Tuesday, June 9, 2009

seminar arenawati...pembentangan

Ini sedutan kertas kerja yang saya bentangkan di DBP hari ini dengan tajuknya "Melunasi Dendam Timur dalam Kuntum Tulip Biru"

......
Arena Wati ialah pengarang Nusantara yang mengimpikan persaudaraan besar umat Nusantara tanpa terikat pada sempadan geopolitik. Dia menyatukan umat Melayu dalam karyanya sebagai suatu strategi dekolonisasi dalam lingkungan budaya. Ikatan kenusantaraan itu terpamer jelas dalam karyanya yang subur dalam jagat persuratan Melayu di Malaysia sejak awal penulisannya sehingga akhir hayatnya. Jelasnya, nasionalisme Arena Wati ialah nasionalisme serantau, bukannya nasionalisme parokial. Watak-wataknya boleh bergerak ke mana-mana sahaja di rantau Melayu ini dan mengambil bahagian dalam apa-apa sahaja gerakan politik atau bukan politik. Pergerakan watak-wataknya ke negara jiran umpama satu perantauan sahaja dalam lingkungan tanah sebangsa sebagaimana sebelum wujudnya persempadan politik akibat perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Jika Bugis di Johor berinteraksi dengan Bugis di Makasar, mereka bergabung dalam lingkaran persaudaraan. Lebih jauh lagi apabila negara-negara Eropah, seperti Belanda, Jerman, Perancis di samping negara Amerika Syarikat, Jepun, England dirantaui, watak-watak Melayunya saling berinteraksi dan menjadi jaguh diaspora. Tanpa tunduk kepada mitos keagungan negara-negara Eropah mahupun Britain sebagai kuasa penjajah sejak abad ke-18 dan Amerika sebagai kuasa neoimperialisme yang beroperasi melebarkan hegemoninya ke seluruh dunia, Arena Wati menghidupkan mitos baharu keagungan umat Melayu Nusantara bagi meruntuhkan mitos keagungan Barat. Malahan mitos umat Timur itu diperluas kepada bangsa Timur lain seperti Jepun, Cina, dan Korea. Bersandarkan ideologinya yang nasionalistik, iaitu untuk mengangkat keagungan umat Timur, Arena Wati tidak menghiraukan sekatan logika realiti. Beliau bersandar pada keanjalan fiksyen yang memungkinkan apa-apa sahaja selagi berlegar dalam lingkungan dunia representasi. Dunia representasi ialah dunia ciptaan dan berupaya membentuk pandangan dunia yang ideologikal. Oleh yang demikian, pengarang memiliki kebebasan yang besar untuk mengubah dunia realiti atau mencipta dunia baharu yang futuristik, mahupun mencipta wacana gesaan. Wacana gesaan yang dimaksudkan di sini ialah karya berisi idea atau impian yang ditujukan kepada khalayaknya agar mempercayainya dan seterusnya bertindak bagi memenuhi impian yang disarankan.

........
[ini bahagian kesimpulannya]

Daripada penampilan citra watak-wataknya jelaslah bahawa oksidentalisme dalam novel ini bercorak oksidentalisme terpilih, yakni tidak menyamaratakan persepsinya terhadap semua pihak. Serangan ideologinya terfokus kepada sistem, dasar, dan nilai kepenjajahan negara-negara Barat dan Yahudi, tetapi kepada individu tertentu yang memegang nilai kesaksamaan, kebersamaan, keadilan sejagat, dan intelektualisme murni pengarang memberikan persepsi yang baik. Dengan cara sedemikian dapat disimpulkan bahawa novel ini membentuk sebuah teks inspirasi atau wacana gesaan untuk membentuk pemikiran masyarakat pascakolonial supaya kembali kepada jati diri, menghargai kekuatan bangsa sendiri dan keluar daripada mitos palsu keagungan kulit putih (white supermacy). Kini sudah tiba masanya dunia Timur mendominasi dunia dengan nilai kesejagatannya yang adil.

[saya tidak akan menyiarkan keseluruhan isi kertas ini kerana hak cipta terpelihara...kununnya]

Saya terkerlip satu saranan ketika membentangkan kertas kerja itu lantas saya ujarkan kepada khalayak. Dengan meminjam pandangan Ngugi wa Tiongo, intelektual dari Kenya yang pernah menyarankan perkara ini maka saya terkesan untuk mencadangkan supaya buku-buku teks sastera Inggeris kita tidak lagi menggunakan karya pengarang Inggeris walaupun Shakespeare. Sebaliknya kita hendaklah menggunakan karya pengarang peribumi yang menjunjung idealisme negara dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan sehabis baik. Lagipun karya pengarang Inggeris yang digunakan selama ini pun telah diubahsuai menjadi edisi pelajar dan tentunya menghilangkan keindahan bahasa asalnya. Oleh itu, apakah yang hendak dibanggakan dengan teks pengarang asing itu yang belum tentu nilainya dapat dipinjam oleh generasi pelajar dalam usaha kita membina negara bangsa. Bukankah motto Hari Guru tahun ini Guru Pembina Negara Bangsa? Besar sekali ungkapan itu tetapi cukupkah prasarana yang disediakan?

5 comments:

Nimoiz T.Y said...

Pak / Bang Salleh, ala siarkanlah semua. Tengah syok baca, tengok-tengok sekerat jalan sahaja. Huhuhu.

Nak tunggi kompilasinya entah bila.

D'Rimba said...

Memang cukup bersemangat dengar perbentangan ini seolah-olah telah berjumpa Wira yang dicari selama ini entah di mana.............Terima kasih pejuang bahasa....

SATIRA + KACAU said...

Mohon maaf kalau terlajak. Dengan sengaja saya datang membaca dan melihat. Saya suka dengan saran yang itu. Karya sastera Inggeris dari karya pengarang tanah air sendiri, yang diterjemah ke Inggeris.

Satira + Kacau

Pencinta Pantai Bersih said...

Tuan,
Rasanya kalau karya pengarang kita yang sememangnya dalam BI pun banyak juga seperti oleh Fatimah Busu, Adibah Amin dll. Yang terjemahan pun bagus juga sebab karya dalam BM banyak yang berkualiti lagi.

Pandangan dangkal saya lah..

juilis69 said...

Saya setuju sangat jika karya-karya penulis peribumi dijadikan teks sastera di sekolah. Karya penulis Malaysia tidak kurang hebatnya berbanding penulis dari luar negara.

Juilis Mokujal
SMK.Narinang,
Kota Belud, Sabah