Tuesday, August 25, 2009

Berpuasa semasa bocah

Aku tidak berapa ingat akan pengalaman berpuasa semasa aku masih bocah (maknanya kanak-kanak..isy terpakai bahasa Indonesia pulak) di kampung kerana memang daya ingatanku agak lemah. Mungkin terlalu banyak peristiwa yang bersesak dalam tempurung ingatan. Disebabkan jarang-jarang dikeluarkan secara bertulis, maka banyak kenangan terperap di dasar dan menghalang ingatan lain muncul di permukaan. Walau bagaimanapun, sesekali lintasan kenangan yang berupa fragmen-fragmen indah masih sentiasa melayang di depan mata hati dan mata batin sehingga aku sering terasa semakin jauh dari kenangan itu dan semakin dekat pula kepada daerah kematian. Lalu, ingatan itulah yang akan kukongsikan bersama dalam ruangan ini, atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban yang sarat dalam tempurung ingatan. Semoga setelah cebisan kenangan ini dikeluarkan, ada ruang untuk kenangan lain muncul di permukaan suatu hari nanti.
Kampungku jauh dari pekan, kira-kira 5 batu dari pekan Chemor. Nama pekan Chemor itu kononnya berasal daripada perkataan "cemar" kerana banyak komunis pada zaman darurat dulu. tetapi tidaklah pula aku ketahui sama ada pekan itu baru diberi nama semasa kewujudan komunis atau memang sudah diberi nama sebelum itu lagi. Satu lagi versi mengatakan nama itu berasal daripada perkataan "cu mau" dalam bahasa Cina (entah Hokien entah hakka, entah Khek) yang bermakna bulu babi. Memang dulu-dulu banyak sangat kandang babi di sekitar Chemor, malahan hampir di kebanyakan lombong tinggal ada saja kandang babi sehingga membiakkan ikan tilapia di dalamnya. Kami pun memang sering memancing atau menjala di lombong itu. Kami tidaklah memancing di kandang babi tetapi jauh di seberang dan lombong itu pula besar saiznya. Kami membuat fatwa bahawa ikan itu sudah dibersihkan oleh luasnya lombong itu yang beribu-ribu kolah.
Asingnya pekan Chemor dan besarnya pekan itu dalam kehidupan saya hanya dapat dijelaskan dengan langkanya saya ke sana. Seingat saya, kali pertama saya ke pekan Chemor (dalam keadaan yang sedar) ialah semasa hendak mengambil peperiksaan penilaian darjah lima, dan kemudian mengambil gambar untuk membuat kad pengenalan semasa darjah enam. Pada masa itu jalannya masih tanah merah dan kerikil.
Disebabkan kejauhan itu, dan disebabkan belum ada elektrik di kampung kami, pada setiap bulan puasa kami akan berdatangan ke simpang empat, dekat rumah saya untuk membeli ais batu. Ais batu itu dijual oleh Pak Salleh. Kebetulan namanya sama dengan saya. Pak Salleh juga berjual ikan di kampung saya dengan menaiki basikal. Tentang Pak Salleh ini ada cerita peribadi juga ingin saya rakamkan. Dia yang pada setiap hari ke pekan untuk membeli ikan akan turut membeli suratkhabar. Saya pula yang gemar membaca sebarang bahan bertulis akan datang ke rumahnya pada setiap hari untuk membaca akhbar. Pada suatu hari, semasa saya membaca akhbar di anjung rumahnya saya terdengar bunyi benda jatuh ke tanah. Rupa-rupanya Pak Salleh yang sedang membaiki tingkap rumah di biliknya telah tersembam ke tanah. Dia yang memang menghidap penyakit asma telah menderita akibat jatuh itu. hayatnya cuma bertahan kira-kira sebulan. Dia meninggal selepas sebulan menanggung derita. Dia juga semasa hidupnya pernah menolong membawa saya ke klinik di pekan Chemor setelah anak jari kaki saya hampir putus dirembat pisau pengait rambutan. ketika itu, saya memanjat pokok rambutan masa di belakang rumah dengan membawa pengait yang berpisau. Di dahan yang agak tinggi saya menjatuhkan pengait itu. malangnya pengait itu meraut sama jari kaki saya. Mujurlah tidak putus jari itu. Segera saya bergegas turun dari pokok. Balik ke rumah, mujurlah kebetulan Pak Salleh baru sampai untuk berjual ikan. Dia egera membawa membawa saya ke pekan Chemor. Sempat jugalah jari saya kekal bersama sehingga usia sekarang. Jasa beliau tidak hilang dari ingatan.
Pak Salleh ialah penghubung utama orang kampung dengan barangan dari pekan. Dia akan menjual ais batu yang dibelinya dalam bentuk bongkah panjang dan diselaputi serbuk kayu. Dia hanya berbasikal tua. Kami akan membelinya dengan harga lima sen sepotong dan dia akan menggergaji ais itu. Di samping ais, dia juga menjual sirap merah yang diisi di dalam paket plastik. Bagi kami, bekalan ais batu sangat berharga dan menjadi idaman kerana jika bukan bulan puasa jualan ais tidak ada. Hanya dalam bulan puasa kami dapat minum ais yang berwarna merah. Sirap merah juga merupakan satu kebanggan kepada kami. Pada masa itu saya masih belum bersekolah, sekitar tahun 60-an. Saya mula memasuki sekolah darjah satu pada tahun 1971 di Sek. Keb. Kampung Hulu Kuang yang kemudian ditukar namanya kepad Sek keb. Syed Idrus, mengenang seorang penduduk tempatan yang dipercayai dibunuh oleh pengganas komunis. Semasa nama baru sekolah itu hendak diberikan muncul juga cadangan supaya dinamakan Sek. Keb. Gajah Mati kerana tidak lama sebelum itu seeokr gajah telah ditembak mati oleh Jabatan Mergastua di pinggir Gunung Kuang dekat Chemor Estet. Tapi mujurlah nama itu tidak diterima. Jika tidak, itulah gambaran corak pemikiran penduduk pada masa itu.
Rasanya sebelum bersekolah saya tidak pergi ke surau yang kami panggil menesah (madrasah atau munaksah?). Saya hanya bermain di sekitar kampung pada malam Ramadan. Kalau mengaji pun saya akan pergi ke rumah Pak Cik Bada (Imam Badarudin) yang tidak jauh dari rumah saya.
Saya pun berbuka di rumah saja, tetapi tidak juga saya ingat sama ada saya berpuasa atau tidak. Terlalu sayup ingatan itu. Yang penting, bulan puasa ialah bulan meriah di kampung kami dan saya memandang kemeriahan itu dari pinggir sahaja. Saya belum dapat bercampur dengan generasi yang agak remaja kerana mereka hanya bermain sesama mereka. Selain meriah dengan pesta panjut, iaitu pelita yang diatur di sekeliling rumah sejak malam pertama lagi, ada satu permainan yang menarik di kampung saya. Permainan itu kami namakan "nganto-nganto". Tidak ada di tempat lain rasanya permainan itu. Nantilah saya sambung kemudian...nak sambung kerja dulu.

4 comments:

Sham al-Johori said...

Pak Dosenku,
Aduh, sedih banget kisah silam lalu itu. Tapi sekarangnya ini seperti lupa zaman payah pula. Kalau boleh seluruh pekan Bandung hendak dibelinya.
Hehehehe. Salam ramadhan al-mubarak.

Fizahanid said...

Seronok membaca nostalgia tuan. Mungkin tuan seangkatan dengan bapa atau pak saudara saya. Sebab kami sekeluarga memang mendapat pendidikan awal di Sek. Keb Syed Idrus.
Dan khabarnya waris Syed Idrus masih ada, Syed apa namanya saya tak tahu, tapi kami memanggil dia Intan, dulu tokey getah di kampung tetapi sekarang sudah tutup kedei

Anonymous said...

Tuan, sampai 1996 pun masih belum ada form 6 di SABC itu.
Kalau tak silap menjelang 2003 atau 2004 baru ada tetapi di sekolah sebelah SM Haji Taib kalau saya tak silap.
Sehulu- hulu chemor rasanya dlm 30 minit aje ke Tesco Ipoh. Kalau ikut dalam jarak KL mcm Bangsar dan Sri Damansara saja.


-Saya -

saleeh rahamad said...

fizahanid,
siapa nama ayah dan bapa saudara tu? entah-entah saya kenai. kawan saya kat kuang ramai, Fadzil, Fauzi, Redzuan, Mustapha Ali, dll. pempuannya Salasiah, Zaitun, tak ingat dah.