Wednesday, March 11, 2009

tahlil untuk arena wati dan cadangan untuk DBP

semalam 11 mac saya ke Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bersama beberapa teman dalam PENA untuk menyertai majlis bacaan yasin dan tahlil untuk Sasterawan Negara Arena Wati. Turut hadir ialah Pengerusi ITNM, Datuk Wan hashim Wan Teh, bos ITNM En Khair Ngadiron, Ketua Pengarah DBP yang baru Datuk Termuzi Abd Aziz, Datuk baharidin Zainal (Baha Zain) dan teman-teman, sm zakir, amirudin ali hanafiah (ketua 1 PPJ pun dia juga), Dr Ahmad razali Yusof.

Saya disuruh (diarah, diminta?) oleh Datuk Baha supaya berucap mewakili PENA. Maka terpaksalah saya menjalankan amanah itu.

Saya membangkitkan beberapa perkara, termasuk menghargai usaha ITNM menganjurkan majlis itu (bersama PENA). Sasterawan besar yang luar biasa genius dan tenaga fizikal, dan akal fikirnya itu wajar sekali diberi penghormatan besar juga. Berada di alam barzakh sementara menanti kedatangan kita semua untuk bersama di padang mahsyar, beliau tidak memerlukan bintang kehormat , dato' tan Sri, atau apa-apa saja. Rasanya doa dan ucapan mulia lebih diharapkannya. Tapi bagi kita yang masih berkelana di alam fana ini, tentulah wajar melakukan beberapa tindakan demi melestarikan martabat mulia bangsa kita. Baik dalam bidang sastera mahupun bahasa, kemuliaan dan kehormatan perlu diberikan kepadanya.

Bagaimana dan apa tindakan yang patut kita lakukan?

1. Wujudkan satu pusat dokumentasi khas bagi setiap Sasterawan Negara, sama ada di DBP mahupun di Perpustakaan Negara. Semua fail, buku, catatan, diari (yang telah menjadi milik awam) hendaklah ditempatkan di situ selain di rak terbuka di semua perpustakaan di seluruh negara mahupun di negara jiran dan negara yang ada kaitan dengan pengajian Melayu. Kerajaan perlu menyediakn peruntukan khas untuk usaha itu. Inilah usaha yang dapat memperkenalkan Sasterawan negara kita. Sekarang amat sukar untuk mencari bahan terbitan mereka yang lama-lama kerana sudah tidak dicetak lagi.

2. Kembalikan tradisi majlis penyampaian Anugerah Sastera Negara di Bangunan Parlimen dan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong tentunya, bukannya di hotel milik kapitalis yang kerjanya hanya mengaut untung. Sasterawan ialah milik rakyat dan berjuang untuk rakyat marhaen, sedangkan kapitalis memiliki strategi mengaut laba sebanyak mungkin, hatta dengan menindas rakyat marhaen. Bukankah ironis apabila majlis itu diadakan di hotel lima bintang yang belanja makan seorang mencecah RM70 atau lebih? Dan jangn hendaknya ada penyanyi yang bebal akal fikir dan akal budi dan buta budaya dan buta sejarah yang dijemput untuk menyerikan majlis. Malah kita tidak memerlukan penyanyi pun jika mereka hanya mendendangkan lagu hedonistik. Kalau ada pun janganlah bayarannya melebihi bayaran untuk pembaca puisi, apatah pembentang kertas kerja yang bersifat akademik. Antara bakti akademik dengan bakti nyanyian hiburan, manakah yang lebih berharga?

3. Anugerahkan gelaran Sasterawan Negara dengan adil. Sudah kerap sangat kita membiarkan ruang kosong beberapa tahun tanpa diisi dengan penganugerahan. Selepas S Othman kelantan sampai kini tiada Sasterawan Negara yang baru. Tidak adakah sasterawan yang layak menerimanya? Kita sudah terlewat untuk mengiktiraf Pak Sako, A. Samad Ismail, A. Samad Ahmad, Shaharom Hussain, tetapi jangan sampai terlewat menyedari keperkasaan intuisi, cendekia, kreativiti, idealisme yang dimiliki oleh Baha Zain, Latif Mohidin, Azizi Haji Abdullah, Zaharah Nawawi, Kemala, Anwar Ridhwan dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa nama, ah klisenya kata-kata itu, tapi perlu juga untuk menjaga hati orang yang tak disebut namanya).
Calon terbaik sekarang ialah Baha Zain. Beliau tekal dalam idealisme dan prinsip perjuangan, penulisan, dan sumbangan idea.

4. Hadiah kepada Sasterawan negara hendaklah diperluas dengan memberikan pencen bulanan sehingga mati, sekurang-kurangnya RM3000 sebulan. Kita tidak mahu tertinggal oleh proaktifnya persatuan artis (SENIMAN) atau badan sukan yang memberikan pencen kepada orang mereka yang terpilih, sedangkan sumbangan sasterawan juga begitu besar kepada masyarakat dan negara bangsa (acuan Malaysia).

Dalam ucapan saya perkara di atas tidak sempat saya sebut kerana masa terbatas dan dikepung oleh suasana. Di depan saya ada KP DBP dan kepada beliau saya meminta agar mengembalikan DBP kepada landasan yang betul dan menjenamakan DBP sebagai sebuah badan yang gah seperti zaman dulu kalau pun tidak lebih baik. Gerakkan semula projek berkala yang tertangguh, terutama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (ini pun tak sempat saya sebut). Buktikan bahawa Datuk yang bukan dalam lingkaran sastera mampu menterjemahkan fungsi DBP yang sebenar. Carilah pandangan daripada orang di luar lingkungan DBP kerana pandangan dari luar lebih terbuka serta tidak mencari laluan kenaikan pangkat. Jangan ikut cara orang politik yang hanya mendengar cakap orang yang digajikan kerana mereka pati akan menyatakan maklumat yang menyenangkan hatio sedangkan keadaan sebenar di peringkat akar umbi jauh berbeza. DBP bukan hanay agensi kerajaan yang berkalung birokrasi tetapi milik rakyat dan bangsa. Tugasnya memelihara keutuhan bahasa dalam Perlembagaan. pastikan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sentiasa di pundak dan batu jemala.

kepada keluarga Arena wati saya mengucapkan rasa bangga kerana telah melorongkan laluan yang luas kepada beliau untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat melalui buah karyanya. Pengorbanan isterinya sangat besar kerana menjadi penjaga kebajikan beliau semasa beliau menulis. Tanpa pengorbanan isteri yang setia dan sangat dikasihi oleh Arena wati itu mungkin sukar bagi Sasterawan Negara tersebut menghasilkan sekian banyak karya yang besar dan hebat. Balu Arena wati juga dulunya seorang cerpenis tetapi bakatnya terpaksa dipendamkan dulu sementara suaminya sedan bergelut menghasilkan karya besar tanpa henti walaupun saat maut sedang bertandang di srambi hayatnya. Sekarang kepada bonda, sambunglah bakat penulisan itu dan hasilkan apa-apa sahaja tulisan yang diingini. Saya menyarankan agar beliau menulis sebuah memoir tentang pengalamannya menjaga kebajikan Arenawati sepanjang hayatnya. dari sudut pandangan isteri sasterawan besar tentu banyak lagi rahsia yang dapat kita peroleh. Ini sebenarnya diea yang disampaikan Dr Rosnah Baharuddin kepada saya semasa kami ke Riau bulan lepas. Jadi, saya cuma memanjangkan idea itu dalam majlis yang syahdu dan berkat.


Salam semua

Tahniah Salbiah Ani kerana masih bertahan memperjuangkan bahasa Melayu. Sudah saya katakan, tidak ramai wanita mampu menjadi pejuang. Anda akan termasuk dalam sejarah perjuangan bahasa di negara ini.

7 comments:

CucuOpah said...

Tuan,
Jelas sejak dua dekad yg lalu DBP tidak serius dlm mendaulatkan Bahasa Melayu. Peraturan2 yg ada sebelum ini tiada penguatkuasaannya, (atau mungkin dimansuhkan oleh menteri yg berkenaan?) hingga bahasa kita dipijak-pijak sesuka hati. Besar harapan saya agar KP baru ini akan membawa sinar baharu dlm pendaulatan Bahasa Melayu. Perkara yg paling pokok pun, rakyat bahkan pemimpin Kementerian Pelajaran sendiripun,(seperti dlm bualbicara di RTM1 tempohari) masih keliru dgn nama bahasa kita. Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu? Hangat hati saya melihat beliau asyik menggelar bahasa kita sbg Bahasa Malaysia. Bagaimana kepala, begitulah ekornya. Kepala ini kita kena perbetulkan dahulu. DBP kena tegas.

Salam hormat.

CucuOpah said...

Tuan,

Err.. Dato' Baha dulu org kuat DBP ye? Maka ini kenyataan pahit utk beliau. Pahit itu ubat. Tapi skrg saya tabik Dato'. "Better late than never." Mungkin tuan boleh sampaikan pertanyaan dari saya, "Kenapa dulu begitu dayus?" Mungkin ada penjelasannya.

Maaf jika terkasar..(tolong jgn padam komen ini, ye tuan)

Salam hormat.

saleeh rahamad said...

cucu opah,

sdr salah tanggap dengan dato Baha. beliau tidak pernah dayus. beliau sudah berhenti dari dbp sejak berpuluh tahun dulu demi prinsip. dan beliau bersara tanpa pencen. ini orang perjuangan. sdr jangan sebarangan guna istilah sebelum buat andaian. pelajari sejarah dulu.

CucuOpah said...

Tuan,

Maaf jika saya buta sejarah tentang Dato' Baha. Ampunkan saya Dato'. Mungkin kerana prinsip Dato' yg bertentangan dgn kehendak org atas itu, maka Dato' telah dinafikan hak pencennya.. maka tabik saya kpd Dato' jadi lebih kemas dan tinggi. La Tahazan. Allah itu Maha Adil. Tak di sini, di sana nanti.

Tapi yang nyata KP-KP dan pemimpin2 DBP sebelum ini sememangnya dayus. Luluh hati rakyat seperti saya ini, yg tak mampu bersuara lantang, melihat Bahasa Melayu dipersenda begitu sekali. Seharusnya mereka peka dalam setiap perkembangan dan usaha penguncupan bahasa kita. Harap KP DBP yg baru ini, tidak meneruskan tradisi dayus ini.

Salam hormat.

bahazain said...

SALAM SDR SALEEH
SERONOK MEMBACA PAPARAN SDR YG SENDAT DENGAN IDEA SERTA CADANGAN.PUCUK PIMPINAN DAN PEGAWAI PERANCANG KORPORAT DBP TENTU BOLEH MENIMBA BANYAK ILHAM ATAU IDEA. KALAU DBP ITU SELALU BERADA DLM DIALOG, DEBAT DAN DIALEKTIKAL, BERERTI IA PENTING . KALAU TIDAK , DBP TAK BERMAKNA APA-APA PADA KITA SEMUA.KALAU KITA BENCI PUN TERHADAPNYA, JANGAN CERAIKAN DBP DALAM HIDUP KITA KERANA IA TETAP BERPOTENSI BESAR MEMPERKASA BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA BANGSA KITA.
SAYA TAK MARAH KALAU CUCUOPAH BERASA GETIR TERHADAP DBP ATAU SAYA KERANA ITU TANDANYA BELIAU SANGAT PRIHATIN TENTANG NASIB BM.
TENTANG KETEKALAN SAYA MENCINTAI BM
SAYA TAK MENGHARAPKAN APA2 KERANA SAYA SANGAT PERCAYA KALAU NIAT IKHLAS DLM APA JUA PERJUANGAN YG BAIK, TUHAN AKAN MEMBERIKAN RAHMATNYA ( DI SINI ATAU DI SANA NANTI).APABILA SDR MENYEBUT ANUGERAH /HADIAH SASTERA SAYA TERKENANG ARWAH KERIS YG SEWAKTU MEMIKIRKAN KONSEP "HADIAH KARYA SASTERA' DAN KEMUDIAN 'ANUGERAH SASTERA NEGARA" BELIAU SERING BERBINCANG DENGAN SAYA.ALHAMDULILLAH AKHIRNYA MENJADI TRADISI, WALAUPUN TERSENGGUT -SENGGUT.INILAH KEPUASAN
BAGI YG TERLIBAT DLM MENCETUSKAN APA-APA GAGASAN.KALAU SDR TAK INGIN BERASA TUA CEPAT JANGAN JAUHKAN DIRI DARIPADA BERGELUT DENGAN IDEA DAN GAGASAN UNTUK MELESTARIKAN BUDAYA BANGSA.INSYAALLAH.

Nisah Haji Haron said...

Salam,
Sangat setuju jika Anugerah Sastera Negara diadakan di Parlimen.

lutfi said...

Saalam.
Betul, mengembalikan ucapan dan anugerah SN di Parlimen sangat baik dan tepat.