Sunday, September 13, 2009

najib dan samy

Ketika Dato Seri Najib dan Dato Seri Samy berucap dalam persidangan agung MIC baru-baru, tampaklah persamaan mereka walaupun perbezaan tidak dapat dielakkan. Perbezaannya, selain fesyen rambut dan tahap kemerahan kulit yang ketara, terlihat juga pada nada suaranya. Suara Najib begitu nyaring sehingga menggemakan dewan persidangan. Tidak pernah dia selantang itu. Sama ada dia sengaja hendak marah terhadap mentua, maka menantu dipukul, tidaklah dapat saya pastikan. Tetapi Samy pun tidak kurang hebatnya kerana berupaya menjadikan kemarahan Najib seperti tidak tertuju kepada dirinya. Dia seraya memuji Najib dengan mengatakan PM inilah yang beriya-iya sangat membantu kaum India di negara ini berbanding yang lepas-lepas. Cerdik Samy tidak tertanding oleh Subramaniam. PM yang lepas-lepas pernah dijunjung dan dipujanya tetapi sekarang dipermainkannya. Giliran najib pulalah sekarang disanjung sebelum kemudian nanti menerima nasib yang ....(entahlah)

Tentang persamaan mereka pula: masing-masing kebal dari segi sebarang tuduhan oleh penentang dan pembangkang mereka. Mereka ternyata berjaya mengharungi badai itu sehingga tidak mendatangkan kesan mudarat apa-apa pun kepada kerjaya politik mereka. Malahan semakin tegak mereka berdiri dan yang menuduh pula tunggang-langgang bagai dihambat lembu gila.

Persamaan lain yang sangat mengesankan ialah bahasa yang digunakan. Apabila Najib bercakap dalam bahasa Inggeris campur-campur, maka Samy pun tidak mahu mengaku kalah. Dia juga bercakap Inggeris yang lebih baik daripada ayat bahasa Melayunya. Maka jadilah hasrat mewujudkan 1 Malaysia hampir nyata. I Malaysia nanti beralatkan bahasa Inggeris pecah belah kerana kalau nak digunakan bahasa Inggeris sempurna pun bukanlah mudah. Ramai suku sakat Samy pun bukannya reti berbahasa Inggeris, tetapi setakat menyebut "tenk kiu" bagi "thank you" atau "yeroplen" bagi aeroplane tidaklah menjadi masalah. Tahu sangatlah saya akan kemampuan mereka kerana pernah bergaul dengan rakan-rakan dari Estet Kemuning dan Dovenby di Sungai Siput.

Najib nyata sangat tidak mempercayai bahawa bahasa Melayu patut diucapkan dalam persidangan MIC itu. Jika tidak tentulah dia akan bercakap dalam bahasa Melayu. Mungkin jugalah tindakannya itu disebabkan dia tidak lagi meyakini bahasa Melayu difahami oleh orang India di negara ini. Sudah berbuih mulut dia menasihati orang India itu dan ini dalam bahasa Melayu tetapi mereka buat bodoh saja. Akhirnya berlakulah perubahan dasar ucapan, yakni dengan menggunakan bahasa Inggeris pecah belah.
Kalau selepas ini persidangan MIC di estet pun bercakap dalam bahasa Inggeris pecah belah, dapatlah kita fahami sebabnya. Dalam persidangan lain pun nanti bahasa Inggeris tidak mustahil digunakan, walaupun dalam persidangan UMNO yang asalnya ditubuhkan dengan jerih payah dan keringat orang Melayu kampung yang berbahasa Melayu.

Kadang-kadang terasa semangat berbahasa Melayu oleh Chua Soi Lek lebih tinggi daripada orang Melayu sendiri. Maka salah siapakah kalau bahasa Melayu akhirnya dicampakkan ke longkang suatu hari nanti.

10 comments:

Anonymous said...

Salah pejuang bahasa sebab tak cukup lantang!!

Jgn marah.. Saya pun sependapat dgn tuan. Benda ni bukan baru. Kita kena sedarkan mereka. Lantang bukan bermaksud kurang ajar. Kena fikirkan cara luar dari kebiasaan. Pejuang bahasa yang punya kedudukan, kena main peranan. Mesti. Setakat kita ikan2 bilis ni, tak mandang pun pemimpin2 itu. Kalau ada pandangan, CARA bgmn nak menyedarkan mereka, elokkan diutarakan di sini. Bukan setakat bentang masalah tapi tiada cara penyelesaiannya. Kan?

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.

Sham al-Johori said...

Pak Dosen,
Marah kita sudah sampai ke takah terakhir. Orang Perak memang macam tu. Itu sebab sampai hari ini, Perak tak tahu diperintah oleh siapa? Sultan Perak ke atau Zamri Vs Nizar?

Menariknya ialah tentang BM dilidah pemimpin UMNO. Mereka ni semua adalah penjajah. Bahasa mereka ialah BI. Dasar penjajah yang menebal di dalam diri mereka serta sikap yang tidak mengenang budi dan tidak bersatu hati menyebabkan mereka sang bacul yang sedang mengadai maruah bangsa dan bahasa.

Takbir! Ya Allah, maafkan api daripada kemarahan ini.

Sham al-Johori said...

Pak Dosen,
Marah kita sudah sampai ke takah terakhir. Orang Perak memang macam tu. Itu sebab sampai hari ini, Perak tak tahu diperintah oleh siapa? Sultan Perak ke atau Zamri Vs Nizar?

Menariknya ialah tentang BM dilidah pemimpin UMNO. Mereka ni semua adalah penjajah. Bahasa mereka ialah BI. Dasar penjajah yang menebal di dalam diri mereka serta sikap yang tidak mengenang budi dan tidak bersatu hati menyebabkan mereka sang bacul yang sedang mengadai maruah bangsa dan bahasa.

Takbir! Ya Allah, maafkan api daripada kemarahan ini.

saleeh rahamad said...

bak kata seorang pekerja kilang yang terlalu marah pada majikannya kerana tidak memberi dia cuti: Jangan bagi Mat maghah, kalau Mat maghah Mat keghap (kerap tu maknanya telungkupkan meja majikannya) kang.
Jangan kita maghah pada Samu kerana dia sudah berusaha selama ini bercakap melayu dengan bengkang- bengkok. Tapi kita kena keghap meja pemimpin kita. Yeop Samy (Mi) bukan pemimpin kita. Chemor tak jauh dari Sg Siput. Tau sangat fasal Yeop Mi tu.

Orang Merajuk said...

Kalau kita faham Undang-undang Tubuh Negeri Perak, jawapan soalan Tuan SO tu, amat mudah sekali. Tetapi saya masih belum mahu campur hal ini. Simpan sendiri sudahlah. Harap kamu semua rajin2lah membaca apa jua bukan setakat untuk santapan nurani sahaja. Jgn marah Tuan SO.

benuasuluk said...

Ayah Leeh,
"remaja-remaja tidak baik menghisap DADA, lebih baik mereka menderma DARA."

ekspresi said...

selamat hari raya. maaf zahir batin

dahrie said...

kena selam kepala mereka dalam sungai perak ni biar mereka sedar kepentingan berbahasa dengan betul

wardah munirah said...

Assalamualaikum,

Selain Chua Soi Lek, ADUN DAP dari Kepong pun boleh tahan tajam pengamatan Bahasa Melayunya walaupun beliau seorang Cina.

Nimoiz T.Y said...

Banyak susah ooo mahu berbahasa Malayu...Amma, appa...Tapi kita cuba yoo..