Saturday, July 11, 2009

kenyataan akhbar PENA tentang PPSMI

Kenyataan Akhbar Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tentang PPSMI


Pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang pemansuhan PPSMI yang bermula pada tahun 2012 merupakan tindakan berani demi memastikan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara terpelihara.

1. PENA merasakan bahawa keberanian itu sangat penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

2. Tarikh pelaksanaan secara penuh pada tahun 2012 tidak menjelaskan kedudukan. Bagaimanapun, PENA mentafsirkan bahawa pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu akan bermula pada tahun 2010 untuk pelajar tahun satu. Pelaksanaan ini tidak akan menimbulkan masalah kerana buku teks untuk pelajar tahun satu boleh disediakan dengan cepat sama ada dengan menggunakan buku yang lama atau menterjemahkan buku dalam bahasa Inggeris sekarang.

3. Di samping itu, pelajar tahun dua, tiga, empat dan seterusnya juga sudah boleh diajar dalam bahasa Melayu kerana jawapan dalam peperiksaan memang disediakan dalam dwibahasa. Apa gunanya meneruskan PPSMI bagi pelajar lain itu sedangkan akhirnya mereka menerima kesan yang buruk dalam pemahaman dan keputusan peperiksaan. Lagipun sekarang ramai guru yang mengajar dalam bahasa Melayu, hatta dalam bahasa etnik, terutama di Sabah dan Sarawak.

4. Pelajar tingkatan enam dan matrikulasi juga sepatutnya diajar dalam bahasa Melayu, bukannya bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana mereka sudah terdedah kepada bahasa Melayu di peringkat rendah dan menengah dan sepatutnya tidak berdepan dengan masalah baru apabila memasuki tingkatan enam dan matrikulasi.

5. Pengajaran di universiti juga perlu dibuat dalam bahasa Melayu, bukannya dengan bahasa Inggeris sebagaimana yang telah dikuatkuasakan sekarang.

6.Menyedari bahawa pemimpin datang dan pergi dengan membawa idealisme masing-masing, PENA berharap keputusan baru ini tidak akan berubah apabila situasi politik negara berubah. PENA juga berharap idealisme pemimpin akan datang tidak dicemari oleh kejahilan membuat keputusan dan tindakan lagi sehingga menjejaskan kedudukan bahasa dan bangsa Melayu di tanah airnya.

7. Pemimpin-pemimpin yang berada dalam barisan Kabinet sewajarnya menginsafi tragedi yang telah berlaku dan seterusnya hendaklah memuhasabah diri. Jangan lagi terperangkap dalam sindrom takut untuk bersuara apabila berdepan dengan isu yang mencabar kedaulatan bangsa.

8. Kerajaan juga seharusnya sudah boleh membuat tapisan mulai sekarang untuk memilih hanya pemimpin yang cerdik menduduki potfolio penting. Setidak-tidaknya pemimpin yang kurang arif dan tidak berusaha untuk mempelajari kehendak rakyat diberi kesedaran supaya mereka layak memikul amanah rakyat.

9. Untuk masa depan, pemerkasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris perlu dibuat dengan berusngguh-sungguh dan ikhlas tanpa agenda peribadi. Janganlah hendak timbul keraguan dalam rakyat tentang ketelusan kerajaan dalam pembahagian kontrak dan sebagainya.

10. Untuk masa depan, pemerkasaan bahasa Melayu mesti dibuat dengan strategi yang sesuai. Pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu hendaklah dipertingkatkan dengan menyalurkan peruntukan yang mencukupi kepada agensi yang bertanggungjawab dalam soal penyelidikan, penerbitan, penyuburan dan pengembangan bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Negara, dan penerbit-penerbit institusi pengajian tinggi awam perlu diberi peruntukan dan ruang yang luas untuk melaksanakan tugas ini.

11. Pihak-pihak yang yang dipertanggungjawabkan itu pula hendaklah menjalankan amanah dengan agresif, proaktif, dan tekal. Penghasilan kamus dwibahasa, kamus istilah, glosari, buku-buku tentang Malaysiana, dan terjemahan buku-buku Malaysia ke dalam bahasa asing perlu dipertingkatkan.

PENA sentiasa menyokong sebarang usaha untuk memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu, termasuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan menjadikan Malaysia sebagai pusat pembelajaran bahasa Melayu bagi seluruh dunia. Sehingga kini Indonesia masih menjadi tumpuan pelajar bahasa Melayu dari Eropah sedangkan Malaysia juga mempunyai potensi yang serupa. Potensi ini perlu dijanakan dengan perancangan yang bersepadu antara agensi kerajaan dengan badan bukan kerajaan mahupun IPTA.



Mohamad Saleeh Rahamad (Timbalan Presiden PENA)
9 Julai 2009

2 comments:

zainal mohd jais said...

NAK BANGUNKAN BANGSA
TAK BOLEH HENTAM KEROMO

Nak bangunkan bangsa, bukan macam nak buat kilang bertih/keropok. Ada cara untuk mempercepatkan pembinaan sesuatu tamadun, tapi tak ada jalan singkat menjanjikan kejayaan. Kebangkitan empayar Rom memakan masa hampir seratus tahun, tetapi kebangkitan Islam pimpinan Nabi dan sahabat cuma mengambil masa sekitar 30 hingga 40 tahun sahaja. Ada modelnya, tapi pun bukan jalan singkat.
Kaji kekuatan dan kelemahan tamadun dan bangsa-bangsa besar lain, adaptasi pengalaman dan ilmu mereka, tetapi kita bina tamadun berteraskan acuan kita sendiri. PPSMI saya kira adalah manefestasi ketidaksabaran untuk membangunkan bangsa dengan tergesa-gesa dan mengguna acuan orang lain, akibat ketidakyakinan kepada acuan sendiri, dan akibat keserakahan menghadapi provokasi globalisasi.
Satu lagi, nak bina tamadun, bukan macam nak bina istana pasir. Anggaplah macam nak bina piramid. Berjaya dibina dan kukuh bertahan beribu tahun. Jangan lupa bahawa yang nak kita bina ialah manusia. Baik matematik, sains, atau teknologi, atau benda apapun, ia cuma alat kepada manusia. Bukan bermakna alat itu tidak penting, tetapi dia mungkin nombor dua.
Bahasa adalah salah satu komponen yang sangat dominan dalam aspek budaya dan jatidiri. Satu perkara yang tidak nampak, tidak boleh dinilai dengan mudah oleh ujikaji makmal. Ia bukan sekadar manifestasi naluri dan perasaan, malah salah satu unsur dalam roh, dan denyut nadi sesuatu bangsa. Kesilapan besar kita ialah apabila menganggap enteng perkara yang tidak boleh kita lihat atau kita pegang, sedangkan ia perkara tunjang kepada jawapan kenapa kita boleh berdiri. Seperti graviti. Seperti falsafah hidup. Seperti weistanchung.
Ia satu perkara yang agak akademik,sehingga barangkali para pendukung bahasa dan budaya menjadi begitu sukar untuk berkomunikasi dengan rakyat dan meyakinkan pemimpin untuk mendengar nasihat mereka. Langkah Najib mengembalikan pengajaran subjek itu dalam bahasa Melayu, sangat tepat dalam keperluan kita membina sebuah bangsa dan tamadun, mengikut acuan sendiri.
Salah satu ciri globalisasi ialah kemungkinan bangsa kecil ditelan oleh gelombang besar yang didominasi bangsa tertentu. Dan dasar PPSMI sebelum ini ialah satu langkah membenarkan bangsa kita ditelan ular besar itu. Tidak pula bermaksud kita mesti jumud, bertahan dan menolak segala kebaikan. Kita mesti terbuka, tetapi dalam masa yang sama, kita membina kehebatan sendiri.

Tun Dr. Mahathir sendiri mengakui pada detik akhir sebelum berundur, beliau gagal mengubah sikap orang Melayu. Tun Abdullah juga sudah mengesan kepincangan itu, dengan memberikan fokus yang besar kepada aspek bina insan dan mentaliti kelas pertama. Namun masih tiada pelaksanaan yang jitu dan konkrit. Saya kira, ini adalah satu vakum yang terbiar selama beberapa dekad. Najib sudah melihat vakum itu. Maka sewajarnyalah beliau memberi fokus yang besar kepada segala aspek yang berkaitan dengan isu membina manusia, membina jatidiri, membina bangsa ini. Kita tidak harus terperangkap dengan memberi fokus besar kepada isu luaran yang kadangkala cuma kosmetik.
Kita boleh membantu seorang usahawan berjaya sekelip mata, tetapi tanpa kekuatan dalaman yang kukuh, dia boleh bankrap keesokan harinya. Atau dia mungkin sangat berjaya sepanjang hidupnya, tapi tanpa pembinaan budaya usahawan atau budayaniaga di kalangan generasi pelapis, kejayaannya gagal diwarisi hatta oleh generasi keduanya pun. Berbanding bangsa yang memiliki jatidiri, daya saing yang tinggi, kejayaan satu generasi akan menjadi landasan kepada kejayaan lebih besar generasi seterusnya.
Kebudayaan adalah teras dalam membina satu bangsa. Sementara bahasa pula adalah teras kepada kebudayaan. Satu aspek non-fizikal, yang sangat dominan tetapi selama ini dipandang remeh, malah dipinggirkan setiap kali kita merangka sebarang dasar. Saya fikir Najib jelas tentang itu, dan beliau perlu diberi sokongan dan nasihat yang sewajarnya untuk menjayakan segala gagasannya itu.

saleeh rahamad said...

mak aih panjangnya komen bang. tapi dah baca dalam blog demo.