Tapak rumah
Belukar sepulau
Tiang reput
Tangga runtuh
Punggur kelapa
Longkang tepu
Jalan pecah
Kekabu sepah
Suara azan serak sekali.
Pak Mat pimpin basikal usang
tiada lagi
Imam Bada bertatih ke surau
hilang jejak
Pak Itam pahat kentung
tinggal bayang
Pak Embi pun
baru saja pergi
Mujur ada lagi Haji Latif jadi imam
dengan serak suara dan selingan batuk
dengan sesak dada dan ketar lutut
dan sebaris semut serta kelkatu
merayap terbang
mengaminkan Fatihah.
Budak-budak berligan guli
entah ke mana
Budak-budak melastik burung
entah ke mana
Budak-budak meranduk paya
entah ke mana
Yang ada di simpang surau
anak muda berbual kosong
memicit butang sms
menghembus asap rokok
dan beredar pulang ketika maghrib tiba
berselisih dengan Haji Latif yang terketar
membuka kunci surau
dengan sambutan salam malaikat
serta semut dan kelkatu.
Siapa peduli pada kampungku
bagai si tua yang tinggal tulang
dan kehilangan suara
di dadanya seribu kenangan
di kepalanya seribu harapan
agar meriah kembali bertandang di laman surau
marhaban dan berzanji berkumandang
tempik selawat tarawih melangsing
kenduri milik sekampung.
Siapa peduli lagi
Semuanya berlalu tanpa dijejak rindu
Yang pergi tidak berganti
Yang datang tidak peduli.
Kemeriahan dan keseronokan
sesekali datang
sewaktu pilihan raya berulang
dan YB semakin kerap menghulurkan budi
membuat kenduri dan meminta undi.
Selepas itu kampung tinggal sebatang kara
seorang tua bertulang selangka
harapan dan doanya
cuma bergema dalam dada.
cuma bergumam di hujung senja.
2008-09
1 comment:
Begitu jugalah kita,
akan hilang sedikit demi sedikit. mula-mula pendengaran, keumudai penglihatan dan akhirnya nafas.
Salam malam dan praktikanlah tidur atas kelapa kering.
Post a Comment