Monday, November 2, 2009

Menjelang aidiladha

(Ini kenangan memancing di lombong belakang dekat kampung saya. Berdiri di depan sambil memegang ikan haruan (ikan berocat, kata orang Perak) ialah Hashim Yusof, kini beliau menjadi Setiausaha Persatuan Hoki Malaysia. Di belakang sekali ialah Saaya bin Alang Arpi, kini pesara tentera laut. Kami menacing dengan jorang buluh lemang sahaja, dan umpannya cacing.

Di lombong ini terlalu banyak kenangan zaman kecil terbenam di dasarnya atau terselit di celah batang rempiang atau lalang sendayan. Kami menjadi lombong belakang kampung sebagai pusat pertemuan sewaktu cuti sekolah. Di sinilah kami memancing ikan, belajar berenang, dan sesekali mencuri buah sentul dan rambai masam milik Haji Pandak. Kawasan lombong ini asalnya ialah kawasan perlombongan bijih timah.

Semasa keci saya sempat menyaksikan operasi lombong bijih, berjalan di atas palung yang menyalirkan lumpur untuk memerangkap butiran bijih timah. Timbunan tahi bijih atau disebut amang juga menjadi tempat bermain kami. Kini semuanya sudah lenyap. Kawasan yang berdekatan dengan rumah Nor Saiful Zaini, bekas pemain hoki kebangsaan ini sudah lama tidak saya kunjungi.

Entah masih adakah keli dan puyu dan haruan, dan sepat, bermain di di celah daun teratai. Masih adakah buah sentul bergantungan di pohon yang menyayup. Masih adakah bekas tapak kaki kami di selut atau gema tawa kami tersangkut di ranting senduduk . Masih adakah percakapan kami bersepah di pinggir air. Adakah segala anasir alam di situ turut merindui kami?)



2. Diam tak diam kita sudah memasuki musim haji dan tak lama lagi menyambut aidil adha. Aidil adha bagi kami di kampung sama meriahnya dengan aidil adha kerana kami tidak ada peluang dan ruang lain untuk memeriahkan kehidupan. Hidup di kampung terpencil, apalah yang dapat kami saksikan selain senja merah datang sesekali dan bulan purnama mencerahkan langit. Maka itu, kami akan menyambut tarikh Islam yang penting, baik hari asyura, maulidur rasul, awal muharam, hari raya puasa mahpun raya haji. Kami akan menyediakan makanan dan hidangan seperti raya puasa juga walaupun jumlah kuih keringnya tidak sebanyak raya puasa dan baju raya tidak ditambah. Sambutannya tetap meriah dan kunjung-mengunjungi diamalkan. Sambutan itu dilakukan untuk mengisi hari penting kerana kami tidak ada korban. Kerana kesempitan hidup tidak pernah ada orang melakukan korban di kampung kami. Hanya sesudah dewasa barulah saya sedar ada ibadat korban rupanya pada hari raya haji. Kini sambutan raya haji tidak lagi semeriah dulu dan begitu juga hari raya puasa. Tiada lagi jiran datang berkunjung ke rumah. Jika tidak ada adik-beradik dan saudara mara maka tiadalah orang datang bertandang dengan berpakaian baru. Saya tidak dapat menerima kenyataan itu dan terasa kehilangan dalam hidup ini.
Hidup di kota berbeza sekali caranya. Walaupun seronok dengan rumah terbuka sebulan penuh Syawal malah melimpah ke bulan seterusnya, saya masih merindui sambutan raya haji di kampung yang dulu-dulu.
Raya kali ini kawan-kawan lama mengajak saya pulang ke kampung kerana mereka juga mungkin seperti saya: merindui masa lalu. Mereka tidak lagi menetap di kampung dan rumah kampung pun sudah tiada atau sudah didiami orang lain, tetapi semangat kekampungan mereka masih tebal.

Asyik teringatkan raya haji, panggilan Baitullah belum saya sambut. Alangkah berdosanya saya. Labbaikallahummalabaik...

7 comments:

ekspresi said...

assalamualaikum,
baik2 jangan terjun lombong. haha.
seronok juga mengenang zaman lalu dan nostalgia. kadang2 membuatkan kita ketawa dan sebak tiba2.

saleeh rahamad said...

hai yeop,
bila dan berumur memang sebak selalu. tapi sebak banyak perkara sebak.

Sham al-Johori said...

Pak Dosen,
Ehelehhhh sebak kononnnnn!
Saya doakan pak guru segera menyahut lambaian baitullah. Air mata di sana pastinya lebih syahdu daripada air mata di tepi lombong Chemor.
Mudah-mudahan, pak guru segera menjadi tetamu Allah dan meneguk rindu dan nikmat cinta yang tak terfikirkan di tanah para ambia itu.
Amin.

oppp:- di luar teks;

buah sentul pucuk setubung,
anak haruan mati kekenyangan;
apa diharap cinta di lombong,
gigit jari kiralah kenangan.

hehehe

saleeh rahamad said...

sebak tak ada air mata. air mata jatuh ke dalam perut

Nimoiz T.Y said...

Muka ganas pun sebak juga ke Pak Saleeh? Tak rock gini.

Hahaha. Ok, lepas ni terus gi buat rayuan nak pergi haji segera di pejabat tabung haji.

saleeh rahamad said...

saya baru nak belajar jadi penyair. kanpenyair selalu menyebut kesebakannya walaupun palsu? saya belajar dari haji sham berdasarkan sajak-sajak nuraninya. heheh.
nak lawan zakir terbit buku sajak maka jadilah penyajak.

kan susah sangat

Anonymous said...

Dr. Saleeh,

Sebak membaca entri ni.