Monday, December 13, 2010

Yang Meratap dan Yang Kaya

Lutfi Ishak dalam blognya membalas kenyataan "sinikal" Puan Ainon tentang Dialog Orang Muda (DOM) di Rumah PENA. Sama ada meratap atau tidak para panel dan khalayak yang datang ke majlis DOM tidaklah saya pedulikan sangat kerana perkataan "meratap" itu mengandungi unsur tafsiran lantaran sifatnya yang konotatif. Yang ingin saya sentuh ialah soal kekayaan sesetengah penulis yang menulis cereka popular hingga mereka tidak termasuk dalam golongan "meratap" itu. Memang sudah wajar sangat penulis yang kaya itu menyimpan sahaja ratapan mereka kerana semua perlakuan itu tidak relevan lagi dengan hidup mereka. Kalau mereka yang kaya itu pun meratap, tentulah akan timbul pula kenyataan bahawa mereka tidak tahu bersyukur. Golongan itu perlu dibiarkan sahaja mengisi relung-relung yang dahaga akan karya mudah dan simplistik. Memang dunia besar atau kecil sekarang dikuasai oleh konsumerisme lalu intelektualisme terpinggir daripada perkiraaan pasaran. Jika penulis yang memenuhi konsumerisme sudah kaya raya, penulis yang mementingkan intelektualiti tidak boleh dianggap meratap apabila mereka memperkatakan situasi yang menekan intelektualisme. Jika golongan ini tidak bersuara, siapakah yang akan menjadi pembimbing masyarakat untuk memilih nilai kecendekiaan? Biarlah golongan ini terpinggir, marginal,dan miskin asalkan mereka kaya dengan pemikiran dan besar dengan harapan. Inilah golongan yang akan diingati dan tercatat dalam peradabanbangsa.
Untuk makluman, saya tidak mengelompokkan penulis yang berjaya dengan hasilkarya mereka itu sebagai penulis sampah. Mereka juga penyumbang kepada penyebaran maklumat dan moral walaupun tidak termasuk dalam lingkaran ilmu. Maka, yang perlu kita pertimbangkan ialah sama adakita menyebarkan maklumat atau ilmu? Kedua-duanya ada manfaat. Tidak perlu kita memusuhi mana-mana golongan tetapi jangan sampai kita menghina golongan yang kecil tetapi besar pemikirannya.

8 comments:

Anonymous said...

Ruang yang berbeza. Itu yang saya fahami dalam dunia penulisan. Mengapa mahu menidakkan peranan dan keberadaan penulis yang berlainan perjuangan?

Berjuang dan bekerja ialah dua hal yang berbeza.

Ada orang suka bekerja, maka kerja sahajalah. Ada orang suka berjuang, biar sahaja dia dengan perjuangannya.

Ia tidak manis untuk dunia penulisan yang tidak besar mana.

Terima kasih menuliskan hal ini. Saya setuju dan mengiyakannya.

Anonymous said...

Mana mungkin kita mengajak orang menjual epal walaupun perniagaan epal kita maju. Ada orang sekadar mahu menanam dan membaja. Mahu berteduh di bawah pepohon epal yang rendang. Hanya sekali sekala menikmati epalnya yang ranum buat menambah tenaga.

Menanam epal dan menjual epal, kadang dua hal yang berbeza.

Seperti bekerja dan berjuang.

Mengapa mahu dicantas penanam epal hanya kerana dia tidak mahu menjual epalnya?

mkriza said...

Salam tuan guru.

Bagi saya, sama ada berlandaskan konsumerisme atau intelektualisme, kedua-keduanya memainkan peranan yang sama, walaupun ruangnya berbeza.
Mungkin golongan intelektualisme patut belajar sesuatu agar karya mereka dapat sampai kepada audien yang berbeza (mungkin audien yang lebih berminat akan karya yang mudah). Dan seterusnya ilmu golongan intelektual ini dapat disebarluaskan.

Anonymous said...

Bagi saya pula, setiap bahan bacaan ada tahap tertentu. Dalam dunia perbukuan dan penerbitan, hal itu jelas. Maka mereka akan menyediakan bahan bacaan mengikut tahap.

Tahap awal untuk kanak-kanak mengenal ABC. Tahap kedua untuk kanak-kanak minat membaca. Kemudian, tahap seterusnya untuk mempelbagaikan bahan bacaan untuk kanak-kanak terus membaca sehingga usia remaja. Bahasa yang digunakan sedari mudah kepada sukar.

Tahap seterusnya, iaitu tahap dewasa, penerbit harus sediakan buku yang bersesuaian dari aspek bahasa dan isi kandungannya.

Saya tidak fikir sastera itu sukar dimengerti. Sastera itu juga ada tahapnya. Tahap mudah kepada sukar meliputi bahasa dan isi kandungan sesebuah buku atau karya.

Jadi, mengapa mesti ada yang memperlekeh kesusasteraan hanya kerana ia tidak terjual? Sejauh mana pula perkiraan tidak terjual itu?

Adakah ia benar-benar buku sastera atau buku popular yang isi kandungannya tidak menepati pasaran?

Sampai bila pula mahu memanjakan pembaca dengan bahasa tahap satu sedangkan pembaca itu sudah berada pada tahap 10?

untuk penerbit buku dan penggiat sastera, masing-masing ada sasaran tersendiri. Fokus kepada sasaran dan bukan sebaliknya.

Anonymous said...

Izinkan saya kopi saya punya komen di blog M Lutfi. Saya kira tak ada apa2 masalah pun, hanya salah faham dan sentimen. Tidak semua penulis dewasa walaupun mereka mungkin "intelektual". Think positive, man!

Saya bersimpati dengan sdr. M Lutfi yang tersinggung dengan komen Ainon Mohd., peniaga dan penerbit buku yang berjaya itu. Mesti faham, bila orang banyak wang dan rasa dia ada pengaruh sedikit, biasalah jika dia agak sombong mengata orang. Tetapi Puan ini nampaknya jujur, nak bantu persatuan penulis supaya tidak terus khayal. PENA ada penulis handalan, syarikat Puan ini pula sudah jadi syarikat berjaya. Mengapa kedua-duanya tidak boleh berkongsi kejayaan masing2? PENA perlu dewasa, tidak macam budak2 sekolah, lekas tersinggung. Ajak Puan yang sudah berjaya itu bekerjasama. PENA sediakan orangnya untuk menulis, Ainon pula terbitkan jika boleh buat duit. Kalau tak sesuai, PENA tak boleh merajuk. Cuba lagi. Kalau dua2 sudah serasi, berjaya, tibalah masa PENA buka satu akaun khas Tabung Sasterawan, khusus untuk bantu sasterawan yang benar2 meratap kerana sakit dsb. Sekarang bukan zaman berkelahi dan lekas rasa tersinggung. Sekarang zaman orang boleh kerjasama. Ayuh, PENA, bangun dari khayalan anda dan sambut cabaran Puan Ainon yang memang pemurah dengan penulis yang boleh bawa wang kepada syarikatnya. Apa salahnya buat wang sambil berjasa kepada penulis? Think positive, man!!

lutfi said...

Salam.

Sdr. dr Ariff Budiman; Saya rasa tidak timbul soal mahu belajar atau tidak. PENA dan DOM sendiri sedia menerima kritikan yang membina. Kerana itu, saya hanya minta orang yang memberikan kritikan, bersikap objektif. Sebabnya, jika tidak objektif, ia menimbulkan pelbagai teka-teka. Perbuatan yang subjektif, akan menimbulkan pelbagai tafsiran, yang mungkin betul, dan mungkin juga salah. Akibatnya, terdedah kepada spekulasi yang akan menimbulkan pelbagai fitnah. Itu isunya saya kira.

Penggunaan kata ratapan saya rasa tidak berpatutan. Malah tidak tepat sebab tidak ada orang yang meratap lagi dalam DOM, itu kebenarannya. Mungkin anda sendiri boleh merujuk dalam Kamus Dewan, apa maksudnya dengan ratapan. Hal ini bertentangan dengan PENA - yang bukan ditubuhkan untuk sasterawan meratap. Sebab itu, saya lebih mentafsirkan kata ratapan itu sebagai satu 'penghinaan'.

Soal konsumerisme ialah satu isu yang besar. Ia ialah satu sistem yang membentuk kehidupan, dari seorang individu sehingga sebuah negara dan dunia. Konsumerisme boleh sahaja memberikan kesan yang positif atau negatif. Jika ada masa, insya-Allah, saya akan menulis hal ini dalam ruang yang lain.

MARSLI N.O said...

Sdr Mat Saleh Ydh: Saya sangat suka dan bersetuju dengan catatan Sdr yang ini: "Tidak perlu kita memusuhi mana-mana golongan tetapi jangan sampai kita menghina golongan yang kecil tetapi besar pemikirannya"

Alangkah baiknya andai yang kaya atau berasa sudah kaya, berilmu atau berasa sangat berilmu, tidak bersikap menghina terhadap yang sebaliknya. Tetapi kan, itu hanyalah alangkah.

Maaf juga hendak disebut, rasa hendak muntah bila terkesan dan nampak sangat ada yang menjadi pembodek serta penjilat seseorang yang lain dalam isu begini.

Saya pun tidak pernah memusuhi sesiapa yang kaya, tetapi mengalami sendiri perbuatan mereka, sangatlah berasa cuba diperhinakan.

MARSLI N.O

Norziati Mohd Rosman said...

Sudut pandang yang berbeza, pilihan juga tak sama. Cuma janganlah memijak orang lain sewaktu menuju ke puncak.

Setuju untuk tidak bersetuju dan saling menghormati (bak kata Wardah)bukankah lebih menenangkan?