Saturday, July 11, 2009

setelah bertemu dengan pengarang Musafir




Kami berjaya juga menemukan rumah Hasan Ali di Petaling Jaya setelah berpusing keliling mencarinya. Mujur bersama saya ialah Dato Baha Zain; maka kesabaran saya meningkat kerana menghormatinya. Kalau tidak, mungkin kami sudah berpatah balik. Susah sangat peta PJ. Susunan kawasan perumahannya bercelaru.
Ramai juga rombongan PENA turut sama.: Saya, Dato Baha, Hanafi Ibrahim, Raja Rajeswari, Saifullizan Yahya, Ikhram Fadhli, Halis Azhan, Dr Ahmad Razali, Lutfi Ishak, Rahimidin. Kedatangan kami disambut dengan sebak Hasan Ali yang sudah menjangkau usia 82 tahun. "Seronok sangat dapat jumpa kawan-kawan," katanya dalam nada terharu. Tapi tidak kami lanjutkan kesedihan beliau itu . Dato Baha seperti biasa memperkenalkan semua kami satu persatu. Beliau sentiasa mahu mengetengahkan orang lain. Ini yang membuatkan kami sentiasa mesra dengannya dan sentiasa ringan mulut untuk berbincang tentang sebarang topik. Selalunya kami membincangkan nasib DBP. Inilah isu yang tidak pernah terabai dalam sembang kami.
Hasan Ali memenangi tempat kedua (pemenang perak) dalam hadiah Novel DBP 1958 dengan novel Musafirnya, manakala novel Salina karya A. Samad Said yang asalnya berjudul Gerhana, memenangi tempat sagu hati. Tetapi kemudian Salina pula yang sangat menonjol. Kelebihan Musafir mungkin dari sudut moralnya berbanding Salina yang mengisahkan watak pelacur di Kampung Kambing.
"Bagaimana dapat idea menulis Musafir?" Saya segera bertanya kepada Hasan Ali ketika kami sudah menghadapi jamuan ringan teh O dan biskut. (Anehnya laju juga kami mencicah biskut dengan teh O. "Laju nampaknya," kata saya kepada Rahimidin dan dia menyambutnya dengan ketawa kerana memahami kelaparan kami ketika itu)
"Masa tu saya di Bukit Senyum (Maktab Perguruan Bukit Senyum Johor Bahru). Saya menulisnya tiap-tiap petang selama enam bulan," kata pengarang yang baru kematian isteri (baru lebih kurang dua minggu rupanya) itu.
"Tulis dengan tangan ke mesin taip?"
"Dengan tangan, mana ada mesin taip."
Terkejut juga kami mendengar penjelasannya.
"Bila DBP anjur peraduan menulis saya mengepos manuskrip itu. Masa tu saya tak ada duit. Kawan bagi pinjam untuk belanja pos,"tambahnya.
Hadiah yang diterimanya daripada kemenangan itu ialah 1000 ringgit. "Masa tu, seribu besar."
"Macam sepuluh ribu sekarang," tambah saya.
Selepas mendapat hadiah itu barulah beliau membeli mesin taip. Dan novelnya sudah dicetak ulang berbelas kali. Menurut Dato Baha yang pernah menjadi Timbalan KP DBP inilah novel best seller DBP.
Dato Baha mengusulkan supaya novel itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Memang sudah dicuba oleh anaknya, Jamaliah yang turut berada di rumah ketika itu. "Tapi saya tak boleh nak teruskan. Dah cuba setakat dua chapter."
Anaknya memang penterjemah profesional tetapi apabila menangani novel bapanya yang juga mengisahkan kehidupan datuknya (saya tak sempat bertanya, adakah watak Leman itu datuknya atau bapa Haasan Ali) beliau sukar sekali melakukannya. Begitupun, Dato Baha menyuruh Jamaliah mengusahakan juga penterjemahan itu dan berurusan dengan ITNM.
Saya sebenarnya belum membaca novel Musafir dengan serius. Saya hanya membaca sekali lalu semasa membuat kajian tentang sejarah novel Melayu. Tetapi kini saya teruja untuk melihatnya kembali. Dan tentunya saya mahu mencari naskhah terbitan awalnya, kalau boleh terbitan pertama. Mengumpulkan buku lama sudah menjadi hobi saya sekarang. Setakat ini saya ada menyimpan beberapa naskhah buku yang digunakan oleh pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris yang saya kutip daripada simpanan bapa mentua saya.
Opppss, baru ingat...naskhah Hikayat Abdullah milik Rahimidin belum saya pulangkan. Tapi masih tersimpan rapi di rumah. Itu terbitan tahun 1962 kalau tak silap.

Kalau penulis, selagi terdaya dia akan menulis. Hasan Ali juga begitu. Kini dia sedang menulis sajak dan kami ditunjuki beberapa manuskrip tulisan tangannya. Menarik juga sajaknya. Dan segera kami usulkan kepada Saifullizan untuk mengusahakan penyiaran saja itu dalam Dewan Sastera bulan Ogos, terutama sajaknya tentang kemerdekaan.
Mengunjungi pengarang veteran seperti itu dapat menumbuhkan kesedaran dalam diri tentang semangat perjuangan tulen penulis lama yang wajar kami teladani; dan timbul juga kesedaran bahawa kami belum tentu dapat hidup seperti mereka, meniti hari tua dengan begitu baik dan cerah mata, terang ingatan, jelas pendengaran. Hasan Ali, walaupun kelihatan tidak lagi sekuat dulu, masih memiliki tiga deria itu dengan sempurna. "Agaknya ini berkat banyak baca Quran," kata Dato Baha, dan beliau mengeyakannya. Dalam hati saya terdetik, adakah kekaburan penglihatan saya sekarang disebabkan jarang membaca Quran? Nampaknya saya kena mengubah kebiasaan. Jarang sangat saya membaca Quran sekarang. Inilah antara pengajaran yang saya peroleh daripada kunjungan kami ke rumah Hasan Ali. Selebihnya kami seronok bersembang di Restoran Nasi Kandar Kayu tidak jauh dari rumah Hasan Ali. Sampai hampir 2:30 petang baru kami beredar dari restoran itu. Dan seperti biasa, topik hangat kami ialah tentang kebahlulan orang yang mempertahankan PPSMI dan tentang masalah dalaman DBP, terutama yang melibatkan nasib pegawainya yang gigih dan nasib sastera Melayu. Banyak telah disuarakan kepada DBP. Tapi tidaklah diketahui apakah reaksi mereka.
Kami balik ke PENA tanpa sesat lagi.

11 comments:

Sham al-Johori said...

Tuan guru,
Seronok baca catatan kembara dalam negara kali ini. Saya berhalangan dan sedih juga sebab tidak dapat ikut serta. Begitulah, Hassan Ali orangnya tawaduk sewaktu dia, saya dan Prof Nik Safiah Karim diundang oleh APM dulu dalam majlis santai bersama-sama penulis dulu. Seingat saya, di dalam majlis itu dia sempat mencuri ruang; katanya, "ubat paling mujarab untuk merawak kecewa ialah membaca al-Quran." Itu katanya yang masih sebati dgn diri saya.

Hehehe, saya memiliki novel Musafir (terbitan pertama) siap bertanda tangan pengarangnya lagi. Novel ini milik ayah saya. Pada halaman depan tercatat, 'sdr Othman, moga jadi penulis besar'. Othman itu ayah saya. Ayah saya seorang peminat tegar Hassan Ali tapi saya dia bukan seorang penulis/pengarang. Dia hanya seorang petani yang berjaya membangunkan madrasah Sham al-johori.

Moga Dato' Hassan Ali akan menjadi seorang musafir yang menemui pintu rahmat-Nya dan tidak disesatkan.

Rahimidin Z said...

Haji Sham,
Tuan Haji Hasan Ali, belum Dato'. Dato' itu yang parti PAS. Dan dia bukan lagi Datuk, dan Moyang dah!

saleeh rahamad said...

Haji sham memang suka lebih2. tapi tak emosional...
jom ramai2 pergi USM seminar kuasa dalam sastera sejarah

ekspresi said...

salam tuan,
apa yang istimewa tentang 'musafir' adalah novel ini mengalahkan salina (gerhana) yang sering diperkatakan itu. saya melihat dari sudut seorang 'musafir' dan seorang 'salina' dalam konteks hari ini.

saleeh rahamad said...

arif (ekspresi),
jangan jadi salina lak. haha. teruk kena kejar dek mamat tanjung malim nanti.
salina telah melalui proses suntingan yangketat oleh keris mas rasanya. walahualam.

saleeh rahamad said...

arif (ekspresi),
jangan jadi salina lak. haha. teruk kena kejar dek mamat tanjung malim nanti.
salina telah melalui proses suntingan yangketat oleh keris mas rasanya. walahualam.

Anonymous said...

Tuan,
Saya pernah membaca "Salina" versi asal saya kira, kepunyaan bapa saudara saya, seorang penulis terkenal juga. Curi2 baca. Masa itu, saya masih kanak2. Saya tak berapa ingat isinya, tapi yang saya ingat telinga saya kena tarik bila kena tangkap...hehe.

lutfi said...

Tak stim baca Salina.
Tetapi, novel Melayu apa lagi yang dapat merakamkan situasi sosial di Singapura zaman tu?
Musafir pula, memperlihatkan betapa sejagatnya Islam.
Di Seminar Kuasa di USM, kalau SM Zakir pi, jangan biar dia berleluasan!

Norziati Mohd Rosman said...

Saya sudah baca Musafir sampai habis. Novelnya menarik, cuma belum mengulas. Saya juga banyak buat 'tanda' pada novel ini, kerana ayat (lamanya) amat terkesan dan menarik

bahazain said...

Sesat barat ke rumah pengarang "Musafir" itu adalah permulaan perjalanan yang panjang ke alamt yang dekat. Pertemuan ringkas dengan Tuan Haji Hassan membuat kita mengembara lebih jauh dalam perasaan dan keinsafan yang tidak sesat.Tak sangka cerpen mini ini sangat memikat, dan komentar yg mengikutinya pun tak kurang kelakarnya. Berkat "Musafir"; simpan coretan ini .

badrulrah@gmail.com said...

salam semua,
sekadar ingin berkongsi pengalaman membaca cerpen almarhum berjudul 'kapalnya di bakar' mengenai hubungan etnik Cina-Melayu sekitar 10 tahun dulu. Jelas, jati diri almarhum telah sangat mendorong pemikiran dan seterusnya penulisannya dengan konsisten. Sebagai sebuah petanda 'kapal yang terbakar' adalah sebuah trope intertekstual yang penting dalam konteks sejarah islam (period andalusianya tariq bin ziad); konteks naskah noordin hassan 1400 (babak kapal yang dibakar); dan konteks migrasi (dalam pembikin filem Cina tempatan). Cerpen Hasan Ali ini sebenarnya diangkat menjadi tema filem-filem Yasmin Ahmad yang melanjutkan persoalan2 yang tidak dapat diterokai dengan tuntas oleh almarhum disebabkan oleh faktor sosiobudaya dan politik ketika itu. Semoga ada manfaatnya.