Sunday, April 4, 2010

Air Terjun Lata Kinjang: Puisi tanpa kata-kata


Air Terjun Lata Kinjang, Tapah, sering saya lewati dalam perjalanan ke Ipoh. Dari Lebuh raya saya tidak akan melepaskan pandangan ke arahnya sambil menahan gayutan pertanyaan yang tidak pernah berjawab: dari mana datangnya air yang deras tidak putus-putus itu? Akhirnya pertanyaan itu saya susun dalam sebuah permainan bahasa, "Biarkan Sungai Itu".
Biarkan Sungai Itu

Entah di mana
puncanya
tiba-tiba sahaja
ia mengalir tanpa henti
seperti memburu
landai muara
dan laut saujana.

Kita biarkan ia
menerjuni jurang
—menghempasi lekuk
—melakari bentuk.

Kita biarkan ia
meningkahi jeram
—mengikis batuan
—mengheret serpihan.

Kita biarkan ia
menjalari lembah
—memesrai tebing
—mewarnai hening.

Biarlah nafasnya tenang
di gemeresik bayu rimba
dengan desir dan kocak sutera
—jernihnya memukau mata
—manisnya mencumbu rasa.

Biarkan ia
tenang memburu
landai muara
dan laut saujana
kerana tak mungkin
ia kembali
kerana tak mampu
ia mendaki
puncak asal
yang entah di mana.

Mingguan Malaysia
Mohamad Saleeh Rahamad
Sagu Hati hadiah Sastera Utusan

3 comments:

Sham al-Johori said...

Tuan guru,
cakap banyak tak nak, jom bawa teman2 mandi sama kat air terjun tu.
Jomlahhhhhhh!

saleeh rahamad said...

pakai seluar katuk tunjuk body kat orang perak. ha baru deme tau.

edolah said...

tak ada masalah..seluar katuk tunjuk body..kan skg dah pemerintahan dinasti zambry...