Memasuki Kota Tua di Jakarta seperti menziarahi zaman kolonial Belanda. Bangunan-bangunan kolonial yang besar agam kini sudah dijadikan muzium, termasuk tempat tahanan bagi pengancam keselamatan kolonial: kolong berlengkung dan bertingkap jeriji besi yang ampuh. di muzium maritim ada sebuah replika lancang kuning, dan lirik lagu serta puisi pada dindingnya. sayangnya saya tidak membawa pena untuk merawat penyakit lupa. jadi sudah pudar dalam ingatan puisi siapakah itu, dan lagu nelayan suku manakah yang terpampang. yang dapat diambil iktibar, muzium itu menghargai khazanah budayanya walaupun di tempat yang berdebu lantaran kekurangan dana. Ideanya sudah bagus, tetapi pelaksanaan dan pengekalan semangat menjaga khazanah budaya mungkin sudah luntur.
Acara Jakarta International Literary Festival 2008 tidak dapat kami ikuti sepenuhnya kerana datang lewat dan dilambatkan lagi kesesakan di Jakarta disebabkan banjir. Tidak berupaya lagi kami membenarkan pemandu kereta sewa menuju ke Hotel Batavia di Kota Tua, lalu kami menginap di hotel yang paling dekat. esoknya, tanggal 13 disember baru kami ke Batavia dan sempat mengikuti sesi pagi. Malangnya itu cuma sesi sumbang saran antara peserta tentang perjalanan festival akan datang. tiada ilmu dapat dikutip. petangnya ada bengkel muzikalisasi puisi, bengkel baca cerpen, dan bengkel puisi di muzium Fatahillah, dekat situ, sekitar Kota Tua, bekas bangunan kolonial Belanda. kami (saya dan zakir) hanya menjenguk melihat keadaan. Agak hangat sambutan khalayaknya, tetapi mungkin seperti di Malaysia juga: khalayaknya dibawa khas daripada kalangan anak sekolah dan calon guru. Jika dibandingkan jumlah penduduk Jakarta dengan jumla khalayak yang hadir, tentulah nisbahnya tidak begitu jauh daripada keadaan di Malaysia. Nasib sastera agak serupa di mana-mana. Demikian juga dikatakan oleh Pak Tenas Effendy semalam di Akademi Pengajian Melayu ketika saya membentangkan penemuan kajian (projek bersama Profesor Dr Mohd. Mokhtar Hassan, Dr Tengku Intan Marlina dan saya) tentang persepsi guru terhadap skop sukatan matapelajaran Sastera STPM. Kata Pak Tenas di Riau ada sebuah universiti yang pada tahun lepas pelajar yang mengambil jurusan sastera cuma 9 orang, dan tahun ini sudah ditutup. Jadi senario di Kota Tua merupakan gambaran universal di negara-negara sedang membangun selagi sastera tidak dipandang penting oleh pemerintah sebagaimana di Barat.
Malamnya ada acara baca puisi dan penutupan festival di PasarSeni Ancol. Tiba-tiba saya dan Zakir diminta oleh Maman S Mahayana dan Ahmadun Yosi Herfanda (penyelenggara festival) supaya membaca puisi sebagai mewakili delegasi Malaysia. Tanpa bersedia, kami hanya menyanggupinya. Maka apabila dijemput ke podium saya pun segera mengheret Zakir yang juga sudah menyiapkan sajak spontannya selepas saya menulis sajak spontan juga dengan pena yang dipinjamkan oleh Maman.
Malam larut, acara baru selesai.
Kami pulang ke hotel untuk menyambung destinasi seterusnya esok, Ahad. Festival sudah berakhir. Penat masih terasa kerana petang tadi kami membonceng basikal yang disediakan perkhidmatan khusus untuk pelancong untuk mengitari kawasan Kota Tua. Kami melihat Pelabuhan Sunda Kelapa, pintu masuk laut yang membariskan perahu besar orang Bugis Makasar.
Tetapi kepenatan tidak bertapak lama di dalam tubuh. Kami akan ke Bandung pada Isnin. Tapi saya harus ke Universitas Indonesia di Depok dahulu. Kenderaannya keretapi. Yang murah tiketnya kelas ekonomi, cuma 1,500rp. Saya akan melakukan perjalanan itu sendirian untuk lebih arif tentang denyut kehidupan di Jakarta.
No comments:
Post a Comment