Tuesday, February 2, 2010

Proses penyuntingan karya A Samad Said

Saya memiliki manuskrip mentah sajak "Cenderahati Mogok Seni" karya A. Samad Said tapi cuma ada lima salinan yang sedang dalam proses penyuntingan. Mungkin sembilan kali Pak Samad menyunting karyanya sebelum berpuas hati. Contengan pada sajaknya menunjukkan beliau begitu berhati-hati memilih kata. Saya teringat T. Alias Taib yang berkata menulis sajak ialah satu proses berkelahi dengan kata-kata. Maka saya petik sebahagian daripada sajak yang saya tulis untuk mengenang Pang Engku yang telah pergi. Sajak ini telah saya baca dalam bengkel Puisi 1 Malaysia anjuran Gapena (saguhati belum dapat haha. Sajak penuh belum boleh disiarkan kerana belum terbit dan tiada penerbit yang mahu pun:

Banyak Lagi Yang Kaufikirkan

.......
........
Kita beralih cerita demi cerita
sehingga petang menarik mentari
ke sudut bumi
dan arus Sungai Perak
terus ke muara memburu mimpi.

Engkau memutihkan kembali
sangka dan duga
katamu kisah teman cuma jenaka
tiada sesiapa yang keruh hatinya
selain kita yang sentiasa curiga.

Kita beransur meninggalkan petang
mencari rahsia malam
dan tabir misteri kita kuak sendirian.

Walau banyak yang kauperkatakan
banyak lagi yang kaufikirkan
tentang manusia dan alam maya
dan tentunya akan meranum
gugusan sajak dari akar bahasamu.

Aku hanya menanti
di muara ciptamu
aku terus menanti

Tapi kau telah tiada.

2 comments:

lutfi said...

Bila menyentuh tentang Pak Ku (T. Alias Taib) bayangkan, sehingga beliau meninggal dunia, SEA Write Award pun beliau tak dapat. Tapi, kekuatan dalam sajaknya, kita lihat, cukup kuat, bebranding sesetengah mereka yang mendapat anugerah tersebut. Yang kekal bukannya anugerah, lebih-lebih lagu anugerah yang diraih hasil permainan licik politik, tetapi, akhirnya kembali kepada kualiti.

NIZAM MAT SAARI said...

Anugerah? Anugerah hanya penilaian manusia. Berapa ramai (termasuk bukan sasterawan) pun yang kata-katanya hebat, bermakna tetapi tidak dapat apa-apa (habuk pun tarak). Apatah lagi saguhati ya?