Thursday, April 22, 2010

mesyuarat agung pertubuhan alumni pengajian media UM

Salam kepada semua,
Semua bekas pelajar Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif, Jabatan Penulisan, dan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (jabatan yang sama sebenarnya) dijemput hadir (datang sendiri) ke mesyuarat Agung Pertubuhan Alumni pengajian Media UM Malaysia pada hari Sabtu, 24 April 2010, jam 10 pagi.

Semua dijemput, termasuk yang belum menjadi ahli. Ini peluang untuk membina jaringan dan membantu Jabatan alma mater anda.

Pelajar saya yang masih belajar juga dipohon hadir untuk membantu pengurusan majlis.
Tolong jaga pendaftaran dan sebagainya. Memang anda sibuk dengan peperiksaan dan tugasan yang belum siap, tapi inilah peluang untuk mendekati senior dan bersedia mengisi barisan kepimpinan Alumni.

Monday, April 19, 2010

Pertemuan Penyair Nusantara ke-4

Pada 16 hingga 18 Julai ini akan diadakan Pertemuan Penyair Nusantaar ke-4 di Brunei Darussalam. Program ini lanjutan daripada Pertemuan Penyair Nusantara di Kuala Lumpur anjuran PENA tahun lepas. Pihak Asterawani akan menyediakan pengangkutan domestik dan penginapan sahaja. Tambang pesawat ditanggung sendiri. PENA mengalu-alukan sesiapa sahaja yang hendak pergi untuk memberikan nama lebih awal. Kalau hendak tempah tiket pun bolehlah berbuat demikian sekarang. Pihak penganjur juga meminta tiga sajak seorang untuk dimuatkan dalam antologi sempena Pertemuan. Sila hantar kepada pihak urus setia di bawah sebelum 31 Mei 2010.

22 Rabiulakhir 1431
7 April 2010

Kepada,





Assalamu alaikum,

PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA KE-4

Dengan penuh hormat, sukacita dimaklumkan kepada Tuan-Tuan / Puan-Puan bahawa ASTERAWANI akan menganjurkan Pertemuan Penyair Nusantara Ke-4 pada 16 – 18 Julai 2010 bertempat di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.
2. Sehubungan dengan itu, saya dengan penuh hormat dan sukacita mengundang Tuan-Tuan / Puan-Puan untuk menyertai majlis di atas. Sayugia juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur hanya akan menyediakan kemudahan penginapan dan pengangkutan domestik kepada peserta luar negara.
3. Pihak penganjur juga bercadang akan menerbitkan dan melancarkan antologi sajak pada pertemuan berkenaan. Oleh yang demikian, sukacita dimaklumkan kepada para peserta agar dapat menghantar tiga buah sajak, sekeping foto, dan biodata bagi tujuan tersebut kepada pihak penganjur tidak lewat daripada 31 Mei 2010.
4. Bersama ini disertakan atur cara tentatif pertemuan tersebut sebagai rujukan pihak Tuan-Tuan / Puan-Puan.
5. Di atas kesudian Tuan-Tuan / Puan-Puan menyertai pertemuan berkenaan, saya terlebih dahulu mengucapkan berbanyak–banyak terima kasih.
Wassalam.


Dengan Hormat,

……………………
(Zefri Ariff)
Pengarah Program
Pertemuan Penyair Nusantara ke-4
Tel: +673-8749500
Faks: +673-2337033

Sila hubungi SM Zakir atau Shamsudin othman untuk keterangan lanjut. Elok juga dibuat secara rombongan. Mungkin boleh dirundingkan.

Pertemuan Meja Bulat Memartabatkan bahasa Melayu

Pada 27 April ini saya mungkin akan menyertai pertemuan meja bulat memartabatkan bahasa Melayu anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran. Saya mewakili PENA bersama Dato Baha, SM Zakir, Dr Ahmad Razali, Shamsudin Othman. Jemputan lain pun saya lihat panjang senarainya, termasuk nama yang menimbulkan keanehan: SN Shahnon Ahmad dan Abdullah Hussain. Sedarkah pihak penganjur bahawa kedua-dua SN itu sudah uzur dan tidak mungkin menyertai persidangan eksklusif itu? Atau mereka memang tidak mengambil tahu tentang persekitaran bahasa kita? Mentaliti apakah yang berkapuk dalam kepala mereka? Maknanya, kalau boleh saya tafsirkan begini: pekerja itu tidak peduli dan sangat jahil akan perkembangan semasa, dan janganlah kita mengharapkan mereka mempunyai idealisme untuk memartabatkan bahasa selain bekerja makan gaji.

Saya akan cuba hadir walaupun tahu tidak mungkin kami dapat bersuara dalam pertemuan meja yang begitu besar dan disertai tokoh-tokoh veteran yang "pandai" bercakap itu. Kalau ada teman hendak memberikan idea untuk kami sampaikan dalam pertemuan itu, silalah berbuat demikian dengan segera. Boleh juga diemelkan kepada saleeh@um.edu.my. Saya akan cuba menyediakan catatan bertulis untuk disampaikan kepada pihak yang berkenaan walaupun besar prasangka saya bahawa kertas itu akan difailkan "untuk tindakan selanjutnya" dan tidak dibuka-buka lagi. Penyediaan catatan bertulis ini saya pelajari daripda Dato' Baharuddin Zainal. Beliau sentiasa yakin bahawa kalau kita hanya bercakap, sesampainya pihak yang mendengar di garis pintu, percakapan kita akan dilupai dan dilupakan. Oleh itu, dengan adanya kertas, lambatlah sikit kehilangan itu berlaku, sekian adanya.

Saturday, April 17, 2010

koleksi gambar sasterawan besar


Di Bilik Mesyuarat Jabatan Pengajian Media, UM berderetan gambar sasterawan besar negara. Lukisan ini dikumpulkan oleh DatukAbd Latiff Abu Bakar semasa beliau menjadi Ketua Jabatan dulu. Selepas itu tiada lagi sambungannya oleh ketua jabatan lain. Tapi pada setiap gambar itu tiada kapsyen nama mereka. Apabila saya menguji pelajar, mereka hanya mengenali gambar A. Samad Said. Sasterawan lain tidak dikenali sama sekali. Saya sudah bersuara di Jabatan supaya kapsyen nama disediakan tetapi tiada inisiatif langsung. Begitupun, saya tidak memarahi sesiapa...kerana sepatutnya saya melakukan tugas itu tanpa perlu disuruh.

Ada seisapa nak letak gambar mereka di situ? Jadi dulu sasterawan besar dan jadi tualah dulu.

Sunday, April 11, 2010

Sebelum Tiba Pesta Songkran

Sebelum tiba pesta songkran
kami pun beransur pulang
meninggalkan janji demi janji
bahawa tahun depan datang lagi.

Kami bawa secebis kenangan
yang membiak jadi harapan
kami bawa sehiris keraguan
yang berkembang jadi ketakutan
tertunaikah janji ini
atau kami yang dulu pergi.


Kami tinggalkan kota ini
sebelum darah dari utara
mengalir ke sini
dan menyirami kami
dalam pesta songkran.

11 April 2010
Hatyai, sehari selepas darah bersimbah dalam protes kumpulan baju merah di Bangkok.

Sunday, April 4, 2010

Air Terjun Lata Kinjang: Puisi tanpa kata-kata


Air Terjun Lata Kinjang, Tapah, sering saya lewati dalam perjalanan ke Ipoh. Dari Lebuh raya saya tidak akan melepaskan pandangan ke arahnya sambil menahan gayutan pertanyaan yang tidak pernah berjawab: dari mana datangnya air yang deras tidak putus-putus itu? Akhirnya pertanyaan itu saya susun dalam sebuah permainan bahasa, "Biarkan Sungai Itu".
Biarkan Sungai Itu

Entah di mana
puncanya
tiba-tiba sahaja
ia mengalir tanpa henti
seperti memburu
landai muara
dan laut saujana.

Kita biarkan ia
menerjuni jurang
—menghempasi lekuk
—melakari bentuk.

Kita biarkan ia
meningkahi jeram
—mengikis batuan
—mengheret serpihan.

Kita biarkan ia
menjalari lembah
—memesrai tebing
—mewarnai hening.

Biarlah nafasnya tenang
di gemeresik bayu rimba
dengan desir dan kocak sutera
—jernihnya memukau mata
—manisnya mencumbu rasa.

Biarkan ia
tenang memburu
landai muara
dan laut saujana
kerana tak mungkin
ia kembali
kerana tak mampu
ia mendaki
puncak asal
yang entah di mana.

Mingguan Malaysia
Mohamad Saleeh Rahamad
Sagu Hati hadiah Sastera Utusan

Thursday, April 1, 2010

Johnny Bikin Filem: Teks Artistik





Dalam gambar: Balu Allahyarham Anuar Nor Arai, Puan Zaharah serta Wafa Abdul Kadir (heroin Johnny Bikin Filem, Zack idris, Zulhanafiah Ismail (nampak hujung muka saja), dan anak Allahyarham juga).
Malam tadi saya menonton filem tunggal Allahyarham Dr Anuar Nor Arai, "Johnny Bikin Filem" yang dihasilkan pda tahun 1993/94. Pada siangnya saya telah menonton filem yang sama versi asal dengan durasi 4 jam tetapi tidak selesai kerana saya terpaksa menyambung kerja sendiri. Pada malamnya ditayangkan versi panggung yang telah disunting oleh Mahadi J Murat; durasinya 2 jam. Turut hadir ialah keluarga Allahyarham dan beberapa pelakon filem tersebut: Zack Idris, Abdul Ghafur Adnan, Wafa Abdul Kadir.
Tidak keterlaluan saya katakan bahawa filem itu memberikan kepuasan estetik yang tinggi melalui mis en scenenye, tatacahaya, kerja kameranya, dan prop serta setting yang memenuhi zeitgeist filem period tahun 50-an di Singapura walaupun lokasi penggambarannya di Pulau Pinang (dan Ipoh?). Pada masa penggambaran filem itu dahulu motosikal vintage yang disewa berderetan di sekitar kawasan pejabat kami. Terasa seperti kami berada di Studio Jalan Ampas ketika itu.

Cukup menguja tentu sahaja lakonan Jalaluddin Hassan, iaitu ketua Samseng yang bernama Mastiar. Karakternya solid dengan psike manusia yang terkepung dalam zaman yang serba mencabar. Saya terkejut melihat lakonannya yang tidak dapat saya temukan dalam filem atau drama lain. Anuar memang menghormati bakat Jalaluddin. Pernah dia berkata, berikan apa-apa sahaja skrip kepada Jalaluddin, nescaya dalam masa yang singkat dia boleh menghafalnya. Itulah sebabnya Anuar mengambil Jalaluddin berlakon dalam teaternya juga.Saya percaya Jalaludin Hasan mampu menjulang trofi pelakon pembantu terbaik dalam festival filem jika filem ini dipertandingkan. dahulu.

Ini genre filem noir yang memberikan rangsangan psikologi melalui kerja kamera Jamal Maarif dan Johan Ibrahim. Shotnya yang menerobosi ruang dan waktu, memberikan warna psikologi watak dan inti cerita.

Skor muzik dalam versi asalnya lebih terasa menepati psike watak-wataknya, tidak dibuat sembarangan. Memang lambat perjalanan ceritanya tetapi itulah hasrat Anuar. Dia sengaja menghasilkan karya yang dapat menterjemahkan teori filemnya. menonton versi asalnya seperti mengikuti kuliah filem, walaupun saya tidak mengambil subjek filem dengannya dahulu.

Kita tidak mungkin memperoleh kesan dramatik Quentin Tarantino tetapi terasa aura Martin Scorsese. Lakonan gaya Stanilavski membentuk dunia manusia yang berperang antara moral dengan perjuangan rimba.

Johnny dan Mastiar hanya sebahagian daripada manusianya kerana ada watak lain yang tidak hadir begitu sahaja tanpa gejala psikologi yang rencam dan rumit. Wong Sip Nem juga muncul dengan kejituan karakter ketua samseng Cina, begitu juga M. Amin yang memegang peranan Sharif Sutero yang tersepit dalam perang yang membahagiakannya. Anuar dapat membongkar kekuatan karakter setiap pelakonnya walaupu dalam filem lain mereka berada pada tahap mediocrity.

Saya ketepikan kekurangan realm dramatik dalam adegan pertarungan atau tembak-menembak kerana bagi Anuar Nor Arai, itu disengajakan bagi memenuhi ruang estetik. Dia yang sering menayangkan filem Bicycle Thief dan Battleship of Potemkin dan sering memperkatakan gaya filem Roshomon (Akira Kurosawa) dalam filem Semerah Padi (arahan P Ramlee) kepada pelajarnya dahulu sangat menyenangi filem artistik dan kegelapan psikologi manusia yang penuh rahsia. Dia tidak bermain dengan jenaka murahan atau aksi remeh mahupun dialog hambar. Dialog sangat selektif sehingga mendera penonton untuk menunggu patah-patah kata daripada mulut pelakon. Kegelapan menjadi ruang permainan watak yang disarati gejala psikologikal sehingga waktu siang menjadi sesuatu yang amat ditunggu-tunggu.

Malam dan hujan ialah bahasa seluloid yang membentuk simbolsisme. Terlalu jenuh waktu malam membawa naratif ke segenap sudut psike watak-wataknya sehingga yang gelap itu menjadi waktu terang sebenarnya. Dalam gelap terpamer segala wajah manusia yang resah dan ambivalence. Masing-masing mahu menutup pandangan daripada melihat realiti dan wajah sendiri seolah-olah enggan menerima hakikat kehidupan, tetapi dalam masa yang sama mahu menguasai realiti. Demikianlah simboliknya aksi kecil Johnny yang sering membungkus diri di dalam selimutnya sewaktu tidur. Dia tidak mahu menghadapi realiti yang menyeksa batinnya lalu membawa diri ke dalam kegelapan. Dia bersembunyi dalam ketakutannya.

Hujan menjadi simbol antitesis kepada bahang kehidupan di kota kosmopolitan. Mencurah-curah hujan menimpa watak-wataknya yang tidak pun cuba melarikan diri daripada timpaan yang deras itu. Mereka merelakan diri basah dan kedinginan tanpa sedikit pun petanda bahawa hujan itu sesuatu yang perlu dielakkan. Dalam hujan Mastiar dan Johnny bertarung dan diselingi tawa pura-pura Mastiar.

Manusia dalam dunia noir ini cuba menyembunyikan ketakutan dengan perlakuan yang pura-pura. Mastiar sentiasa ketawa walaupun ketika bertarung dengan Johnny. Malah dia tidak pernah menunjukkan kemarahan dalam nada yang konvensional. Tawanya adalah seperti selimut yang menutupi ketakutan Johnny pada cahaya. Dengan ketawa pada setiap detik, Mastiar sebenarnya menyembunyikan ketakutannya.

Banyak lagi simbol dan perlakuan simbolik yang dapat ditafsirkan secara semiologi dalam teks ini. Kajian lebih ilmiah dan teoretikal perlu diteruskan oleh sesiapa yang mahu membedah teks yang tebal dengan ikon, indeks dan simbol ini untuk mencari makna dalam jurang yang seperti abyss di Atlantik ini.

Filem ini perlu ditayangkan kepada umum dengan suntingan baharu supaya mood dan sequence ceritanya padu dan wujud flowness yang indah. Oleh itu, Universiti Malaya perlu berani mengeluarkan modal sekali lagi untuk membuat suntingan baharu. Sebaik-baiknya biarlah kerja penyuntinan dilakukan oleh Mior Hashim Manap kerana Mior sudah sering menemani kembara seni Anuar. Skor muziknya juga perlu digubah semula bagi menyerasikannya dengan karakter-karakter yang tepu emosi itu.