Sunday, September 4, 2016

UCAPAN PRESIDEN PENA DALAM MESYUARAT AGUNG PENA KE-53 4 SEPTEMBER 2016

UCAPAN PRESIDEN PERSATUAN PENULIS NASIONAL MALAYSIA (PENA)
MOHAMAD SALEEH RAHAMAD DALAM MESYUARAT AGUNG PENA KE-53,
4 SEPTEMBER 2016,
DI RUMAH PENA,
JAM 11:00 PAGI
Bismillahirrahmanirrahim
Assamualaikum warahmatullahi wabarokatuh
Alhamdulillah, marilah kita mensyukuri nikmat dan kesempatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT sehingga pada pagi ini kita dapat berkumpul, beramah mesra, memperkukuh jalinan ukhwah dan seterusnya melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli untuk mengadakan mesyuarat agung PENA yang ke-53.

Sudah 56 tahun PENA hidup dalam gelombang yang pelbagai rentak, dalam musim yang rencam cuaca. Walaupun pelbagai cabaran dihadapi, PENA masih dapat bernafas sehingga kini. Dan yang lebih penting, PENA hidup dengan kecergasannya, bukan sekadar bernafas seperti orang tidur.
Benar, banyak juga sungutan dan cadangan daripada ahli mahupun masyarakat luar agar PENA menjadi lebih aktif, lebih berani bertindak dalam isu-isu yang melingkari soal kebudayaan. Benarlah kata mereka bahawa PENA tidak seberani harapan mereka; jika tidak tentulah mereka tidak bersuara.
Saya tidak berhasrat menafikan semua kritikan yang tulus mulus itu kerana mereka berhak memperkatakan apa-apa sahaja. Justeru kamilah yang membarisi jawatankuasa tertinggi ini harus bertanggungjawab agar permintaan orang lain itu dapat dipenuhi.
Namun demikian, , saya yakin, dan inilah keyakinan saya selama ini: sekiranya, kedua-dua pihak saling memberi dan menerima nescaya akan berlaku suatu proses simbiosis yang harmoni. Nescaya PENA akan lebih kuat, mampu beraksi di pentas masyarakat, bukan sekadar bercakap dan berjanji itu ini. Tiada gunanya kita berjanji dengan sederetan perkara tetapi pada akhirnya tiada satu pun dapat dilunasi.
Begitu juga tiada gunanya pihak di luar hanya bersuara menuntut PENA melakukan semua perkara tetapi dalam masa yang sama tidak turut membantu. Seyogia difahami bahawa zaman sudah berubah. Kegigihan orang terdahulu dalam menghidupkan persatuan sudah tidak sama dengan generasi kini. Generasi sekarang hidup dalam perlumbaan: berlumba dengan waktu yang semakin sempit; berlumba dengan kerja yang semakin menimbun; berlumba dengan kos hidup yang semakin menghimpit. Oleh itu, kita hanya dapat menerima seadanya. Masing-masing ada tugas yang mesti dilunasi: tugas kepada keluarga, kepada kerjaya, kepada profesion, dan kepada minat masing-masing.

Dengan himpitan yang sebegitu keras, saya sebagai ketua dalam rumah tangga PENA ini bersedia memikul beban kritikan daripada pihak luar. Sebagaimana yang terpampang di depan tuan puan sekalian, inilah yang dapat kami laksanakan. Jika pemberian kami ini tidak sempurna dan dianggap merosakkan legasi kehebatan PENA, tuan puan mempunyai kuasa untuk mengubahnya dalam mesyuarat kali ini.
Ini tidak pula bermakna saya menyalahkan Ahli jawatankuasa yang sedia ada; malahan saya lebih senang untuk menjadi pemikul beban ini secara bersendirian.

Tuan puan yang dihormati,
Sejak PENA ditubuhkan dalam tahun 1961 pelbagai cabaran dan ujian telah dilalui, dan para pendirinya sentiasa berada di depan untuk menjadi pengemuka cadangan dan pandangan, malahan ejen bertindak yang proaktif dan reaktif. Dalam sejarah kehidupan PENA ramai sekali penulis yang ternama, yang membawa aliran pemikiran besar, idealistik, pragmatik telah memberikan sumbangan mereka.

Daripada Usman Awang sebagai pemimpin yang pertama, dan seterusnya disambung oleh tokoh-tokoh besar seperti Hassan Ahmad, Abu Bakar Hamid, Hassan Ibrahim, Mohd. Nor Azam, Adam Kadir, Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala, Anwar Ridhwan, Yahya Ismail, Maarof Saad, Ahmad Sebi Abu Bakar, dan Baharuddin Zainal, PENA tampil sebagai peneraju aktiviti dan idea di peringkat kebangsaan. Nama PENA begitu penting dan sentiasa dipentingkan oleh masyarakat untuk bertindak sebagai pendahulu dalam sebarang isu nasional. Mereka telah memberikan tapak yang kukuh untuk PENA berdiri teguh. Tetapi dalam masa yang mereka meninggalkan legasi kewibawaan dan keberanian yang luar biasa. Baharuddin Zainal misalnya sehingga kini tidak pernah surut semangatnya memperjuangkan kedudukan bahasa di negara ini. Beliau juga memberikan perhatian kepada aspek kebudayaan yang sentiasa diancam kepupusan.

Ini tentu sahaja menjadi beban yang berat untuk digalas oleh sesiapa sahaja yang memimpin PENA. Tetapi ini juga cabaran yang sangat baik untuk menjadi pendorong dan pencetus semangat kepada pewaris kepemimpinannya dalam proses membentuk peribadi kepemimpinan sendiri. Tidak mungkin seorang pemimpin dapat menjadi besar tanpa diuji dan sedia menempuh ujian yang hebat.
Tetapi saya sehingga saat ini tidak mampu mewarisi kehebatan mereka dan sering gagal menempuh ujian dan cabaran kepemimpinan. Cuma yang dapat saya katakan, saya semakin kenal akan kemampuan diri, bahawa keupayaan saya tidak standing dengan mereka.

Tuan puan yang budiman,
Meninjau perjuangan PENA dan tokohnya yang terdahulu dan kini, tidak dapat kita melupakan intipatinya yang juga perlu menjadi pasak perjuangan, iaitu kedudukan bahasa intelektual bangsa yang terakan dalam peninggalan seni mereka. Dalam masa yang dekat selain isu bahasa yang terus-menerus menjadi perdebatan, hal yang berkaitan dengan kerja seni turut menuntut perjuangan. Isu perobohan arca Puncak Purnama karya Syed Ahmad Jamal misalnya memperlihatkan bahawa masih banyak yang belum beres dalam pemikiran pembangunan di negara ini. Biarpun ada alasan yang diberikan bahawa perobohan itu diwajarkan oleh banyak sebab, sikap memandang remeh terhadap peninggalan kesenian merupakan bibit bencana terhadap peradaban bangsa. Pemikir kebudayaan di negara ini terus-menerus dibayangi kepentingan politik dan ekonomi. Kapitalisme kontang budaya menyebabkan jurang di antara pembangunan dengan kebudayaan terus melebar dan semakin dalam.

Dalam masa yang sama, kedudukan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi di negara yang seharusnya menjadi asas dalam setiap agenda, terus dipermainkan. Pelbagai alasan dapat diberikan bagi mewajarkan sebarang tindakan yang sudah dikecam oleh nasionalis budaya tetapi alasan itu juga mempunyai kelemahan yang tidak sukar dipatahkan. Tetapi akhirnya yang berkuasa ialah oknum politik.

PENA tidak berhasrat memasuki kancah politik dan akan kekal sebagai non-partisan body, tetapi ini tidak bermakna PENA memejamkan mata terhadap sebarang kecelaruan yang berlaku disebabkan oleh ahli politik. Oleh itu, sebarang tindakan yang mungkin menyentuh keputusan politikal tidak seharusnya dipandang sebagai kesendengan politik. PENA hanya bertindak dalam kapasitinya sebagai pemikir dan pejuang kebudayaan. Mana mungkin sesuatu perkara yang melibatkan pembinaan negara bangsa ini tidak menyentuh dunia politik.

Umpamanya, jika PENA tekal menentang cucu cicit PPSMI yang terjelma dalam tubuh baharu, iaitu Dual Language Programme (DLP), itu bukan tindakan political. Itu merupakan perjuangan negara bangsa yang hendak kita hasratkan terbina di negara ini.

Dalam soal DLP, biarpun tentangan yang berasaskan hujah akademik yang objektif diberikan, pelaksanaannya terus berlaku, malahan bertambah hebat dengan jumlah sasaran sekolah yang hendak dijadikan medan pelaksanaan semakin dipertingkatkan. Entah apakah mantera yang digunakan oleh para penghasut DLP, maka kuasa kata mereka semakin menjadi keramat. Permintaan mereka tidak lagi ditapis dengan pemikiran yang jernih. Akhirnya, kita yang berjuang mempertahankan agenda negara bangsa dengan asas bahasa dipandang sebagai perosak pembangunan. 

Dalam soal ini, kita seharusnya mengakui kelemahan sendiri, bukan hanya menimpakan kritikan terhadap pihak yang bertentangan. Perpaduan sesama kita dalam lingkaran nasionalisme budaya tidak kuat, strategi kita tidak tersusun kemas, dan kesungguhan kita tidak kekal lama. Tindakan konkrit gagal kita laksanakan berbanding dengan pihak antagonis. Dalam masa mereka merencanakan sesuatu agenda secara rahsia dan tersusun kemas, kita pula lebih banyak bercakap dan berbual sesama sendiri tanpa usaha yang konkrit. Inilah kelemahan kita apabila terlalu banyak kelompok bergerak tanpa kesatuan dalam satu wadah.

Kita tidak boleh menyalahkan pihak lain yang semakin berjaya membina imej mereka sebagai kumpulan yang berkuasa dari segi material dan kuasa tawar-menawar (bargaining power) dengan pihak pemerintah. Kita seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana tidak mempunyai kesungguhan dan perencanaan yang sistematik untuk membina imej hebat itu. Jika pihak lain berjaya membina bangunan mercu tanda yang gah dan berjaya membangunkan sistem persekolahan yang kondusif, kita tidak boleh hanya memandang dengan rasa cemburu dan kedengkian. Kita seharusnya melakukan introspeksi diri, melihat kelemahan sendiri. 

Sehingga kini kita masih tercari-cari kepemimpinan yang mampu memartabatkan bangsa. Di manakah mereka? Mari kita mulakan dengan usaha yang kecil, sesuai dengan kapasiti yang kita miliki, iaitu bersatu.
Bersatulah dalam apa-apa sahaja usaha untuk pemajuan bangsa dan persuratan tanpa prejudis. Seandainya kita tidak mampu memberikan bantuan, cukuplah dengan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi. Singkirkan sikap suka mengkritik dan memperkecil usaha pihak yang berusaha. Ini sudah cukup untuk membahagiakan pihak yang berjuang. 

Penulis khususnya perlu menjadi ejen pembina negara bangsa. Kini peranan penulis tidak lagi terbatas pada wadah bercetak tetapi sudah melebar ke dalam media baru atau media sosial. Sempadan wilayah semakin lebur, dan semua orang bebas memberikan pandangannya. Berikan sumbangan idea tuan puan untuk membina peribadi bangsa dan jati diri yang teguh dengan kepakaran masing-masing memanipulasi bahasa.

Tuan puan yang dikasihi,
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat yang telah memberikan sokongan kepada sebarang usaha kami selama ini. Kami gembira kerana bibit-bibit kesatuan, semangat untuk bersatu sudah tercermin dalam PENA. Ahli dan bukan ahli pun telah memberikan sokongan padu kepada program yang kami laksanakan. Ini suatu anugerah yang tidak ternilai harganya.

Di samping itu, bagi pihak ahli jawatankuasa PENA 2014-2016, saya memohon maaf kepada semua ahli dan seluruh masyarakat yang sentiasa mendambakan keprihatinan PENA dalam setiap isu, sekiranya kami gagal melunasi impian tuan puan sekalian. 

Selama ini kami tidak banyak berjanji, dan bukan prinsip saya untuk berjanji itu ini. Kami bergerak mengikut keperluan semasa. Kami juga cuba untuk menjadikan PENA sebagai organisasi yang mengutamakan ilmu. Itulah sebabnya kami sentiasa menggalakkan aktiviti keilmuan dan tidak gemar menghamparkan permaidani janji. Kami tahu, janji hanya suatu fatamorgana sebelum benar-benar diwujudkan. Banyak orang yang terpesona dengan fatamorgana atau kolam maya ketika bermusafir di padang pasir tetapi akhirnya kecewa apabila mendapati itu hanya bayangan. Kami cuba mengelakkan daripada strategi memabukkan orang dengan janji kerana seperti kata pantun yang sangat menguja pemikiran:

Putik kaduk ulu telemu,
Singgah bertemu di pantai wali;
Saya tak mabuk kerana ilmu,
Mabuk saya kerana janji.

Tuan puan yang dihormati,
Cukuplah setakat ini ucapan saya. Selepas kami kami serahkan keputusan untuk memilih barisan kepemimpinan PENA yang baru kepada tuan puan. Kami di sini ibarat orang dagang menumpang lalu:

Anak enggang di kayu tinggi,
Banyak daun merentang-rentang;
Anak dagang tak lama di sini,
Sampai musim dia pulang.

Akhirnya marilah kita berjabat tangan, mengeratkan silaturrahim dalam wadah budi dan bahasa kerana kedua-dua unsur itulah yang mencerminkan keperibadian bangsa:

Pucuk manis pucuk langgudi,
Daun purut digetus rusa;
Yang manis bernama budi,
Yang indah itu bahasa.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Monday, April 18, 2016

Mari ke Laman Sastera

Sajak ini (sajak konon) saya sampaikan semasa Baca Puisi Pena-ITBM-DBP di hadapan Ketua Pengarah DBP yang baru, Tuan Haji Abdul Adziz Abas.

Mari ke Laman Sastera
Selamat datang
ke laman keras ini
di sini kita menjalin rasa
walau sesekali bertingkah nada.
kita sering mencari-cari
apakah makna diri:
memiliki harta dan pangkat
atau maruah dan martabat.
kita selalu melihat diri
pada cermin yang retak
pertimbangan pun menjadi keliru
dan pilihan menjadi buntu.
di laman ini
bukan hanya ada batuan
pohonan dan kegelapan
dengan jernih hati
dah hikmah akal
laman ini jadi cermin
untuk kita mengenal diri..
1 Mac 2016

Sunday, April 17, 2016

Janganlah Lupa Jalan Kembali

Janganlah Lupa Jalan kembali
(Dedikasi untuk Sekolah Aminuddin Baki)

Sekolah Aminuddin Baki
kudatangi lagi tempat ini
tanah budi yang menumbuhkan peribadi
rumah ilmu yang menyuburkan kemuliaan
sekali jejak ke sini 
selamanya dalam ingatan.

aku pernah di sini bersama teman
guru, pentadbir, dan tukang kebun
bergurau, bertengkar, dirotan, dan disanjung
segalanya masih hangat dalam kenangan
menghidupkan semangat 
untuk menempuh masa depan.

perpustakaan, bilik darjah, papan hijau berdebu kapur
rumpun puding, padang terbentang, lombong tinggal
ladang getah, dan embun bertakung di hujung rumput
terasa masih sejuk
membasahi kasut putih 
dan kaki celana.

apakah yang lebih manis daripada kenangan
yang berhimpun sarat dalam kecintaan
saat yang berlalu tidak akan berulang.

tapi sebaris kata guru 
masih kudengar hingga kini:
“setelah jauh kau pergi
Janganlah lupa jalan kembali.”

Sekolah Aminuddin Baki
walau jauh sudah aku merantau
melihat dunia lain dan budaya asing
sering saja aku berpulang pada diri
dan mengingati 
jalan pulang ke sini
pada ilmu yang membesarkan peribadi
pada guru yang menabur bakti.

Mohamad Saleeh Rahamad
17 April 2016

Tuesday, April 5, 2016

mari kuajar...

Mari kuajarkan cara membaca kertas kosong
Menilai makna yang tak ditunjukkan
Mari kuajarkan cara mendengar sepi
Memahami maksud yang tak disuarakan.
Kekosongan dan kesepian
menunjukkan erti:
kau tak perlu membaca dan mendengar lagi.

Tuesday, March 29, 2016

Kosong

Di depanku kekosongan
tapi kau ada.
Kehadiran tanpa rupa
lebih abadi.
Kewujudan dalam kekosongan lebih bererti dari kekosongan dalam kehadiran.

Di depanku kekosongan
tapi kau ada
untuk mendengar gurindam
yang kuhantar
tanpa suara

Monday, March 28, 2016

pada suatu detik yang tak kutahu makna waktu

Pada suatu detik yang tak ku tahu makna waktu
(Himbauan kepada Rahimidin Zahari)
Dengan apakah dapat kusampaikan 
cerita tentang kawan-kawan 
dan pesta sini sana.
Pada angin berpuput
atau sungai menghilir
Pada merpati melayang
atau helang melanglang?
Muara tak sampai ke laut
Laut tak jejak ke langit
Puisi hilang makna
Pujian pun tiada harga
Segala yang nyata 
telah sirna.
Yang tinggal hanyalah doa.

UM 29 Dis 2015

Friday, March 25, 2016

damai

damai tak pernah tua
setia menanti sang pencari
yang kelelahan 
yang kesesatan
damai tak pernah mungkir
pada usia yang mengalir
disiramnya hujan semilir
datanglah ke sini 
jika kau mahu
damai sedia menunggu.

Tuesday, March 22, 2016

Garis tua

Kataku:mengapa kau berpaling
ketika aku menatap matamu
katamu: aku tidak sanggup melihat kekecewaan
yang berapungan di matamu
tenanglah sahaja, kau sebenarnya belum 
sampai ke garis tua selagi kita belum bersama
kataku: berpalinglah ke arahku
agar dapat kulihat kejujuran dalam matamu.
(Dan kau tidak pernah berpaling ke arahku
sehingga kini.)

Saturday, March 19, 2016

Pulang

Aku pulang ke kampung menyapa rumputan menjulang,
julai rambutan melampai,
pohon sawo merendang 
dan tiang rumah yang dimamah anai-anai.
Masih terdengar tawa kami sambil berkeliaran dari laman ke laman sewaktu malam Ramadan.
Terlintas sosok mak tua upik menjengah di pintu membawa sepiring penganan.
Dan terbau rendang ayam di kuali bonda menjelang syawal (ini juadah yang kami nikmati setahun dua kali).
Tapi kepulangan kali ini tidak disambut kemanisan masa lalu selain kesepian dan kekeringan meramas kampung: pohonan rontok, dedaun kuning, telaga kontang.
Benar di sini segalanya sepi 
kering dan berdebu.
Tapi kalbuku basah 
dek rindu padamu

Friday, March 18, 2016

Penyusun Fail

Penyusun Fail
Dalam dunia birokrasi
kita diajar menyusun fail 
dan mencatat temu janji
mesyuarat mesti dihadiri
waktu bekerja jangan dilewati
GO menjadi pemerhati
SSB menentukan gaji.
Dan jangan lupa 
persetankan rasa hati.
Ini dunia birokrasi
semuanya mesti difailkan 
supaya mudah dibuka 
dan disimpan semula.
......
Aku tidak perlu kecewa
kerana tugasku 
hanya membuka dan menutup 
sebuah fail
yang mati.
Dan persetankan rasa hati.
Jabatan Pengajian Media
15 April 1998

Thursday, March 17, 2016

Ke seberang

Kalau aku pergi dulu ke seberang
Pandanglah debur air yang kutinggalkan
Jangan beralih pandang
 
sehingga bayangku menghilang.
Kutinggalkan engkau di situ
Hanya untuk sementara waktu
Pasti pada suatu saat
 
Kau juga akan berangkat.
Dan kau juga meninggalkan dermaga
Menuju ke arahku
Dengan harapan yang serupa
Kepada teman-teman
Yang belum tiba waktu keberangkatan.

Friday, March 11, 2016

Sesekali datang juga rindu ini
Pokok jambu berbuah lebat tempat aku mengutip manis 
Dangau ringkas beratap lalang
Tempat aku memaut teduh
Pangkin kayu tidak berbumbung
Tempat aku mengulit lelah
Dan tidak pernah aku bertanya semua itu milik siapa
Tidak juga menjangka
semuanya sementara.
Di kota dan di batas usia ini
Semuanya datang sesekali
Merusuh dalam hati
Tapi segalanya bayang-bayang
Tak mungkin berulang.
Ah, buat apalah dikenang
semua itu milik orang.

Wednesday, March 9, 2016

Hanya pinjaman

Semua hanya pinjaman.
Yang cantik tinggal di situ
Yang indah kekal di kalbu
Setelah kauhirup sarbat kenangan
Manisnya harap dibuang jangan
Masa yang singkat tidak berulang
Terus berlalu tak dapat dihalang
Puas melayang di atas kayangan
Tak akan terlepas tali pegangan

MSR
Hari gerhana 9 mac 2016

Wednesday, March 2, 2016

Walau kita dari benua yang berbeza
Warna dan bahasa tidak sekata
Mimpi kita masih serupa
Dan langkah kita tetap sama.
Biarpun ada nasar sedang mengintai 
Menanti bau mayat kita
Biarpun gurun masih saujana
Dan lautan bergelombang
Atau belukar merimbun
Kita berjalan terus mencari 
hamparan yang sedang menanti
sila dan sembang kita 
dalam derai tawa.

Mencari Wira

MENCARI WIRA
Berkurun kita berburu
mencari makna kata
berkurun kita keliru
mengenal makna wira:
Jebat dan Tuah 
siapa patut dipuja?

Lemas kita dilanda curiga
antara setia dengan pembela

Selamanya wira dinilai oleh masa
selamanya wira dicanai oleh kuasa
selamanya wira dijulang oleh dusta
selamanya wira dinobat oleh harta.
Akhirnya wira entah di mana
di depan kita pengkhianat bangsa.

Bangunlah dari lena khayali
segeralah keluar dari mimpi
kita kembalikan kata pada lidah
kita pulangkan pandang pada akal
kita keringkan rajuk pada tindak.

Akal tak pernah mengalah
kalau diajak bertelagah
tapi selamanya kita mematikan akal
kerana akal membijaksanakan manusia
dan si bijak tidak perlu hidup
seperti wajarnya si budak ditikam
atas bijaksananya yang mengancam.
(Ah! sejarah todak kerap sangat berulang tandang)

Marilah kita didihkan akal 
mentafsir kata dengan sempurna
--ada waktunya berontak itu keji
--ada waktunya berontak itu suci
--ada waktunya berontak itu cemar
--ada waktunya berontak itu samar

Berubah musim beralih sikap
bertukar pimpin bersalin harap
tapi pejuang tidak pernah terpuja 
tika darahnya mengucur seksa
tika matanya dicungkil buta
tika tangannya diikat waja
tika kakinya dirantai sula
dan kita mengulang keanehan
berebut menabur bunga dan pandan
di dada mereka setelah kematian.

Sesal hanya datang sekali 
tapi seksanya sepanjang hayat 
lukanya berparut berabad-abad.

Jabatan Pengajian Media
Universiti Malaya
(Dlm. GAPENA (peny.). Aksara Merdeka, Kuala lumpur: Gapeniaga, 2000)