Thursday, September 10, 2009

Putu kacang, bahulu, kuih bakar dan lemang



(Sungai Baduk, dekat perkampungan Orang Asal di Ulu Chemor. Airnya jernih dan tidak dalam. Keriangan kanak-kanak ialah gambaran keriangan kami semasa kecil. Tapi semasa saya kecil sungai ini sudah saya susuri dari hilir ke hulu dan memasuki hutan, turun naik bukit untuk mencari petai. Malangnya pokok petai pun tak ditemukan)

Apabila emak hendak membuat kuih raya lazimnya saya akan membantu menumbuk kacang hijau untuk putu kacang, memukul telur untuk bahulu, mencari buluh untuk memasak lemang. Putu kacang emak sangat sedap,lembut dan manisnya sederhana. Emak akan meminta saya menumbuk kacang hijau di dalam lesung besi yang dipinjam daripada jiran atau lesung kayu yang dari mana diperolehnya. Saya sebenarnya tidak gemar sangat melakukan kerja itu kerana penat berpuasa tetapi disebabkan itu satu tugas rutin maka melakukannya juga. Bukannya mudah hendak menghancurkan kacang hijau sehingga benar-benar halus sebelum diayak dengan pengayak. Putu yang sudah dibentuk dengan acuan kayu akan dijemur dan ditutupi selendang nipis. Ini pun perlu dijaga kalau-kalau datang burung atau hari hujan. Kuih bahulu dibuat secara tradisional. memukul telur dengan gula memang memenatkan tangan dan berkali-kalilah saya menanyakan sama ada sudah cukup mesra atau belum telur dan gula itu. Bahulu dimasak di dalam periuk di atas dapur kayu. Di atas tudung periuk itu akan diletakkan sabut yang dibakar juga. Tekanan api dari atas dan bawah akan menjadikan bahulu kembang dan lembut. Kuih bakar pula dimasak di dalam oven yang menggunakan dapur minyak tanah. Kuih bakar emak akan dihiasi hirisan ceri merah. Hirisan ceri inilah yang menarik selera selain rasa kuih yang sedap, rangup.

Buluh lemang akan kami cari di hutan sekitar kampung. Biasanya saya dengan kawan-kawan akan bersama-sama mencari buluh yang entah siapa pemiliknya. kami tidak mengira sangat siapa tuan tanah hutan itu. Asalkan ada buluh muda kami akan mengambilnya. Memasak lemang juga menjadi tugas saya. Saya terpaksa menjaga api dari mula ditanak hingga masak. Masa yang diambil sekurang-kurangnya enam jam. dari mula memang tidak sukar kerana hari masih pagi tetapi menjelang petang saya sudah mula kepenatan dan mengantuk. Ini menyebabkan saya terleka untuk mengalih-alihkan buluh lemang di palangnya. Akibatnya lemang saya akan selalu hangus sebelah. Ini sebenarnya mengecewakan saya kerana sudah bertungkus-lumus sejak pagi tetapi digagalkan oleh kelekaan menjelang petang. Sayapun berazam untuk tidak mengulang kesilapan itu pada tahun depannya. Tetapi tahun pun begitu juga hasilnya.

Pernah suatu ketika saya bersama kawan saya, Du namanya (nama sebenar Azhar), mencari buluh lemang untuk dijual kepada Mak cik Awi yang berniaga lemang. Kami pun memasuki hutan ke hutan dan berjaya mengumpulkan buluh dalam kuantiti yang banyak. Di samping itu kami juga mengutip bunga kantan untuk dijual kepada Mak Cik Awi. Kami sudah berkira-kira untuk mendapat belanja raya hasil daripada jualan lemang itu. Seeblum kami menjual bulu tersebut kami telah memotongnya mengikut ruas, kononnya untuk memudahkan pembeli. Setelah siap kami pun memikul buluh dan menjinjit bunga kantan ke rumah Mak Cik Awi. Dia sudah sedia menunggu di laman rumahnya yang dinaungi pokok getah. Mak Cik Awi hanya berketang dan bersila di tikar atas tanah sambil menghisap rokok lucky strike. Dia memang menghisap rokok dan sebenarnya ramai juga wanita tua di kampung saya dulu merokok. Mungkin itu kebiasaan yang tidak menyalahi norma pada masa itu. Dengan penuh semangat kami menghulurkan senyum dan bertanyakan berapa hasil jualan kami itu.

Bagaimanapun, impian kami hancur berderai. Rupa-rupanya kami tersilap potong. Kami memotong buluh secara melurus, sepatutnya secara songsang. Buluh kami itu, pangkalnya ialah bahagian yang lembut. Jika demikian halnya macam mana lemang hendak dibakar? Akan pecahlah pangkalnya. Alangkah kesalnya kami ketika itu. Mujurlah kekecewaan kami diubati oleh Mak Cik Awi apabila dia membeli juga buluh yang agak tua dan masih boleh digunakan untuk melemang. Bunga kantan juga dapat mengubati kekecewaan kami. Saya tidak ingat akan jumlah hasil jualan kami, tetapi tentunya jauh daripada jangkaan.

Yang pasti, kami tidak tahu pun siapakah pemilik tanah tempat kami mengambil buluh tersebut. Semuanya kami anggap tumbuhan wakaf. Saya yakin pada masa itu belum ada orang yang mementingkan hak atas tumbuhan liar sebegitu. Sesiapa saja diizinkan mengambilnya untuk kegunaan. Masalahnya, kami berniaga...boleh ke gitu?

4 comments:

lutfi said...

Salam.
2 tahun lepas, Ustaz Ishak naik angin sebab anak dia yang kerja di Klang tu silap potong buluh lemang. Bila silap potong, ada dua masalah. Yang pertama, buluh mudah pecah di bahagian bawah, jadi, susah lemang nak masak. Yang kedua, susah nak masukkan daun pisang.

Kecut la juga bila Ustaz Ishak naik angin. Takut dia darah dia nak la. Keh keh. Tahun ni beraya di Ulu Bakai lagi, yang indah dan permai itu, juga yang sama hulunya dengan Chemor, hehe

ogy said...

mak faiizah buat lemang dan bahulu. sebab tak sempat nak bakar lemang terpaksalah pergi membantu melariskan jualan peniaga yang seangkatan dengan mak faiizah.
kuih bahulu pun sama juga.

macam manalah kalau orang-orang macam mak faiizah dah tak mampu lagi nak buat lemang dan bahulu ni, bila kami jadi remaja purba nanti, kat mana nak cari lagi ye?ialah nak buat sendiri bukan tak pandai tapi tak tahu cara(betulke?).

Sham al-Johori said...

saya memang tak beberapa suka lemang sebab, orang jawa hanya makan ketupak dan lontong. tapi pasal ambil buluh perkara biasa sebab nak buat meriam. orang jawa selalu kata orang yang masak pulut dalam buluh ni macam orang asli.

hehehehe

Selamat hari raya dan maaf zahir batin.

Anonymous said...

Keme suka putu beras lagi dari putu kacang. Sat lagi nak buat le ni.. tapi guna mesin je. Lesung kaki yg ada kat rumah ni kecik sangat. Setakat boleh masuk setengah sudu beras je dlm lesung nya...hehe.