Thursday, February 4, 2010

Hujan

Selepas solat Jumaat aku cuba menghadapi komputer untuk menyambung kerja yang tenat ini, tetapi susahnya mendapat tenaga lalu aku lelap seketika. Hujan menderu di luar dengan iringan guntur yang menghentam puncak sepi. Aku cuba sekali lagi membuka buku, membaca artikel muhammad Haji Salleh, "Meragui Bapa: Sastera Melayu dan Trauma Bangsa". terasa ada sesuatu yang baru kutemui. Biasanya begitulah, semakin banyak kita membuka catatan baru, maka akan ada yang tersimpul dapat dileraikan sedikit demi sedikit. Membacalah apabila kita terasa kosong dan kosong...nescaya akan kita temui permata di rumput gilang (Ini judul buku Muhammad Haji Salleh). Bukan sahaja membuka buku orang lain menemukan kita dengan sesuatu, membuka fail lama kita sendiri akan mengahwinkan pengalaman kita dengan sejarah. Dan ini sajak lama yang tersimpan dalam koleksi kerja kursus semasa mengikuti subjek Menulis Puisi bersama Abdullah Tahir:

PEREMPUAN

Engkaulah jarum jam yang berputar
Menghadiahkan waktu dan menyentap kesempatan
Engkaulah lampu yang menyala
Menabur sinar dan memerangkap bebayang
Engkaulah dedaun yang menghijau
Merimbuni pokok dan menyedut saraf akarnya
Engkaulah bayang-bayang hitam
Menemani jasad dan meliarkan diri
Engkaulah angin yang berlegar
Mengusap lembut dan tak dapat disentuh
Engkaulah kabut di pergunungan
Menghadirkan kebeningan dan menabiri pandangan.

Ributmu berpusar dalam rahsia
Kemilaumu bersinar dalam gelita
Rindumu gementar dalam malu.

Perempuan
tunjangmu dari syurga
nafasmu dari neraka.

1987

8 comments:

NIZAM MAT SAARI said...

Fuh, hebat-hebat... dalam maknanya. Tak terhurai dengan maknawi...

NASSURY IBRAHIM said...

Prof Muhammad merupakan gedung ilmu Melayu. Banyak yang akan kita peroleh dengan membaca tulisannya.

Sham al-Johori said...

Pak guru,
ingatan saya terlontar ke etimologi 'hujan' + 'perempuan'. Syeikh Zakir dan Rahimidin dah tentu dapat mendebaknya.

hehehehe

zainal mohd jais said...

Di kalangan makhluk Tuhan,
perempuan adalah sumber inspirasi yang paling luarbiasa. Dari Adam, sampai kiamat.

Sahabat,
Bahasamu hebat,
mari kita terus berkarya
mengisi ruang-ruang kosong
menyulami makna besar pada ruang yang kecil.

Nur Fatiha Fadila said...

Lamanya sajak ini, sudah seusia saya. Tahniah!

saleeh rahamad said...

wardah: ini sajak orang tualah kiranya.

saleeh rahamad said...

haji sham: hujan menerbitkan perempuan atau perempuan menerbitkan hujan?

saleeh rahamad said...

Pak Enal: apa lagi, jom jadi penyair palsu. bukan susah sangat. terbit satu buku puisi nanti masuklah senarai penyair tanah air. nanti saya tulis sejarah sastera masukkan nama kengkawan. inilah kuasa pengarang (knowledge is power)

Nizam: latihan ilmiah sdr masih dalam simpanan saya. dah nampak kelibat peminat sastera masa tu rupanya. saya tak sedar.