Saturday, July 25, 2009

Bertemu dengan Shahnon

(bara yang mendap di bumi tidak selamanya bertahan dalam kebisuan...kelak akan terjunam ke langit jua)




(bersama Hanafi Ibrahim dan Jusoh Majid ketika mengunjungi Shahnon. saya disuruh duduk oleh jurugambar kerana nampak besar sangat bila berdiri. ahh..mana ada)


Walaupun belum pernah cadangan saya hendak bersama teman PENA menziarahi Shahnon Ahmad berjaya, dan tidak juga termasuk dalam perancangan awal saya ke Pulau Pinang kelmarin sehingga hari ini untuk bertemu dengan beliau, takdir Allah tidak juga dapat kita terka. Semelam selepas acara seminar di Dewan Kuliah USM selesai Hanafi Ibrahim mempelawa saya menziarahi Shahnon. Tentulah tidak mungkin saya menolak pelawaan itu lalu bersama teman-teman dari DBP kami sampai ke rumah beliau yang tidak jauh dari kampus USM.
Pencerita kisah Lahuma, Jeha dan anak-anaknya, kisah Bukit Srengenge yang hendak ditutuh, kisah Poseng yang renta, kisah Chah yang datang membawa pengalaman membuat skru ke kampungnya dan kemudian menghilang seperti angin, dan kisah Ceper yang senak dan kisah-kisah Sutan Baginda yang gila, dan lain-lain ini sedang bersandar di biliknya dengan memakai singlet dan berkain pelekat. Wajahnya ada garis kepuasan dan ketidakpuasan, ada ceria dan ada resah. Beliau puas dan ceria menyambut kedatangan teman-teman yang berpangkat anak-anak, tetapi tidak puas dan tetap resah kerana banyak yang difikirkannya, banyak idea yang melimpah di cepu fikirnya belum dapat ditumpahkan ke kertas. Banyak ilham yang dialirkan Tuhan ke dalam kepalanya bersendat-sendat dan bersesak-sesak mencari lorong keluar. Tetapi Shahnon sukar menyambung tugas hakikinya itu kerana keuzuran.
Beliau baru saja keluar dari hospital. Itulah rutinnya akhir-akhir ini: keluar masuk hospital. Beliau sukar tidur dan ada masalah lain yang mengekang proses pemulihan tenaganya. "Dia jadi begitu kerana tak dapat menulis," kata anaknya. Pernah sekali mereka membawa kertas kepada beliau yang sedang dirawat di hospital. Setelah beliau menulis berkajang-kajang kertas, esoknya beliau boleh makan dan berjalan gagah. Itulah Shahnon.Kesihatannya akan pulih jika beliau dapat menulis. banyak lagi yang hendak saya ceritakan tetapi akan disambung kemudian. Tetapi walau sebanyak mana pun saya menulis tentang pertemuan singkat itu, tentulah banyak lagi yang difikirkannya.
Yang penting, menurut hemat saya, Shahnon tidak sakit memandangkan semangat yang ditunjukkannya ketia bercakap tentang bahasa dan sastera. Dan tentu sekali beliau mengulas isu PPSMI. Sekali lagi Mahathir menerima kritikan.



3 comments:

Teo Wei Sing said...

Salam perkenalan...Berharap Pak Shahnon akan terus menabur bakti demi bahasa dan sastera

saleeh rahamad said...

Shahnon akan terus menulis. Ilhamnya datang mencurah tetapi mungkin keuzuran menyekat gerakan jarinya untuk menari di papan kekunci komputer. itulah yang mendera perasaan beliau.

mie3425 said...

Sdr. Saleh, maklumat yang ditulis begitu menarik dan saya boleh mendapat maklumat yang terkini tentang beliau. Yang menarik di dalam gambar tu Sdr Jusoh nampak berposing sakan.