Wednesday, April 22, 2009

pesta buku kuala lumpur, teater DBP,dan Madu Tulen

Saya mengeraskan hati membelah ibu kota untuk melihat-lihat pesta buku di PWTC semalam, 22 April. Benda pertama yang saya beli ialah madu lebah dari Iran yang dijual di sebuah kedai tetap di sekitar keramaian pesta buku tersebut. Penjualnya ialah seorang remaja Iran yang kelihatan seperti remaja di mana-mana juga: berseluar jeans bermuda, berkemeja T dan berjaket agak rugged. Harga yang dipamerkan ialah RM15 sebotol dan segera dijelaskan oleh penjual itu bahawa harganya boleh dikurangkan kepada RM25 jika dibeli dua botol. Menyedari keraguan bersarang di benak saya tentang ketulenan madu itu, sebagaimana seringnya saya meragui ketulenan madu yang terjual di merata-rata tempat, sering pula saya terpedaya oleh penjual di Kuala lumpur atau di Pahang, dia menenangkan saya: "Ini madu original dari datuk saya punya farm." Bahasa Melayunya bercampur tapi tidak pula saya terasa terhina, malah saya menghormati usahanya. Saya yakin dia boleh berbahasa Melayu dengan baik (walaupun bercampur Inggeris) kerana pertanyaan seterusnya saya ajukan dalam bahasa Melayu dan dijawabnya dengan lancar. Jika pemuda Iran ini boleh berusaha bercakap Melayu dengan campuran Inggeris dia tidaklah sehina menteri Kabinet yang sering mencampuradukkan bahasa dalam satu ayat sahaja seperti yang terpapar di kaca televisyen. Mungkin kerana menghormati usahanya untuk menggunakan bahasa Melayu selain memang saya sedang mencari madu tulen, maka saya membeli dua botol madu tersebut. Sekurang-kurangnya ini bukti kecil bahawa usaha dagang boleh berjaya dengan bahasa Melayu!

2. Saya bertemu dengan Amiruddin Ali Hanafiah, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), tidak jauh dari gerai madu dan segera meminta bantuannya untuk menukar wang sebagai harga belian madu. Kemudian kami menyusuri gerai buku yang pelbagai judul dan bidang. Singgah di gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia saya membeli beberapa buku karya Edward Said, Malek Ben Nabi, Clifford Geertz, dan buku sastera tradisional Brunei di gerai DBP Brunei. Di gerai MAPIM saya membeli dua lagi buku yang menarik juga dan terpaksa melepaskan sebuah buku yang terlalu mahal sedangkan isinya cuma kumpulan kertas kerja yang sebahagiannya telah saya miliki daripada seminar mahupun majalah Dewan Sastera. Saya mengurungkan hsrat untuk membeli buku memoir Obama. Mungkin saya akan membelinya juga atau meminjamnya saja daripada Amiruddin. Amiruddin membelinya dengan alasan kukuh: "Aku nak belajar macam mana nak jadi macam dia." Memang ada kewarasannya alasan itu kerana teman saya ini sangat rajin mencari peluang untuk menjadi pemimpin. Dan di koceknya terlalu banyak rahsia orang lain yang boleh dimanipulasikan sebagai bahan kempennya.

3. Saya beredar ke bilik sembahyang pada pukul 6:30 selepas bertemu dengan Sdr Yusman di gerai Penerbit UTM.Perjalanan pulang ke rumah selepas itu tidak menyakitkan hati kerana jalan agak selesa dilalui.

4. Selepas maghrib saya ke DBP untuk menonton teater kerana satu sebab sahaja: ingin menyaksikan lakonan teman kami, Rahimidin Zahari. Ternyata pementasannya yang berdurasi 10 minit dan yang terakhir daripada lapan kumpulan itu memberikan kepuasan kepada saya berbanding pementasan daripada yang lain. Apatah lagi Rahimidin berperan sebagai dalang, dunia ajaib yang telah lama ditekuninya. Dan dia pula hanya berkain sarung batik, bersemutar, dan berbaju perak(e pepet) atau singlet. Bukan senang hendak melihat Rahimidin berbaju perak!apatah lagi pelakon seorang lagi merupakan pasangannya yang tepat dan menguja teman-teman lain.

Dan kami sambung ulasan teater Rahimidin di gerai bucu (dekat DBP), bersama Sutung Umar RS, Khalid Salleh, SM Zakir, Shamsudin Othman, Saifullizan yahaya, Ikram, Sabri Yunus, dan pelajar Singapura di UM yang duduk di meja bersebelahan. Ulasan itu bagaimanapun, tidak tersiar di mana-mana media.

4 comments:

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Awak pun kat PWTC semalam, tak jumpa pun! tapi jam 2 sudah balik ke pejabat...terus ke jabatan pengarang di jln chan sow lin. Tak tersinggah plak di gerai madu, kalaulah ada space lebih di booth utusan, mahu juga menyelit serbuk penaik! hehehe

MKriza said...

Encik Salleh... jemput ke mkriza.blogpot.com

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt.,

Maaf tadi 26/4 saya jumpa En Salleh. Nak negur, En Salleh tengah sembang dengan Datuk Baha. Saya tunggu sekejap sebelum beredar ke majlis PENA. Pertengahan majlis, saya terpaksa bergegas balik atas urusan peribadi. Dan, saya tak jumpa En Salleh. Salam Kemaafan.

Hamir Habeed Mohd

saleeh rahamad said...

hameer,
lain kali kita jumpa lagi. ada rezeki kita ke masjid sunan ampel surabaya lagi. munajat di ttepi tiang serinya.