Tuesday, April 7, 2009

belasungkawa:pantun tinggalan mak tua

Lepas satu, satu saya kehilangan manusia yang penting dalam hidup saya. Tidak lama dalam tahun ini, agaknya dalam dua tiga bulan kebelakangan saya kehilangan seorang tua yang sangat saya sayangi selain ibu bapa sendiri. Kami hanya memanggilnya Mak Tua walaupun tiada hubungan persaudaraan antara kami. Mak tua sejak saya kecil sudah wujud dalam keluarga kami. Rumahnya tidak jauh dari rumah kami dan kedekatan itu dieratkan lagi oleh kesukaran hidup. Lantaran kesukaran hidup seringlah antara kami saling meminjam apa-apa saja keperluan. Baik beras, tepung, duit dan sebagainya. Sering juga dia menghantar masakannya yang memang enak ke rumah kami dan sering juga saya ke rumahnya untuk makan apa-apa saja walaupun setelah saya dewasa dan kami sudah keluar dari peranggah kemiskinan. Saya pernah meminjam duitnya untuk membayar yuran peperiksaan STPM kali kedua kerana tidak mempunyai wang dan setelah permintaan kepada bapa tidak mendapat layanan. Dengan wang itu saya mengambil STPM sekali lagi setelah gagal memasuki universiti melalui kelulusan STPM kali pertama yang saya duduki di Sekolah Raja Chulan, Ipoh.

Mak Tua dan anak saudaranya yang tinggal bersama langsung tidak bertangguh apabila saya secara bergurau meminta pinjaman wang yang bukanlah banyak sangat. Kalau tidak silap ingatan hanya RM60. Kelulusan STPM kali kedua yang lebih baik telah membawa saya memasuki Universiti Malaya. Sampai sekarang jasa Mak Tua saya ingati.

Menjelang saat-saat akhir hayatnya Mak Tua berdepan dengan krisis keluarga dan menyebabkan dia tersingkir dari rumahnya sendiri yang telah berpindah hak. Saya tidak dapat mentafsir perkara sebenar di sebalik krisis itu tetapi yang saya tahu Mak Tua tetap akan saya kunjungi apabila saya balik kampung. Dia berpindah-pindah rumah, dari rumah anak-anaknya di Tanjung Rambutan. Jika lama saya tidak balik menjenguknya dia akan menyebut-nyebut nama saya, dan ini menyebabkan saya rasa bersalah.

Semakin terpinggir dia sewaktu maut sudah bertandang ke laman hayatnya. Dia yang sudah tenat selepas keluar dari hospital dibawa oleh anaknya ke Lawin, Gerik. Saya mendapat kesempatan yang sangat berharga apabila diizinkan Allah untuk menziarahinya. Ketika itu dia sudah seperti pelepah kelapa kering, terlantar di tilam dengan tulang selangka menonjol dipaut belulang yang juga terlalu nipis. Saya bersama keluarga dan kakak (dua orang) mengulitinya dan menyiramkan bacaan Yasin serta kuntuman doa. Saya tidak mudah meninggalkan rumah itu kerana terasa seperti bila-bila masa dia akan meninggalkan dunia fana ini. Tetapi akhirnya terpaksa juga kami berangkat pulang kerana ajal maut belum dapat kami jangka dengan setepat-tepatnya.

Keesokannya saya menerima khabar bahawa Mak Tua sudah tiada. Tidak sempat saya kembali menziarahinya tetapi puaslah hati kerana sempat memberitahunya tentang kedatangan saya sehari sebelum dia pergi. Semoga dia tenang menerima kedatangan saya dan ketibaan waktu keberangkatannya. Hilanglah antara manusia yang sangat menyayangi ibu saya. Watak Mak Tua muncul dalam cerpen elegi tentang ibu saya yang bertajuk "Mata Air Kasih" dalam antologi cerpen terbitan pelajar Jabatan Pengajian Media. Antara dialog Mak Tua dalam cerpen itu ialah pesanannya kepada kami adik-beradik supaya menjaga ibu kami dengan baik kerana "Emak kamu tak ada sedara mara."

Ibu saya sudah lebih awal dijemput Ilahi dan masih terasa hangat kasih sayangnya pada saya. Masih terasa lembut buah betisnya saya picit tatkala dia kepenatan menjelang malam setelah bekerja pada siang harinya. Ibu saya yang keseorangan dalam jalur keluarganya, kerana tidak diketahui keluarga asalnya yang berketurunan Cina, meninggal setelah 11 tahun terlantar akibat angin ahmar. Mak Tua jugalah yang banyak mengambil berat tentang ibu saya ketika sakitnya. Saya sempat menjaga ibu tetapi tidak lama kerana sukar rupa-rupanya menjaga hati semua orang. Mujurlah adik-beradik saya sanggup memikul tanggungjawab menjaga ibu. Kalau tidak, agaknya Mak Tua yang sudah renta itulah akan menyanggupinya.

Selain bakti dan kasihnya yang masih berbekas di hati, Mak Tua telah meninggalkan beberapa rangkap pantun kepada saya semasa sihatnya dulu. Dengan hafalan di lidah dia menuturkan pantun tersebut yang saya perturunkan di bawah ini. Mungkin ada manfaatnya untuk kita semua dalam mencari kecerdikan bahasa orang lama yang tidak lagi dihargai oleh manusia mabuk zaman kini.

Entah kenapa, tiba-tiba pula saya teringat pada pantun ini dan sekali gus pada penuturnya, Mak Tua.


Anak Cina apa kerjanya,
Hari-hari ke Tanjung Jati;
Walau kaya apa gunanya,
Kalau tak pandai mengambil hati.

Tinggi bukit gunung mak buah,
Keduduk tidak berbunga lagi;
sudah dapat gading bertuah,
tanduk tidak berguna lagi.


Dah bermula bersut hitam,
Yang dan Hapsah ikut bersama;
Kalau terkena penyakit pitam,
Tidur malam tentu tak lena.

Nak dulang dulanglah puan,
Ingat-ingat si batang padi;
Nak pulang pulanglah tuan,
Ingat-ingat jalan ke mari.

Teluk Katung airnya biru,
Tempat Cina mencuci muka;
Duduk sekampung lagi merindu,
Inikan pula jauh di mata.


Kelip-kelip disangka api,
Kalau api mana puntungnya;
Hilang ghaib kusangka mati,
kalau mati mana kuburnya.

Lagi ditutuh lagi di tebang,
ambil sekerat penyidai kain;
tempat jatuh lagi dikenang,
inikan pula tempat bermain.

Orang berkebun saya berkebun,
Kebun saya tidak berbunga;
Orang berpantun saya berpantun,
Pantun saya tidak berguna.

Lain hulu lain parang,
Air turun dari bukit;
Lain dulu lain sekarang,
Banyak bezanya bukan sedikit.

Dah petang hari ini,
Dah kembang bunga petola;
Dah datang surat abangku ini,
Dah datang darah ke muka.

Anak pacat dalam buluh,
Nak dilemang tak berapi;
Apa cacat dalam tubuh,
Besar panjang tak berbini.

Anak itik terkedek-kedek,
Anak ayam di bawah tangga;
Anak orang jangan diusik,
Kalau diusik bawa belanja.

Kucing kurus mandi di papan,
Mandi di papan kayu jati;
Kurus kering bukan tak makan,
Kurus bercinta dalam hati.

Kalau tuan pandai melapun,
Lapunkan kami si batang padi;
Sungguh tuan pandai berpantun,
Bagai pucuk kayu mati.

Cik Doyok makan sirih,
Sirih kemenyan dalam padi;
Buruk baik saya tak pilih,
Asal berkenan dalam hati.

10 comments:

CucuOpah said...

Tuan,

Pantun gemulah memang indah. Walaupun ringkas tetapi padat dengan nasihat. Patut tuan abadikan pantun-pantun ini dalam buku untuk tatapan ramai. Mungkin boleh juga dimuatkan dalam buku teks sekolah. Anak-anak sekarang, tidak berapa terdedah dengan pantun nasihat begini. Waima kita yang dah berusia ini, yang pernah didedah dengannya waktu sekolah dulu pun, ingat-ingat lupa dengan pantun sebegini. Ada lagi pantun sebegini yang masih terpendam dalam sanubari tuan dan tuan-puan di luar sana? Eloklah diluahkan, digabungkan dan ditekskan. Hanya satu cadangan kecil dari saya, seorang peminat dan pencinta bahasa.

Salam hormat.

CucuOpah said...

Tuan,
Kalau tidak keberatan, boleh tuan siarkan semula cerpen "Mata Air Kasih" itu?
Salam hormat.

Sham al-Johori said...

Salam pak dosen,
SM Zakir, Rahimidin Zahari, Amiruddin Ali, dan saya amat suka pantun Mak Tua yang ini;

Anak pacat dalam buluh,
Nak dilemang tak berapi;
Apa cacat dalam tubuh,
Besar panjang tak berbini.

Fuhh, power gila pantun ni...!

saleeh rahamad said...

kata saya,
biar pendek asalkan berbini.

mohamadkholid said...

indah pantun, seindah jiwanya... kenangan yang indah.

MKriza said...

Kenangan lama memang indah.

Pantun Mak Tua tu tinggi seninya. Saya suka amat.

Moga sihat selalu encik Salleh.

Dari anak muridmu.

saleeh rahamad said...

riza kena belajar pantun dan buat pantun sendiri.

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt.,

Sesekali saya singgah di blog ini,
tetapi tak pernah tinggalkan apa-apa.
Tapi bila terbaca cerita mak tua,
saya terkesan dan rasa sebak. Apatah, bila membaca pantun mak tua
yang indah.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan rohNya di tempat orang yang beriman dan solehah.

Hamir Habeed Mohd

D'Rimba said...

Diri ini masih Mencari WIra entah di mana.

saleeh rahamad said...

d'rimba
wira itu ciptaan manusia dalam imaginasi.
ideologi dihidupkan dengan mitos. begitu juga wira, hanya apabila dimitoskan baru wira lahir dalam tanggapan masyarakatnya.
untuk makluman, saya sendiri belum pernah membaca sajak mencari wira di pentas walaupun telah ramai orang lain membacanya. saya akan membacanya jika saya terasa majlis itu terlalu bererti dan sehingga kini belu ada majlis yang sebegitu bagi saya.
saya selalu rasa terhina apabila disuruh beraksi di pentas dan kemudian diturunkan pula.