Saya menerima panggilan telefon daripada Ratnawati, anak Pak Arenawati petang tadi ketika menguruskan percetakan kad nama di Plaza Metro Kajang. Katanya Pak Arenawati terkena stroke malam tadi dan agak kritikal di HUKM. Mujur Ratnawati masih sudi menghantar khabar itu walaupun dia mungkin tersilap kerana memanggil sama "Prof". Memang kali pertama saya melawat Pak Arena bersama Prof Muhamad Haji Salleh sekembalinya kami dari bengkel dengan DBP. Tarikhnya tidak saya ingat tetapi ketika itu Pak Arena belum menjalani radioterapi. Esoknya baru dijalankan rawatan radioterapi. Mujur kami datang pada hari itu kerana selepas menjalani rawatan dia tidak menerima tetamu.
Apabila menerima khabar terbaru ini saya pun segera mengajak rakan-rakan untuk menziarahinya. Malamnya saya, SM Zakir, Shamsudin Othman, Nor Azah Abd Aziz dan suami memasuki kamar Pak Arena di Tingkat 7 Wad Baldu, walaupun di pintu tertulis "tidak menerima pelawat" (tentunya dalam bahasa Inggeris). Saya masuk dahulu kerana bimbang ditahan. Sebelum ini rakan-rakan saya gagal menziarahinya kerana diberitahu tidak menerima tetamu. Bersama Prof Muhammad Haji Salleh dulu kami tidak meminta izin sesiapa lalu terus masuk dan Pak Arena ternyata sangat gembira menerima kedatangan kami.
Kali ini ada anak-anaknya sedang menghadapi Pak Arena. Kami diresapi rasa simpati yang hangat melihat seorang penulis yang gigih (yang paling gigih) sedang terbaring. Hanya anaknya memberikan penjelasan walaupun kami yakin Pak Arena sedang cuba untuk berkata sesuatu. Apakah yang saya berikan selain doa. Semoga Pak Arenawati segera sembuh dan dapat menuturkan isi hatinya. Banyak khazanah dalam mindanya belum digali keluar, tetapi dia tidak mengharapkan apa-apa yang telah tergali keluar disimpan oleh mana-mana pihak. Katanya pada saya dan Prof Muhammad tempoh hari dia mahu khazanah mindanya diserahkan kepada Muzium (arkib?) Den Haag (The Hague) di Belanda. Dia ahli kehormat institusi tersebut. Betapa kecewanya dia pada agensi yang menjaga hal persuratan di Malaysia.
No comments:
Post a Comment