Tuesday, June 30, 2009

royalti buku DBP

saya menerima surat pemberitahuan royalti yang saya terima untuk makalah saya yang diterbitkan dalam buku Kajian Bandingan Cerpen Sebelum Merdeka: Malaysia Indonesia Negara Brunei Darussalam. Royalti itu begii perkiraannya:
Kulit lembut
9 nask X RM30.00 X 8%=RM21.60 bahagi 6 karya= RM3.60

Tiada bayaran dibuat bagi tahun ini kerana jumlahnya kurang daripada RM20. Jumlah ini akan dikreditkan dalam perkiraan royalti akan datang.


Kulit keras

7 nask X RM35.00 X 8%=RM19.60 bahagi 6 karya =RM3.27
Royalti sehingga 2008 =RM28.93
Jumlah = RM32.20

Jumlahnya kurang daripada RM140.00, iaitu bayaran yang dibuat ketika buku terbit 2007.

Kesimpulannya saya tidak mendapat apa-apa daripada jualan buku bagi tahun 2008.

Nak menangis pun ada. bukan nangis kerana tak dapat duit tapi nangis kerana inilah rekod jualan buku DBP yang diurus oleh DAWAMA. Macam tak logik tapi itulah yang berlaku. Tidakkah ada perpustakaan universiti seluruh Malaysia mampu membeli tiga buah? Atau buku itu disorokkan di dalam stor DAWAMA?

Apa pendapat anda...perlukah saya ketawa? hahahahaha

Sunday, June 28, 2009

emak yang dah lama pergi

saya terharu baca blog RMN tentang ibu.

maka saya turunkan cerpen saya yang dah lama ni. cerpen ni dah terbit dalam antologi Rindu Bersemi di Kundasang terbitan pelajar pengajian media Um.


MATA AIR KASIH



Di kota ini Sungai Kelang dan Sungai Gombak sudah tidak berguna lagi untuk menampung kekontangan air di setiap rumah. Selagi ada sungai yang bersih airnya orang kota akan berlumba-lumba mencelumkan diri ke dalamnya kerana paip di rumah masing-masing sudah menjadi batang besi buruk sahaja.

Hari raya korban kali ini ke mana kami? Cuti hanya sehari tapi di sini kering kontang. Sungai di sini cuma aliran keruh minyak, lendir, dan lumpur yang masam dan hanyir walaupun belum lagi kering dan mampus seperti Sungai Ceper di kampung Shahnon. Kalau balik pun masa hanya habis di tengah jalan kerana cuti hanya sehari. Di kampung pun apa yang ada. Selalunya pun, setiap kali hari raya paip di kampung juga tidak berair dan berdedai-dedai juga kami sekampung mencari sungai di kampung sebelah kerana kampung kami tidak bersungai.

Di kampungku tidak ada Sungai Ceper seperti di kampung Shahnon kerana kampungku terletak di atas bukit; cuma di lembahnya ada paya yang pernah menjadi tempat limbat berlubuk dan sepat menganga sekejap-sekejap di permukaan kolam. Tetapi aku ada ibu yang lebih kurang sama dengan ibu Shahnon—dilemahkan oleh angin ahmar sejak tujuh lalu.

Paya-paya yang dahulu berlinang dengan air kini sudah senasib dengan Ceper, sudah tertimbus lama dahulu. Yang tinggal cuma parit kecil dan paya yang jarang sangat berpayanya. Telaga yang dulu cukup banyak di sekitar lembah keliling kampung pun sudah terkambus. Sejak paip air menjalar di dalam tanah dan mencangukkan muncungnya di setiap rumah, telaga-telaga yang dulu tempat orang kampung kami berdulu-duluan mencedok airnya kini sudah hilang entah ke mana. Aku pun tidak tahu bagaimana telaga-telaga itu boleh terkambus, dan kalau ada pun yang tertinggal, di dalamnya penuh dengan rumput dan sampah-sarap. Mata airnya sudah tumpat.

Apabila aku balik ke kampung pada Krismas dan hari raya puasa lepas orang kampung tidak dapat lagi menikmati air telaga sebagai pengganti air paip yang sudah tidak keluar sejak dua hari. Mereka terpaksa ke sungai di Kampung Ulu Chemor untuk mandi dan membasuh kain. Aku pun terpaksa bersama-sama memakai kain basahan semula untuk mandi di sungai. Mujurlah sungai itu masih bersih kerana di hulunya cuma ada perkampungan Orang Asli, Sungai Baduk. Cuma sesekali airnya keruh akibat landaan hujan ke atas tanah yang sudah dibotakkan oleh lori-lori balak. Orang Asli sendiri tidak tahu mencemarkan sungai. Malah mereka hidup dengan sungai. Tanpa sungai sengsaralah mereka kerana di situlah tempat kelah, sebarau, tengas, atau sesia berlubuk dan menunda arus di celah-celah batu; di situlah sumber air minum dan membasuh diri. Mencemarkan sungai dengan keladak rumah dan hampas perut samalah dengan mencampurkan makanan dengan najis. Batin Mahat tidak akan buat begitu; Daud tidak akan buat begitu; dan anak-pinak serta cucu-cicit dan saudara-mara yang lain tidak akan buat begitu. Sungai nadi kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi apabila Haji Latif yang datang sekali minggu dan bermalam di perkampungan Sungai Baduk untuk mengajarkan fardu ain kepada mereka yang baru mengenali syahadah kerap mengambil wuduk sambil berkumur-kumur di sungai itu. Kalau Haji Latif sanggup guna air sungai untuk berkumur dan menggonyoh-gonyoh gigi dengan pasir halus sungai sebelum mengambil wuduk, kenapa pula air sungai itu mesti dikotori. Kami pun, semasa kecil dulu, apabila perut terasa memulas ketika memekap keli atau memanah sebarau atau bermain perang tanah liat di sungai tidak sekali-kali melepaskan hampas perut ke dalam air. Sebaliknya akan kami korek pasir di tebing untuk menyalurkan sisa itu. Kadang-kadang memanglah kami terkorek juga simpanan kawan-kawan lalu beralihlah kami ke tempat lain. Dengan cermatnya menjaga sungai, maka kekallah air sungai itu jernih walaupun alurnya kini semakin sempit dan tohor.

Semasa air paip belum masuk ke kampung dulu, telagalah menjadi harapan kami. Rumahku yang terletak betul-betul di tengah bukit memudahkan kami ke empat arah untuk mencari telaga. Paling jauh, ke arah utara, ada telaga Mak Cik Yon dan telaga Pak Darus. Telaga itu jauh tapi airnya penuh. Sekarang telaga Mak Cik Yon entah di mana—mungkin sudah penuh dengan lumut dan racun kerana sudah dijadikan takungan air kebun Cina. Air dari situlah yang dijadikan sumber untuk meracun serangga sayuran. Telaga Pak Darus inilah yang satu-satunya masih ada dan tidak pernah kering, samalah dengan Pak Darus—masih hidup walaupun tubuhnya sudah kecut bongkok dan kering dengan kulitnya yang berwarna rentung. Telaga itu sahajalah yang pemurah seperti Pak Darus dan arwah Mak Cik Mah yang tidak pernah berkira dengan air telaga atau apa-apa sahaja yang mereka ada. Agaknya disebabkan pemurah merekalah air telaga itu tidak pernah kering dan masih digunakan.
Menghala ke matahari terbit ada telaga Pah Saadiah yang bergelung dan berlumut hijau di kelilingnya, ada telaga Pak Junus yang bergelung tetapi airnya terlalu cetek hinggakan kami terpaksa menunggu mata airnya melelehkan air sebelum menyambung cedokan—kerap sangat yang tercedok sama ialah serpihan kelikir dan tanah liat yang mendasari telaga. Kemudian kerajaan membina satu lagi telaga pam berhampiran telaga Pah Saadiah dan telaga Pak Junus dengan kedalaman tiga kali ganda daripada kedua-dua telaga tadi. Kami pun bermewahlah dengan airnya yang dapat disedut dengan pam.

Ketika itu ibu masih kuat benar. Ibu masih kuat mengandar air dari bawah bukit ke rumah untuk kegunaan kami sekeluarga. Dengan pengandar buluh kuning yang juga digunakan untuk mengandar susu getahnya, ibu akan mengangkut air pagi dan petang untuk memenuhkan tempayan. Kadang-kadang ibu akan ke telaga kerajaan yang terletak ke arah selatan berdekatan rumah Wan Cah. Telaga ini sudah terlalu tua. Kedalamannya mungkin menyamai ketinggian pokok kelapa berumur dua puluh tahun. Dan kami tidak pernah mampu mencedok airnya tanpa menggunakan kili kerana kedalamannya itu. Malah airnya pun tidak kelihatan dari atas; kami tahu airnya masih ada apabila sebiji batu dicampakkan lalu debur kecil sayup-sayup berbunyi di bawah yang gelap itu. Kemudian kili itu akan mengeluarkan bunyi keriuk-keriuknya ketika ibu menurunkan timba ke bawah. Selepas pasti air sudah memenuhi timba ayan ibu akan menarik tali kili dan kadang-kadang timba itu berlaga pada dinding telaga. Biasanya air yang sampai ke atas cuma separuh kerana sudah tertumpah ketika berlaga-laga dengan dinding telaga. Ibu akan menurunkan semula timba itu dan menariknya lagi untuk hanya air yang separuh. Itu pun ibu masih kuat. Dan aku yang masih kecil cuma mengangkut baldi kecil berisi air pulang ke rumah, membuntuti ibu yang terhegeh-hegeh dengan pengandar buluh kuningnya. Mataku akan terpaku pada betis ibu yang putih warisan darah Cinanya.

Jika telaga Wan Cah digunakan orang, ibu akan ke telaga Pah Yam yang menghala ke arah mata hari jatuh. Telaga itu airnya penuh melimpah kerana letaknya betul-betul dekat paya. Agaknya mata airnya ada di tubir-tubir telaga. Aku seronok juga ke situ kerana kadang-kadang dapat mengendap cucu Pah Yam mandi. Tapi biasanya yang aku lihat ialah gurau senda Abang An dan Kak Cot yang baru berkahwin. Gurau senda mereka tampak kasar juga tapi gelak tawanya tidak berhenti mengekek. Aku pun tidak jadi ke telaga selalunya apabila terlihat gurau senda itu kerana pernah ibu memarahi aku mengendap mereka. Lagipun aku terasa malu sendiri apabila terlihat Abang An sengaja melondehkan kain basahnya di depan Kak Cot dan kemudian Kak Cot ambil sabun lalu membalingi Abang An. Ketika itu aku rasa, mereka seronok sangat mandi kerana air telaga itu banyak sangat, sampai melimpah.

Lebih dekat sedikit ada telaga Mak Tua. Telaga ini terletak di bawah bukit, dikelilingi pokok getah. Untuk menuruni bukit ke telaga Mak Tua ibu akan pelan-pelan memijak anak tangga yang terbina sendiri dengan sokongan banir getah yang berselirat; dan ibu tidak pernah tergelincir. Telaga Mak Tua lebih mudah dicedoki kerana airnya banyak. Kejernihannya tampak jelas hingga dasarnya boleh dilihat walaupun kedalamannya boleh melemaskan orang setinggi ibu berdiri.

Telaga ini sudah seperti telaga kami sendiri kerana antara keluarga kami dengan keluarga Mak Tua amat rapat, walaupun tidak ada pertalian saudara. Susah senang kami hanya diketahui oleh Mak Tua dan susah senang Mak Tua juga akan kami ketahui dahulu. Mak Tua yang sudah 80 tahun lebih, bagaimanapun, masih boleh menyapu sampah dan menanam bunga di halaman rumahnya--tidak seperti ibu. Dan Mak Tua tidak pernah lupa menitipkan pesan kepadaku setiap kali aku berkunjung ke rumahnya: “Jaga mak kamu tu. Dia tak ada saudara.” Kadang-kadang Mak Tua akan menangis selepas bercakap panjang. Dan aku pun tidak sanggup menunggu lama mendengar cakapnya lagi.

Entah siapa saudara ibu, tidak aku ketahui. Malah tidak ada sesiapa pun yang mengetahui datuk nenek sebelah ibu. Yang kami tahu ibu keturunan Cina yang dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga di estet Sungai Siput. Kata bapa, emak dan ayah ibu sudah mati ditembak komunis. Kalau begitu siapa adik beradiknya? Pun tiada jawapan. Malah tiada sesiapa pun yang mahu berusaha menjejaki saudara-mara ibu. Hanya Mak Tua yang mungkin tahu tentang asal usul ibu tetapi Mak Tua pun tidak tahu apa-apa. Yang selalu dicakapkan oleh Mak Tua : “Emak kamu tak ada saudara.”

Aku hanya mengetahui hal ini setelah meningkat dewasa dan setelah ibu terkedang di atas katil selepas terjatuh dua tiga kali ketika hendak ke bilik air. Barulah aku tahu bahawa ibu cuma ada keluarga angkat selama ini yang aku panggil tuk dan opah. Tetapi kedua-duanya telah mati di estet Heawood Garden, Sungai Siput. Ibu cuma ada seorang adik angkat lelaki, Pakcik Din. Adiknya yang satu inilah saudara ibu tetapi Pakcik Din pun, resam saudara angkat yang tidak ada kepentingan apa-apa lagi, tidak pernah menziarahi ibu sejak kira-kira enam tahun lalu. Maka semakin keseoranganlah ibu dalam dunia ini jika tidak ada bapa dan anak-anaknya.

Bahana tidak menggunakan kudrat betisnya sejak jatuh sakit terkedang di katil, sekarang betis ibu sudah tidak berbuah lagi. Yang tinggal cuma sejemput daging yang sudah kecut, melekat pada tulang di bawah lapisan kulit putihnya yang juga sudah lembut sangat. Sesekali aku memegang betisnya, yang terasa cuma kenyal-kenyal. Aku tidak lagi dapat memicitnya apatah lagi memijaknya sebagaimana yang selalu diminta oleh ibu ketika sihat dulu. Dulu ibu yang sudah penat menoreh pada siangnya; mengangkut air dari telaga; menebas lorong getah sementara menunggu susu habis menitik; membasuh kain di telaga; menggosok baju bapa dengan seterika kepala ayam dan arang yang kemerahan di dalamnya; mengait, mengupas, dan mengukur kelapa; memasak untuk kami sekeluarga; mengait, mengupas, dan menggodek kekabu untuk membuang bijinya; dan seribu satu kerja lagi, akan meminta aku memijak betisnya setiap malam. Dalam kemalasan zaman kanak-kanakku arahan ibu tidak dapat kuelakkan. Ibu akan memarahiku jika aku hanya memijak buah betis sekali dua dan kemudian berbaring semula. Tetapi sekarang apabila aku cuba memicit betisnya, ibu akan menjerit kesakitan. Kulitnya pun akan segera memerah. Ibu akan menangis akhirnya.

Bapa pun akan menegur dari katilnya yang terletak kira-kira seluluh kaki dari katil ibu: “Sakit dia kalau dipicit.” Nada bapa marah tetapi sekarang bapa pun hampir seperti ibu, tidak mampu mengeluarkan kata-kata kemarahannya. Sejak menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di kepalanya akibat terjatuh enam bulan lalu, bapa juga sudah terkedang di katil, tidur sepanjang hari. Nasib baiklah bapa boleh bangun dalam kepayahannya untuk ke bilik air. Kemudian bapa akan tidur semula. Kemudian bapa akan bangun untuk makan dan minum berkali-kali dalam satu waktu yang singkat. Kemudian bapa akan bangun terketar-ketar ke bilik air apabila kainnya dilelehi air kencing akibat tidak mampu menanggung lama. Bapa akan bertukar kain lima enam kali dalam sehari kerana tidak dapat menahan kencing. Tetapi mujurlah dalam kepayahan itu bapa masih boleh ke bilik air sendiri--tidak seperti ibu.

Ibu hanya terkedang di katil. Kencing dan beraknya tidak diketahui sehinggalah kami tercium baunya atau tilamnya sudah basah apabila lampin lupus ibu sudah tidak tertanggung bebanan air kencing ibu. Ibu betul-betul seperti bayi—semuanya mesti diuruskan oleh orang lain. Mujurlah adikku Sarina yang baru habis belajar di UIA sanggup duduk di kampung menjaga ibu dan bapa. Walaupun dia bekerja pada siangnya, malamnya dia ada di rumah. Sakit pening ibu dan bapa akan ditanganinya sendiri. Mak Ngah, kakak bapa akan menjaga ibu dan bapa pada siang—memasak dan menyuapkan makanan kepada ibu, melayan bapa yang sudah seperti kembali ke alam kanak-kanak. Mujurlah Sarina sanggup. Tetapi sampai bila? Sampai bila dia tidak berumah tangga? Sedangkan abangku sudah mempunyai berbelas-belas anak daripada dua ibu; Kak Yon kakak sulungku juga sudah mempunyai sepuluh anak; Yang, kakak tengahku, sudah ada enam anak,; Nyah sudah ada dua anak; dan aku sudah empat, dan sekarang isteriku mengandung lagi. Yang beranak menambah anak, tetapi adikku menjadi penjaga ibu dan bapa di rumah. Katanya dia tidak berani menerima pinangan orang, takut-takut suaminya nanti tidak mahu tinggal di kampung dan menanggung susah payah menjaga ibu dan bapa. Kami yang lain ini siapa pada ibu?

Sesekali aku terfikir: Ibu sekarang samalah macam telaga buta. Lubangnya masih ada tapi mata airnya sudah tumpat. Ibu tidak menyumbang apa-apa lagi. Yang ibu tahu hanya terkebil-kebil di atas katil dan kemudian mengerang-ngerang apabila lapar atau dahaga. Ibu tidak tahu lagi menyatakan kemarahannya dengan kata-kata kecuali menangis mengogoi seperti anak kecil. Alangkah jahat dan baculnya fikiran itu. Bukankah ibu telah melahirkan kami enam beradik dan bersusah payah membesarkan kami dengan tenaga wanitanya memanjat bukit menoreh getah, menyusup di bawah junjung kacang dan pokok terung yang miang untuk mencari duit? Bukankah ibu juga yang memberikan jalan kepada kami untuk menuntut ilmu sehingga sanggup berpanas terik untuk membiayai yuran dan belanja sekolah walaupun ibu sendiri buta huruf? Bukankah ibu juga yang melakukan segala-galanya ketika bapa mempunyai dua rumah dahulu? Bukankah?

Bukan! Ibu bukan telaga buta. Ibu yang yang terkedang lembik macam kangkung layu dan sesekali mengeluarkan bunyi seperti keriuk kili berkarat di telaga Wan Cah sebenarnya ialah mata air yang sentiasa mengalirkan air suci ketika kami kemarau kasih sayang. Kalaulah ibu hilang seperti terkambusnya telaga di kampungku, nescaya kami tidak ada sesiapa lagi untuk dimanjai. Bapa pun sebenarnya mendapat rahmat juga daripada kelayuan ibu. Kerana ibu begitulah kami adik-beradik kerap pulang ke kampung. Kerana kelayuan ibulah kami tidak gemar bercuti ke tempat lain untuk berehat selain pulang ke kampung. Kerana kelayuan ibulah mak ngah datang ke rumah setiap hari dan menyambung tali persaudaraan yang dahulunya tidaklah begitu erat. Kerana kelayuan ibulah kami adik-beradik dapat bersatu. Jika tidak, mungkin kami adik-beradik pun tidak selalu bersama memeriahkan kampung. Mungkin masing-masing kami hanya memikirkan keluarga sendiri. Maka bapa pun sangat-sangat menyayangi ibu walaupun semasa kedua-duanya sihat dahulu kerap sangat mereka bergaduh. Kami pun sama-samalah menjaga ibu sedaya yang mungkin walaupun yang kerap kami hulurkan cuma salam, bukan wang belanja. Kami pun sentiasalah mencari hari cuti untuk menjenguk ibu untuk bergilir memandikan ibu dan membedakinya seperti bayi. Kami tidak segan silu lagi menyapu sabun ke tubuh ibu. Kami tidak terasa geli lagi mengorek najis keras ibu yang enggan keluar ketika sembelit. Kalau bukan kami, siapa lagi? Tapi kata Mak Tua, “Awak semua menjaga emak tak sama dengan emak awak menjaga awak.”

“Kenapa Mak Tua cakap macam itu? Bukankah kami dah jaga dia macam menjaga anak kecil?”

“Benar, macam menjaga anak kecil. Tapi bezanya, emak awak menjaga awak semasa kecil untuk membesarkan awak semua. Awak menjaga emak awak untuk menanti hari matinya saja,” kata Mak Tua, lalu diikuti tangisannya.Dengan lengan baju kedahnya Mak Tua akan menyapu air mata yang meleleh pada gelembir kelopak matanya dan tulang pipinya yang menonjol.

Melihat ibu terkedang macam kangkung layu dan mengogoi macam kili berkarat memang benar-benar melukakan hati kami. Melihat ibu hanya terkebil-kebil di atas katilnya dan hanya menunggu kesedaran orang tentang kelaparannya, dan ketika hendak bersalin kain pun dia sudah tidak lagi dapat berpaut pada jeriji tingkap, kepalanya seperti pisang patah tengkuk ketika didudukkan di atas kerusi rodanya, kami berasa hampir putus asa. Ketika itu keraplah kami berserah pada Tuhan: biarlah Allah mengambil ibu daripada kami. Kami relakan kematiannya segera datang. Suatu ketika dahulu apabila ibu seperti sudah seperti tiada harapan lagi meneruskan hayatnya kami pun mengadakan majlis membaca Yasin. Kami berdoa sama ada ibu disembuhkan atau jika ajalnya sudah sampai, biarlah dia pergi dalam kebaikan. Tapi Mak Tua kemudiannya, setelah mengetahui doa kami ini, segera menempelak: “Kenapa awak mahu emak awak mati?”

“Kami tak sanggup tengok dia menderita.”

“Kalau dia mati adakah dia terlepas daripada sakitnya?”

“Entahlah.”

Maka Mak Tua pun berkhutbah lagi: Kematian ibu tidaklah tentu akan menamatkan deritanya. Kalau dia sakit semasa di dunia dapat jugalah dia dikasihani oleh anak-anaknya. Dapat jugalah tangisannya diredakan oleh orang lain. Laparnya dapat dikenyangkan, dahaganya dapat dibasahkan. Tapi kalau di dalam kubur nanti, pada hari pembalasan nanti, kesakitannya hanya ditanggung oleh dia seorang. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya. Yang pasti tidak menderita lagi ialah kami, anak-anaknya, kerana tidak lagi rasa terseksa melihat penderitaan ibu dan tidak lagi terseksa menjaga ibu macam menjaga anak kecil. Masa itulah baru kami dapat bercuti ke Tioman atau ke Langkawi, bukan lagi balik ke kampung setiap musim cuti. Itulah tandanya kami hanya mementingkan diri. Kami anak yang tidak mengenang budi!

Alangkah pedihnya kata-kata itu. Tapi disebabkan kami hanya menelan setiap kata-kata Mak Tua, kami dapat mencari masa untuk memikirkannya semula. Akhirnya kami akui: memang benarlah kata-kata itu. Kenapa mesti kami biarkan ibu hilang daripada pandangan kami? Bukankah ini masanya kami berbuat bakti?

“Abang, raya haji ni jadikah kita beraya di K.L. saja?”

Tidak! Kita akan balik kampung beraya dengan ibu walaupun cuti hanya sehari dan di kampung nanti paip tidak berair dan telaga sudah terkambus. Di kampung masih ada ibu. Ibu bukan Ceper yang sudah mati atau telaga yang sudah tumpat mata airnya. Tapi ibu ialah mata air yang sentiasa mengalirkan air sucinya menyirami kami yang kekontangan kasih sayang dan pahala bakti.


(Nota bene: emak saya dah meninggal dunia, dan begitu juga mak tua, wan cah, pah yam, pah sadiah, pak darus. Abang an dan kak cot sudah berpindah ke Pahang dan berniaga murtabak mini.)
Ini wanita mulia dan paling mulia dalam hidup saya. tiada yang lain, tiada yang lain, tiada yang lain. ini satu-satunya wanita yang tidak pernah mengkhianati saya. semoga emak dan abah tentunya tenteram di alam barzakh...amin)

Sunday, June 21, 2009

Hari bapa

Tau juga anak-anak mengambil hati saya rupanya. Huda menyerahkan hadiah sempena hari bapa berupa sebuah mug dan seketul kura-kura yang boleh dilekat pada dinding besi kerana ada magnet. Terharu juga walaupun pemberian yang kecil dan tidak dibuat apa-apa majlis pun.

Monday, June 15, 2009

seminar HISKI di Bandung

Ada seminar sastera HISKI di Bandung pada 5-7 Ogos ini. Saya berhasrat ke sana pada 4-8 Ogos untuk membentangkan kertas kerja. Kawan-kawan yang nak pergi cari buku bolehlah urus pemergian sendiri.

Sunday, June 14, 2009

kertas kerja pertama tahun 1998

Ini ialah sedutan kertas kerja yang pertama saya kali bentangkan di jabatan Pengajian Media, UM pada 20 Jun 1998. Kalau nak diikutkan memang saya tiada keyakinan untuk menulis kertas kerja pada masa itu, tetapi saya memberanikan diri. Novel ini ditulsi oleh Abdul Latif Chuchu penulis Brunei tetapi diterbitkan di Malaysia oleh Mohd Ithnin Tawaf. Entah ke mana sahabat saya ini perginya. Selepas pembentangan pertama itu saya mula diajak-ajak oleh Siti Aisah Murad, pegawai DBP, untuk membentangkan kertas kerja dalam seminar atau kolokium anjuran DBP. Terima kasih Kak Ti. Terima kasih semua yang mendorong saya sebelum dan selepas itu, termasuklah Allahyarham Abdullah Tahir, Allahyarham Othman Puteh, Prof. Hashim Awang, A. Wahab Ali, Hamzah Hamdani dan lain-lain. Kertas kerja ini tidaklah bagus tetapi cukup untuk mendatangkan keyakinan kepada saya. Ini sedutan saja. sedut sikit-sikit...yang selebihnya kena buat permohonan rasmi.

Suara Yang Hilang: Sebuah Novel Hikayat



Prolog

Novel setebal 263 halaman terbitan Diwangsa Publications and Distributors (1998) ini telah membayangkan sifat genrenya melalui wajah kulitnya: novel cinta. Bagaimanapun, blurbnya memberikan kemungkinan lain yang lebih menarik kerana wujud pula persoalan politik di Fiji. Fiji, sebuah negara Pasifik Selatan menjadi latar tempat, dan pergolakan politik yang tercetus pada tahun 1987 ekoran rampasan kuasa oleh pemerintah tenteranya Left. Kolonel Sitiveni Rabuka (Kolonel Rabaka dalam novel ini) menjadi latar suasana. Rampasan kuasa tanpa darah ini merupakan sejarah dan wataknya juga seorang tokoh sejarah. Unsur sejarah tersebut merupakan aset berharga pada novel ini untuk menjadikannya sebuah novel yang serius, sekurang-kurangnya tidak menjadi novel popular atau picisan.

Bauran fakta sejarah dengan unsur fiktif dapat mengangkat sesebuah karya ke tahap yang tinggi kerana wujudnya unsur kebolehpercayaan di kalangan pembaca. Fakta sejarahnya terkesan pada peristiwa rampasan kuasa tanpa darah oleh Kolonel Rabaka. Ini disebut melalui dialog watak Senator Kenneth:

"Kudeta ini dikuasai oleh golongan nasionalis peribumi Fiji yang mahu Fiji untuk peribumi Fiji. Mereka tidak mahu kuasa politik dipegang oleh kaum pendatang. Nampaknya seluruh dunia terperanjat dengan kudeta yang tidak pernah diduga ini. Kolonel Rabaka yang menjadi front kudeta ini seorang pegawai tentera yang cergas, pintar dan jujur."[ Rampasan kuasa ini memang berlaku dalam sejarah pada tahun 1987 apabila etnik Fiji tidak puas hati dengan corak pemerintahan Parti Buruh Fiji yang bergabung dengan National Federation Party (NFP).Punca rampasan kuasa, sebagaimana menjadi punca konflik juga di dalam Suara Yang Hilang (SYH) ialah ketidakpuasan peribumi terhadap sikap nepotisme pemerintah dalam soal pembahagian jawatan penting dalam politik, ekonomi, dan pelbagai bidang lagi. Golongan etnik Fiji sudah menjadi terasing, sebaliknya golongan pendatang mendapat kedudukan yang lebih selesa. Golongan pendatang yang menguasai ekonomi Fiji merupakan kaum India yang dibawa oleh penjajah British sebagai pekerja ladang tebu sejak 1800. Malah hingga kini pun, golongan bukan etnik Fiji yang membentuk 49 peratus daripada 773,000 penduduk Fiji tidak disukai oleh peribumi kerana dianggap sebagai pengacau kepentingan ekonomi dan kuasa politik peribumi

Tuesday, June 9, 2009

seminar arenawati...pembentangan

Ini sedutan kertas kerja yang saya bentangkan di DBP hari ini dengan tajuknya "Melunasi Dendam Timur dalam Kuntum Tulip Biru"

......
Arena Wati ialah pengarang Nusantara yang mengimpikan persaudaraan besar umat Nusantara tanpa terikat pada sempadan geopolitik. Dia menyatukan umat Melayu dalam karyanya sebagai suatu strategi dekolonisasi dalam lingkungan budaya. Ikatan kenusantaraan itu terpamer jelas dalam karyanya yang subur dalam jagat persuratan Melayu di Malaysia sejak awal penulisannya sehingga akhir hayatnya. Jelasnya, nasionalisme Arena Wati ialah nasionalisme serantau, bukannya nasionalisme parokial. Watak-wataknya boleh bergerak ke mana-mana sahaja di rantau Melayu ini dan mengambil bahagian dalam apa-apa sahaja gerakan politik atau bukan politik. Pergerakan watak-wataknya ke negara jiran umpama satu perantauan sahaja dalam lingkungan tanah sebangsa sebagaimana sebelum wujudnya persempadan politik akibat perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Jika Bugis di Johor berinteraksi dengan Bugis di Makasar, mereka bergabung dalam lingkaran persaudaraan. Lebih jauh lagi apabila negara-negara Eropah, seperti Belanda, Jerman, Perancis di samping negara Amerika Syarikat, Jepun, England dirantaui, watak-watak Melayunya saling berinteraksi dan menjadi jaguh diaspora. Tanpa tunduk kepada mitos keagungan negara-negara Eropah mahupun Britain sebagai kuasa penjajah sejak abad ke-18 dan Amerika sebagai kuasa neoimperialisme yang beroperasi melebarkan hegemoninya ke seluruh dunia, Arena Wati menghidupkan mitos baharu keagungan umat Melayu Nusantara bagi meruntuhkan mitos keagungan Barat. Malahan mitos umat Timur itu diperluas kepada bangsa Timur lain seperti Jepun, Cina, dan Korea. Bersandarkan ideologinya yang nasionalistik, iaitu untuk mengangkat keagungan umat Timur, Arena Wati tidak menghiraukan sekatan logika realiti. Beliau bersandar pada keanjalan fiksyen yang memungkinkan apa-apa sahaja selagi berlegar dalam lingkungan dunia representasi. Dunia representasi ialah dunia ciptaan dan berupaya membentuk pandangan dunia yang ideologikal. Oleh yang demikian, pengarang memiliki kebebasan yang besar untuk mengubah dunia realiti atau mencipta dunia baharu yang futuristik, mahupun mencipta wacana gesaan. Wacana gesaan yang dimaksudkan di sini ialah karya berisi idea atau impian yang ditujukan kepada khalayaknya agar mempercayainya dan seterusnya bertindak bagi memenuhi impian yang disarankan.

........
[ini bahagian kesimpulannya]

Daripada penampilan citra watak-wataknya jelaslah bahawa oksidentalisme dalam novel ini bercorak oksidentalisme terpilih, yakni tidak menyamaratakan persepsinya terhadap semua pihak. Serangan ideologinya terfokus kepada sistem, dasar, dan nilai kepenjajahan negara-negara Barat dan Yahudi, tetapi kepada individu tertentu yang memegang nilai kesaksamaan, kebersamaan, keadilan sejagat, dan intelektualisme murni pengarang memberikan persepsi yang baik. Dengan cara sedemikian dapat disimpulkan bahawa novel ini membentuk sebuah teks inspirasi atau wacana gesaan untuk membentuk pemikiran masyarakat pascakolonial supaya kembali kepada jati diri, menghargai kekuatan bangsa sendiri dan keluar daripada mitos palsu keagungan kulit putih (white supermacy). Kini sudah tiba masanya dunia Timur mendominasi dunia dengan nilai kesejagatannya yang adil.

[saya tidak akan menyiarkan keseluruhan isi kertas ini kerana hak cipta terpelihara...kununnya]

Saya terkerlip satu saranan ketika membentangkan kertas kerja itu lantas saya ujarkan kepada khalayak. Dengan meminjam pandangan Ngugi wa Tiongo, intelektual dari Kenya yang pernah menyarankan perkara ini maka saya terkesan untuk mencadangkan supaya buku-buku teks sastera Inggeris kita tidak lagi menggunakan karya pengarang Inggeris walaupun Shakespeare. Sebaliknya kita hendaklah menggunakan karya pengarang peribumi yang menjunjung idealisme negara dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan sehabis baik. Lagipun karya pengarang Inggeris yang digunakan selama ini pun telah diubahsuai menjadi edisi pelajar dan tentunya menghilangkan keindahan bahasa asalnya. Oleh itu, apakah yang hendak dibanggakan dengan teks pengarang asing itu yang belum tentu nilainya dapat dipinjam oleh generasi pelajar dalam usaha kita membina negara bangsa. Bukankah motto Hari Guru tahun ini Guru Pembina Negara Bangsa? Besar sekali ungkapan itu tetapi cukupkah prasarana yang disediakan?

Monday, June 8, 2009

menyusuri sungai sejarah

Saya dan keluarga tidak bertangguh memesan mi udang di gerai yang daif fizikalnya dan dikendalikan oleh tiga emoat lelaki. Mereka hanya akan memasak kuah mi apabila ada pesanan dan ini tentunya lebih istimewa berbanding kebanyakan kedai yang telah memasak kuah terlebih dahulu. Sepinggan mi mengndungi lima ekor udang kertas sebesar ibu jari (ibu jari orang biasalah). Tampak menyelerakan dan memang sedap. Cuma saya tertanya-tanya kenapa jumlah udangnya tidak sebanyak yang diceritakan oleh Md Daud. Katanya dia makan 22 ekor udang dengan harga RM4. Saya pun menghabiskan udang dan semua yang mengisi mangkuk kecuali kulit dan kepala udang tanpa mengetahui harga sebenar mi tersebut. Hanya setelah sampai waktu pengiraan saya agak terkedu dengan harganya. Kami makan enam mangkuk mi udang dan bungkus enam lagi serta sepinggan kuetiaw goreng untuk Firdaus yang belum tahu eksotikanya mi udang. Harga termasuk minuman RM102.60 dan diberi diskaun 60 sen. Saya sengaja bertanya untuk membandingkan cerita Md aud: Berapa harga semangkuk mi udang?
"Tujuh ringgit, tapi kalau special RM13."
"Apa bezanya yang special tu?"
"Udangnya banyak lagi, 13 ekor."
"Oh." Dalam hati tertanya lagi, mana ada 22 ekor?
Semasa di dalam kereta saya membangkitkan cerita Md Daud, dan isteri saya selamba memberi reaksinya tentang cerita Md Daud. kami ketawa saja kerana Md Daud memang pandai bercerita. Dan esok saya akan bersama Md Daud membentangkan kertas kerja dalam seminar Arena Wati. Semasa dia bertanyakan kertas kerja saya yang belum siap tempoh (atas kapasitinya sebagai penganjur seminar) dia juga mengakui bahawa kertas kerjanya belum siap!
"Tau dah."
Beredar dari gerai mi udang kami ke jeti pendaratan hasil laut tidak jauh dari situ untuk mencari kalau-kalau ada udang sudah didaratkan. Rupa-rupanya udang hanya akan didaratkan pukul 3 petang setelah nelayan pulang dari laut. Saya bersama Nabila, Huda dan Nailah (anak saudara) hanya meninjau jeti dan menyaksikan bot nelayan datang dan pergi di sungai muara yang beralun. Seronok melihat suasana kehidupan nelayan dengan kesungguhan mereka meredah gelombang dan mengutip rezeki yang tidak ada ketentuan. Ini pengalaman yang berulang sejak akhir-akhir ini, selepas melihat nelayan di Muara Sungai Duyung Melaka dan nelayan di Sungai Ular, dekat Cherating. Semakin dekat saya dengan laut dan nelayan--suatu kehidupan yang sudah lama ingin saya alami walaupun sekejap.
Saya sudah biasa bekerja di kebun sayur, kebun ubi,kebun getah, dan oernah meredah sawah tetapi laut hanya saya sentuh angin dan cicip masinnya. Belum saya alami gelombang melambungkan perahu kenaikan saya dan terhempas bersama derai peluh nelayan. Membaca novel Angin Timur Laut, karya S. Othman Kelantan, sayaa diuja untuk mengalami kehidupan itu. Saya pernah menulis cerpen tentang nelayan perempuan yang gigih membela nasib keluarga dengan tajuk "Gelombang" tetapi kisahnya hanya berdasarkan imbasan daripada pemerhatian dan pembacaan, bukan pengalaman. Mungkin dangkal sekali penceritaan itu. Saya tidak tahu nama ribut atau air pasang perbani, tidak tau tentang berat sauh dan deruman enjin bot dan layar perahu. Saya hanya belajar tentang laut daripada karya Arena Wati. Mujur ada karya sastera yang dapat menambahkan pengetahuan saya tentang dunia asing dan manusianya sekali. Bidang apa selain sastera yang berupaya memperkaya pengetahuan kita?

Selepas membeli ketam di Jeti Kuala Sepetang saya singgah di Kota Ngah Ibrahim atau Tengku Menteri, watak korporat Melayu abad ke-19 yang menjadi tokoh dalam novel talib Samat.
Bersambung...

mi udang kuala sepetang

Pada hari Sabtu lepas saya dan keluarga balik kampung tetapi disebabkan kami bertolak awal bukanlah kampung sendiri yang ditujui dulu sebaliknya kami melajak ke Kuala Sepetang untuk mencuba mi udang seperti yang telah kerap dipromosikan oleh kawan-kawan. Terpesona dengan cerita Mohamad Daud Mohamad (Ketua bahgian teori dan kritikan DBP) bahawa mi udan di situ sangat sedap dan katanya udangnya terpaksa dikuis untuk mencari mi, saya pun berusaha sampai ke situ. Hari panas terik dan jaraknya tidaklah sedekat yang digambarkan oleh Daud. Tetapi kalau tidak diteruskan juga saya tidak tahu sampai bila saya akan tertanya-tanya rasa mi udang itu. Kata Md daud, dia kira ada 22 ekor udang yang dimakannya. Harganya sekian-sekian katanya (tak payah cakaplah). Murah sangat kata saya. Ini menguatkan hati untuk mencubanya. Isteri juga sudah ternanti-nanti rasanya dan anak-anak nampaknya tak ada masalah denga perjalanan jauh di tengah terik itu. Akhirnya sampai juga kami ke Kuala Sepetang dan banner ke gerai mi udang Mak Jah sudah membimbing perjalanan di dua tiga tempat. Kami tidak mahu ke gerai lain kerana iklan gerai Mak Jah lebih hebat. Sampai di gerai Mak Jah kami lihat ada dua meja terisi orang sedang menjamu selera dan di sebelah gerai itu ada majlis kenduri kahwin. Rupa-rupanya gerai itu hanya dibuka pukul 2.30 petang kerana ada kenduri kahwin dan orang yang sedan makan itu ialah tetamu majlis yang menumpang di gerai itu, atau mungkin tuan punya gerai. Kami menanyakan gerai lain dan setelah dieritahu ada gerai lain di pekan kami pun segera berlalu. Mujur terjumpa akhirnya Salleh Stall, gerai mi udang juga.
..ahh letihnya..nantilah saya sambung..baru menyiapkan kertas kerja untuk seminar Arena Wati setelah didesak oleh Md Daud juga dengan pangglan dan sms.

Friday, June 5, 2009

JADUAL SEMINAR ARENA WATI

LAMPIRAN

ATUR CARA SEMINAR PEMIKIRAN ARENA WATI DI DBP PADA 9-10 JUN.



9 JUN 2009 (SELASA)

8.00 pagi – 9.00 pagi

9.00 pagi – 9.15 pagi
-

-


-

-
Pendaftaran Peserta

Bacaan Doa
oleh Encik Azman Ahmad

Tayangan Montaj Seminar

Ucapan Alu-aluan oleh Pengarah Jabatan Sastera
Puan Hajah Izzah Abdul Aziz

9.15 pagi - 10.00 pagi
-



-
Ucapan Perasmian oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka
YBhg Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz

Penyampaian Cenderamata kepada Puan Halimah Sulung oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

10.00 pagi – 10.30 pagi
-
Minum Pagi



SESI I

10.30 pagi – 11.30 pagi
-
Ucap Utama oleh YBhg. Prof. Dr. Kamaruddin Mohd. Said

Pengerusi: Puan Hajah Zalila Sharif
Pelapor : 1. Encik Majuni Plera
2. Puan Nor Azita Umar



SESI II

11.30 pagi – 1.00 petang
-


-


“Menyorot Ruang Perjalanan Kreatif Arena Wati dalam Enda Gulingku” oleh Encik Halim Ali

“Analisis Hubungan Etnik Malaysia dalam Novel Lingkaran : Berdasarkan Fragmen Era Pasca 16 September dan Pre Tragedi 13 Mei" oleh Dr. Ramzah Dambul



-
“Sosialisasi Hubungan Gender dalam Samira” oleh Encik Mohd. Hanafi Ibrahim

Pengerusi: Puan Hajijah Haji Jais
Pelapor : 1. Puan Fauziah Hassan
2. Puan Norhanifah Mohamed
1.00 petang – 2.30 petang
-
Makan tengah hari/solat/rehat



SESI III
2.30 petang – 4.30 petang
-




-


-


-
“Kutukan dari Langit dalam Tinjauan Teori Teksdealisme” oleh Prof. Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana)

“Wanita di Tangan Arena Wati: Menafikan Teori Feminist Critique” oleh Puan Hajah Siti Aisah Murad

“Sandera: Dari Sudut Puitika Melayu” oleh Encik Hazami Jahari

“Arena Wati: Jambatan Tamadun di Nusantara” oleh Prof. Dr. Nurhayati Rahman


-



Pengerusi: Puan Hajah Zaiton Ajamain
Pelapor : 1. Puan Mariati Josepha Mustafa
2. Encik Jaafar Hamdan

4.30 petang
-
Minum petang/bersurai


10 JUN 2009 (RABU)

9.00 pagi – 11.00 pagi

SESI IV


-


-


“Cakra Waruga Menurut Teori Studi Budaya” oleh Encik Mohamad Daud Mohamad

“Melunasi Dendam Timur dalam Kuntum Tulip Biru” oleh Encik Mohamad Saleeh Rahamad @ Ahamad


-


“Antara Dua Deru’: Indeksikal Tanda-tanda Kehidupan” oleh Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali


-
“Pengalaman Estetik dari novel Warna Sukma Usia Muda Novel : Perbincangan dari Teori Rasa-Fenomenologi” oleh Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz

Pengerusi: Puan Salmiah Ismail
Pelapor : 1. Puan Huzna Sait
2. Puan Hadine Yunus Gadong

11.00 pagi – 11.30 pagi
-
Minum Pagi








SESI V

11.30 pagi – 1.00 petang
-



-
“Armageddon: Menyoroti Sistem Nilai dan Budaya dalam Masyarakat” oleh Prof. Madya Dr. Hanapi Dollah

“Kreativiti Arena Wati dalam Gandaria dan Begawan dari Perspektif Stilistik” oleh Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud



-
“Pengukuhan Teks dalam Novel Lingkaran dan Sandera Karya Arena Wati” oleh Encik Jais Sahok


-
“Arena Wati: Melihat Dunia Besar Melayu Melalui Mata Si Helang Tunggal” oleh Prof. Madya Dr. Hadijah Rahmat

Pengerusi: Puan Hajijah Jais
Pelapor : 1. Encik Muhammad Ikhram Fadhly Husin
2. Puan Malissa Abd. Malik

1.00 petang – 2.30 petang
-
Makan tengah hari/ Solat/Rehat




SESI VI

2.30 petang – 4.30 petang
-


-



-
“Pemikiran Pascakolonial dalam Trilogi Arena Wati” oleh Dr. Awang Azman Awang Pawi

“Isu Gender dalam Novel Royan dan Rontok” oleh Prof. Madya Dr. Ruzy Suliza Hashim

“Meneroka Novel Eno Karya Arena Wati dari Perspektif Psikologi” oleh Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi.


-



“Busa Kalbu dari Perspektif Teori Konflik dan Kuasa” oleh Encik Che Abdullah Che Ya

Pengerusi: Encik Jaafar Hamdan
Pelapor : 1. Puan Musazliza Mustan Shir
2. Puan Norsuhaila Ibrahim

4.30 petang
-

Ucapan Penangguhan oleh Pengarah Jabatan Sastera
Puan Hajah Izzah Abdul Aziz


-

-

Minum petang

Bersurai

Thursday, June 4, 2009

seminar pemikiran arena wati

Saya sedang berkira-kira mencari bentuk dan wajah kertas kerja yang hendak ditulis untuk seminar pemikiran arena wati pada 9-10 jun ini di dbp. sehingga hari ini kepala sesak dengan tugasan yang mendadak dan berhimpun dalam satu detik sehingga sukar untuk menyisipkan masa untuk menyiapkan kertas kerja.
sesiapa yang berminat hendak mendengar pembentangan beberapa orang tentang arena wati silalah datang ke dbp. seminar ini percuma.
2. saya baru pulang dari sungai ular, dekat cherating, pahang. saya bersama sm zakir menjadi penceramah untuk bengkel penulisan kajian lapangan kepada guru tingkatan enam seluruh negeri pahang. mereka akan memikul tugas baru, iaitu membimbing pelajar tingkatan enam menyediakan kertas penyelidikan. jadi atas inisiatif jabatan pelajaran negeri pahang, terutama ooleh encik sufian yang gigih itu, satu bengkel diadakan. bersama kami ialah cikgu abu bakar dari rompin. beliau banyak mengetahui perihal sekolah sedangkan kami hanya bercakap dari sudut penulisan esei yang umum.
3. bengkel penulisan untuk guru sememang memberikan manfaat yang besar kepada mereka kerana lanjutan daripada itu para guru akan aktif menulis atau sekurang-kurangnya mengetahui teknik penulisan. guru yang boleh menulis akan lebih berupaya menyampaikan ilmu kepada muridnya.
4. sebelum ini saya sudah bekerjasama dengn seorang rakan yang juga amat gigih, iaitu cikgu azizul rahman abdul rahman dari johor. kami merangka dan membimbing guru dan pelajar untuk menulis karya kreatif. sehingga ini hasil daripada usaha itu telah terbit beberapa buku karya para murid dan guru, terutama guru cemerlang. antara buku yang telah terbit ialah Terima Kasih Tuhan, Salam Buat Mahathir, Memorabilia, Biques Legasi. dalam proses penerbitan pun ada lagi yang sedang bergerak.