Monday, June 8, 2009

menyusuri sungai sejarah

Saya dan keluarga tidak bertangguh memesan mi udang di gerai yang daif fizikalnya dan dikendalikan oleh tiga emoat lelaki. Mereka hanya akan memasak kuah mi apabila ada pesanan dan ini tentunya lebih istimewa berbanding kebanyakan kedai yang telah memasak kuah terlebih dahulu. Sepinggan mi mengndungi lima ekor udang kertas sebesar ibu jari (ibu jari orang biasalah). Tampak menyelerakan dan memang sedap. Cuma saya tertanya-tanya kenapa jumlah udangnya tidak sebanyak yang diceritakan oleh Md Daud. Katanya dia makan 22 ekor udang dengan harga RM4. Saya pun menghabiskan udang dan semua yang mengisi mangkuk kecuali kulit dan kepala udang tanpa mengetahui harga sebenar mi tersebut. Hanya setelah sampai waktu pengiraan saya agak terkedu dengan harganya. Kami makan enam mangkuk mi udang dan bungkus enam lagi serta sepinggan kuetiaw goreng untuk Firdaus yang belum tahu eksotikanya mi udang. Harga termasuk minuman RM102.60 dan diberi diskaun 60 sen. Saya sengaja bertanya untuk membandingkan cerita Md aud: Berapa harga semangkuk mi udang?
"Tujuh ringgit, tapi kalau special RM13."
"Apa bezanya yang special tu?"
"Udangnya banyak lagi, 13 ekor."
"Oh." Dalam hati tertanya lagi, mana ada 22 ekor?
Semasa di dalam kereta saya membangkitkan cerita Md Daud, dan isteri saya selamba memberi reaksinya tentang cerita Md Daud. kami ketawa saja kerana Md Daud memang pandai bercerita. Dan esok saya akan bersama Md Daud membentangkan kertas kerja dalam seminar Arena Wati. Semasa dia bertanyakan kertas kerja saya yang belum siap tempoh (atas kapasitinya sebagai penganjur seminar) dia juga mengakui bahawa kertas kerjanya belum siap!
"Tau dah."
Beredar dari gerai mi udang kami ke jeti pendaratan hasil laut tidak jauh dari situ untuk mencari kalau-kalau ada udang sudah didaratkan. Rupa-rupanya udang hanya akan didaratkan pukul 3 petang setelah nelayan pulang dari laut. Saya bersama Nabila, Huda dan Nailah (anak saudara) hanya meninjau jeti dan menyaksikan bot nelayan datang dan pergi di sungai muara yang beralun. Seronok melihat suasana kehidupan nelayan dengan kesungguhan mereka meredah gelombang dan mengutip rezeki yang tidak ada ketentuan. Ini pengalaman yang berulang sejak akhir-akhir ini, selepas melihat nelayan di Muara Sungai Duyung Melaka dan nelayan di Sungai Ular, dekat Cherating. Semakin dekat saya dengan laut dan nelayan--suatu kehidupan yang sudah lama ingin saya alami walaupun sekejap.
Saya sudah biasa bekerja di kebun sayur, kebun ubi,kebun getah, dan oernah meredah sawah tetapi laut hanya saya sentuh angin dan cicip masinnya. Belum saya alami gelombang melambungkan perahu kenaikan saya dan terhempas bersama derai peluh nelayan. Membaca novel Angin Timur Laut, karya S. Othman Kelantan, sayaa diuja untuk mengalami kehidupan itu. Saya pernah menulis cerpen tentang nelayan perempuan yang gigih membela nasib keluarga dengan tajuk "Gelombang" tetapi kisahnya hanya berdasarkan imbasan daripada pemerhatian dan pembacaan, bukan pengalaman. Mungkin dangkal sekali penceritaan itu. Saya tidak tahu nama ribut atau air pasang perbani, tidak tau tentang berat sauh dan deruman enjin bot dan layar perahu. Saya hanya belajar tentang laut daripada karya Arena Wati. Mujur ada karya sastera yang dapat menambahkan pengetahuan saya tentang dunia asing dan manusianya sekali. Bidang apa selain sastera yang berupaya memperkaya pengetahuan kita?

Selepas membeli ketam di Jeti Kuala Sepetang saya singgah di Kota Ngah Ibrahim atau Tengku Menteri, watak korporat Melayu abad ke-19 yang menjadi tokoh dalam novel talib Samat.
Bersambung...

3 comments:

lutfi said...

Salam.
Waktu saya beli udang di Pantai Remis, saya pernah terjumpa seorang nelayan wanita. Umurnya saya kira sekitar empat puluhan, hampir sama dengan umur Pak Soleh.
Nelayan wanita itu, hanya turun menangkap udang dengan anaknya yang sepatutnya masih bersekolah menengah.
"Semalam ribut," katanya. "Tak banyak sangat udang."
Saya bertanya mengapa dia menjadi nelayan. Jawabnya, sepatutnya suaminya yang pergi ke laut. Tapi, kini suaminya lumpuh. Dia tak ada pilihan. Saya tanya pula tentang persekolahan anaknya. Dia jawab tak ada pilihan. Adik-adiknya juga masih bersekolah dan perlu makanan.
Saya kira, ramai lagi nelayan yang kisahnya sama sahaja. Tetapi, kewujudan mereka sentiasa dilupakan oleh ramai orang, termasuk di sana kita, dan juga para pemimpin negara.

Zaid Akhtar said...

Salam.
Selamat berblog, Tuan Saleeh.

PPB said...

Tuan,
Logik ke mi ada 22 ekor udang, rm4? Udang saiz S boleh la.. hehe. Tuan Daud mesti exaggerate tu... RM40 logik le sikit... Sedap tak? Saya pun ada ke Kuala Sepetang Isnin 8hb. Tapi utk beli udang, kerang dan ikan je. Dan menjamu mata dgn pemandangan jeti nelayan.