Monday, April 19, 2010

Pertemuan Meja Bulat Memartabatkan bahasa Melayu

Pada 27 April ini saya mungkin akan menyertai pertemuan meja bulat memartabatkan bahasa Melayu anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran. Saya mewakili PENA bersama Dato Baha, SM Zakir, Dr Ahmad Razali, Shamsudin Othman. Jemputan lain pun saya lihat panjang senarainya, termasuk nama yang menimbulkan keanehan: SN Shahnon Ahmad dan Abdullah Hussain. Sedarkah pihak penganjur bahawa kedua-dua SN itu sudah uzur dan tidak mungkin menyertai persidangan eksklusif itu? Atau mereka memang tidak mengambil tahu tentang persekitaran bahasa kita? Mentaliti apakah yang berkapuk dalam kepala mereka? Maknanya, kalau boleh saya tafsirkan begini: pekerja itu tidak peduli dan sangat jahil akan perkembangan semasa, dan janganlah kita mengharapkan mereka mempunyai idealisme untuk memartabatkan bahasa selain bekerja makan gaji.

Saya akan cuba hadir walaupun tahu tidak mungkin kami dapat bersuara dalam pertemuan meja yang begitu besar dan disertai tokoh-tokoh veteran yang "pandai" bercakap itu. Kalau ada teman hendak memberikan idea untuk kami sampaikan dalam pertemuan itu, silalah berbuat demikian dengan segera. Boleh juga diemelkan kepada saleeh@um.edu.my. Saya akan cuba menyediakan catatan bertulis untuk disampaikan kepada pihak yang berkenaan walaupun besar prasangka saya bahawa kertas itu akan difailkan "untuk tindakan selanjutnya" dan tidak dibuka-buka lagi. Penyediaan catatan bertulis ini saya pelajari daripda Dato' Baharuddin Zainal. Beliau sentiasa yakin bahawa kalau kita hanya bercakap, sesampainya pihak yang mendengar di garis pintu, percakapan kita akan dilupai dan dilupakan. Oleh itu, dengan adanya kertas, lambatlah sikit kehilangan itu berlaku, sekian adanya.

3 comments:

NIZAM MAT SAARI said...

Luka parah akibat PPSMI masih belum sembuh. Titik.

Setiap kali menghadiri pertemuan dan persidangan meja bulat dan segi empat, dan topik perbincangannya tentang Melayu, Melayu, Melayu, cukup menyampah apabila "mereka yang ada-ada [mengada-ngada]" bersembang dan memberi pendapat dalam bahasa Inggeris dengan bangga dan bongkak.

Ada juga yang menggunakan bahasa Melayu bercampur-campur dengan bahasa Inggeris ketika mengemukakan pendapat tentang Melayu, Melayu, Melayu.

Itu Melayu apa?

NIZAM MAT SAARI said...

Saya cukup yakin dan percaya sudah banyak cadangan untuk memartabatkan bahasa Melayu telah dikemukakan oleh ramai orang.

Saya juga yakin dan percaya semua cadangan itu bernas-bernas belaka.

Di sini, apa yang ingin saya sebutkan mungkin perlu adanya DESAKAN supaya apa sahaja yang dicadangkan itu dilaksanakan dan tidak sahaja dilupakan di sempadan muka pintu sahaja.

Desak mereka gunakan apa sahaja kemampuan yang ada: politik/kuasa, wang...

MARSLI N.O said...

Sdr Saleeh: Kalau setuju menerima sebagai salah satu catatan untuk disampaikan, di bawah adalah apa yang ingin saya mohon Sdr tolong sampaikan kepada mereka:

1. Memohon dan merayu siapa sahaja yang menjadi pemimpin agar segera menghentikan segala sandiwara atas nama bahasa Melayu.

2. Apa yang sudah jelas termaktub di dalam perlembagaan jangan diperkotak-katikkan lagi, semata kerana kepentingan politik kepartian dan peribadi atau kata lebih jelasnya, demi mengekalkan kerusi.

Demikianlah dan sekadarnya.

MARSLI N.O