Monday, July 16, 2012

Memorandum Pena kepada TS Muhyiddin Yassin

Memorandum kepada
Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin,
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia

Daripada
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

Tarikh: 28 Jun 2012
Tempat: Dewan Bahasa dan Pustaka

Pendahuluan

Pembentukan sebuah negara bangsa tidak hanya memerlukan pembangunan ekonomi dan kemajuan fizikal, tetapi yang lebih penting ialah pembangunan jati diri, semangat patriotisme dan nasionalisme. Tumpuan kepada kebudayaan untuk dijadikan alat pembinaan negara bangsa sejajar dengan saranan Malek Bennnabi: budaya merupakan belajar untuk hidup secara bertamadun; ertinya kita menggunakan semua kekuatan kejiwaan dan pemikiran serta kebolehan dalam unsur diri manusia mengikut suara hati kita. Daripada kebudayaan manusia membina jaringan sosialnya, dan dalam masa yang sama, jaringan sosial membina kebudayaan. Hasil daripada itulah terbinanya peradaban apabila hubungan atau jaringan sosial yang diikat oleh kebudayaan bersama menghasilkan produk peradaban demi memenuhi tuntutan kehidupan.

Dalam konteks Malaysia, perpaduan kaum perlu digembleng dengan cara merumuskan satu wadah bernilai sepunya. Tanpa kefahaman dan rasa kekitaan antara kaum yang masing-masing telah memiliki rasa bangga terhadap kebudayaannya sendiri, perpecahan dan pergeseran sangat mudah berlaku disebabkan perspektif dan kepentingan kaum yang berbeza. Sekiranya perpecahan berlaku, binaan satu peradaban yang khusus bagi negara ini akan runtuh. Malek Bennabi menegaskan bahawa hubungan sosial merupakan aset penting untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan masyarakat serta menjaga sifatnya di samping berfungsi untuk menyusun tadbir tenaga hayat masyarakat bagi membolehkan mereka menjalankan tindakan bersama dalam sejarah.

Satu alat kebudayaan yang dapat merapatkan pelbagai kaum ialah bahasa. Sudah termeterai dalam Perlembagaan Persekutuan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, dan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan kedudukan bahasa Melayu tertegak kukuh. Oleh itu, sebarang tuntutan untuk mengubah persefahaman yang bersifat undang-undang ini perlu ditanggapi sebagai usaha untuk memecahkan perpaduan yang sedang dibina, atau sebagai kaedah halus untuk menakluki seluruh sendi kehidupan di negara ini. Dengan leburnya bahasa Melayu atau terpinggirnya dalam sistem pendidikan akibat daripada tuntutan untuk melaksanakan sistem sekolah dua aliran akan mengakibatkan kemusnahan bangsa Melayu sebagai pemegang hak ke atas negara ini.

Menyedari bahaya itu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) meminta jaminan dan ketegasan kerajaan untuk memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Penegasan ini perlu dilaksanakan dengan beberapa kaedah:

1. Menyegerakan pemansuhan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tanpa tunduk kepada desakan pihak yang mahukan PPSMI dikekalkan.  Di samping itu, tanpa mengetepikan kepentingan bahasa Inggeris, kami menyokong usaha YAB Tan Sri selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran memperkemas MBMMBI. Tindakan serampang dua mata inilah yang dapat menyelesaikan pertikaian PPSMI dan mengembalikan kepercayaan kaum penulis, ilmuwan, dan budayawan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional, terutama untuk mengikis anggapan bahawa pemimpin negara telah bertindak sangat autoritarian walaupun dalam hal yang menyangkut kehidupan berjuta-juta pelajar dan ibu bapa, dan maruah bahasa serta tamadun Melayu itu sendiri.

2. Mengekalkan sistem persekolahan satu aliran, iaitu beraliran bahasa Melayu dan menolak tuntutan mengadakan sekolah dua aliran. Kewujudan sekolah dua aliran akan menyebabkan bahasa Melayu terpinggir kerana masyarakat yang berkemampuan dan memegang tampuk ekonomi akan menggunakan sekolah beraliran Inggeris manakala masyarakat tidak berkemampuan kekal dengan keterpinggirannya di sekolah aliran Melayu. Akhirnya, bukan sahaja bahasa, malahan bangsa Melayu pun akan tenggelam dalam arus besar bahasa Inggeris yang mempunyai nilai ekonomi.

3. Memandangkan bahasa mempunyai kaitan yang rapat dengan kesusasteraan, dan perkembangan bahasa dapat dijanakan melalui karya kesusasteraan, subjek kesusasteraan Melayu perlu diperluas penawarannya di sekolah, sama ada di sekolah rendah mahupun menengah dan IPTA. Pada tempat yang munasabah, penggunaan karya sastera Melayu perlu diwajibkan. Jika sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil dan Cina telah menggunakan karya sastera mereka dalam kurikulumnya kenapa sastera Melayu dinafikan haknya?

4. Kerajaan juga perlu menolak tuntutan pihak tertentu supaya hanya guru Cina boleh mengajarkan bahasa melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina. Tuntutan tersebut cenderung bersifat perkauman dan bertujuan menghilangkan peranan guru Melayu di sekolah jenis itu.

5. Di samping itu, dalam jangka panjang, strategi memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu perlu disegandingkan kerana kedua-dua berhubungan secara simbiotik. Oleh itu, perhatian wajar diberikan kepada penyuburan dan pemuliharaan korpus tentang bahasa dan persuratan Melayu. Bagi tujuan tersebut, kerajaan perlu meningkatkan taraf Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi pusat dokumentasi rujukan terbesar di dunia untuk merumahkan:

i) Semua terbitan/karya lisan atau tulisan berbahasa Melayu yang terbit di Malaysia dan di dunia;
ii) Semua tulisan dalam bahasa asing yang membicarakan tentang bahasa dan persuratan Melayu;
iii) Semua terjemahan terhadap tulisan dalam bahasa Melayu yang diterjemah dlm bahasa-bahasa asing. [BM termasuk Bahasa Melayu Brunei dan Bahasa Indonesia; Perpustakaan Nasional Jerman di Frankfurt dan Munich mengumpulkan semua khazanah dalam bahasa Jerman atau tentang Jerman.]

6. Kerajaan menubuhkan suatu Majlis Bahasa dan Persuratan Nasional yang menjadi badan kehormat tertinggi yang memberi pandangan serta nasihat tentang arah perkembangan bahasa kebangsaan dan persuratannya. Mereka bertanggungjawab memastikan kedudukan bahasa dan kesusasteraan kebangsaan sentiasa terpelihara dan tersebar dalam kalangan masyarakat berbilang kaum bagi tujuan meneguhkan ideologi perpaduan kebangsaan. Dalam majlis itu juga wajar ditubuhkan sebuah tribunal khas yang menjaga kebajikan sasterawan atau penulis memandangkan nasib mereka selama ini sering diperkotak-katikkan oleh penerbit kapitalis, terutama dalam soal hak cipta.

7. Kerajaan memperuntukkan dana awal sekurang-kurangnya RM10 juta sebagai bantuan permulaan bagi menerbitkan jurnal ilmiah/saintiifik dalam bahasa Melayu tentang sastera/kemanusiaan dan sains kemasyarakatan; terbit dua kali setahun yang anggota editorialnya terdiri daripada ilmuwan/akademik berwibawa dari dalam dan luar negara.

Semoga pandangan yang menyebelahi bahasa Melayu diterima dengan tidak berbelah bahagi. Pandangan ini selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tonggak pentadbiran, perundangan, dan pendidikan di negara ini. Insya-Allah, Allah memberkati usaha kita untuk mewujudkan perpaduan dan mengekalkan bangsa Melayu sebagai pemegang hak di negara ini.

Wassalam

Dr Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

No comments: