Monday, February 8, 2010

Abdullah Tahir

Perjalanan hidup semakin jauh dan kita semakin dekat dengan tubir hayat. Mendekati kaki horizon kematian aku dimesrai kenangan pada orang yang telah pergi. Abdullah Tahir, guruku yang telah banyak menumpahkan percayanya padaku telah lebih 10 tahun meninggalkan alam fana ini. Pusaranya bernombor 2735 di Bukit Kiara sudah lama tidak kuziarahi.


Di Ruang ketiadaan Kau Berdiri
(Elegi untuk Abdullah Tahir)

Di ruang ketiadaanmu
aku terkilas bayang Rumi
kau berdiri dengan pesan penuh uji:

i.

Ini senja yang sudah menghantar isyarat
kerlip bintang lebih berharga
kerana matahari semakin membenamkan cahaya
istirahat tiada waktunya
kerana esok matahari dan bintang dan bulan
saling bersaing memunculkan kuasa
siapa yang berlari dialah ke muka.

ii.
Di kamar yang gelita
terbaring di ranjang derita
air menitis di ampaian pun mendapat puja
dan pintu
pintu itu menyimpan seribu rahsia
bukalah
di sebaliknya ada syurga dan neraka
bukan di ranjang ini
bukan di kamar ini
di sini derita cuma menguji duga.

iii.
Kau bernasib mujur
kerana menjadi hujan
yang jatuh di tanah kontang
tidak di laut terbentang
makna apalah seribut dendam
kauhujani
laut yang dalam
laut yang bergaram.

iv.
Kalau di atasmu ada penguasa
kau patut mendongak sesekali
dan renunglah kakimu kembali
mata kakimu lebih berhak mencari
tajam kelikir dan ranjau duri.

Kalau kau berada di atas
jangan kaurenungi kakimu lagi
jalan menjadi terlalu mudah kaulalui
jika orang bawahan memimpinmu
--lihatlah mata kaki mereka
tapi mendamaikan hati mereka
tidaklah semudah mewarnakan mimpi.

v.
Kita sentiasa mencari
tiada henti
bintang, bulan dan matahari
semua ingin didakap
tanpa peduli pada bumi
tapi waktu bukan milik kita
untuk menghimpunkan segalanya
kitalah milik waktu
yang sentiasa diburu
akhirnya kita terbaring jauh
di perut bumi
tanpa muram bintang, bulan dan matahari.

(Tika wujudmu ain di sisi
kau tidak kusedari;
setelah ketiadaanmu
baru kutemui dirimu.)
--ingatan apakah ini?
Engkau atau si Rumi?

21 Julai 1997
Berita Minggu 28 Disember 1997

10 comments:

Sham al-Johori said...

Pak dosen,
Rasanya dah sampai makam penyair sufi ni. Puisi-puisi dalam blog ni kena kumpul dan lepas ni jadikan kumpulan puisi. Lepas tu, menangis syeikh Rahimidin dan Syeikh Zakir. Itu tak kira lagi Kemala ke atau SN Muhammad Haji Salleh. Kalau masuk mereka berdua jawabnya, banjir Kuala Lumpur ni...
Hehehehe. Kata Shapiai Ramly, "sekali berpuisi terus berpuisi kerana puisi adalah aku." Itu kata Haji Shapiailah. Tapi kata saya, "puisi adalah isteri yang kesetubuhi setiap waktu."

ii
Teringat teguran allahyarham Pak Lah (Abdullah Tahir) ketika belajar subjek 'penulisan cereka 1'; katanya, "kalau malas membaca tak payah masuk universiti. Jual getah segerap lebih baik." Tapi hatinya mulia dan banyak membantu kami. Amin.

Rahimidin Z said...

Syeikh, Puisi ini sepatutnya menang Hadiah Sastera Perdana untuk tahun penilaian tersebut.

saleeh rahamad said...

Haji sham, bukan semua orang dapat peluang macam tu. setengahnya...

pak syeikh rahimidin: kemenangan dalam hadiah sastera bergantung pada selera penilai. saya pun selalu buat keputusan ikut selera juga. selera memang tinggi macam haji sham, tapi ...

NASSURY IBRAHIM said...

Saya ada beberapa tulisan rencana Pak Lah, hajat hati nak kumpulkan (terbit) tp tak terbuat.

saleeh rahamad said...

nasury... terbitkanlah dan jual bersama sebungkus keropok percuma

Mawar said...

Dato Saleeh,
masih ingat mahasiswa saya yang mengkaji arwah? blognya sudah siap. kami akan lancar blog2 tokoh kajian cerpen ini hujung mac. nanti saya maklumkan.

ps: Tuan Sham, amboi!

MARSLI N.O said...

Sdr Saleeh: Membaca entri Sdr yang ini, membuatkan saya semakin berasa suka dengan blog Sdr.

Saya fikir bekas murid Pak Abdullah Tahir wajar terbitkan sebuah kumpulan sajak dengan judul MENGENANG ABDULLAH. Saya harap Sdr sudi menjadi penyelenggaranya dan akan saya kirim sajak kepada Sdr kalau penyelenggaranya adalah Sdr.

Mungkin sudi pertimbangkan cadangan saya ini.

Untuk makluman, saya mengenal Abdullah Tahir sewaktu usia mudanya sebagai guru muda di sebuah pedalaman dan saya ketika itu hanyalah murid yang baru mahu mengenal huruf.

saleeh rahamad said...

Sdr Marsli, cadangan itu baik tetapi perlukan masa untuk saya melakukannya. terima kasih.

saleeh rahamad said...

Mawar,
usaha yang sangat baik. maaf kerana tak dapat membantu. kalau nak masukkan sajak saya dalam blog itu silakan. kalay layak. kalau tak layak, masukkan sajak orang lain tentang Pak Lah. kalau ada.

Cikgu Za said...

Salam tuan,

i. Terima kasih kerana masih mengenali kami. Betul, suami saya, Mohammad Affandi, juga akhirnya menjadi guru. Samalah kita, anak dah lima, yang sulung sudah 22, menuntut undang2 di UiTM. Saya selalu mengikuti blog tuan melalui blog kegemaran saya, Tanah Nurani. Tuan sentiasa nampak muda, dan melalui penulisan, kita akan sentiasa rasa muda, kan? Isteri tuan masih yang dulu ke?? yang sama sekuliah dengan tuan, maaf, sudah lumpa namanya.

ii. Tuan sudah Prof kah sekarang. Selamat berjuang memartabatkan bahasa walaupun rasanya tidak ke mana tapi rasa cinta ini tetap kekal sampai bila2 (cinta akan bahasa laaa). Sudah banyak yang berubah fakulti sastera sekarang ya. sudah lama tidak ke UM utk bernostalgia kisah2 lama. Saya sering juga ke KL utk mesyuarat tapi tidak berkesempatan utk menjenguk UM.

iii. Saya mengenali cikgu Azizul Rahman kerana kerap juga bermesyuarat bersama2nya dan tahu sangat tentang penglibatan tuan dalam penghasilan buku2 Guru Cemerlang seperti Terima Kasih Tuhan dan terkini, Selagi Masih Ada. Hasrat utk menulis karya kreatif sentiasa ada tapi sampai hari ni satu pun masih belum terhasil. Kononnya mahu menghasilkan yang terbaik, dan akhirnya..NOL!! mungkin saya kurang kreatif kot...

iv. Maaf.. kerana pernah mencedok puisi tuan utk kegunaan pengajaran bahasa melayu iaitu ;
Hidup adalah sepotong ayat: bermula dengan kesenyapan berakhir dengan kesenyapan. Di tengah-tengahnya kita belajar mengatur nada kita mengenal makna kata -yang semantik dan yang pragmatik tidak membawa erti yang sama.....

Puisi ini menjadi pencetus kepada saya utk dijadikan sebagai salah satu teknik dalam p&P terutama utk mengingat konsep2 bahasa seperti sintaksis, morfologi dsb.

Salam.. ketemu lagi!!