Friday, April 3, 2009

cerita amirul fakir dan mesyuarat Lepas

Hari ini rasanya hari baru bagi Malaysia kerana menerima ketua eksekutif yang baru dan agak kontroversial. Antara tindakan beliau yang pertama ialah membebaskan 13 tahanan ISA dan mahu mengkaji ISA. Satu lagi tindakan segera yang patut dibuat ialah menghapuskaan PPSMI. Rasanya tindakan ini akan mengembalikan kepercayaan sebahagian besar rakyat terhadap kerajaan pimpinan beliau. Saya tidak berniat membahaskan isu peribadi beliau yang menjadi bualan politik kerana saya berada di luar lingkungan itu. Perhatian saya ialah soal nasib bangsa yang seterusnya. Saya yakin beliau masih menyimpan sejarah kemegahan bapanya Tun Razak dalam memartabatkan bahasa Melayu apatah lagi kini keadaan semakin mendesak beliau ke meja keputusan rasmi. Di tangan beliaulah kuasa untuk memansuhkan PPSMI, bukannya Hishamudin atau Mahathir lagi. Jika beliau gagal memastikan persoalan ini diselesaikan menurut hasrat rakyat marhaen Melayu, beliau akan menyambung kegagalan pemimpin yang sedia ada dan yag terdahulu.

Datuk Najib, buktikan bahawa sdr juga bersemangat jelas seperti Tun Razak yang sentiasa dikenang orang sehingga kini. Namanya harum di hati dan ingatan Melayu.

2. Esok 5 April 2009 akan berlangsung mesyuarat agung Lembaga Pembangunan Sastera Perak (Lepas) di Kuala Kangsar. Saya yang menjadi ahli seumur hidup belum pernah sekali pun menghadirinya kerana kesuntukan masa. Tetapi saya yakin barisan yaang sedia di Perak mampu menggalas tanggungjawab menghidupkan tradisi persuratan di negeri itu. Kalau sempat, esok saya akan menghadirinya.

3. Teman kami, Amirul Fakir yang merupakan pengarang kumpulan cerpen Mea Culpa sedang sakit. Sakitnya sudah lama dideritai dan kami juga sudah lama tidak menziarahinya.Kali terakhir kami mengunjunginya tahun lepas rasanya. Kami bercadang untuk menziarahi beliau di rumahnya di Taman Meru, Ipoh, minggu depan (Sabtu 11 April), agaknya. Zakir dan Shamsudin mungkin akan mengumpulkan beberapa teman yang berminat untuk ikut serta.

Sdr. Amirul mungkin memerlukan sokongan moral dan bantuan material untuk membiayai keperluan kerana beliau tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sudah lama tidak bekerja. Walaupun beliau tidak pernah meminta bantuan, sebagai teman, saya dan kawan lain cuba memahami keadaannya. Oleh itu, sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan, silalah lakukan dengan segera. Sila hubungi saya atau Shamsudin Othman atau SM Zakir untuk mengetahui kaedah penyaluran sumbangan.

Jangan tanya saya apa penyakit beliau kerana saya dan dia pun gagal mengesannya secara klinikal. Penyakit misteri sentiasa menghantui kita. Yang penting, kita bantulah teman sedaya mungkin.

salam pagi sabtu.

2 comments:

CucuOpah said...

Tuan,
Kita tunggu dan lihat. Tetapi jangan tunggu lama-lama. GAPENA kena tetapkan tarikh luput untuk tindakan selanjutnya.
Salam hormat.

D'Rimba said...

Terima kasih pejuang bahasa sekalian atas kemenangan bermakna..

Sesal hanya datang sekali
tapi lukanya sepanjang hayat
lukanya berparut berabd-abad.


Petikan karya hebat saudara yang telah menyerap masuk ke dalam hati saya....Terima kasih.