Wednesday, July 8, 2009

PPSMI yang menumbuhkan rasa benci

PPSMI menyebabkan saya membenci seseorang sedangkan sepatutnya rasa benci sedemikian tidak perlu wujud dalam diri saya yang sedang meniti hari tua ini, kata Baha Zain, lebih kurang maksudnya dalam satu pertemuan dengan beliau beberapa minggu lalu. Sekarang mungkin rasa benci itu boleh diubati untuk menghargai pemimpin lain yang telah menukar segala-galanya walaupun dalam perkiraan di kertas sahaja. Tahun 2012 terpilih sebagai tarikh perkembalian bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik. Timbul banyak keraguan di samping kelegaan dalam kalangan manusia yang prihatin dengan isu ini. Yang menghargainya pun turut meragui kelewatan tarikh itu. Kenapa begitu lewat?
1. Adakah penundaan itu bertujuan melunaskan janji kepada pihak yang menerima kontrak bekalan peisian atau perkakasan komputer dan benda lain yang bersangkutan?
2. Adakah ini hanya untuk melegakan masyarakat buat sementara waktu dan kemudian dilakukan keputusan lain kerana menteri kita sentiasa beubah potfolio. Sekarang mujurlah menteri yang memikul tugas itu daripada kalangan yang prihatin tentang nasib BM walaupun ada juga yang asalnya dahulu tidak demikian prihatin kerana bimbangkan kedudukan terjejas.
3. Adakah kelewatan ini bertujuan baik yakni memberi masa kepada penulis buku merancang buku teks yang sempurna. Sukar agaknya untuk menulis buku dalam bahasa Melayu berbanding untuk menulis buku dalam bahasa Inggeris yang terlalu pantas dikerjakan dahulu.
4. Adakah untuk memberi masa kepada guru yang selama ini menerima elaun khas kerana mengajar dalam bahasa Inggeris menyesuaikan diri dengan penghapusan elaun tersebut?

Walau apa pun, buat sementara waktu tindakan Menteri Pelajaran dan Timbalan-Timbalannya mengumumkan perkara tersebut wajar dihargai. Tapi buat sementara waktu sementara pelaksanaan sebenarnya berlangsung dalam tahun 2012 nanti. kita memberikan ultimatum kepada pemimpin supaya melaksanakan perkara ini dengan jujur dan ikhlas dan bersungguh-sungguh atau akan menghadapi arus tentangan yang lebih hebat jika perkara itu diterbalikkan semula.

Peristiwa ini tragedi dalam sejarah bangsa merdeka. Tetapi ini juga pengajaran untuk mematangkan kita menghadapi cabaran pada masa depan yang lebih hebat. Oleh itu, ada tiga pengajaran yang harus diperhatikan:

1. Pemimpin-pemimpin di Dewan Rakyat atau Kabinet jangan lagi menjadi pak angguk dan mengidap sindrom bisu apabila berdepan dengan aksi autokratik pemimpin teratas kerana kuasa sebenarnya akhirnya terletak di tangan rakyat. Lain kali, jika ada pemimpin yang secara solo berasa dirinya pandai dan sentiasa mahu melakukan "tindakan kreatif" tanpa had, beranilah bersuara dan membahaskannya. Jangan berulang lagi sindrom kebodohan, dan kepondanan apabila membincangkan nasib bangsa.
2. Tindakan kita sekarang ialah menyingkirkan pemimpin yang pengecut dan bodoh tetapi berlagak pandai, termasuk konco-konco yang sekandang dengannya. Menteri pelajaran terdahulu yang secara berwewenang menuduh pejuang bahasa dengan pelbagai gelaran dan diiringi dengan tuduhan bahawa mereka lambat bertindak serta didalangi oleh orang politik, tidak lagi relevan bagi membela nasib bangsa. Sehingga kini tidak kelihatan apa pun tindakan dan idea beliau yangbernas dan inovatif untuk bangsa selain hanya meneruskan agenda pemimpin teratas tanpa banyak soal malah berani pula membuat tuduhan melulu. Maka sudah sampai masanya orang seperti itu diketepikan. Dato Seri najib seharusnya melihat perkara ini jika hendak mengembalikan maruah kerajaan dan Kabinetnya.

3. Sehubungan dengan itu, sudah cukuplah masa diberikan kepada seorang kolumnis di akhbar Utusan Malaysia, iaitu Tun Faisal, untuk memberikan ideanya tentang pendidikan negara. Siapakah beliau? Apakah kredibiliti beliau dalam bidang pendidikan sehingga melayakkan beliau diberi penghormatan sebagai kolumnis pendidikan? Utusan perlu menjawab soalan ini.
Apabila kuasa bersuara diberikan kepada seseorang maka dengan sendirinya segala kata-katanya seolah-olah benar. Benarkah demikian? Hakikatnya tidak demikian. Banyak lagi suara yang dirakamkan oleh golongan marginal mempunyai nilai yang lebih benar dan besar serta relevan.

Seterusnya, mari kita rakamkan penghargaan kepada semua pejuang yang sanggup berjuang dengan susah payah untuk mengembalikan bahasa Melayu di tempatnya yang bermaruah. Sekadar menyebut nama orang-orang tua yang sudah lama berjuang:
1. Dato Baharudin Zainal (Baha Zain)
2. Datuk Zainal Abidin Wahid. Saya sentiasa terbayang kegigihan beliau berucap dalam sidang akhbar dengan suara tersekat-sekat dan tangan terketar menandakan keuzurannya. Tetapi semangatnya tidak pernah uzur.
3. Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid
4. Datuk Hassan Ahmad
5. Datuk A. Samad Said
6. Prof Shahrir Mohd Zin
7. Prof Datuk Mohd Yusof Othman
8. Prof Teo Kok Seong
9. Nik Safiah Karim
10. Prof Abdullah Hassan
11. Ainon Muhammad
9. SM Zakir dan Shamsudin Othman kena sebut juga kerana mereka banyak menulis dengan berani yang luar biasa tentang isu ini. Mereka bukan orang tua walaupun masa tua tidak lama lagi kedatangannya.

Ramai lagi yang perlu diingati, termasuk mereka yang berarak dalam perhimpunan ke Istana Negara tempoh hari.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) juga juga sudah lama berada di hadapan dalam memperjuangkan isu ini, dan kadang-kadang menyokong Gerakan mansuhkan PPSMI. PENA sentiasa menjadi tempat perbincangan dan sidang media GMP.
Hari ini satu sidang media akan diadakan di Rumah PENA.

Seperkara lagi, para karyawan dan artis serta penyanyi yang selama ini mencari makan dengan lagu berbahasa Melayu tidak pernah kedengaran memperjuangkan isu ini. Jika tiada pendengar daripada orang Melayu nasib mereka tidak akan ada. Tetapi apabila bangsa Melayu berdepan dengan cabaran mereka tidak muncul sebagai pejuang. Sampaikan salam kepada mereka yang buta hati ini.
Mulai sekarang apa-apa sahaja majlis yang melibatkan DBP, sastera dan bahasa jangan dijemput para artis ini. Lebih malang sekiranya apabila mereka dijemput untuk menyanyi, bayarannya lebih besar daripada ilmuwan yang memartabatkan sastera.
Jika Majlis Anugerah Sastera Negara nanti bercadang untuk menjemput artis untuk menghiburkan para sasterawan dan budayawan, lupakanlah sahaja hasrat itu. Jimatkan duit DBP. Kami tidak rela membiarkan artis disanjung sedangkan mereka hanya datang untuk menghisap madu.
Pernah majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana menjamput penyanyi dan saya sebagai panel hakim berasa terseksa dengan pengalaman itu. Pastinya bayaran untuk mereka lebih besar berbanding dengan kami yang bertungkus lumus bekerja menilai dan menghakimi karya sastera.
Begitu juga dengan majlis anjuran Kumpulan Utusan untuk HSKU, jemputan artis sangat menyakitkan hati saya. Cukuplah setakat ini.

6 comments:

CucuOpah said...

Tuan,
Saya sokong sepenuhnya apa yang diperkatakan oleh tuan kali ini.

sahrunizam said...

Gembira selopak, kecewanya selaut. Terlalu sabar rupanya bangsaku sehingga tergamak menunggu untuk tiga tahun lagi. Barangkali kita semua sudah lupa bagaimana dasar ini dipaksakan kepada kita secara tergesa-gesa seolah-olah hari esok akan kiamat tanpa bahasa Inggeris.

saleeh rahamad said...

tiga tahun...mungkin penjelasan tidak diberikan. apa maksud tiga tahun itu? yang sebenarnya akan bermula tahun depan untuk tahun satu. yang lain boleh buat dalam BM dah kerana akhirnya ada soalan peperiksaan dwibahasa. jadi, buat apa guna BI lagi. atau mungkin menteri senagaja mengaburkan keadaan.

S.M. Zakir said...

Melayu memang bangsa yang teramat sabar... sabarnya sampai membawa pupus segala hak dan kepunyaan... hebatnya orang Melayu.

MARSLI N.O said...

Sandiwara jer. Sandiwara. Knp tunggu 3.

Rusdi Abd Rahman said...

Tuan,
Walau agak terlewat menitip komen, saya terpanggil untuk amat-amat bersetuju terutamanya dengan 2 kenyataan tuan iaitu:

- 3. Sehubungan dengan itu, sudah cukuplah masa diberikan kepada seorang kolumnis di akhbar Utusan Malaysia, iaitu Tun Faisal, untuk memberikan ideanya tentang pendidikan negara. Siapakah beliau? Apakah kredibiliti beliau dalam bidang pendidikan sehingga melayakkan beliau diberi penghormatan sebagai kolumnis pendidikan?

- Seperkara lagi, para karyawan dan artis serta penyanyi yang selama ini mencari makan dengan lagu berbahasa Melayu tidak pernah kedengaran memperjuangkan isu ini. Jika tiada pendengar daripada orang Melayu nasib mereka tidak akan ada. Tetapi apabila bangsa Melayu berdepan dengan cabaran mereka tidak muncul sebagai pejuang. Sampaikan salam kepada mereka yang buta hati ini.

Saya fikir hal ini harus dihebahkan meluas agar rakyat (khususnya juga masyarakat bahasa dan sastera) sedar, berfikir dan bertindak tentang hal ini secara serius!
Terima kasih atas lontaran kata tuan yang bermakna ini.