Sunday, June 28, 2009

emak yang dah lama pergi

saya terharu baca blog RMN tentang ibu.

maka saya turunkan cerpen saya yang dah lama ni. cerpen ni dah terbit dalam antologi Rindu Bersemi di Kundasang terbitan pelajar pengajian media Um.


MATA AIR KASIH



Di kota ini Sungai Kelang dan Sungai Gombak sudah tidak berguna lagi untuk menampung kekontangan air di setiap rumah. Selagi ada sungai yang bersih airnya orang kota akan berlumba-lumba mencelumkan diri ke dalamnya kerana paip di rumah masing-masing sudah menjadi batang besi buruk sahaja.

Hari raya korban kali ini ke mana kami? Cuti hanya sehari tapi di sini kering kontang. Sungai di sini cuma aliran keruh minyak, lendir, dan lumpur yang masam dan hanyir walaupun belum lagi kering dan mampus seperti Sungai Ceper di kampung Shahnon. Kalau balik pun masa hanya habis di tengah jalan kerana cuti hanya sehari. Di kampung pun apa yang ada. Selalunya pun, setiap kali hari raya paip di kampung juga tidak berair dan berdedai-dedai juga kami sekampung mencari sungai di kampung sebelah kerana kampung kami tidak bersungai.

Di kampungku tidak ada Sungai Ceper seperti di kampung Shahnon kerana kampungku terletak di atas bukit; cuma di lembahnya ada paya yang pernah menjadi tempat limbat berlubuk dan sepat menganga sekejap-sekejap di permukaan kolam. Tetapi aku ada ibu yang lebih kurang sama dengan ibu Shahnon—dilemahkan oleh angin ahmar sejak tujuh lalu.

Paya-paya yang dahulu berlinang dengan air kini sudah senasib dengan Ceper, sudah tertimbus lama dahulu. Yang tinggal cuma parit kecil dan paya yang jarang sangat berpayanya. Telaga yang dulu cukup banyak di sekitar lembah keliling kampung pun sudah terkambus. Sejak paip air menjalar di dalam tanah dan mencangukkan muncungnya di setiap rumah, telaga-telaga yang dulu tempat orang kampung kami berdulu-duluan mencedok airnya kini sudah hilang entah ke mana. Aku pun tidak tahu bagaimana telaga-telaga itu boleh terkambus, dan kalau ada pun yang tertinggal, di dalamnya penuh dengan rumput dan sampah-sarap. Mata airnya sudah tumpat.

Apabila aku balik ke kampung pada Krismas dan hari raya puasa lepas orang kampung tidak dapat lagi menikmati air telaga sebagai pengganti air paip yang sudah tidak keluar sejak dua hari. Mereka terpaksa ke sungai di Kampung Ulu Chemor untuk mandi dan membasuh kain. Aku pun terpaksa bersama-sama memakai kain basahan semula untuk mandi di sungai. Mujurlah sungai itu masih bersih kerana di hulunya cuma ada perkampungan Orang Asli, Sungai Baduk. Cuma sesekali airnya keruh akibat landaan hujan ke atas tanah yang sudah dibotakkan oleh lori-lori balak. Orang Asli sendiri tidak tahu mencemarkan sungai. Malah mereka hidup dengan sungai. Tanpa sungai sengsaralah mereka kerana di situlah tempat kelah, sebarau, tengas, atau sesia berlubuk dan menunda arus di celah-celah batu; di situlah sumber air minum dan membasuh diri. Mencemarkan sungai dengan keladak rumah dan hampas perut samalah dengan mencampurkan makanan dengan najis. Batin Mahat tidak akan buat begitu; Daud tidak akan buat begitu; dan anak-pinak serta cucu-cicit dan saudara-mara yang lain tidak akan buat begitu. Sungai nadi kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi apabila Haji Latif yang datang sekali minggu dan bermalam di perkampungan Sungai Baduk untuk mengajarkan fardu ain kepada mereka yang baru mengenali syahadah kerap mengambil wuduk sambil berkumur-kumur di sungai itu. Kalau Haji Latif sanggup guna air sungai untuk berkumur dan menggonyoh-gonyoh gigi dengan pasir halus sungai sebelum mengambil wuduk, kenapa pula air sungai itu mesti dikotori. Kami pun, semasa kecil dulu, apabila perut terasa memulas ketika memekap keli atau memanah sebarau atau bermain perang tanah liat di sungai tidak sekali-kali melepaskan hampas perut ke dalam air. Sebaliknya akan kami korek pasir di tebing untuk menyalurkan sisa itu. Kadang-kadang memanglah kami terkorek juga simpanan kawan-kawan lalu beralihlah kami ke tempat lain. Dengan cermatnya menjaga sungai, maka kekallah air sungai itu jernih walaupun alurnya kini semakin sempit dan tohor.

Semasa air paip belum masuk ke kampung dulu, telagalah menjadi harapan kami. Rumahku yang terletak betul-betul di tengah bukit memudahkan kami ke empat arah untuk mencari telaga. Paling jauh, ke arah utara, ada telaga Mak Cik Yon dan telaga Pak Darus. Telaga itu jauh tapi airnya penuh. Sekarang telaga Mak Cik Yon entah di mana—mungkin sudah penuh dengan lumut dan racun kerana sudah dijadikan takungan air kebun Cina. Air dari situlah yang dijadikan sumber untuk meracun serangga sayuran. Telaga Pak Darus inilah yang satu-satunya masih ada dan tidak pernah kering, samalah dengan Pak Darus—masih hidup walaupun tubuhnya sudah kecut bongkok dan kering dengan kulitnya yang berwarna rentung. Telaga itu sahajalah yang pemurah seperti Pak Darus dan arwah Mak Cik Mah yang tidak pernah berkira dengan air telaga atau apa-apa sahaja yang mereka ada. Agaknya disebabkan pemurah merekalah air telaga itu tidak pernah kering dan masih digunakan.
Menghala ke matahari terbit ada telaga Pah Saadiah yang bergelung dan berlumut hijau di kelilingnya, ada telaga Pak Junus yang bergelung tetapi airnya terlalu cetek hinggakan kami terpaksa menunggu mata airnya melelehkan air sebelum menyambung cedokan—kerap sangat yang tercedok sama ialah serpihan kelikir dan tanah liat yang mendasari telaga. Kemudian kerajaan membina satu lagi telaga pam berhampiran telaga Pah Saadiah dan telaga Pak Junus dengan kedalaman tiga kali ganda daripada kedua-dua telaga tadi. Kami pun bermewahlah dengan airnya yang dapat disedut dengan pam.

Ketika itu ibu masih kuat benar. Ibu masih kuat mengandar air dari bawah bukit ke rumah untuk kegunaan kami sekeluarga. Dengan pengandar buluh kuning yang juga digunakan untuk mengandar susu getahnya, ibu akan mengangkut air pagi dan petang untuk memenuhkan tempayan. Kadang-kadang ibu akan ke telaga kerajaan yang terletak ke arah selatan berdekatan rumah Wan Cah. Telaga ini sudah terlalu tua. Kedalamannya mungkin menyamai ketinggian pokok kelapa berumur dua puluh tahun. Dan kami tidak pernah mampu mencedok airnya tanpa menggunakan kili kerana kedalamannya itu. Malah airnya pun tidak kelihatan dari atas; kami tahu airnya masih ada apabila sebiji batu dicampakkan lalu debur kecil sayup-sayup berbunyi di bawah yang gelap itu. Kemudian kili itu akan mengeluarkan bunyi keriuk-keriuknya ketika ibu menurunkan timba ke bawah. Selepas pasti air sudah memenuhi timba ayan ibu akan menarik tali kili dan kadang-kadang timba itu berlaga pada dinding telaga. Biasanya air yang sampai ke atas cuma separuh kerana sudah tertumpah ketika berlaga-laga dengan dinding telaga. Ibu akan menurunkan semula timba itu dan menariknya lagi untuk hanya air yang separuh. Itu pun ibu masih kuat. Dan aku yang masih kecil cuma mengangkut baldi kecil berisi air pulang ke rumah, membuntuti ibu yang terhegeh-hegeh dengan pengandar buluh kuningnya. Mataku akan terpaku pada betis ibu yang putih warisan darah Cinanya.

Jika telaga Wan Cah digunakan orang, ibu akan ke telaga Pah Yam yang menghala ke arah mata hari jatuh. Telaga itu airnya penuh melimpah kerana letaknya betul-betul dekat paya. Agaknya mata airnya ada di tubir-tubir telaga. Aku seronok juga ke situ kerana kadang-kadang dapat mengendap cucu Pah Yam mandi. Tapi biasanya yang aku lihat ialah gurau senda Abang An dan Kak Cot yang baru berkahwin. Gurau senda mereka tampak kasar juga tapi gelak tawanya tidak berhenti mengekek. Aku pun tidak jadi ke telaga selalunya apabila terlihat gurau senda itu kerana pernah ibu memarahi aku mengendap mereka. Lagipun aku terasa malu sendiri apabila terlihat Abang An sengaja melondehkan kain basahnya di depan Kak Cot dan kemudian Kak Cot ambil sabun lalu membalingi Abang An. Ketika itu aku rasa, mereka seronok sangat mandi kerana air telaga itu banyak sangat, sampai melimpah.

Lebih dekat sedikit ada telaga Mak Tua. Telaga ini terletak di bawah bukit, dikelilingi pokok getah. Untuk menuruni bukit ke telaga Mak Tua ibu akan pelan-pelan memijak anak tangga yang terbina sendiri dengan sokongan banir getah yang berselirat; dan ibu tidak pernah tergelincir. Telaga Mak Tua lebih mudah dicedoki kerana airnya banyak. Kejernihannya tampak jelas hingga dasarnya boleh dilihat walaupun kedalamannya boleh melemaskan orang setinggi ibu berdiri.

Telaga ini sudah seperti telaga kami sendiri kerana antara keluarga kami dengan keluarga Mak Tua amat rapat, walaupun tidak ada pertalian saudara. Susah senang kami hanya diketahui oleh Mak Tua dan susah senang Mak Tua juga akan kami ketahui dahulu. Mak Tua yang sudah 80 tahun lebih, bagaimanapun, masih boleh menyapu sampah dan menanam bunga di halaman rumahnya--tidak seperti ibu. Dan Mak Tua tidak pernah lupa menitipkan pesan kepadaku setiap kali aku berkunjung ke rumahnya: “Jaga mak kamu tu. Dia tak ada saudara.” Kadang-kadang Mak Tua akan menangis selepas bercakap panjang. Dan aku pun tidak sanggup menunggu lama mendengar cakapnya lagi.

Entah siapa saudara ibu, tidak aku ketahui. Malah tidak ada sesiapa pun yang mengetahui datuk nenek sebelah ibu. Yang kami tahu ibu keturunan Cina yang dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga di estet Sungai Siput. Kata bapa, emak dan ayah ibu sudah mati ditembak komunis. Kalau begitu siapa adik beradiknya? Pun tiada jawapan. Malah tiada sesiapa pun yang mahu berusaha menjejaki saudara-mara ibu. Hanya Mak Tua yang mungkin tahu tentang asal usul ibu tetapi Mak Tua pun tidak tahu apa-apa. Yang selalu dicakapkan oleh Mak Tua : “Emak kamu tak ada saudara.”

Aku hanya mengetahui hal ini setelah meningkat dewasa dan setelah ibu terkedang di atas katil selepas terjatuh dua tiga kali ketika hendak ke bilik air. Barulah aku tahu bahawa ibu cuma ada keluarga angkat selama ini yang aku panggil tuk dan opah. Tetapi kedua-duanya telah mati di estet Heawood Garden, Sungai Siput. Ibu cuma ada seorang adik angkat lelaki, Pakcik Din. Adiknya yang satu inilah saudara ibu tetapi Pakcik Din pun, resam saudara angkat yang tidak ada kepentingan apa-apa lagi, tidak pernah menziarahi ibu sejak kira-kira enam tahun lalu. Maka semakin keseoranganlah ibu dalam dunia ini jika tidak ada bapa dan anak-anaknya.

Bahana tidak menggunakan kudrat betisnya sejak jatuh sakit terkedang di katil, sekarang betis ibu sudah tidak berbuah lagi. Yang tinggal cuma sejemput daging yang sudah kecut, melekat pada tulang di bawah lapisan kulit putihnya yang juga sudah lembut sangat. Sesekali aku memegang betisnya, yang terasa cuma kenyal-kenyal. Aku tidak lagi dapat memicitnya apatah lagi memijaknya sebagaimana yang selalu diminta oleh ibu ketika sihat dulu. Dulu ibu yang sudah penat menoreh pada siangnya; mengangkut air dari telaga; menebas lorong getah sementara menunggu susu habis menitik; membasuh kain di telaga; menggosok baju bapa dengan seterika kepala ayam dan arang yang kemerahan di dalamnya; mengait, mengupas, dan mengukur kelapa; memasak untuk kami sekeluarga; mengait, mengupas, dan menggodek kekabu untuk membuang bijinya; dan seribu satu kerja lagi, akan meminta aku memijak betisnya setiap malam. Dalam kemalasan zaman kanak-kanakku arahan ibu tidak dapat kuelakkan. Ibu akan memarahiku jika aku hanya memijak buah betis sekali dua dan kemudian berbaring semula. Tetapi sekarang apabila aku cuba memicit betisnya, ibu akan menjerit kesakitan. Kulitnya pun akan segera memerah. Ibu akan menangis akhirnya.

Bapa pun akan menegur dari katilnya yang terletak kira-kira seluluh kaki dari katil ibu: “Sakit dia kalau dipicit.” Nada bapa marah tetapi sekarang bapa pun hampir seperti ibu, tidak mampu mengeluarkan kata-kata kemarahannya. Sejak menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di kepalanya akibat terjatuh enam bulan lalu, bapa juga sudah terkedang di katil, tidur sepanjang hari. Nasib baiklah bapa boleh bangun dalam kepayahannya untuk ke bilik air. Kemudian bapa akan tidur semula. Kemudian bapa akan bangun untuk makan dan minum berkali-kali dalam satu waktu yang singkat. Kemudian bapa akan bangun terketar-ketar ke bilik air apabila kainnya dilelehi air kencing akibat tidak mampu menanggung lama. Bapa akan bertukar kain lima enam kali dalam sehari kerana tidak dapat menahan kencing. Tetapi mujurlah dalam kepayahan itu bapa masih boleh ke bilik air sendiri--tidak seperti ibu.

Ibu hanya terkedang di katil. Kencing dan beraknya tidak diketahui sehinggalah kami tercium baunya atau tilamnya sudah basah apabila lampin lupus ibu sudah tidak tertanggung bebanan air kencing ibu. Ibu betul-betul seperti bayi—semuanya mesti diuruskan oleh orang lain. Mujurlah adikku Sarina yang baru habis belajar di UIA sanggup duduk di kampung menjaga ibu dan bapa. Walaupun dia bekerja pada siangnya, malamnya dia ada di rumah. Sakit pening ibu dan bapa akan ditanganinya sendiri. Mak Ngah, kakak bapa akan menjaga ibu dan bapa pada siang—memasak dan menyuapkan makanan kepada ibu, melayan bapa yang sudah seperti kembali ke alam kanak-kanak. Mujurlah Sarina sanggup. Tetapi sampai bila? Sampai bila dia tidak berumah tangga? Sedangkan abangku sudah mempunyai berbelas-belas anak daripada dua ibu; Kak Yon kakak sulungku juga sudah mempunyai sepuluh anak; Yang, kakak tengahku, sudah ada enam anak,; Nyah sudah ada dua anak; dan aku sudah empat, dan sekarang isteriku mengandung lagi. Yang beranak menambah anak, tetapi adikku menjadi penjaga ibu dan bapa di rumah. Katanya dia tidak berani menerima pinangan orang, takut-takut suaminya nanti tidak mahu tinggal di kampung dan menanggung susah payah menjaga ibu dan bapa. Kami yang lain ini siapa pada ibu?

Sesekali aku terfikir: Ibu sekarang samalah macam telaga buta. Lubangnya masih ada tapi mata airnya sudah tumpat. Ibu tidak menyumbang apa-apa lagi. Yang ibu tahu hanya terkebil-kebil di atas katil dan kemudian mengerang-ngerang apabila lapar atau dahaga. Ibu tidak tahu lagi menyatakan kemarahannya dengan kata-kata kecuali menangis mengogoi seperti anak kecil. Alangkah jahat dan baculnya fikiran itu. Bukankah ibu telah melahirkan kami enam beradik dan bersusah payah membesarkan kami dengan tenaga wanitanya memanjat bukit menoreh getah, menyusup di bawah junjung kacang dan pokok terung yang miang untuk mencari duit? Bukankah ibu juga yang memberikan jalan kepada kami untuk menuntut ilmu sehingga sanggup berpanas terik untuk membiayai yuran dan belanja sekolah walaupun ibu sendiri buta huruf? Bukankah ibu juga yang melakukan segala-galanya ketika bapa mempunyai dua rumah dahulu? Bukankah?

Bukan! Ibu bukan telaga buta. Ibu yang yang terkedang lembik macam kangkung layu dan sesekali mengeluarkan bunyi seperti keriuk kili berkarat di telaga Wan Cah sebenarnya ialah mata air yang sentiasa mengalirkan air suci ketika kami kemarau kasih sayang. Kalaulah ibu hilang seperti terkambusnya telaga di kampungku, nescaya kami tidak ada sesiapa lagi untuk dimanjai. Bapa pun sebenarnya mendapat rahmat juga daripada kelayuan ibu. Kerana ibu begitulah kami adik-beradik kerap pulang ke kampung. Kerana kelayuan ibulah kami tidak gemar bercuti ke tempat lain untuk berehat selain pulang ke kampung. Kerana kelayuan ibulah mak ngah datang ke rumah setiap hari dan menyambung tali persaudaraan yang dahulunya tidaklah begitu erat. Kerana kelayuan ibulah kami adik-beradik dapat bersatu. Jika tidak, mungkin kami adik-beradik pun tidak selalu bersama memeriahkan kampung. Mungkin masing-masing kami hanya memikirkan keluarga sendiri. Maka bapa pun sangat-sangat menyayangi ibu walaupun semasa kedua-duanya sihat dahulu kerap sangat mereka bergaduh. Kami pun sama-samalah menjaga ibu sedaya yang mungkin walaupun yang kerap kami hulurkan cuma salam, bukan wang belanja. Kami pun sentiasalah mencari hari cuti untuk menjenguk ibu untuk bergilir memandikan ibu dan membedakinya seperti bayi. Kami tidak segan silu lagi menyapu sabun ke tubuh ibu. Kami tidak terasa geli lagi mengorek najis keras ibu yang enggan keluar ketika sembelit. Kalau bukan kami, siapa lagi? Tapi kata Mak Tua, “Awak semua menjaga emak tak sama dengan emak awak menjaga awak.”

“Kenapa Mak Tua cakap macam itu? Bukankah kami dah jaga dia macam menjaga anak kecil?”

“Benar, macam menjaga anak kecil. Tapi bezanya, emak awak menjaga awak semasa kecil untuk membesarkan awak semua. Awak menjaga emak awak untuk menanti hari matinya saja,” kata Mak Tua, lalu diikuti tangisannya.Dengan lengan baju kedahnya Mak Tua akan menyapu air mata yang meleleh pada gelembir kelopak matanya dan tulang pipinya yang menonjol.

Melihat ibu terkedang macam kangkung layu dan mengogoi macam kili berkarat memang benar-benar melukakan hati kami. Melihat ibu hanya terkebil-kebil di atas katilnya dan hanya menunggu kesedaran orang tentang kelaparannya, dan ketika hendak bersalin kain pun dia sudah tidak lagi dapat berpaut pada jeriji tingkap, kepalanya seperti pisang patah tengkuk ketika didudukkan di atas kerusi rodanya, kami berasa hampir putus asa. Ketika itu keraplah kami berserah pada Tuhan: biarlah Allah mengambil ibu daripada kami. Kami relakan kematiannya segera datang. Suatu ketika dahulu apabila ibu seperti sudah seperti tiada harapan lagi meneruskan hayatnya kami pun mengadakan majlis membaca Yasin. Kami berdoa sama ada ibu disembuhkan atau jika ajalnya sudah sampai, biarlah dia pergi dalam kebaikan. Tapi Mak Tua kemudiannya, setelah mengetahui doa kami ini, segera menempelak: “Kenapa awak mahu emak awak mati?”

“Kami tak sanggup tengok dia menderita.”

“Kalau dia mati adakah dia terlepas daripada sakitnya?”

“Entahlah.”

Maka Mak Tua pun berkhutbah lagi: Kematian ibu tidaklah tentu akan menamatkan deritanya. Kalau dia sakit semasa di dunia dapat jugalah dia dikasihani oleh anak-anaknya. Dapat jugalah tangisannya diredakan oleh orang lain. Laparnya dapat dikenyangkan, dahaganya dapat dibasahkan. Tapi kalau di dalam kubur nanti, pada hari pembalasan nanti, kesakitannya hanya ditanggung oleh dia seorang. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya. Yang pasti tidak menderita lagi ialah kami, anak-anaknya, kerana tidak lagi rasa terseksa melihat penderitaan ibu dan tidak lagi terseksa menjaga ibu macam menjaga anak kecil. Masa itulah baru kami dapat bercuti ke Tioman atau ke Langkawi, bukan lagi balik ke kampung setiap musim cuti. Itulah tandanya kami hanya mementingkan diri. Kami anak yang tidak mengenang budi!

Alangkah pedihnya kata-kata itu. Tapi disebabkan kami hanya menelan setiap kata-kata Mak Tua, kami dapat mencari masa untuk memikirkannya semula. Akhirnya kami akui: memang benarlah kata-kata itu. Kenapa mesti kami biarkan ibu hilang daripada pandangan kami? Bukankah ini masanya kami berbuat bakti?

“Abang, raya haji ni jadikah kita beraya di K.L. saja?”

Tidak! Kita akan balik kampung beraya dengan ibu walaupun cuti hanya sehari dan di kampung nanti paip tidak berair dan telaga sudah terkambus. Di kampung masih ada ibu. Ibu bukan Ceper yang sudah mati atau telaga yang sudah tumpat mata airnya. Tapi ibu ialah mata air yang sentiasa mengalirkan air sucinya menyirami kami yang kekontangan kasih sayang dan pahala bakti.


(Nota bene: emak saya dah meninggal dunia, dan begitu juga mak tua, wan cah, pah yam, pah sadiah, pak darus. Abang an dan kak cot sudah berpindah ke Pahang dan berniaga murtabak mini.)
Ini wanita mulia dan paling mulia dalam hidup saya. tiada yang lain, tiada yang lain, tiada yang lain. ini satu-satunya wanita yang tidak pernah mengkhianati saya. semoga emak dan abah tentunya tenteram di alam barzakh...amin)

9 comments:

CucuOpah said...

Tuan,
Saya kagum dengan ketabahan ibu tuan. Pasti beliau seorang yang hebat. Harap tuan menjadi anak yg soleh (sebagaimana nama tuan) yang sentiasa mendoakan ibubapa.

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Entri akhir2 ini juga seperti entri kekeluargaan saja yer. Dan ... benar kasih ibu itu tolok bandingnya.

saleeh rahamad said...

rasa dah malas nak tulis tentang falsafah atau perjuangan. nak kembali merenung diri.

hi yeop rozlan,

nak ikut ke bandung ke tidak ni. teman dah beli tiket 4 Ogos pagi. tengoklah air asia. da booking cepat atau ikut geng lain pergi 5 Ogos tengah hari. balik 8 ogos petang ...

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Yeop, tengah dok pikir2 lagi niih yeop. Memang ndak sesangat. Kalau on teman book terus.

Sham al-Johori said...

Tuan guru,
menitis air mata keharuan saya.
Saya terkenangkan ibu dan ayah di kampung halaman.
Salam rindu yang terhukum.

ali atan said...

teringat karya Shahnon Ahmad Ibu Adalah Sungai dan cerita-cerita lain terbitan Fajar Bakti...mengharukan

S.M. Zakir said...

cer penis rupanya...

saleeh rahamad said...

cer..pun ... bak kata wak saring

hanayeol said...

invite you to my baduk blog
http://hanayeol.blogspot.com