Monday, March 15, 2010

Kelas Bahasa 1

Dalam kesempatan yang sempit ini saya mahu berkongsi pengetahuan tentang bahasa Melayu. Pengalaman mengajar pelajar tahun 1 di UM menyedarkan saya bahawa pelajaran akan masuk sebentar sahaja di benak mereka lalu kemudian segera keluar sebaik-baik sahaja mereka melepasi pintu dewan kuliah. Kesalahan bahasa pun berulang lagi. Kesan ini saya temukan apabila memeriksa tugasan atau kertas projek mereka pada semester akhir.

1. Kesalahan menggunakan kata hubung "manakala" pada awal ayat.

"Manakala" perlu diletakkan di tengah-tengah ayat untuk menghubungkan klausa, tidak pada awal ayat. Kalau pada awal ayat fungsinya tetap sebagai kata hubung tetapi bagi ayat songsang. Bagaimanapun, sukar untuk membina ayat sedemikian. Lainlah halnya dengan kata hubung "walaupun" yang boleh berada pada awal ayat songsang: Walaupun masalah itu sudah selesai, perbincangan mesti diteruskan bagi mencari jalan untuk memastikan tiada lagi gangguan ditimbulkan oleh mereka.

Ayat salah:Pelbagai desakan dan rungutan telah dikemukakan oleh rakyat tentang isu pendatang haram. Manakala kerajaan tetap tidak memberikan sebarang kata putus terhadap isu pendatang haram itu.




Sesiapa yang hendak mencuba, sila betulkan kesalahan ayat ini:
1. Walaupun pelbagai desakan dan rungutan dari rakyat telah dikemukakan melalui media, tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan oleh kerajaan.

12 comments:

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

"Tiada sebarang tindakan dilakukan oleh kerajaan, walaupun pelbagai desakan dan rungutan telah dikemukakan melalui media."

: Boleh tak cikgu, dengan ayat sedemikian?

Anonymous said...

Walaupun pelbagai desakan dan rungutan dari rakyat telah dikemukakan melalui media, namun demikian tiada sebarang tindakan dilakukan oleh kerajaan.

Boleh tuan dosen?

Rositah Ibrahim said...

'Dari' digunakan untuk tempat dan masa. Sepatutnya 'daripada'digunakan untuk menggantikan 'dari'.

Saya akui, dalam berhati-hatipun, saya kerap melakukan kesalahan tatabahasa.Nasib baiklah saya ni cikgu seni...

Rositah Ibrahim said...

Dulu-dulu (tahun 80an), cikgu bahasa kerap menyuruh kami merujuk akhbar sebagai contoh penggunaan bahasa yang baik.
Kini kesalahan bahasa kerap kita temui dalam akhbar.

TV? Tidak perlu kemahiran berbahasa untuk menjadi pengacara TV, kerana mereka menggunakan bahasa ikut sedap tekak (kecuali sebilangan kecil yang masih menjaga aturan berbahasa).

Heh.. heh..! Bagus sesekali kejutkan pembaca dengan kelas bahasa!

saleeh rahamad said...

Ayat Rozlan tidak memerlukan koma selepas "kerajaan" kerana kata hubung walaupun ialah klausa tidak bebas yang perlu disambung terus.

Ayat anonim salah! 'dari" perlu digantikan dengan "daripada" manakala frasa "namun demikian" tidak perlu wujud kerana perkataan "walaupun sudah cukup pada awal ayat untuk menunjukkan pertentangan.

Rositah berkata betul tapi tiada ayat diberikan,maka sukar saya memberikan komen.
Cuma ejaan 80an sepatutnya 80-an kerana angka dengan huruf perlu dipisahkan dengan sempang.

Rositah Ibrahim said...

Opps... TER.. la tu!

Cikgu Za said...

Wah, sarjana sastera dah jadi pakar bahasa pula! Bahasa yang baik dan tepat penting dalam pengucapan apa jua bidang.

Anonymous said...

Cikgu Za,

En. Saleeh memang mengajar bahasa dan sastera di UM. Bukan ajar sastera je.

Jangan lupa beli buku Strategi Bahasa: Panduan Nahu dan Retorik untuk Penulisan yang merupakan tulisan bersama En. Saleeh bersama Md. Sidin Ahmad Ishak, terbitan Penerbit UM.

[bekas pelajar UM]

Siti Ezaleila said...

Walaupun pelbagai desakan dan rungutan daripada rakyat telah dikemukakan melalui media, tiada sebarang tindakan dilakukan oleh kerajaan.

saleeh rahamad said...

Ayat Siti betul.Siti kena bersedia, nanti kena ambil kursus saya semasa saya bercuti.tak ada orang lain boleh saya harapkan dan boleh saya tegur hahaha

Siti Ezaleila said...

Alamak, menyesal cuba jawab. Jangan cuti dulu En Saleeh. Biar saya cuti dulu.

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Rupa-rupanya Tuan Saleeh mengemukakan ayat MEMANCING! hehehe