Thursday, April 1, 2010

Johnny Bikin Filem: Teks Artistik





Dalam gambar: Balu Allahyarham Anuar Nor Arai, Puan Zaharah serta Wafa Abdul Kadir (heroin Johnny Bikin Filem, Zack idris, Zulhanafiah Ismail (nampak hujung muka saja), dan anak Allahyarham juga).
Malam tadi saya menonton filem tunggal Allahyarham Dr Anuar Nor Arai, "Johnny Bikin Filem" yang dihasilkan pda tahun 1993/94. Pada siangnya saya telah menonton filem yang sama versi asal dengan durasi 4 jam tetapi tidak selesai kerana saya terpaksa menyambung kerja sendiri. Pada malamnya ditayangkan versi panggung yang telah disunting oleh Mahadi J Murat; durasinya 2 jam. Turut hadir ialah keluarga Allahyarham dan beberapa pelakon filem tersebut: Zack Idris, Abdul Ghafur Adnan, Wafa Abdul Kadir.
Tidak keterlaluan saya katakan bahawa filem itu memberikan kepuasan estetik yang tinggi melalui mis en scenenye, tatacahaya, kerja kameranya, dan prop serta setting yang memenuhi zeitgeist filem period tahun 50-an di Singapura walaupun lokasi penggambarannya di Pulau Pinang (dan Ipoh?). Pada masa penggambaran filem itu dahulu motosikal vintage yang disewa berderetan di sekitar kawasan pejabat kami. Terasa seperti kami berada di Studio Jalan Ampas ketika itu.

Cukup menguja tentu sahaja lakonan Jalaluddin Hassan, iaitu ketua Samseng yang bernama Mastiar. Karakternya solid dengan psike manusia yang terkepung dalam zaman yang serba mencabar. Saya terkejut melihat lakonannya yang tidak dapat saya temukan dalam filem atau drama lain. Anuar memang menghormati bakat Jalaluddin. Pernah dia berkata, berikan apa-apa sahaja skrip kepada Jalaluddin, nescaya dalam masa yang singkat dia boleh menghafalnya. Itulah sebabnya Anuar mengambil Jalaluddin berlakon dalam teaternya juga.Saya percaya Jalaludin Hasan mampu menjulang trofi pelakon pembantu terbaik dalam festival filem jika filem ini dipertandingkan. dahulu.

Ini genre filem noir yang memberikan rangsangan psikologi melalui kerja kamera Jamal Maarif dan Johan Ibrahim. Shotnya yang menerobosi ruang dan waktu, memberikan warna psikologi watak dan inti cerita.

Skor muzik dalam versi asalnya lebih terasa menepati psike watak-wataknya, tidak dibuat sembarangan. Memang lambat perjalanan ceritanya tetapi itulah hasrat Anuar. Dia sengaja menghasilkan karya yang dapat menterjemahkan teori filemnya. menonton versi asalnya seperti mengikuti kuliah filem, walaupun saya tidak mengambil subjek filem dengannya dahulu.

Kita tidak mungkin memperoleh kesan dramatik Quentin Tarantino tetapi terasa aura Martin Scorsese. Lakonan gaya Stanilavski membentuk dunia manusia yang berperang antara moral dengan perjuangan rimba.

Johnny dan Mastiar hanya sebahagian daripada manusianya kerana ada watak lain yang tidak hadir begitu sahaja tanpa gejala psikologi yang rencam dan rumit. Wong Sip Nem juga muncul dengan kejituan karakter ketua samseng Cina, begitu juga M. Amin yang memegang peranan Sharif Sutero yang tersepit dalam perang yang membahagiakannya. Anuar dapat membongkar kekuatan karakter setiap pelakonnya walaupu dalam filem lain mereka berada pada tahap mediocrity.

Saya ketepikan kekurangan realm dramatik dalam adegan pertarungan atau tembak-menembak kerana bagi Anuar Nor Arai, itu disengajakan bagi memenuhi ruang estetik. Dia yang sering menayangkan filem Bicycle Thief dan Battleship of Potemkin dan sering memperkatakan gaya filem Roshomon (Akira Kurosawa) dalam filem Semerah Padi (arahan P Ramlee) kepada pelajarnya dahulu sangat menyenangi filem artistik dan kegelapan psikologi manusia yang penuh rahsia. Dia tidak bermain dengan jenaka murahan atau aksi remeh mahupun dialog hambar. Dialog sangat selektif sehingga mendera penonton untuk menunggu patah-patah kata daripada mulut pelakon. Kegelapan menjadi ruang permainan watak yang disarati gejala psikologikal sehingga waktu siang menjadi sesuatu yang amat ditunggu-tunggu.

Malam dan hujan ialah bahasa seluloid yang membentuk simbolsisme. Terlalu jenuh waktu malam membawa naratif ke segenap sudut psike watak-wataknya sehingga yang gelap itu menjadi waktu terang sebenarnya. Dalam gelap terpamer segala wajah manusia yang resah dan ambivalence. Masing-masing mahu menutup pandangan daripada melihat realiti dan wajah sendiri seolah-olah enggan menerima hakikat kehidupan, tetapi dalam masa yang sama mahu menguasai realiti. Demikianlah simboliknya aksi kecil Johnny yang sering membungkus diri di dalam selimutnya sewaktu tidur. Dia tidak mahu menghadapi realiti yang menyeksa batinnya lalu membawa diri ke dalam kegelapan. Dia bersembunyi dalam ketakutannya.

Hujan menjadi simbol antitesis kepada bahang kehidupan di kota kosmopolitan. Mencurah-curah hujan menimpa watak-wataknya yang tidak pun cuba melarikan diri daripada timpaan yang deras itu. Mereka merelakan diri basah dan kedinginan tanpa sedikit pun petanda bahawa hujan itu sesuatu yang perlu dielakkan. Dalam hujan Mastiar dan Johnny bertarung dan diselingi tawa pura-pura Mastiar.

Manusia dalam dunia noir ini cuba menyembunyikan ketakutan dengan perlakuan yang pura-pura. Mastiar sentiasa ketawa walaupun ketika bertarung dengan Johnny. Malah dia tidak pernah menunjukkan kemarahan dalam nada yang konvensional. Tawanya adalah seperti selimut yang menutupi ketakutan Johnny pada cahaya. Dengan ketawa pada setiap detik, Mastiar sebenarnya menyembunyikan ketakutannya.

Banyak lagi simbol dan perlakuan simbolik yang dapat ditafsirkan secara semiologi dalam teks ini. Kajian lebih ilmiah dan teoretikal perlu diteruskan oleh sesiapa yang mahu membedah teks yang tebal dengan ikon, indeks dan simbol ini untuk mencari makna dalam jurang yang seperti abyss di Atlantik ini.

Filem ini perlu ditayangkan kepada umum dengan suntingan baharu supaya mood dan sequence ceritanya padu dan wujud flowness yang indah. Oleh itu, Universiti Malaya perlu berani mengeluarkan modal sekali lagi untuk membuat suntingan baharu. Sebaik-baiknya biarlah kerja penyuntinan dilakukan oleh Mior Hashim Manap kerana Mior sudah sering menemani kembara seni Anuar. Skor muziknya juga perlu digubah semula bagi menyerasikannya dengan karakter-karakter yang tepu emosi itu.

6 comments:

sinaganaga said...

dah lama tunggu peluang untuk menonton filem ini - masih tak dapat2 juga.

terbitkan dalam bentuk DVD sahajlah - kan ke molek.

saleeh rahamad said...

Suruh Dr Abu Hasan Hasbullah tayang di Pena dengan bayaran tiket untuk Pena sebahagiannya.

Rusdi Abd Rahman said...

Tuan Saleeh,
Sebahagian isi kandungan yang ditulis tuan dalam entri ini membuatkan ingatan kembali ke kelas arwah Dr. Anuar sekitar tahun 1993/1994...
Ketika itu baru mula mengenali beberapa istilah-istilah dalam filem.

S.M. Zakir said...

tayanglah kat mana-mana lagi.. DBP pun ok, minta kerjasama Wahab durasi 2 jam tu ok la.

Luqman Hakim QA said...

bila baca catatan tuan tutor ini, macam saya baca balik nota kuliah saya dulu. tapi saya tidak boleh ngaku sebagai anak murid arwah. cuma seperkara yang tidak disebut: arwah juga suka merujuk kepada trilogi The Godfather dan diaplikasikan dalam JBF ini. Juga ada beberapa yang lain. Membaca catatan ini, seperti membongkar semula apa yang saya belajar dua tahun dalam kelas filem arwah. Al-fatihah untuk beliau.

sinaganaga said...

Ada cara tak untuk JBF ditayangkan di Maskara? Tayang hok 4 jam tu.