Friday, July 31, 2009

seminar lagi


(Ini tasik di Gunung Lang, Jalan Kuala kangsar, Ipoh. Cantik tempatnya. Kononnya dulu banyak helang di sini makan bangkai dan mayat mangsa pembunuhan oleh tentera Jepun. entah ya entah tidak. Orang Ipoh mali punya cerita)

Teringat saya akan kata-kata Profesor Mohd Taib Osman suatu masa dulu di kantin Fakulti Sastera (dikenali dengan nama Common Room kerana fungsinya yang begitu besar dahulu): Have paper will travel. Ungkapan ini jukstaposisi kepada judul filem koboi "Have Gun Will Travel". Benar juga kata beliau itu. Maknaya kalau ada kertas kerja boleh merantau ke mana-mana.

Bagi pekerja akademik seperti saya, menjajakan kertas kerja di persidangan atau seminar adalah wajib dan termasuk dalam bidang tugas selain pengajaran, penyelidikan, penerbitan. Oleh itu, tidaklah menghairankan kalau seseorang kuli akademik sentiasa bergerak ke sana ke mari untuk membentangkan kertas kerja. Yang menghairankan ialah kuli akademik yang tidak membentangkan kertas kerja. Jadi, kalau saya ke sana ke mari bukanlah tujuannya untuk merayau tetapi untuk memenuhi KPI (ini frasa keramat sekarang).

Key performance Indicator setiap kuli akademik semakin berat sekarang. Bukan sahaja perlu menerbitkan tulisan tetapi mesti diterbitkan dalam jurnal bertaraf ISI. Ini juga ungkapan berhantu sekarang. Dulu-dulu tak timbul pun jurnal ISI. Banyak profesor dan profesor madya naik tanpa jurnal ISI. Sekarang pensyarah kanan pun diwajibkan ada terbitan dalam ISI. Untuk tidak menyesakkan fikiran, saya tidak mahu mempedulikan soal itu. Biarlah begitu peraturannya kerana kita dituani seseorang yang berotak ISI. Terimalah saja apa-apa yang diberikan kepada kita. Kalau tidak naik gaji kerana tiada terbitan dalam ISI pun terpaksalah kita terima. Masalahnya bukan senang untuk mendapat tempat dalam jurnal antarabangsa. Jurnal sastera di Malaysia janganlah sebut. Tak ada dalam senarai ISI pun. Jurnal universiti pun tak masuk senarai. Apatah lagi jurnal DBP (eh jurnal Lontar DBP sampai sekarang terlontar tak timbul2 lagi).

Saya cuma dapat memenuhi kehendak KPI membentangkan kertas kerja. Ini memang mudah dan tidak terlayan pun kerana banyak jemputan dan peluang. Saya bertumpu ke situlah. Maka pada 4-8 Ogos ini saya ke Bandung membentangkan kertas kerja dalam Seminar HISKI di Universitas Pendidikan Indonesia. Bukan nak berjalan kerana Bandung sudah saya kunjungi. Tapi kalau saya berlibur sikit adatalah orang berpetualang, ada saja ceruk yang masih tersisa.

Pada 10-11 Ogos saya insya-Allah membentangkan kertas kerja di ASWARA dalam Seminar Pendidikan Kesusasteraan. Baru hari ini saya siapkan kertas kerjanya yang bertajuk "Mendepani Krisis Keyakinan dalam Pendidikan Sastera di Malaysia". Ini pun pelawaan terjah oleh Sdr Zakaria Aripin yang tidak berdaya saya tolak. Kalau ikutkan hati tak sanggup nak terima kerana waktu semakin suntuk untuk kerja asasi saya. Tetapi jemputan kawan selalunya ada hikmah tersembunyi.

Di Bandung saya akan membentangkan kertas kerja bertajuk "Pengaruh Barat dalam Persuratan Melayu Awal di Malaysia". Saya akan membincangkan karya oksidental sejak kemunculan sastera sejarah hingga karya prosa moden tahun 30-an. Tinjauan sejarawi ini hanya bersifat deskriptif. Ini pun cebisan daripada tesis yang belum masak-masak.


Seminar di Aswara terbuka kepada umum. Terutama guru, silalah datang. Bukan untuk dengar pembentangan saya tetapi daripada tokoh lain yang berwibawa. Nak tahu lebih tanya Ridzuan Harun atau Benua Suluk (nak bersuluk pi jumpa dia).
JADUAL
SEMINAR KEBANGSAAN PENDIDIKAN KESUSASTERAAN 2009
anjuran
FAKULTI PENULISAN
AKADEMI SENI BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN (ASWARA)
Dewan Orkestra ASWARA, 10 – 11 Ogos 2009

Hari /
Tarikh

ATUR CARA

TEMPAT

PEMBENTANG / PANEL / TOKOH

MODERATOR
Isnin
10. 8. 09




8.30 pg
Pendaftaran
DO



9.30 pg

Majlis Perasmian

DO

Disempurnakan oleh YBhg. Dato’ OMAR bin AWANG (Rektor ASWARA)


Juru Acara:
Hj Mohd Faizal Musa
10.00 pg
Kudapan




10.30 pg

Ucap Utama I:

DO
Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (SN/USM)
Tajuk cadangan: “Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Malaysia”
Dato’ Dr. Anwar Ridhwan




11.30 th



Sesi I:
Pendidikan Kesusasteraan Tahap Pra-Sekolah




DO
Dr. Normadiah Sheik Said /
Dr. Zaitul Azma Zainon Hamzah (UPM)
Tajuk cadangan: “Bahan dan Kaedah P & P Berunsur Sastera pada Peringkat Pra-Sekolah”
Hjh Zalila Shariff (DBP)
Tajuk cadangan: “PURNAMA dan Bahan Bacaan Sastera untuk Peringkat Pra-sekolah”
Zainiah Mohamed Isa (UPSI)
Tajuk cadangan: “Apresiasi Sastera dalam Pendidikan Peringkat Pra-sekolah”




Pn Susilawati Kamaruzzaman
1.00 th
Makan Tengah Hari








2.30 ptg




Sesi II:
Pendidikan Kesusasteraan Tahap Sekolah Rendah






DO
Prof. Madya Dr. Misran Rokimin (UKM)
Tajuk cadangan: “Kesusasteraan di Sekolah Rendah: Kepentingannya kepada Pembangunan Negara”
Dr. Amida Abdul Hamid
Tajuk cadangan: “Apresiasi Sastera dalam Pendidikan Peringkat Sekolah Rendah”
Faziah Sulaiman (IPGMKBM)
Tajuk cadangan: “Kaedah P & P Sastera dan Bahasa kepada Pelajar Sekolah Rendah melalui Drama”




En Azman Ismail
4.30 ptg
Minum Petang





5.00 ptg


Sesi III:
Sidang Khas


DO

Dato’ A. Samad Said (SN)
Tajuk cadangan: “Kesusasteraan dan Bahasa: Mengangkat Martabat Bangsa”
Tn Hj. A. Rahim Abdullah



Hari /
Tarikh

ATURCARA

TEMPAT

PEMBENTANG

MODERATOR
Selasa
11. 8. 09










9.00 pg



Sesi IV:
Pendidikan Kesusasteraan Tahap Sekolah Menengah




DO
Azman Ismail (ASWARA)
Tajuk cadangan: “Apresiasi Sastera untuk Pelajar Sekolah Menengah”
Dr. Lim Swee Tin (UPM)
Tajuk cadangan: “Memperkasakan Mata Pelajaran Kesusasteraan di Sekolah Menengah”
Hj Mohamad Saleeh Rahamad (UM)
Tajuk: “Mendepani Krisis Keyakinan dalam Pendidikan Sastera di Malaysia”



En Mohd Ridzuan Harun
10.30 pg
Kudapan







11.00 pg



Sesi V:
Pendidikan Kesusasteraan Tahap Institusi Pengajian Tinggi




DO
Prof. Rahman Shaari (UM)
Tajuk cadangan: “Pengajian Kesusasteraan di IPT Malaysia”
Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Hassan (UM)
Tajuk cadangan: “Kaedah P & P Penulisan Kreatif di IPT”
Dr. A. Rahman Napiah (UNS)
Tajuk: “Pengajian Drama di Institusi Pengajian Tinggi”



Tn Hj Mohd Ghazali Abdullah
1.00 th
Makan Tengah Hari






2.30 ptg



Sesi VI:
Forum




DO

Panel:
Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (UPSI)
Prof. Madya Dr. Krishanan Maniam (UM)
Prof. Dr. Teo Kok Seong (UKM)
Tajuk:
“Pendidikan Kesusasteraan dan Keperkasaan
Bahasa”



Tn Hj Mohd Faizal Musa

4.00 ptg

Ucap Utama II:


DO
Dato’ Johan Jaaffar (DBP)
Tajuk cadangan:
“Pembudayaan Bahasa”
En Zakaria Ariffin
5.00 ptg
Majlis Penutupan Rasmi


Disempurnakan oleh: YBhg. Dato’ Johan Jaaffar (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP)
Juru Acara:
Hj Mohd Faizal Musa
5.30 ptg
Minum Petang
DO


6.00 ptg
Bersurai






Wednesday, July 29, 2009

Menjengah usia 45

Diam-diam saja umur memasuki ruang demi ruang, memanjat tangga waktu, pada musim semi atau musim hijau bertunas, lopak kering dan berselut, seluang dan pelaga bergilir memagut udara, sesekali lemas di kota dan terbang ke awan impian. Senyap juga tangan maut menarik aku ke pinggir hayat, melintasi padang terang dan kamar gelap, sehingga malam dan siang tidak berbeza. ah dikejutkan dentang jam 12 malam aku tersedar: usia sudah di tubir ajal dan hutang masih banyak belum kulunasi. 
Masuk hari ini sudah 10 hari aku melewati batas usia 45. 20 Julai 1964 hari kelahiranku di kampung yang baru saja dibuka oleh generasi bapa yang sama-sama diberi tanah oleh kerajaan. Mereka semuanya bekas mata-mata khas (special constable) semasa zaman British menjajah. Khabarnya aku lahir pada hari Isnin, semasa majlis maulidurrasul berlangsung di kampung. Namaku diberikan oleh Pak cik Badaruddin, atau Imam Badaruddin. Beliau guru Quranku yang terawal. Aku mengenali alif ba ta di rumahnya yang tidak jauh dari rumahku. Rumahnya tempat anak-anak kampung dan seluruh adik-beradikku mengaji. Setiap malam kami akan berdedai ke rumahnya. Tapi dia telah tiada. Usianya juga ditarik pelan-pelan oleh maut ketika tubuhnya semakin surut dan susut oleh keuzuran. Sudah banyak orang tua kampungku memasuki alam barzakh dan yang tinggal cuma seorang dua. Dulu bersama merekalah aku bergurau dan berguru, bersenda dan bersengketa. Seorang demi seorang pergi. Kampungku makin sepi, makin sunyi. Sudah tiada orang tua yang boleh kuziarahi lagi. Yang ada pun cuma bersunyi di rumah kerana dikepung kesunyian juga. Dan aku juga tidak akan berlama di fana ini. Kelak mungkin anak-anak akan menulis tentang kewujudan dan ketiadaanku. Sampai bila aku di sini, senyap-senyap terdorong memasuki ruang ketiadaan. Pucuk muda tumbuh dan ranting tua rapuh.

Secebis daripada sajak "Ke Garis Tua" (Tak boleh siar semua kerana belum terbit mana-mana)

.................

Ambilah sepotong cermin pecah di laci sejarah

beleklah kedut pada pipi dan dahi

berapa gigi yang tinggal

dan uban ibarat bendera putih

soldadu kalah di batas api.

 

Tiada lagi keindahan

menanti di dunia ini

selain kutukan dan doa

agar kita segera pergi:

doa anak-anak yang tidak lagi

sabar menunggu

gerak kita yang lambat

kerana mereka perlu segera berlari

mengejar fatamorgana

seperti kita dulu

sering bermimpi menjadi rama-rama

mengejar bayang keliru

membuang usia

mengait lengkung pelangi

...........

Sunday, July 26, 2009

sekolah vernakular: perlukah lagi?




Seorang pelajar saya berbangsa Cina hanya mampu bertutur dalam bahasa Melayu yang masih pekat telor kecinaan atau basahan/ pasar/pidgin. Ini sangat menggusarkan kerana setelah lebih 50 tahun merdeka masih ada generasi muda begitu. Katanya, semasa dia bersekolah Cina (vernakular) di peringkat rendah dia jarang-jarang bergaul dengan orang melayu dan alamnya tertutup di bawah serkup komuniti Cina. Walaupun ada guru Bahasa Melayu di sekolahnya, dia seolah-olah berhadapan dengan orang asing, dan oleh itu, pengalamannya bergaul dengan orang Melayu berbahasa Melayu sangat kerdil. Setelah dia memasuki sekolah menengah barulah dia bertemu dan bergaul dengan orang Melayu dan dapat menuturkan bahasa Melayu secara hidup, bukan setakat untuk pelajaran dan peperiksaan. Berbekalkan kegigihannya dia berjaya juga memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek bahasa Melayu dan masuk ke universiti tempatan. Saya menyambung pengajaran bahasa Melayu kepadanya. Dan dia tampak gigih belajar walaupun saya gusar dengan pertuturannya yang tidak ubah seperti orang Cina yang saya temui di kampung semasa kecil atau di kedai sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan bandar-bandar selain Kota Bharu dan Kedah.
Mujurlah pelajar saya dan yang seangkatan dengannya berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah untuk bergaul dengan orang Melayu dan memahami adat dan adab Melayu. Dengan beransur-ansur mereka akan menjadi lebih fasih daripada ibu bapa mereka.
Apakah yang terjadi pada pelajar sekolah vernakular, baik Cina mahupun India, yang tidak berjaya memasuki sekolah menengah kebangsaan? Mereka akan terus bekerja dan berada dalam komuniti masing-masing, mendepani masyarakat yang berbilang bangsa dan orang Melayu khususnya dengan mata yang sudah diagendakan secara terhad. Bagaimanakah pandangan mereka terhadap orang Melayu dan bahasa Melayu? Mungkinkah semuanya berpusatkan ekonomi dan semuanya bersifat pragmatik? Berapa ramai yang berada dalam kelompok demikian?
Jika berterusan demikian,tercapaikah 1Malaysia?
Jadi, apakah usaha kerajaan untuk melimpasi arus kekalutan ini?
Budaya bangsa yang pelbagai di negara ini memang unik dan wajar dimanfaatkan tetapi penyatuan bangsa kepada satu corak teras mesti dilakukan. Oleh itu, alangkah baik kalau semua pelajar diberi peluang mempelajari bahasa yang pelbagai di negara ini tetapi lebih baik lagi semua orang diarahkan kepada satu jalur utama sejak prasekolah lagi. Jadikan sekolah kebangsaan sebagai kewajipan manakala bahasa-bahasa lain diajarkan juga secara meluas kepada semua anak kita. Kesatuan dalam kepelbagaian bukanlah hanya slogan. 1Malaysia juga bukan hanya slogan. Pengisiannya perlu tegas.
Konsep kebudayaan kebangsaan perlu diterapkan dalam pemikiran generasi muda. Begitu juga konsep dan falsafah bahasa kebangsaan.
Pertanyaan asasi: Perlukah kita kekalkan sekolah vernakular lagi? Lebih parah apabila kita terpaksa menegkalkan sekolah vernakular yang hanya mempunyai seorang pelajar dan gurunya lima orang. Rasanya tidak ada negara lain yang begini tinggi toleransinya. Aha..memanglah kerana hanya ada 1 Malaysia!

Tapi kawan saya, juga pernah mengalami perkara yang serupa. Disebabkan dia hidup dalam komuniti Jawa di Sabak Bernam dia tidak fasih berbahasa Melayu sebelum memasuki sekolah menengah. Dia hanya tahu berbahasa Jawa. Mujur juga dia memasuki sekolah menengah. Jika tidak tidak, adakah dia dianggap Melayu? Tetapi rakan saya Dr Lim Kim Hui yang berasal dari Kedah sangat bahasa Melayu Kedah mahupun baku kerana beliau belajar di sekolah Melayu. Malahan beliau menyiapkan tesis PhDnya di Universiti Hamburg Jerman tentang peribahasa Melayu. Saya terkesan apabila membaca blog En. Khair Ngadiron, Ketua Eksekutif ITNM sebentar tadi tentang bahasa jiwa bangsa dan bahasa orang Jawa.

Saturday, July 25, 2009

Bertemu dengan Shahnon

(bara yang mendap di bumi tidak selamanya bertahan dalam kebisuan...kelak akan terjunam ke langit jua)




(bersama Hanafi Ibrahim dan Jusoh Majid ketika mengunjungi Shahnon. saya disuruh duduk oleh jurugambar kerana nampak besar sangat bila berdiri. ahh..mana ada)


Walaupun belum pernah cadangan saya hendak bersama teman PENA menziarahi Shahnon Ahmad berjaya, dan tidak juga termasuk dalam perancangan awal saya ke Pulau Pinang kelmarin sehingga hari ini untuk bertemu dengan beliau, takdir Allah tidak juga dapat kita terka. Semelam selepas acara seminar di Dewan Kuliah USM selesai Hanafi Ibrahim mempelawa saya menziarahi Shahnon. Tentulah tidak mungkin saya menolak pelawaan itu lalu bersama teman-teman dari DBP kami sampai ke rumah beliau yang tidak jauh dari kampus USM.
Pencerita kisah Lahuma, Jeha dan anak-anaknya, kisah Bukit Srengenge yang hendak ditutuh, kisah Poseng yang renta, kisah Chah yang datang membawa pengalaman membuat skru ke kampungnya dan kemudian menghilang seperti angin, dan kisah Ceper yang senak dan kisah-kisah Sutan Baginda yang gila, dan lain-lain ini sedang bersandar di biliknya dengan memakai singlet dan berkain pelekat. Wajahnya ada garis kepuasan dan ketidakpuasan, ada ceria dan ada resah. Beliau puas dan ceria menyambut kedatangan teman-teman yang berpangkat anak-anak, tetapi tidak puas dan tetap resah kerana banyak yang difikirkannya, banyak idea yang melimpah di cepu fikirnya belum dapat ditumpahkan ke kertas. Banyak ilham yang dialirkan Tuhan ke dalam kepalanya bersendat-sendat dan bersesak-sesak mencari lorong keluar. Tetapi Shahnon sukar menyambung tugas hakikinya itu kerana keuzuran.
Beliau baru saja keluar dari hospital. Itulah rutinnya akhir-akhir ini: keluar masuk hospital. Beliau sukar tidur dan ada masalah lain yang mengekang proses pemulihan tenaganya. "Dia jadi begitu kerana tak dapat menulis," kata anaknya. Pernah sekali mereka membawa kertas kepada beliau yang sedang dirawat di hospital. Setelah beliau menulis berkajang-kajang kertas, esoknya beliau boleh makan dan berjalan gagah. Itulah Shahnon.Kesihatannya akan pulih jika beliau dapat menulis. banyak lagi yang hendak saya ceritakan tetapi akan disambung kemudian. Tetapi walau sebanyak mana pun saya menulis tentang pertemuan singkat itu, tentulah banyak lagi yang difikirkannya.
Yang penting, menurut hemat saya, Shahnon tidak sakit memandangkan semangat yang ditunjukkannya ketia bercakap tentang bahasa dan sastera. Dan tentu sekali beliau mengulas isu PPSMI. Sekali lagi Mahathir menerima kritikan.



Tuesday, July 21, 2009

Novel rasis

Ada semacam gerakan politik dan budaya yang sedang berdenyut dalam masyarakat kita sekarang apabila suara mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu dilontarkan secara terbuka. Suara-suara itu menuntut hak yang sama dengan orang Melayu dan Bumiputera kerana kononnya mereka juga berhak memperoleh keistimewaan itu. Jika ahli politik kita terjebak dengan tuntutan itu dan akur dengan mudahnya maka tidak mustahil akan berlaku gelombang perlawanan yang tidak henti-henti. Sememangnya gerakan marginal itu tidak akan berhenti selagi mereka berasa hak bersuara dimiliki oleh mereka. Tidak ada pun ketegasan di pihak kerajaan untuk menghalang kemunculan suara sebegitu selain tindakan sorong tarik dan kadangkala dijawab dengan alasan yang politikal juga. Sehubungan dengan itu, kita perlu menoleh ke arah sastera yang dijadikan senjata oleh golongan yang terasa diri mereka ditindas ini. Ada sebuah novel yang ditulis oleh Hsu-Ming Teo berjudul Love and Vertigo (2000, Sydney: Allen and Unwin) yang bernuansa wacana balas (counter discourse) terhadap kekuasaan Melayu. Penulis ialah lahir di Malaysia pada tahun 1970 dan kemudian dibawa orang tuanya berimigrasi ke Castle Hill, Sydney, Australia sekitar tahun 1977. Beliau menyelesaikan PhD di University of Sydney pada tahun 1998 dan kemudian menjadi pengajar di University of Southern Denmark dan research fellow di Department of Modern History di macquarie University.
Novel ini memaparkan Malaysia sebagai negara perkauman terhadap kelompok etnis Cina. Peristiwa 13 mei dilihat sebagai kemuncak sentimen perkauman yang dipanaskan oleh tindakan jihad orang melayu membunuh etnis Cina dan India. Seterusnya diperlihatkan betapa buruknya sistem sosial dan politik di Malaysia sehingga membawa kepada penghijrahan watak-wataknya berhijrah ke Australia. Novel ini tergolong sebagai novel oksidental, yakni membicarakan Barat tetapi kandungannya masih membawa ideologi orientalisme. Barat (Australia) dipandang sebagai tempat yang lebih baik berbanding Malaysia dan Singapura sekalipun kerana di Singapura bau makanan Melayu pun dianggap sangat jelek.
Sebenarnya banyak lagi karya yang memburuk-burukkan Malaysia yang ditulis dalam bahasa Inggeris kerana tidak mungkin karya sedemikian terbit di Malaysia dalam bahasa Melayu. Apabila karya sedemikian beredar di negara luar dalam bahasa Inggeris, tentunya imej Malaysia akan terus dipandang kotor. Lalu, apakah yang patut kita lakukan untuk mengimbangi keadaan tersebut?
Siapakah yang wajar memurnikan imej Malaysia baik secara praktikal mahupun secara ideologikal? Kementerian Pelajaran? Kementerian pengajian Tinggi? Kementerian lain? Sasterawan? ITNM? Untuk menyekat suara golongan yang terasa tertindas itu tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana tiada hak bagi kita menyekat kebebasan suara mereka, apatah lagi di negara lain. Lalu caranya bagaimana?

Wednesday, July 15, 2009

Khabar tentang Rendra

Khabar yang saya terima daripada Safrullah Sanre dari Makasar yang sering Kuala Lumpur, penyair WS Rendra sedang sakit dan dirawat di hospital di Jakarta, tidak jauh dari bandara (lupa saya akan nama hospital itu). Sesiapa yang mahu menziarahi eloklah berbuat demikian, katanya lagi. Saya tidak rapat dengan Rendra tetapi puisinya yang mendobrak kultus orang politik begitu berkesan di hati saya. Dia penyair rakyat dan rakyat mengangkatnya tanpa sebarang balasan atau janji seperti yang diberikan oleh orang politik. Begitu saja.



Semasa Anwar Ibrahim menjadi Menteri kewangan, Rendra pernah diundang untuk membaca puisi di pejabatnya. Mungkin Anwar sudah menghantar wakilnya untuk menziarahi Rendra. Wallahualam.

Baru tadi berjumpa dengan Safrullah di DBP Johor Bahru dan dia memaklumkan nama hospital itu ospital Mitra Keluarga, Kelapa Gading, Jakarta Timur. Jani Safrullah hendakmemberikan nombor telefon isteri Rendra belum ditunaikannya tapi dia berharap PENAakan menghantar orang melawat Rendra kerana Rendra peernah akrab dengan PENA. Saya tidak taulah sejauh mana akrabnya dengan orang terdahulu, dan mungkin dia hanya akrab dengan generasi awal PENA sebagaimana Cak Nun (Emha Ainun Najib) baik dengan Dato Baha. Tapi kalau ada masa nanti kami akan meluncur sebentar ke Jakarta dari Bandung dengan menaiki keretapi. Tengoklah apa kata Zakir dan Samsudin pada 6 atau 7 Ogos.
Betullah kata kawan saya Zainal Jais, keuzuran orang lain semakin menjentik rasa takut akan kematian kita sendiri. Ini peringatan yang perlu sentiasa disuburkan dalam kalbu. Bukan hanya Zainal,malah saya sendiri kehilangan beberapa orang penting dalam hidup saya baru-baru ini.

Memang kehilangan orang tersayang begitu menyedihkan tetapi ajal sudat tersurat. Maka, lebih baiklah saya mengingati kesedihan yang menimpa hati disebabkan kematian semangat sayangkan bangsa (dan agama tentunya) dalamkalangan orang Melayu Muslim di negara ini sehingga gagal mengenal yang tebu yang mana teberau, yang mana lembu yang mana kerbau. Masih ramai yang buta hati apabila cuba berhujah dengan kejahilan untuk mengembalikan PPSMI ke dalam sistem pendidikan di sekolah. Cukuplah dengan cabaran yang kita terima daripada rakyat bukan Melayu di negara ini; janganlah pula Melayu menghina Melayu dan pusaka bahasanya sendiri.

Saturday, July 11, 2009

setelah bertemu dengan pengarang Musafir




Kami berjaya juga menemukan rumah Hasan Ali di Petaling Jaya setelah berpusing keliling mencarinya. Mujur bersama saya ialah Dato Baha Zain; maka kesabaran saya meningkat kerana menghormatinya. Kalau tidak, mungkin kami sudah berpatah balik. Susah sangat peta PJ. Susunan kawasan perumahannya bercelaru.
Ramai juga rombongan PENA turut sama.: Saya, Dato Baha, Hanafi Ibrahim, Raja Rajeswari, Saifullizan Yahya, Ikhram Fadhli, Halis Azhan, Dr Ahmad Razali, Lutfi Ishak, Rahimidin. Kedatangan kami disambut dengan sebak Hasan Ali yang sudah menjangkau usia 82 tahun. "Seronok sangat dapat jumpa kawan-kawan," katanya dalam nada terharu. Tapi tidak kami lanjutkan kesedihan beliau itu . Dato Baha seperti biasa memperkenalkan semua kami satu persatu. Beliau sentiasa mahu mengetengahkan orang lain. Ini yang membuatkan kami sentiasa mesra dengannya dan sentiasa ringan mulut untuk berbincang tentang sebarang topik. Selalunya kami membincangkan nasib DBP. Inilah isu yang tidak pernah terabai dalam sembang kami.
Hasan Ali memenangi tempat kedua (pemenang perak) dalam hadiah Novel DBP 1958 dengan novel Musafirnya, manakala novel Salina karya A. Samad Said yang asalnya berjudul Gerhana, memenangi tempat sagu hati. Tetapi kemudian Salina pula yang sangat menonjol. Kelebihan Musafir mungkin dari sudut moralnya berbanding Salina yang mengisahkan watak pelacur di Kampung Kambing.
"Bagaimana dapat idea menulis Musafir?" Saya segera bertanya kepada Hasan Ali ketika kami sudah menghadapi jamuan ringan teh O dan biskut. (Anehnya laju juga kami mencicah biskut dengan teh O. "Laju nampaknya," kata saya kepada Rahimidin dan dia menyambutnya dengan ketawa kerana memahami kelaparan kami ketika itu)
"Masa tu saya di Bukit Senyum (Maktab Perguruan Bukit Senyum Johor Bahru). Saya menulisnya tiap-tiap petang selama enam bulan," kata pengarang yang baru kematian isteri (baru lebih kurang dua minggu rupanya) itu.
"Tulis dengan tangan ke mesin taip?"
"Dengan tangan, mana ada mesin taip."
Terkejut juga kami mendengar penjelasannya.
"Bila DBP anjur peraduan menulis saya mengepos manuskrip itu. Masa tu saya tak ada duit. Kawan bagi pinjam untuk belanja pos,"tambahnya.
Hadiah yang diterimanya daripada kemenangan itu ialah 1000 ringgit. "Masa tu, seribu besar."
"Macam sepuluh ribu sekarang," tambah saya.
Selepas mendapat hadiah itu barulah beliau membeli mesin taip. Dan novelnya sudah dicetak ulang berbelas kali. Menurut Dato Baha yang pernah menjadi Timbalan KP DBP inilah novel best seller DBP.
Dato Baha mengusulkan supaya novel itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Memang sudah dicuba oleh anaknya, Jamaliah yang turut berada di rumah ketika itu. "Tapi saya tak boleh nak teruskan. Dah cuba setakat dua chapter."
Anaknya memang penterjemah profesional tetapi apabila menangani novel bapanya yang juga mengisahkan kehidupan datuknya (saya tak sempat bertanya, adakah watak Leman itu datuknya atau bapa Haasan Ali) beliau sukar sekali melakukannya. Begitupun, Dato Baha menyuruh Jamaliah mengusahakan juga penterjemahan itu dan berurusan dengan ITNM.
Saya sebenarnya belum membaca novel Musafir dengan serius. Saya hanya membaca sekali lalu semasa membuat kajian tentang sejarah novel Melayu. Tetapi kini saya teruja untuk melihatnya kembali. Dan tentunya saya mahu mencari naskhah terbitan awalnya, kalau boleh terbitan pertama. Mengumpulkan buku lama sudah menjadi hobi saya sekarang. Setakat ini saya ada menyimpan beberapa naskhah buku yang digunakan oleh pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris yang saya kutip daripada simpanan bapa mentua saya.
Opppss, baru ingat...naskhah Hikayat Abdullah milik Rahimidin belum saya pulangkan. Tapi masih tersimpan rapi di rumah. Itu terbitan tahun 1962 kalau tak silap.

Kalau penulis, selagi terdaya dia akan menulis. Hasan Ali juga begitu. Kini dia sedang menulis sajak dan kami ditunjuki beberapa manuskrip tulisan tangannya. Menarik juga sajaknya. Dan segera kami usulkan kepada Saifullizan untuk mengusahakan penyiaran saja itu dalam Dewan Sastera bulan Ogos, terutama sajaknya tentang kemerdekaan.
Mengunjungi pengarang veteran seperti itu dapat menumbuhkan kesedaran dalam diri tentang semangat perjuangan tulen penulis lama yang wajar kami teladani; dan timbul juga kesedaran bahawa kami belum tentu dapat hidup seperti mereka, meniti hari tua dengan begitu baik dan cerah mata, terang ingatan, jelas pendengaran. Hasan Ali, walaupun kelihatan tidak lagi sekuat dulu, masih memiliki tiga deria itu dengan sempurna. "Agaknya ini berkat banyak baca Quran," kata Dato Baha, dan beliau mengeyakannya. Dalam hati saya terdetik, adakah kekaburan penglihatan saya sekarang disebabkan jarang membaca Quran? Nampaknya saya kena mengubah kebiasaan. Jarang sangat saya membaca Quran sekarang. Inilah antara pengajaran yang saya peroleh daripada kunjungan kami ke rumah Hasan Ali. Selebihnya kami seronok bersembang di Restoran Nasi Kandar Kayu tidak jauh dari rumah Hasan Ali. Sampai hampir 2:30 petang baru kami beredar dari restoran itu. Dan seperti biasa, topik hangat kami ialah tentang kebahlulan orang yang mempertahankan PPSMI dan tentang masalah dalaman DBP, terutama yang melibatkan nasib pegawainya yang gigih dan nasib sastera Melayu. Banyak telah disuarakan kepada DBP. Tapi tidaklah diketahui apakah reaksi mereka.
Kami balik ke PENA tanpa sesat lagi.

kenyataan akhbar PENA tentang PPSMI

Kenyataan Akhbar Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tentang PPSMI


Pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang pemansuhan PPSMI yang bermula pada tahun 2012 merupakan tindakan berani demi memastikan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara terpelihara.

1. PENA merasakan bahawa keberanian itu sangat penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

2. Tarikh pelaksanaan secara penuh pada tahun 2012 tidak menjelaskan kedudukan. Bagaimanapun, PENA mentafsirkan bahawa pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu akan bermula pada tahun 2010 untuk pelajar tahun satu. Pelaksanaan ini tidak akan menimbulkan masalah kerana buku teks untuk pelajar tahun satu boleh disediakan dengan cepat sama ada dengan menggunakan buku yang lama atau menterjemahkan buku dalam bahasa Inggeris sekarang.

3. Di samping itu, pelajar tahun dua, tiga, empat dan seterusnya juga sudah boleh diajar dalam bahasa Melayu kerana jawapan dalam peperiksaan memang disediakan dalam dwibahasa. Apa gunanya meneruskan PPSMI bagi pelajar lain itu sedangkan akhirnya mereka menerima kesan yang buruk dalam pemahaman dan keputusan peperiksaan. Lagipun sekarang ramai guru yang mengajar dalam bahasa Melayu, hatta dalam bahasa etnik, terutama di Sabah dan Sarawak.

4. Pelajar tingkatan enam dan matrikulasi juga sepatutnya diajar dalam bahasa Melayu, bukannya bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana mereka sudah terdedah kepada bahasa Melayu di peringkat rendah dan menengah dan sepatutnya tidak berdepan dengan masalah baru apabila memasuki tingkatan enam dan matrikulasi.

5. Pengajaran di universiti juga perlu dibuat dalam bahasa Melayu, bukannya dengan bahasa Inggeris sebagaimana yang telah dikuatkuasakan sekarang.

6.Menyedari bahawa pemimpin datang dan pergi dengan membawa idealisme masing-masing, PENA berharap keputusan baru ini tidak akan berubah apabila situasi politik negara berubah. PENA juga berharap idealisme pemimpin akan datang tidak dicemari oleh kejahilan membuat keputusan dan tindakan lagi sehingga menjejaskan kedudukan bahasa dan bangsa Melayu di tanah airnya.

7. Pemimpin-pemimpin yang berada dalam barisan Kabinet sewajarnya menginsafi tragedi yang telah berlaku dan seterusnya hendaklah memuhasabah diri. Jangan lagi terperangkap dalam sindrom takut untuk bersuara apabila berdepan dengan isu yang mencabar kedaulatan bangsa.

8. Kerajaan juga seharusnya sudah boleh membuat tapisan mulai sekarang untuk memilih hanya pemimpin yang cerdik menduduki potfolio penting. Setidak-tidaknya pemimpin yang kurang arif dan tidak berusaha untuk mempelajari kehendak rakyat diberi kesedaran supaya mereka layak memikul amanah rakyat.

9. Untuk masa depan, pemerkasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris perlu dibuat dengan berusngguh-sungguh dan ikhlas tanpa agenda peribadi. Janganlah hendak timbul keraguan dalam rakyat tentang ketelusan kerajaan dalam pembahagian kontrak dan sebagainya.

10. Untuk masa depan, pemerkasaan bahasa Melayu mesti dibuat dengan strategi yang sesuai. Pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu hendaklah dipertingkatkan dengan menyalurkan peruntukan yang mencukupi kepada agensi yang bertanggungjawab dalam soal penyelidikan, penerbitan, penyuburan dan pengembangan bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Negara, dan penerbit-penerbit institusi pengajian tinggi awam perlu diberi peruntukan dan ruang yang luas untuk melaksanakan tugas ini.

11. Pihak-pihak yang yang dipertanggungjawabkan itu pula hendaklah menjalankan amanah dengan agresif, proaktif, dan tekal. Penghasilan kamus dwibahasa, kamus istilah, glosari, buku-buku tentang Malaysiana, dan terjemahan buku-buku Malaysia ke dalam bahasa asing perlu dipertingkatkan.

PENA sentiasa menyokong sebarang usaha untuk memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu, termasuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan menjadikan Malaysia sebagai pusat pembelajaran bahasa Melayu bagi seluruh dunia. Sehingga kini Indonesia masih menjadi tumpuan pelajar bahasa Melayu dari Eropah sedangkan Malaysia juga mempunyai potensi yang serupa. Potensi ini perlu dijanakan dengan perancangan yang bersepadu antara agensi kerajaan dengan badan bukan kerajaan mahupun IPTA.



Mohamad Saleeh Rahamad (Timbalan Presiden PENA)
9 Julai 2009

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI yang menumbuhkan rasa benci

PPSMI menyebabkan saya membenci seseorang sedangkan sepatutnya rasa benci sedemikian tidak perlu wujud dalam diri saya yang sedang meniti hari tua ini, kata Baha Zain, lebih kurang maksudnya dalam satu pertemuan dengan beliau beberapa minggu lalu. Sekarang mungkin rasa benci itu boleh diubati untuk menghargai pemimpin lain yang telah menukar segala-galanya walaupun dalam perkiraan di kertas sahaja. Tahun 2012 terpilih sebagai tarikh perkembalian bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik. Timbul banyak keraguan di samping kelegaan dalam kalangan manusia yang prihatin dengan isu ini. Yang menghargainya pun turut meragui kelewatan tarikh itu. Kenapa begitu lewat?
1. Adakah penundaan itu bertujuan melunaskan janji kepada pihak yang menerima kontrak bekalan peisian atau perkakasan komputer dan benda lain yang bersangkutan?
2. Adakah ini hanya untuk melegakan masyarakat buat sementara waktu dan kemudian dilakukan keputusan lain kerana menteri kita sentiasa beubah potfolio. Sekarang mujurlah menteri yang memikul tugas itu daripada kalangan yang prihatin tentang nasib BM walaupun ada juga yang asalnya dahulu tidak demikian prihatin kerana bimbangkan kedudukan terjejas.
3. Adakah kelewatan ini bertujuan baik yakni memberi masa kepada penulis buku merancang buku teks yang sempurna. Sukar agaknya untuk menulis buku dalam bahasa Melayu berbanding untuk menulis buku dalam bahasa Inggeris yang terlalu pantas dikerjakan dahulu.
4. Adakah untuk memberi masa kepada guru yang selama ini menerima elaun khas kerana mengajar dalam bahasa Inggeris menyesuaikan diri dengan penghapusan elaun tersebut?

Walau apa pun, buat sementara waktu tindakan Menteri Pelajaran dan Timbalan-Timbalannya mengumumkan perkara tersebut wajar dihargai. Tapi buat sementara waktu sementara pelaksanaan sebenarnya berlangsung dalam tahun 2012 nanti. kita memberikan ultimatum kepada pemimpin supaya melaksanakan perkara ini dengan jujur dan ikhlas dan bersungguh-sungguh atau akan menghadapi arus tentangan yang lebih hebat jika perkara itu diterbalikkan semula.

Peristiwa ini tragedi dalam sejarah bangsa merdeka. Tetapi ini juga pengajaran untuk mematangkan kita menghadapi cabaran pada masa depan yang lebih hebat. Oleh itu, ada tiga pengajaran yang harus diperhatikan:

1. Pemimpin-pemimpin di Dewan Rakyat atau Kabinet jangan lagi menjadi pak angguk dan mengidap sindrom bisu apabila berdepan dengan aksi autokratik pemimpin teratas kerana kuasa sebenarnya akhirnya terletak di tangan rakyat. Lain kali, jika ada pemimpin yang secara solo berasa dirinya pandai dan sentiasa mahu melakukan "tindakan kreatif" tanpa had, beranilah bersuara dan membahaskannya. Jangan berulang lagi sindrom kebodohan, dan kepondanan apabila membincangkan nasib bangsa.
2. Tindakan kita sekarang ialah menyingkirkan pemimpin yang pengecut dan bodoh tetapi berlagak pandai, termasuk konco-konco yang sekandang dengannya. Menteri pelajaran terdahulu yang secara berwewenang menuduh pejuang bahasa dengan pelbagai gelaran dan diiringi dengan tuduhan bahawa mereka lambat bertindak serta didalangi oleh orang politik, tidak lagi relevan bagi membela nasib bangsa. Sehingga kini tidak kelihatan apa pun tindakan dan idea beliau yangbernas dan inovatif untuk bangsa selain hanya meneruskan agenda pemimpin teratas tanpa banyak soal malah berani pula membuat tuduhan melulu. Maka sudah sampai masanya orang seperti itu diketepikan. Dato Seri najib seharusnya melihat perkara ini jika hendak mengembalikan maruah kerajaan dan Kabinetnya.

3. Sehubungan dengan itu, sudah cukuplah masa diberikan kepada seorang kolumnis di akhbar Utusan Malaysia, iaitu Tun Faisal, untuk memberikan ideanya tentang pendidikan negara. Siapakah beliau? Apakah kredibiliti beliau dalam bidang pendidikan sehingga melayakkan beliau diberi penghormatan sebagai kolumnis pendidikan? Utusan perlu menjawab soalan ini.
Apabila kuasa bersuara diberikan kepada seseorang maka dengan sendirinya segala kata-katanya seolah-olah benar. Benarkah demikian? Hakikatnya tidak demikian. Banyak lagi suara yang dirakamkan oleh golongan marginal mempunyai nilai yang lebih benar dan besar serta relevan.

Seterusnya, mari kita rakamkan penghargaan kepada semua pejuang yang sanggup berjuang dengan susah payah untuk mengembalikan bahasa Melayu di tempatnya yang bermaruah. Sekadar menyebut nama orang-orang tua yang sudah lama berjuang:
1. Dato Baharudin Zainal (Baha Zain)
2. Datuk Zainal Abidin Wahid. Saya sentiasa terbayang kegigihan beliau berucap dalam sidang akhbar dengan suara tersekat-sekat dan tangan terketar menandakan keuzurannya. Tetapi semangatnya tidak pernah uzur.
3. Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid
4. Datuk Hassan Ahmad
5. Datuk A. Samad Said
6. Prof Shahrir Mohd Zin
7. Prof Datuk Mohd Yusof Othman
8. Prof Teo Kok Seong
9. Nik Safiah Karim
10. Prof Abdullah Hassan
11. Ainon Muhammad
9. SM Zakir dan Shamsudin Othman kena sebut juga kerana mereka banyak menulis dengan berani yang luar biasa tentang isu ini. Mereka bukan orang tua walaupun masa tua tidak lama lagi kedatangannya.

Ramai lagi yang perlu diingati, termasuk mereka yang berarak dalam perhimpunan ke Istana Negara tempoh hari.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) juga juga sudah lama berada di hadapan dalam memperjuangkan isu ini, dan kadang-kadang menyokong Gerakan mansuhkan PPSMI. PENA sentiasa menjadi tempat perbincangan dan sidang media GMP.
Hari ini satu sidang media akan diadakan di Rumah PENA.

Seperkara lagi, para karyawan dan artis serta penyanyi yang selama ini mencari makan dengan lagu berbahasa Melayu tidak pernah kedengaran memperjuangkan isu ini. Jika tiada pendengar daripada orang Melayu nasib mereka tidak akan ada. Tetapi apabila bangsa Melayu berdepan dengan cabaran mereka tidak muncul sebagai pejuang. Sampaikan salam kepada mereka yang buta hati ini.
Mulai sekarang apa-apa sahaja majlis yang melibatkan DBP, sastera dan bahasa jangan dijemput para artis ini. Lebih malang sekiranya apabila mereka dijemput untuk menyanyi, bayarannya lebih besar daripada ilmuwan yang memartabatkan sastera.
Jika Majlis Anugerah Sastera Negara nanti bercadang untuk menjemput artis untuk menghiburkan para sasterawan dan budayawan, lupakanlah sahaja hasrat itu. Jimatkan duit DBP. Kami tidak rela membiarkan artis disanjung sedangkan mereka hanya datang untuk menghisap madu.
Pernah majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana menjamput penyanyi dan saya sebagai panel hakim berasa terseksa dengan pengalaman itu. Pastinya bayaran untuk mereka lebih besar berbanding dengan kami yang bertungkus lumus bekerja menilai dan menghakimi karya sastera.
Begitu juga dengan majlis anjuran Kumpulan Utusan untuk HSKU, jemputan artis sangat menyakitkan hati saya. Cukuplah setakat ini.

Tuesday, July 7, 2009

Ziarah Hassan Ali

PENA akan menziarah novelis Hassan Ali pada hari Sabtu 11 Julai ini. Sesiapa yang ingin turut serta sila berkumpul di Rumah Pena pada pukul 10 pagi. pertemuan akan berlangsung pada pukul 10.30 di rumahnya. Hassan Ali ialah novelis yang menghasilkan novel Musafir. Beliau juga bekas bendahari PENA. Khabarnya beliau sedang uzur. Oleh itu, menjadi kewajipan PENA untuk menziarahinya untuk menumbuhkan rasa persaudaraan. Saudara-saudara yang lain juga akan diziarahi suatu hari nanti.
Jemputan ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat.
Penulis semestinya seorang yang manusiawi.