang tanpa mengira ahli PENAatau tidak. PENA untuk semua...

. emelkan sajak kepada smzakir90@gmail.com ...kalau masih sempat.
Kami berterimakasih kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara, dan PTS Publishing yang sudi menghulurkan bantuan untuk menjayakan pertemuan ini. Sahabat saya, CEO ITNM, Sdr Khair Ngadiron, Ghafar Abdullah (DBP), Datuk Termuzi (KP DBP), Puan Ainon (PTS) dan Datuk Norliza Rofli (JKKN) memang sangat mengerti. Terima kasih daun keladi.

2 comments:

Anonymous said...

Wah, dah glamor tuan dosen kita ni...

rafihasanan said...

Salam kunjungan. Semoga terus berjaya dan berjaya